Pendosa Kelana


Pendosa kelana,

Minta jangan disalaherti,

“Ini semua perjuangan peribadi”,

“Ini atas nama hak asasi”,

“Ini semua masa depan kita”,

Ini semua kata dustanya.

 

Pendusta kelana,

Menjaja cerita tak perlu mengembara,

Cukup sekadar melayar arus maya,

Cukup sekadar beri retorik dan falasi,

Cukup punya niat dan juga peminat.

 

Peminat kelana,

Minatnya berlari dari satu ke satu,

Apa yang terbaru di FB dan IG dia buru,

Api memercik semboyan bertalu,

Dan dia ingin di situ di tengah gerakan baru.

 

Pembenar kelana,

Tak punya peminat,

Tak punya tempat,

Dihindik ditindas,

Diracik tempias,

Digomoli peminat yang ‘in’,

Diseteru pendusta yang ‘on’,

Diketawa pendosa yang memimpin,

Dilupa kita yang sekadar menjeling.

 

7.39pm

13 Julai 2018

Advertisements
Pendosa Kelana

Suatu hari aku akan pergi


Suatu hari aku akan pergi

ke tempat di mana kita semua dinanti,

Di mana ideal merapuh dan jiwa meluluh,

Manakala bayang membentuk meraung angkuh.

 

Sesekali kita ingin rasa hari yang berlalu,

Pejam mata dan pohon dibawa ke masa itu,

Takdir kan menyelamat, kau sangka,

Takdir membelakangimu, kau duga.

 

Ingin kulihat sejauh mana mampu kau pergi

bolosi dinding yang tinggi dan berlapis-lapis,

Ingin kulihat sejauh mana mampu kau harungi

dawai berduri dan tarikan graviti,

Ingin kuduga kau mampu ke penghujung jalan

menongkah lepasi asid dan gelap malam,

Ingin kutiba di sana juga

dunia sempurna yang kita impikan.

 

Suatu hari aku akan pergi

ke tempat di mana kita semua dinanti,

Bukan di tanah enam kaki dalam,

Malahan bukan di selitan langit berjuta bintang,

Bukan di layar putih semerbak suci,

Atau di pelusuk hitam hati bergaul benci,

Tempat itu memanggil aku duluan,

Selamat bertemu lagi

wahai teman seperjuangan.

 

2.56 am

28 April 2018

Suatu hari aku akan pergi

Mari kita saling menjadi sumber kekuatan satu sama lain


Mari kita saling menjadi sumber kekuatan satu sama lain,

Menimba ilmu baru dalam dunia haru-biru,

Menongkah alam dewasa yang penuh bercelaru,

Meninggalkan kesan dan hitam pura-pura,

Biar ia ditelan masa yang berlalu.

 

Mari kita saling mengingatkan satu sama lain,

Bahawa dunia ini luas belum habis diteroka,

Bahawa hati itu dalam belum habis diterima,

Bahawa perasaan itu boleh datang dan pergi,

Namun hakikatnya kau dan aku wujud kini, di sini.

 

Mari kita bersyukur tapi tidak terus leka,

Mari terus mara tapi bukanlah lupa luka,

Mari kita senyum dan menangis dan ketawa,

Dan di akhir hayat ini menikmati segalanya.

 

Mari kita buka mata hati dan mata minda,

Melihat yang cerah, yang tenang, dan mengambil cebisannya,

Semat dalam diri, biar ia bercambah,

Tumbuh, mekar, kembang, berkitar.

10.28 am

17 Januari 2018

Mari kita saling menjadi sumber kekuatan satu sama lain