Abadi: Catatan Ramlah


14 Mac 2017

Ada banyak perkara yang aku sesali sepanjang kehidupan aku. Kitaran hari-hari yang berulang ini bukan satu daripadanya. Malah, aku suka pada kitaran hari-hari ini. Aku suka pada kehidupanku yang secara tiba-tiba terlepas daripada bebanan masa dan tanggungjawab yang dibawa oleh peredarannya yang sehala. Aku suka masa yang aku luangkan bersendirian di dalam perpustakaan itu. Perpustakaan yang orang tidak lawati. Satu, kerana era kemodenan telah membawa bersamanya arus kemajuan yang menongkah ke tepi keperluan untuk bahan rujukan dan hiburan dalam rupa fizikal seperti buku dan majalah. Kedua, kerana perpustakaan ini disumpah oleh satu sumpahan yang membawa maut. Walau apa pun sebabnya, aku bersyukur kerana diberikan peluang untuk bersendirian bersama buku-buku kesayanganku. Tuan Sahar mempunyai koleksi buku yang sangat menarik dan mengujakan, dan aku takkan bosan berada dalam dakapan buku-buku dan debu-debu yang sentiasa menari riang dalam ruang tersebut.

Ada banyak perkara yang aku sesali sepanjang kehidupan aku. Kebanyakannya telah aku lupakan, ataupun telah ditelan oleh arus peredaran masa. Masa yang berkisar pada titik ini tetap bergerak pada satu landasan yang lurus, aku rasa? Kerana biarpun berapa kali ia berulang, aku tetap mengingati ulangan sebelumnya, dan memori aku bertambah dari hari ke hari. Bagaikan masih bergerak pada satu landasan yang lurus, bukannya satu litar yang tertutup. Aku kurang pasti apa yang membawa kepada fenomena ini. Apa yang aku pasti ialah memoriku tidak terjejas oleh fenomena ini. Atau mungkinkah memori aku juga dipengaruhi oleh fenomena ini, hanya dalam satu bentuk yang aku tidak sedari? Ia satu kemungkinan. Mungkin juga benar bahawa perpustakaan itu membawa sumpahan, dan ini satu bentuk sumpahan yang orang ramai tidak ketahui. Jika ini satu sumpahan, apakah aku akan berakhir seperti Hana, mati dalam keadaan yang mengerikan? Atau abangnya Johan, kembali ke tanah air sekujur jasad tanpa nyawa?

Aku tidak tahu.

Ada banyak perkara yang aku sesali sepanjang kehidupan aku. Tetapi semuanya kabur, menghilang apabila fenomena ini bermula. Aku boleh ponteng kerja dan tidak akan dimarahi pada keesokan hari. Aku boleh merantau sejauh seharian perjalanan ke mana sahaja yang aku impikan, asalkan jaraknya seharian perjalanan. Aku boleh mencuba bermacam jenis kek di kedai roti di hujung pekan tanpa risau akan kalori dan berat badan dan wang perbelanjaan bulanan. Dan yang paling penting, aku boleh membaca semua buku yang ingin aku baca sebanyak mana yang aku suka, selama mana yang aku hajati, sepuas mana yang aku mahu ulangi. Seusungguhnya, benarlah demi masa, manusia itu kerugian. Tetapi jika masa itu boleh dipakai semula bagai beg plastik dari pasar raya, masihkah kita kerugian? Jika kitaran ini infiniti, dan aku berada dalam relungan infiniti itu, apakah aku masih kerugian? Aku berasa tidak.

Hinggalah aku ketemu kamu.

Ada banyak perkara yang aku sesali sepanjang kehidupan aku. Bagaimana aku merajuk dengan ayah, dan ayah kemalangan semata-mata ingin pulang ke rumah dan memujukku. Ketika aku mendapat tawaran untuk belajar di universiti, tetapi aku terlalu takut untuk hidup berasingan daripada mama, lalu aku menolak tawaran tersebut. Bagaimana aku tak pernah meluahkan perasaanku kepada Johan sepanjang tiga tahun sekelas dengannya, dan kini berasa iri hati apabila melihat dia mula rapat dengan budak Raihan yang dahulu selalu memanggil aku kakak dengan mata yang bundar bersinar-sinar. Mungkin banyak lagi. Tetapi semuanya picisan apabila dibandingkan dengan sesalan aku yang terkini. Semuanya, ya semuanya, termasuklah peristiwa yang melibatkan nyawa keluargaku dan masa depanku, semua tampak remeh berbanding sesalan terbaharu ini. Dan untuk itu, aku tak tahu sama ada harus aku terus membenci dirimu atau haruskah aku membenci diriku kerana terlalu bersuka-ria mengambil kesempatakan ke atas fenomena pelik ini. Mungkin benarlah fenomena ini hasil sumpahan perpustakaan itu, dan mungkin benarlah perpustakaan itu tersumpah. Mungkin inilah balasanku kerana terlalu memandang remeh fenomena ini. Tetapi aku tetap ingin luahkan di sini segala yang memberat di hati selama beberapa kitaran ini.

Shafie, aku menyesal bertemu denganmu.

6.00 am

22 November 2017

Advertisements
Abadi: Catatan Ramlah

Abadi


Bahagian terdahulu

4.

Engsel pintu mengeluarkan bunyi geselan yang memecahkan kesunyian sebaik sahaja Shafie menolak buka pintu itu. Dengan serta-merta, hidung Shafie menangkap bau kertas dari segala buku, majalah, kitab, dan pustaka yang menyerbu rongga nasalnya. Dalam biasan cahaya matahari yang masuk dari tingkap kecil yang memanjang membarisi bahagian loteng perpustakaan kecil itu, kelihatan habuk-habuk halus menari ria mengikut rentak hawa yang tenang, sekali-sekala terganggu oleh pergerakan hawa dingin yang dihembus mesin pendingin hawa model lama.

Lantai kayu perpustakaan itu berkeriuk apabila Shafie melangkah ke arah kaunter yang terletak bertentang pintu hadapan tempat dia masuk sebentar tadi. Di kaunter itu, seorang wanita, pustakawan agaknya, sedang membaca sebuah novel dengan tekun. Mampir dirinya, Shafie dapat melihat judul novel itu. The Goldfinch karya Donna Tartt. Sebuah novel berbahasa Inggeris. Bukan novel yang Shafie akan baca. Malah boleh dikatakan jarang sekali apa-apa novel menarik minat dirinya, tidak kisah bahasa penulisannya. Namun begitu, Shafie dapat rasakan bahawa novel di tangan pustakawan ini bukanlah ciptaan plastik dorongan kapitalis yang ditulis semata untuk meraih keuntungan selaras penulisan kontemporari. Terdapat sejenis keikhlasan meresap keluar dari buku tersebut.

“Ehem,” Shafie berdehem setibanya dia di kaunter itu.

Namun wanita itu langsung tidak mengangkat wajahnya. Cuma tangan kanannya sahaja yang terangkat, menunjukkan tanda ‘satu’ dengan jari telunjuknya. Anak matanya yang hitam pula kelihatan berlari-lari di atas lembaran novel itu, ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan dengan kepantasan yang mengujakan, biarpun yang membaca adalah wanita itu, bukan Shafie. Shafie terasa sedikit berang dengan reaksi wanita itu yang dia anggap tidak profesional. Oleh itu, dia berdehem sekali lagi. Kali ini dengan lebih keras.

“Ehem!”

Wanita itu pantas mengangkat wajahnya. Matanya yang sedari tadi redup terus memandang ke arahya dengan keredupan yang tidak berubah. Pandangannya sayu dan mempunyai gemerlap cahaya yang memilukan. Rambut wanita itu yang hitam, berkilat, dan diikat di pangkal leher ikut terayun dengan dongakan kepalanya. Pandangannya tepat ke wajah Shafie, ke dalam matanya, menerobosi tirai jiwa yang terlindung oleh sinar mata Shafie. Bagaikan seorang penceroboh jiwa, membuatkan Shafie berasa sedikit gusar dan tercabar.

“Urm, pustakawankah?” tanya Shafie, suaranya sedikit keras tetapi pada masa yang sama kedengaran bergetar ketakutan.

“Ya, saya pustakawan di sini. Maaf, saya berada di bahagian yang menarik ketika encik tiba sebentar tadi,” jawab wanita itu dengan lembut tetapi dingin, bagaikan penuh dengan kesayuan seluruh alam semesta.

“Apa bantuan yang boleh saya hulurkan kepada encik pada hari ini?” sambung wanita itu dengan sebuah pertanyaan, masih bernada dingin.

“Ya, rasanya saya perlukan bantuan cik-“

Belum sempat Shafie menghabiskan ayatnya, wanita itu mencelah.

“Encik boleh panggil saya Ramlah,” celah Ramlah dengan sebuah senyuman yang ramah tetapi masih dilingkari aura penuh kesayuan.

“Oh! Baiklah, Cik Ramlah,” balas Shafie, kejengkelan menular ke dalam nada percakapannya.

Namun Ramlah terus memberikan senyuman sayunya kepada Shafie. Tidak diendahkan sakit hati pelawatnya itu, biarpun jika dia menyedari bahawa itulah perasaan yang mula merebak dalam hati lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini. Baginya, sakit hati lelaki itu sekadar secebis kecil daripada sakit hati dirinya sendiri, yang dia rasai dan pendam dari malam sebelumnya.

Melihat senyuman sayu Ramlah, keraguan mula menyusup masuk ke dalam hati Shafie. Mungkinkah pustakawan ini tidak sengaja untuk berkelakuan jengkel? Mungkinkah ini adalah tindakan dan tindakbalasnya yang azali, yang tidak punyai sekelumit pun niat untuk berkelakuan kurang sopan? Mungkin nilai sopan cik pustakawan ini berbeza daripada nilai yang dirinya pegang. Ya. Mungkin itulah jawapannya. Dengan itu, Shafie memutuskan untuk bersangka baik terhadap Ramlah si cik pustakawan yang sedang duduk di balik kaunter. Dengan satu deheman kecil, Shafie menyambung permintaannya.

“Begini. Saya nak tanya jika perpustakaan ini mempunyia buku tentang spesies burung-burung yang terdapat di Malaysia. Saya cuba google, tapi tidak menjumpai maklumat yang saya mahu,” terang Shafie panjang lebar, suaranya agak mendatar.

Ramlah membalas permintaan Shafie dengan satu senyuman lebar dan sebuah anggukan besar.

“Ya, kami ada buku yang encik cari. Atau dengan lebih tepat, maklumat yang encik perlukan,” Ramlah berkata dalam nada yang profesional.

“Bagaimana awak tahu bahawa saya akan menemui maklumat itu di sini? Saya tak sebut pun apa yang saya cari,” ujar Shafie dengan satu sengihan mengolok.

“Mungkin sebab kami mempunyai banyak buku pelik. Pasti pustakawan di pekan sudah uar-uarkan kepada encik, bukan?” balas Ramlah, kali ini dengan senyuman sinis mengiringi kata-katanya.

Shafie terpana seketika. Ya, benar. Memang ada pustakawan di perpustakaan negeri cawangan pekan tersebut mengatakan bahawa perpustakaan ini mempunyai banyak buku pelik, tetapi bagaimanakah cik pustakawan ini tahu? Hanya satu penerangan yang singgah ke mindanya: perpustakaan ini sudah biasa dilabel sebegitu. Memikirkan bahawa dia tidak suka jika dirinya dilabel sebagai pelik, hati Shafie disentuh perasaan malu apabila melihat Ramlah tersenyum sinis. Diamnya diri Shafie membawa maksud setuju kepada pernyataan yang telah Ramlah katakan tadi, dan menyedari bahawa label itu boleh disifatkan sebagai kurang sopan, Shafie menunduk malu. Wajahnya merah padam. Hatinya menyesal dan marah pada masa yang sama.

“Tunggu di sini sekejap ya encik. Saya dapatkan buku-buku tersebut. Encik boleh tunggu di meja sana ya,” tutur Ramlah sambil mengunjuk ke arah meja berhampiran kaunter tersebut.

Shafie sekadar mengangguk kecil. Dirinya masih kaku di hadapan kaunter apabila Ramlah bangkit dari tempat duduk lalu melangkah ke ruang belakang perpustakaan. Sempat Shafie melihat libasan kain bercorak batik dan tapak sandal putih bertali halus milik Ramlah sebelum ia hilang di balik rak buku. Nampak klasik, bisik Shafie dalam hati.

Apabila wanita itu hilang dari pandangannya, mata Shafie melilau ke sana ke mari. Perpustakaan yang kecil dan tidak seberapa ini mempunyai satu daya tarikan yang sukar untuk Shafie ungkapkan dalam kata-kata. Daya tarikan itu memenuhi seluruh ruang dalaman bangunan ini, melingkari lorong-lorong raknya, menyelaputi meja-meja kosongnya, menguliti udaranya dan membuatkan tempat ini tampak mistik, tampak sunyi, tampak repulsive. Seperti ada satu kuasa yang menebarkan pengaruhnya ke serata udara ruang ini, menggoncang dengan daya yang tak boleh diterangkan oleh sains dan falsafah. Sekadar satu perasaan, tetapi ia cukup hebat hingga Shafie tak boleh menafikan kewujudannya, biarpun jika dia ingin berbuat sedemikian.

“Encik, saya dah letakkan buku-buku tersebut di atas meja di belakang sana,” tiba-tiba Ramlah bersuara.

Shafie tidak menyedari bila masanya Ramlah kembali ke kaunter, dan itu sedikit mengejutkan dia. Pandangannya yang bergentayangan ke serata ruang kembali tertumpu ke kaunter. Ramlah telah kembali ke tempat duduknya. Menyedari pandangan Shafie, mata Ramlah yang kuyu melirik ke tepi. Seraya itu, sehembus keluhan yang sangat halus terluah dari bibirnya. Keluhan itu terlalu halus, Shafie hampir menyangkakan bahawa ia bunyi pendingin hawa, jika tidak terlihat bibir cik pustakawan itu terluak pada masa yang sama. Dan apabila terlihat keluhan cik pustakawan itu, hati Shafie membara kemarahan tanpa was-was.

“Di sana ya encik,” kata Ramlah sambil mengunjukkan tangan kanannya ke arah meja di belakang kaunter, pandangan langsung tidak diangkat daripada novel di tangan kirinya.

Hati Shafie tambah membara. Api amarahnya meruap-ruap. Kepalanya terasa panas, begitu juga dadanya. Dia tidak tahu apakah dia layak menerima layanan sebegini kurang sopan, sebegini kurang ajar daripada premis yang sinonim kepada ilmu ini, tetapi dia tahu bahawa dia wajib menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Andai tidak, pasti api amarahnya akan membakar bukan sahaja dirinya dan kewarasannya, bahkan seluruh perpustakaan ini bersama cik pustakawan bedebah ini juga akan merasa bahana amarahnya. Dengan kedua-dua belah tangan yang mula berpeluh dikepal erat-erat dan suara yang terketar-ketar dek menahan diri daripada terus berteriak berang, Shafie memanggil nama Ramlah.

“Cik Ramlah!” panggil Shafie dalam nada yang keras.

“Ya, saya,” balas Ramlah bersahaja, pandangan masih terkubur dalam helaian The Goldfinch.

“Terlalu payahkah untuk awak berbudi bahasa? Saya ni tetamu awak, tahu tak?” suara Shafie makin keras, amarahnya sudah tak tertahan.

Ramlah membisu tanpa balas. Pandangannya masih ke arah lembaran mukasurat novel di tangannya, tetapi anak matanya sudah jumud pada satu titik infiniti yang teoritikal, tidak melihat pun apa yang tertulis pada lembaran-lembaran tersebut.

“Cik Ramlah!!” Shafie menempik bengis.

Namun Ramlah masih statik di balik kaunter.

Bengang dengan reaksi Ramlah, Shafie mencapai novel dalam genggaman cik pustakawan itu lalu menyentapnya lepas. Dengan mata yang merah dan berair, dihempaskan buku tersebut ke lantai lalu dipijak-pijaknya berulang kali, melempiaskan amarahnya kepada buku yang tidak bersalah itu. Lantai kayu perpustakaan berkeriuk teruk, bergegar bersama segala kayu alang dan dinding bangunan kayu itu. Amarahnya bergema di serata ruang udara di dalam premis tersebut, menggoncangkan debu-debu buku yang sedari tadi menjadi penonton kepada kegilaan dua orang manusia yang tidak punyai kawalan emosi yang baik pada hari malang ini. Tapi sebagai debu, mereka sekadar pemerhati yang terkecuali daripada tanggungjawab untuk membetulkan keadaan. Mereka cuma objek halus yang mampu menari dalam hawa dan sinar cahaya. Mereka cuma debu-debu buku.

Selesai Shafie melepaskan amarahnya kepada buku dan lantai, dia berpaling semula ke arah Ramlah. Dadanya berombak turun naik. Nafasnya kasar dan tidak teratur. Tangan dan kepalanya basah likat dengan peluh. Wajahnya bengis tak terkata.

“Cik Ramlah, saya tanya ni! Terlalu susahkah untuk awak melayan saya dengan sopan santun!!” tempik Shafie penuh berang.

Dengan kedua-dua belah telapak tangan dihentak ke kaunter, Ramlah pantas berdiri. Untuk sekian kalinya, wajahnya diangkat menghadap Shafie tanpa gentar.

“Patutnya saya yang bertanya soalan itu kepada kamu!!” tempik Ramlah dalam suara yang kecil terketar-ketar tetapi nyaring.

Terkejut tetapi masih dikuasai kemarahan, Shafie menenung terus mata Ramlah yang menikam, enggan mengaku kalah kepada apa yang dia sifatkan sebagai suatu deklarasi cabaran. Di saat inilah Shafie terlihat wajah Ramlah dengan sebenar-benarnya untuk kali pertama sejak kedatangannya pada hari ini. Mata Ramlah yang terkenyit-kenyit, penuh berair tetapi masih ditahan, juga enggan kalah kepada pandangan balas Shafie. Pipi yang kembang dan merah padam, yang secara tiba-tiba membuatkan Shafie ingin sangat untuk mencubitnya tetapi tidak dibuat kerana kemarahan masih berkuasa di hati. Wajahnya yang bengis tetapi comel pada masa yang sama, mulut separa terbuka menghembuskan angin suam sarat dengan amarah membuatkan Shafie sedar bahawa Ramlah benar-benar berasa sakit hati pada ketika ini. Dan semuanya bergabung memberikan satu mesej yang jelas kepada Shafie; amarah Ramlah berasas, bukannya suka-suka, bukannya saja direka. Dia sedang kesakitan, dan Shafie sekadar berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Menyedari bahawa bukan dia sahaja yang berasa sakit hati pada ketika itu, Shafie akhirnya mengalah. Dipesongkan pandangannya ke arah lantai, ke arah The Goldfinch yang sudah rabak. Perasaan bersalah mula menyelinap ke dalam hatinya. Dia sudah keterlaluan. Begitu juga dengan cik pustakawan ini. Cik pustakawan juga sudah keterlaluan, melempiaskan amarahnya kepada orang asing seperti diriku, fikir Shafie. Aah, bodohnya aku. Bodohnya kami. Bodohnya segalanya. Bodohnya alam semesta.

Dalam kucar-kacir emosi dan mental mereka berdua, Shafie temui satu fakta berupa kebodohan terulung. Satu fakta yang tidak boleh ditepis sesiapa. Hatta masa sekalipun tidak mampu merungkai sebaliknya. Mulut Shafie mula menyeringai. Kepalanya diangkat menghadap barisan tingkap kecil di bahagian loteng bangunan tersebut. Tawa yang pelik mula kedengaran bergema di dalam bangunan itu. Seraya itu, aliran sehala masa dipintal oleh aliran jernih air mata Shafie sendiri. Ya, dia tahu ini semua satu kebodohan yang nyata. Dia kini akur bahawa setiap manusia kesakitan. Bukan dia seorang sahaja yang punyai masalah. Dan untuk menyedari hal ini hanya selepas menziarahi tempat ini, merupakan kebodohan yang terulung. Bukan dia sahaja yang sedang berasa sakit hati. Aku tidak bersendirian di dunia ini, bisik hati kecil Shafie.

Ramlah yang masih berdiri keras di balik kaunter, masih dengan giginya yang tergetap-getap, dengan telapak tangan yang menekan-nekan permukaan kaunter, dengan mata yang berair kepedihan, mula berasa pelik melihat tingkah laku lelaki di hadapannya. Seyogia Ramlah tidak mampu meneka. Dia tidak pernah melihat seseorang ketawa sambil menangis. Atau adakah sebaliknya, menangis sambil ketawa? Apakah yang tersarat dalam tawa pelik itu, dalam genangan air mata itu? Apakah perasaan yang sama berada dalam kedua-duanya? Apakah layak dia berasa berang dengan Shafie, walhal yang membuatkan dia berasa sedemikian bukan Shafie ini? Persoalan demi persoalan muncul di benak Ramlah, dan seperti debu-debu yang bertebaran banyak di dalam perpustakaan itu, dia rasakan dirinya sudah terlalu rapuh. Terlalu rapuh, hinggakan sekecil hawa mampu mengocakkan rasionalnya. Dan menyedari perihal itu, dia berasa malu.

“Maaf..” suara kecil Ramlah terluah perlahan. Hampir terlalu perlahan, bagaikan satu bisikan, ia mungkin sahaja monolog dalaman yang terluah secara tidak sengaja.

Shafie melatarkan pandangannya kembali ke arah Ramlah. Mata mereka bertentang. Sekilas kemudian, Ramlah mengalihkan pandangannya ke arah lain. Anak rambutnya ikut terhayun sekali. Dalam tolehan tersebut, Shafie terlihat butir-butir bagai mutiara mengeringati pelipis wanita itu. Dahinya pula berkerut pelik. Bibir bawahnya digetap. Sesekali, Ramlah mencuri kerling ke arahnya kembali. Seperti ada yang masih disembunyikan oleh cik pustakawan ini.

Dengan serta-merta, amarah yang berkobar dalam diri Shafie mula meresap hilang. Dalam kekosongan yang ditinggalkan, satu perasaan baru menapak muncul. Dia pasti perasaan yang patut menguasai dirinya kini adalah amarah, atau sekurang-kurangnya jengkel dengan tingkah laku si cik pustakawan ini. Namun hakikatnya bertentangan dengan firasat yang membayangi minda Shafie beberapa ketika yang lalu. Apa yang mengisi ruang amarah yang mengosong ialah satu perasaan sayu yang teramat. Seperti seluruh kesayuan alam semesta ditangkap muat ke dalam lohong itu. Dan dengan itu, Shafie melepaskan satu keluhan yang berat lalu mengatup kedua-dua belah matanya. Dia menarik nafas dalam, cuba untuk memapankan diri dengan rasional, cuba untuk mengawal gelora emosi, cuba untuk bersifat matang.

“Maafkan saya, Encik Shafie.”

Kali ini jelas kedengaran suara Ramlah memohon kemaafan daripada dirinya. Shafie mencilikkan kedua-dua belah matanya dan menghalakan pandangannya terus ke wajah si cik pustakawan yang sugul. Ramlah masih berdiri kaku, masih keras di balik kaunter, pandangannya kini tertumpu ke arah kaunter. Dalam biasan cahaya yang makin menyenja dan lingkaran debu-debu buku yang merawak, permohonana maaf itu kelihatan begitu ikhlas, begitu murni, Shafie rasakan bahawa jika dia tidak memaafkan cik pustakawan ini, dia berdosa besar berbuat sedemikian.

Tetapi ego itu satu bebanan yang terlalu menyukarkan bagi mana-mana manusia, terutamanya lelaki. Ego merungut agar Shafie tidak menurut kata hatinya untuk memaafkan cik pustakawan ini. Ego menggertak Shafie untuk tidak menundukkan maruah dirinya kepada satu kesalahan yang, menurut kata ego, belum diberikan hukuman yang setimpal. Pada masa yang sama, logik dan kebaikan meratap sembah agar Shafie membuat pilihan yang patut, yang murni, yang betul. Logik dan kebaikan hati mengusung idea kemaafan sebagai konklusi peristiwa gelora emosi ini. Dan setelah mendengar fakta kedua-dua aspek dirinya, ego dan logik, Shafie memutuskan untuk melaksanakan satu kompromi yang telah dia capai.

“Saya pun… minta maaf juga, Ramlah. Keterlaluan bagi saya untuk memarahi awak apabila tidak mengetahui keadaan awak sepenuhnya. Tapi awak pun bersalah kerana melempiaskan perasaan awak kepada saya yang tak ada kena-mengena,” ujar Shafie setelah menyusun kata-katanya, enggan disalah tafsir maksud dan niatnya.

Mendengar kata-kata Shafie, Ramlah mengangkat wajahnya. Dengan pandangan yang masih berkaca-kaca dan pipi yang masih kemerahan, kesayuan dalam biasan mata Ramlah merentap hati Shafie.

“Jadi, apa kesudahannya?” tanya Ramlah perlahan.

Helaan nafas berat melepasi kerongkong Shafie, dia meletakkan tangan kanannya di pinggang sambil mulutnya menguntumkan senyuman kecil.

“Kesudahannya, kita berdua bersalah. Jadi saya rasa kita patut memaafkan satu sama lain,” balas Shafie, suaranya bergetar sekali-sekala.

“Dan juga diri sendiri,” sambung Ramlah.

Wajah Shafie mula berkerut. Dia tidak faham apa yang Ramlah maksudkan.

“Apa?”

“Kita patut memaafkan diri sendiri juga. Seperti ini,” kata Ramlah lalu mengusap bahunya sendiri.

“Saya maafkan kamu, wahai Ramlah yang marah tidak bertempat.”

Melihat perilaku cik pustawakan ini, Shafie dengan tidak semena-menanya tergelak besar. Apakah ini? Apakah pertunjukan pelik ini? Apakah yang cik pustakawan ini sedang lakukan? Bukan sahaja buku-bukunya pelik, bahkan pustakawannya juga pelik, getus hati kecil Shafie. Menyedari bahawa pengunjung tunggalnya tergelak sakan kerana tindakannya itu, Ramlah juga mula ketawa kecil. Perasaannya berkecamuk, bercampur-baur, bertindih antara malu dan lega dan lucu. Dengan wajah yang tertunduk, satu keluhan terluah dari mulutnya. Seterusnya, Ramlah menggelengkan kepalanya berulang kali, senyuman pahit di wajah. Dia kurang pasti apakah yang lebih menguasai dirinya ketika itu; perasaan lucu ataupun malu. Tapi seperkara yang dia pasti, perilakunya, tindakannya pasti sama dengan Shafie sebelum ini, dan Shafie kini mendapati bahawa perilaku ini mencuit hati.

Tawa berbaur keriangan tercalit sedikit pahit dek tingkahlaku masing-masing awal tadi. Namun ini tidak menafikan untuk mereka tertawa bersama. Tawa yang menghiris hati masing-masing. Tawa yang ditujukan bukan sahaja kepada tindakan pelik Ramlah, tetapi juga kepada ironi kebobrokan jiwa masing-masing apabila gagal untuk mengawal perasaan. Tawa yang, dengan iringan debu-debu yang juga bergelak sakan, sedikit meredakan keadaan, langsung menjemput kejanggalan mengisi ruang di antara mereka berdua apabila tawa itu meresap hilang. Maka kejanggalanlah teman mereka di akhir tawa berduet itu.

Shafie menurunkan tangannya yang tercekak di pinggang, manakala Ramlah menundukkan pandangan kembali ke kaunter. Bagai mengikut rentak, Shafie pun mengikut tunduk, lalu terpandanglah dia ke novel yang sudah rabak di hujung kakinya. Dipungut novel itu, lalu ditenung muka hadapannya yang berkeriuk. Sungguh, emosi tanpa kawalan itu membinasakan, fikir Shafie. Setelah meneliti kerosakan yang telah dia abadikan pada jilid tersebut, diletakkan naskhah itu di atas kaunter di hadapan Ramlah. Perlahan-lahan, pandangan Ramlah teralih ke naskhah itu. Disentuh muka hadapan novel itu dengan jarinya yang halus, terketar-ketar, sebelum diletakkan seluruh telapak tangannya pada novel tersebut. Matanya melihat terus dengan kesayuan yang teramat, kepiluan yang Shafie sukar untuk tafsirkan dengan sepenuhnya. Seperti bukan kerosakan pada jilid itu yang Ramlah pilukan. Seperti ada lagi kepiluan lain yang lebih besar, yang lebih memberat di hati Ramlah. Tapi itu sekadar jangkaan Shafie, keran pemilik badan si cik pustakawan tidak berkata apa-apa.

“Maaf. Saya akan bayar untuk novel tu. Ataupun saya akan ganti yang baru,” kata Shafie dengan suara yang jelas menyesal.

“Tidak mengapa. Esok kami akan dapat buku ini semula,” balas Ramlah, tangan masih menyentuh novel itu.

“Tidak mengapa, Cik Ramlah. Saya yang merosakkan buku tu. Biarlah saya ganti balik dengan duit saya sendiri,” tegas Shafie setelah mendengar balasan Ramlah.

Ketika itu, Ramlah mengangkat wajahnya dan memandang terus ke dalam mata Shafie. Renungan yang dingin tetapi berbeza dengan kedinginan yang mencetuskan pergolakan awal tadi. Kedinginan kali ini berbaur kesedihan dan simpati. Bagai melihat seorang gelandangan yang sedang kebuluran. Bibir Ramlah mula mengorak satu senyuman yang Shafie boleh bahasakan sebagai senyuman yang sungguh manis tapi penuh duka. Senyuman seorang ibu tunggal yang terpaksa melayan karenah anak-anak kecilnya setelah seharian berpenat lelah bekerja. Imej yang terpancar di layar minda Shafie menayangkan seorang Ramlah si ibu tunggal yang berpakaian kosmopolitan, yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang buruk-hitam, yang dengki-gelap, yang momok-perca di pejabat bangunan pencakar langit. Dan seorang Ramlah itu juga terpakasa menguruskan dua orang anaknya yang masih kecil, yang belum celik kepada kebenaran (dan kejahatan) dunia sebenar. Apabila ditanya oleh orang lain ‘adakah awak ok?’, Ramlah akan memberikan satu senyuman dan berkata ‘ya, semuanya ok’.

Itulah senyuman yang dipakai Ramlah pada ketika ini, di hadapannya kini, di dalam perpustakaan kecil penuh debu ini. Dan Shafie tak dapat menghilangkan imej itu dari kepalanya, walhal Ramlah di hadapannya bukanlah seorang wanita pejabat yang bekerja di dalam sebuah bangunan pencakar langit di metropolis pesat. Ramlah di hadapannya seorang pustakawan kepada sebuah perpustakaan yang dilabel ganjil oleh orang tempatan. Tetapi biarpun imej dan realiti bercanggah, Ramlah seorang yang menepati kedua-dua senario. Ramlah akan menghabiskan ayatnya, balasan kepada persoalan di dalam benak Shafie, dengan sebuah ‘ya, semuanya ok’. Ramlah akan meneruskan kehidupan seperti semuanya mampu ditanggung oleh kedua-dua belah bahu kecilnya. Ramlah, di perpustakaan ataupun bangunan pencakar langit, tetap Ramlah. Dan Shafie tak mampu menyangkal fikiran tersebut. Fikiran yang membawa konotasi bahawa dia telah lama mengenali si cik pustakawan bernama Ramlah ini, walhal baru hari ini dia bertemu dengan wanita yang sedang memandangnya dengan kesayuan seluruh alam semesta.

“Terima kasih kerana ingin mengganti buku tersebut, Encik Shafie, tetapi seperti yang saya katakan tadi, tidak perlu encik berbuat emikian. Kami akan mendapat naskhah baru esok dan naskhah ini akan hilang dari sini. Jadi encik tidak perlu berasa bersalah atau bertanggungjawab ke atas penggantian buku ini,” akhirnya Ramlah luahkan setelah seketika membisu dan berbalas pandang dengan Shafie.

Mendengar kata-kata Ramlah, Shafie akhirnya akur. Kata-kata yang terluah tadi kedengaran lembut, tersusun, dan penuh kekerasan pada masa yang sama. Ramlah, seperti dirinya juga, sekarang berada dalam keadaan emosi yang kurang teguh. Dan Shafie khuatir bahawa, seperti dirinya juga, Ramlah akan meletus sekali lagi jika terlalu didesak. Maka Shafie mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada sebarang kemungkinan konfrontasi.

Memohon kemaafan sekali lagi, Shafie melangkah keluar daripada perpustakaan itu dengan tangan kosong. Maklumat yang dia inginkan tidak dapat dia temui. Ataupun dengan lebih tepat, dia sudah tak endah pada maklumat yang dia inginkan itu. Melangkah menuruni anak-anak tangga perpustakaan itu, satu perasaan rawan memenuhi ruang sukmanya. Penyesalan, amarah, kesayuan, kesedihan, semuanya bercampur membentuk segelora yang meminggir ke tepian hati, melohongkan lagi ruang di dadanya. Lohong itu ingin diisi oleh perasaan yang baik-baik sahaja, tetapi Shafie merasakan bahawa dia tidak layak untuk mendapat yang baik-baik sahaja, terutamanya selepas apa yang dia lakukan di dalam perpustakaan ini sebentar tadi. Maka, dipendam sahaja kemahuannya terhadap yang indah, dititipkan salam sahaja tanpa menunggu balasan, dan diredamkan hatinya dengan menadah wajahnya ke arah langit yang makin menyenja. Langit yang marak dengan jingga dan nila, rawatilah hatiku yang lara, bisik Shafie. Sebuah monolog yang pasti tak didengari sesiapa, hatta angin yang membayu sekalipun. Dan dengan bisikan itu, berakhirlah sandiwara petang Shafie.

Malam itu, sebuah sandiwara baru tercetus di rumah Shafie. Setelah menaikkan suara kepada ibunya dan hampir menumbuk ayahnya, Shafie bingkas keluar dari rumah itu. Rumah yang dirasakan telah memenjarai jiwanya untuk sekian lama. Biarpun baru mempelajari bahawa gelora emosi tak usah dilayan, Shafie gagal untuk mempraktikkan pengajaran yang dia dapat siang tadi. Dengan sebuah beg galas yang disumbat dengan beberapa helai pakaian yang diambil secara rawak, Shafie meredah kegelapan malam dengan berjalan kaki.

Helaan demi helaan terlepas rangkulan dadanya tatkala dia melangkah makin jauh dari rumah. Sekali-sekala, Shafie mengangkat wajahnya menghadap bintang-bintang yang berselerakan di seluruh pelusuk angkasa. Bintang yang terang. Bintang yang malap. Semuanya berkemungkinan besar tidak wujud lagi, kerana cahaya yang dia lihat sebagai imej bintang tersebut Shafie tahu telah mengembara selama berjuta-juta tahun membelah gelap angkasa lepas. Apa yang terbias di kanta matanya cuma sekadar imej pascaimej, hantu kepada legasi yang bintang-bintang tersebut ingin abadikan dalam kekhusyukan pemerhatian manusia. Dengan fikiran tersebut, minda Shafie segera teringat kembali kepada cik pustakawan yang mencetus amarahnya siang tadi. Satu senyuman kelat menyinggah di bibir. Ah, kau tak pernah belajar dari kesilapan, bentak hati Shafie. Mengapa bintang-bintang ini mengingatkan dirinya keada si cik pustakawan, Shafie kurang pasti. Mungkin kemarahannya pada malam ini satu imej pascaimej kepada kemarahannya siang tadi, dan kemarahan siang tadi, imej pascaimej kepada kemarahan terhadap dirinya sendiri yang sudah terlalu lama terbuku di hati. Kemarahannya juga bintang. Cuma, ia tak punya cahaya.

Dalam penerawangan mindanya, tiba-tiba Shafie terasa dirinya melayang. Sesaat dirasakan ditarik sepanjang satu milenia sebelum badannya terhempas kembali ke atas aspal jalan raya. Apakah yang sedang berlaku? Mindanya cuba menafsir keadaan untuk mendapatkan jawapan, tetapi pada masa yang sama mindanya menjadi makin kabur, makin malap, makin lesap. Apakah yang telah berlaku? Kenapakah kesedaran makin meninggalkan diriku? Dalam ketika kesedaran mulai meninggalkan jasadnya, suara Ramlah terngiang kembali di cuping telinga.

“Maafkan saya, Encik Shafie.”

Dan dalam keserabutan dan kehilangan itu, cuma satu perkara yang boleh Shafie fikirkan:

Bagaimana Ramlah boleh mengetahui namanya?

11.41 pm

25 Ogos 2017

Abadi

Abadi


Bahagian terdahulu

2.

Engsel pintu mengeluarkan bunyi geselan yang memecahkan kesunyian sebaik sahaja Shafie menolak buka pintu itu. Dengan serta-merta, bau kertas dari segala buku, majalah, kitab, dan pustaka menyerbu rongga nasalnya. Dalam biasan cahaya matahari yang masuk dari tingkap kecil yang memanjang membarisi bahagian loteng perpustakaan kecil itu, kelihatan habuk-habuk halus menari ria mengikut rentak hawa yang tenang, sekali-sekala terganggu oleh pergerakan hawa dingin yang dihembus mesin pendingin hawa model lama. Continue reading “Abadi”

Abadi

Abadi


1.

Engsel pintu mengeluarkan bunyi geselan yang memecahkan kesunyian sebaik sahaja Shafie menolak buka pintu itu. Dengan serta-merta, bau kertas dari segala buku, majalah, kitab, dan pustaka menyerbu rongga nasalnya. Dalam biasan cahaya matahari yang masuk dari tingkap kecil yang memanjang membarisi bahagian loteng perpustakaan kecil itu, kelihatan habuk-habuk halus menari ria mengikut rentak hawa yang tenang, sekali-sekala terganggu oleh pergerakan hawa dingin yang dihembus mesin pendingin hawa model lama. Continue reading “Abadi”

Abadi