Di Persimpangan Hujan dan Matahari


Bagaimana kita boleh tiba di sini?

Bagaimana kita boleh berada di sini?

Apa yang membawa kita berdua ke persimpangan ini?

Persoalan demi persoalan menghujani minda. Aku masih tak boleh menerima apa yang terjadi. Atau dengan lebih tepat, aku tak ingin menerima realiti. Apa itu realiti, jika bukan secebis kekasaran yang mengheret anda ke tanah? Tanah yang keras. Tanah yang dingin yang dinamakan kehidupan. Jika kehidupan ini begitu keras, begitu kasar, begitu dingin-

Adakah lebih baik jika aku mati sahaja?

Tapi kalau kau mati, kita takkan bertemu, kau kata. Aku berpaling ke arahmu. Senyuman dinginmu senantiasa mencuit hati. Ada satu kuasa yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata dalam kewujudan alunan bibirmu itu. Bibir yang pucat, yang kelihatan bagai ia akan merekah jika disentuh walaupun segaris sinar mentari. Tetapi kedinginan yang dibawa oleh alunan bentuk bibirmu itu lain daripada kedinginan realiti, ia hampir kepada mimpi. Ia tak rasional. Heh! Kebarangkalian kita bertemu ini tak rasional, aku membentak dalam hati.

Dan kalau kau tak mati, kita takkan bertemu juga, kan? Senyumanmu memudar. Matamu melempiaskan kesayuan seluruh semesta. Ah, kejamnya dikau, kau berkata kepadaku. Ya, sungguh aku kejam kerana menghamparkan realiti kepadamu. Aku telah menjadi personafikasi realiti yang aku benci. Realiti yang mencengkam, yang senantiasa ingin merobek hati dan jantung setiap yang dia hampiri. Yang kejam. Jika bukan kerana situasi ini, jika bukan kerana segala kebetulan yang terbaris cantik bagai bintang membentuk buruj di angkasa, apakah pertemuan kita masih tak boleh dielakkan? Apakah kita akan membawa perasaan yang berbeza dengan yang kita rasa kini? Dua kewujudan di dua planar yang berbeza, hanya berselisih di satu titik masa dan tempat yang boleh ditafsirkan sebagai kebetulan yang murni, yang tak dirancang, yang-

Hanya sekadar kebetulan?

Tiada kebetulan wujud di dunia ini, kau kata. Semuanya telah dirancang, kau kata lagi. Sayu pandanganmu masih tak berubah. Kau melemparkan pandangan ke permukaan air tasik yang sedari tadi beriak-riak rawak oleh titisan hujan yang halus. Gerimis di petang yang sejuk. Guruh berdentum di kejauhan. Dan kau di sisiku berdiam diri. Satu kontras yang selayaknya mengujakan aku, sepertimana kontras kita berdua. Dan kontras ini, mengikut logik akal fikiran, tak patut bertemu. Tapi apa yang kita boleh tafsirkan sebagai logik, jika semua kebetulan hanya sebahagian daripada satu rancangan maha megah?

Apa itu logik?

Tanpa berpaling ke arahku, kau menjawab dengan selamba. Logik itu perangkap yang akan sentiasa memerangkap jiwa dan minda manusia. Aku tergelak mendengar jawapanmu. Kau tahu kenapa aku tergelak, dan ikut tersenyum tipis. Senyuman yang diiringi kuyu mata yang makin perit, mungkin juga dengan berat hati yang makin membeban. Ironi itu suatu yang pahit dan manis pada masa yang sama. Sama seperti coklat gelap yang sesetengah orang suka makan. Mereka membenci benda-benda pahit, tetapi boleh menerima dan menghayati kepahitan coklat jenis itu. Mungkin ia sekadar mengingatkan mereka bahawa kehidupan ini penuh dengan kepahitan, dan kita, nak tak nak, harus menghadapinya.

Jika itu definisi logik, aku cemburu dengan kau. Kau tereglak kecil. Gelak yang sukar untuk ditafsirkan samada ikhlas ataupun paksaan. Ada juga secebis penyesalan terdengar dalam tawamu itu. Sesalan yang berbunyi seakan-akan segumpal persoalan. Kenapa harus kita bertemu, hanya untuk berpisah lagi? Ke mana hilangnya suka dan nikmat persahabatan ini? Di manakah silapku? Apakah aku tidak cukup berusaha untuk melindungi sesuatu ini? Sesuatu yang ada di antara kita, tapi sukar untuk aku tafsirkan ini?

Aku mendongak ke angkasa, bagai ingin mencabarnya. Ku biarkan titisan hujan mengena wajahku. Hujan yang gerimis, yang berdolak-dalik dalam hatinya samada harus ia mencurah ke bumi dengan kekuatan yang menenggelamkan segala bunyi, atau langsung berdiam diri sahaja di atas pangkin awannya. Hujan pun harus membuat pilihan. Lambat-laun, dia tetap harus turun ke bumi. Lambat-laun, dia akan dipaksa memilih.

Sama seperti kita..

Ya, aku menjawab ringkas. Kerana apabila matahari keluar dari rehatnya, mengintai dari balik kepulan awan yang makin mencerah, aku harus meninggalkan tempat ini. Akan aku bangun dari bangku ini, dan akan kau lesap bersama hujan yang berhenti. Kau sedar apa yang aku sedari, kerana biarpun kita dua kewujudan di dua planar yang berbeza, kita bertembung di titik ini. Pemikiran kita juga mungkin bertembung sama. Siapa tahu?

Seperti telah dirancang, sememangnya telah dirancang, hujan mula berhenti. Baki titisan air yang lain memutuskan bahawa belum tiba masanya untuk mereka meninggalkan pangkin mereka. Dan seperti telah dirancang, sememangnya telah dirancang, mentari melirikkan pandangan dari balik awan. Jacob’s ladder. Stairway to heaven. Mungkin banyak lagi panggilan fenomena ini, tetapi bagi aku hanya satu maksud yang dibawa oleh garis-garis cahaya itu.

Selamat tinggal.

Kau ucapkan dalam suara yang perlahan. Aku menundukkan pandangan, mata terkatup. Hembusan nafas yang perlahan, dan hembusan bayu yang mendatang, aku tersenyum sendiri di sini. Seperti semua perkara yang ada permulaan, ada pengakhirannya. Kecuali Tuhan. Ya. Kecuali Tuhan.

Aku mengangkat pandangan perlahan-lahan. Air tasik tidak lagi berkocak. Semuanya tenang, memantul permukaan langit bagai cermin yang besar. Hantu yang tadi menemani aku telah pergi, dan aku harus mengambil langkahku juga. Aku juga harus meninggalkan tempat ini. Bangun dari bangku itu, aku berlalu pergi, menuju hari yang dicerahi mentari.

2.54pm

30 oktober 2017

Advertisements
Di Persimpangan Hujan dan Matahari

Destini Anak Bangsa dan Ibu Pertiwi


Di satu sudut bilik yang gelap, duduknya seorang aku. Seorang aku yang sudah tiga hari tidak keluar dari bilik ini. Mungkin langsung tidak keluar itu satu pernyataan yang agak keterlaluan. Pastilah seorang aku ini ada keluar, untuk ke tandas misalnya, dan untuk ke dapur misalnya, memasak air dalam cerek elektrik lalu menuangnya ke dalam gelas berisi minuman pracampur 3-dalam-1 ataupun mangkuk berisi mi segera. Ya. Seorang aku ini ada keluar dari kamarnya untuk beberapa minit selang setiap beberapa jam yang berlalu. Kemudian seorang aku akan kembali ke kamarnya.

Dikunci pintu kamar.

Dibiar lampu tertutup, biar gelap malam mendatang, biar gelap ribut menjenguk.

Dihidupkan pendingin hawa pada kesejukan maksima, suhu paling minima.

Lalu dibiar diri, hati dan minda, semuanya, menerawang di alam siber atau di alam maya.

Seorang aku ini berusaha bersungguh-sungguh untuk bermimpi yang besar-besar. Berangan untuk bekerja di firma yang besar-besar, ataupun dengan persatuan yang mempunyai misi yang murni seperti menghapuskan kesedihan dari muka bumi. Kenapa?

Kerana kehidupan seharian yang biasa terlalu membosankan.

Saban hari, seorang aku ini semakin berasa tertekan. Tertekan dengan wasap yang memeritkan tekak yang memenuhi ruang udara kota, dengan perasaan cemburu dan amarah yang tak terkawal berlimpahan di media sosial, dengan makanan yang penuh dengan bahan kimia yang mematikan rasa, yang rasanya sedap tetapi tiada jiwa, yang jiwanya ada tetapi robotik, rutin, berulang, dan membosankan. Melalui hari-hari yang biasa ini, yang tiada yang luarbiasa, yang bebannya sama setiap hari, membuatkan bahuku semakin kendur untuk menghadap hari-hari yang mendatang. Kenapa?

Kerana hari-hari yang mendatang sama sahaja seperti hari-hari yang telah berlalu.

Jadi apa bezanya hidup pada keesokan hari jika ia sama dengan semalam?

Apa bezanya hidup kini dan hidup kemudian?

Lebih penting, apa bezanya jika seorang aku ini mati sahaja pada hari ini?

Saat ini?

Detik ini?

Jika satu hari nanti aku tetap akan mati, apa bezanya jika seorang aku ini mati sekarang sahaja?

Semuanya telah ditetapkan, bukan?

Pilihan-pilihan yang terbentang di depan mata. Pilihan-pilihan yang telah kita buat sepanjang kehidupan. Semuanya satu ilusi, bukan?

Hakikatnya, semuanya telah tertulis. Baik pilihan apa sekalipun yang kita pilih, ia tetap telah ditulis. Kita hanya dipersembahkan dengan ilusi bahawa kita berhak memilih. Padahal kita sekadar watak yang menghidupkan skrip yang telah tertulis sebelum bermulanya kitaran masa. Seorang aku ini juga tidak ada beza.

Jadi di sinilah seorang aku menghabiskan masanya, terperuk di hadapan sebuah komputer riba, menerobosi ruang alam digital, cuba untuk mencari sesuatu yang menghiburkan, yang informatif, yang boleh sekurang-kurangnya digunakan sebagai alasan bahawa seorang aku telah berlaku positif dan produktif dalam meluangkan masanya. Ya. Ilmu juga bahan hiburan. Semuanya hiburan. Kenapa seorang aku berkata begitu?

Kerana semuanya sudah tertulis sejak sekian lama.

Jadi biarpun jika seorang aku menemui sesuatu yang baru hanyut dibawa gelombang-gelombang elektrik, ia tetap telah tertulis bahawa seorang aku akan saban menemuinya. Penemuan itu sekadar dramatisasi, sekadar melembutkan lakonan, menyedapkan persembahan, menjadikannya bermakna biarpun hakikatnya makna itu jumud bila bertemu fakta bahawa semuanya telah dirancang. Tetapi seorang aku tetap menghargai skrip yang tertulis untuk dirinya. ia tetap menghiburkan, selayaknya ia dinamakan hiburan.

Jadi jika takdir itu pilihan, destini itu bikinan, hanya sekadar idea suatu ilusi, apakah perlunya kita berusaha membuat yang terbaik? Apakah perlu kita bersungguh-sungguh? Perlukah kita menghargai kesungguhan itu, walhal ramai yang tidak pernah dan tidak akan menghargainya?

Jika jawapannya tidak perlu, sia-siakah mereka yang berusaha bersungguh-sungguh selama ini?

Sia-siakah tuhan bersungguh-sungguh mencipta kita dan seluruh alam seterperinci ia kini?

Atau sia-siakah omongan bahawa usaha itu perlu tuhan sungguhi untuk jadikan kenyataan?

Bukankah itu merendahkan tuhan? Memberikan tuhan limitasi yang ada pada diri kita?

Bukankah jahil jika kita berfikiran sebegitu?

Bukankah pemikiran ini juga sudah ditulis sebelum bermulanya masa?

Jadi di manakah letaknya tanggungjawab seorang aku terhadap fikirannya? Penaakulannya?

Mungkin juga semuanya terletak pada masa depan. Sebab itulah seorang aku tidak mampu menjawab segala persoalan yang seorang aku sendiri ajukan. Kerana, hakikat yang paling nyata ialah masa depan itu, biarpun kelihatan, biarpun boleh diramal, tidak akan menunjukkan dirinya yang sebenar. Tidak pernah akan menunjukkan dirinya. kerana sebaik sahaja kita sangkakan ia telah menunjukkan belang dan taringnya yang sebenar, itu sebenarnya adalah masa kini. Dan masa hadapan masih berlari di hadapan kita.

Di dalam jangkauan, tetapi tidak pernah dapat digenggam.

Di manakah diriku pada lima, sepuluh tahun akan datang? Seorang aku tidak tahu.

Di manakah diriku pada lima, sepuluh tahun akan datang? Mungkin di sisiku? Mungkin di kejauhan? Mungkin mati?

Di manakah mereka, para kongkongan yang dinamakan negara, para kongkongan yang dinamakan bangsa, akan berada pada lima, sepuluh tahun akan datang? Apakah mereka juga akan mendapat tafsiran baru, tafsiran yang diputar belit, yang dimamah ide-ide menarik dan pelik seperti apa yang terjadi kepada konsep jantina dewasa kini? Apakah mereka juga akan kehilangan identiti, seperti ramai anak muda kita sekarang?

Masa depan, tunjukkan aku jawapannya. Sementara itu, biarlah aku di sudut gelap daam bilik ini, menerawang mindanya ke alam yang entah-entah, memikirkan yang bukan-bukan, menghiburkan hati yang merawan, melakonkan skrip yang telah dituliskan.

Sampai bila kau tunjukkan jawapannya kepadaku, aku akan terus menunggu. Di sini. Selalu.

2.07am

28 Oktober 2017

Destini Anak Bangsa dan Ibu Pertiwi

Tidur, Bahagian 3


Celik. Pandang. Pandang ke atas. Pandang ke merata tempat. Apa yang dia dapat lihat adalah titik-titik cahaya bergentayangan di seluruh pelusuk ruang. Dan di seluruh ruang itu ada satu rasa, satu emosi yang haru dan tenang meresap ke seluruh jisimnya.

Dia tahu bahawa dia bukanlah watak utama kepada cerita ini. Dia hanya sekadar seorang pemerhati. Seorang pemerhati yang berkemungkinan akan digunapakai sebagai seorang hakawati. Kerana setiap kisah, setiap alam, setiap lembar kertas dan kepingan gambar, semuanya memerlukan seorang pemerhati untuk menerangkan, atau sekurang-kurangnya mengisahkan, apa yang terpampang secara tersurat dan tersirat. Mungkin itulah watak yang harus dia pangku. Watak naratif. Suara latar dalam satu dokumentari. Kurator kepada satu galeri. Kawan kepada seorang si sepi.

Dia melihat titik-titik cahaya itu mula memanjang ke merata. Titik-titik cahaya itu membentuk garisan-garisan cahaya. Ada yang berpintal bersama. Ada yang terus mara secara solo. Namun dapat dia perhatikan bahawa titik-titik, ataupun pada masa ini, garisan-garisan solo itu bergerak pada kadar kelajuan yang jauh lebih perlahan berbanding pintalan garisan-garisan yang lain. Ada yang akhirnya menjumud. Ada yang melencong ke arah pintalan-pintalan yang terbentuk. Ada yang makin pudar, makin malap, dan akhirnya lesap dari pandangan. Kematian yang tidak disedari atau ditangisi oleh garisan-garisan yang lain. Oleh itu, dia melimpahkan air matanya bagi pihak garisan-garisan solo itu. Semestinya hanya kerana satu sebab; kerana dia seorang pemerhati. Satu-satunya pemerhati alam ini.

Dia kemudian sedari bahawa pintalan-pintalan cahaya yang terbentuk mula memintal antara satu sama lain, membentuk tali-tali cahaya yang lebih tebal, lebih deras pergerakannya, lebih terang cahayanya. Daripada tali-tali tersebut, tersebar habuk-habuk halus penuh cahaya. Di dalam cebisan-cebisan habuk tersebut, kelihatan aktiviti yang pelbagai ditayangkan bagai suatu hologram. Manusia. Manusia semuanya. Manusia yang sedang bersuka, yang sedang berduka, yang sedang gembira, yang sedang berusaha, yang sedang berdiri di hujung bumbung bangunan, yang sedang merenung skrin telefon menanti panggilan, yang sedang bercengkerama, yang sedang berdoa. Macam-macam fiil manusia tertayang dalam cebisan-cebisan tersebut. Dan dia memerhatikan semuanya.

Ada di antara tayangan-tayangan tersebut yang menarik perhatian dirinya. Tayangan-tayangan yang berkisar seorang wanita yang sama, ataupun beberapa orang wanita yang keliahatan serupa. Di dalam cebisan-cebisan yang berona ungu kebiruan, dia dapat melihat wanita itu bersama seorang jejaka yang sama, aaupun beberapa orang jejaka yang kelihatan serupa. Dia kurang pasti samada pasangan tersebut merupakan orang yang sama ataupun sekadar pelanduk dua serupa (yang jika inilah hakikatnya, bukan lagi ‘dua’ yang serupa, tetapi ‘banyak’ yang serupa) kerana untuk sebab-sebab yang dia kurang pasti, dia tahu bahawa setiap individu dalam cebisan yang berlainan mempunyai nama yang berlainan, menjalani kehidupan yang berlainan, dan mempunyai pemikiran yang berbeza antara satu sama lain. Dan seperti setiap individu dalam setiap cebisan, dia juga tahu bahawa dia juga seorang individu yang berbeza, yang individual yang berbeza.

Biarpun jika setiap wanita dalam setiap cebisan berona ungu kebiruan itu mempunyai wajah yang sama.

Biarpun jika setiap wanita dalam setiap cebisan berona ungu kebiruan itu mempunyai wajahnya.

Mereka bukanlah dirinya, dan dia yakin dengan tersangat pasti bahawa dia bukanlah mereka yang terpampang dalam cebisan-cebisan cahaya tersebut. Hal ini membawa kepada satu persoalan yang besar di benaknya.

Siapakah mereka? Dan lebih penting, siapakah dia?

Apakah ini semua sekadar satu mimpi yang ganjil? Kerana dalam keadaan dirinya yang terawang-awang di alam yang gelap penuh tali-tali cahaya itu, sukar untuk dia kenalpasti sama ada dia sedang bangun dan sedar ataupun dia sedang tidur bermimpi. Semuanya terlalu ganjil untuk dia hadapai sebagai realiti. Namun begitu, semuanya terlalu realistik untuk dia sangkal sebagai mimpi. Dia berada di antara dimensi yang pelbagai. Bangun dan tidur, realiti dan fantasi, sedar dan telelap.

Sedang dia menaakul sama ada dia berada di alam realiti atau alam mimpi, beberapa cetusan terjadi pada beberapa tali cahaya. Dalam cetusan-cetusan tersebut, dia melihat pelbagai tayangan, sama seperti tayangan dalam cebisan-cebisan habuk yang tertebar ke merata. Cuma tayangan-tayangan tersebut berbaur keganjilan yang sama seperti fenomena yang sedang dia lalui. Seorang lelaki berumur 200 tahun berseorangan di atas sebuah pulau terpencil. Seorang wanita mengeluarkan pistol daripada tengah sebuah novel yang diparut keluar isinya. Sepasang insan yang mengulangi hari-hari mereka di dalam sebuah perpustakaan. Seorang lelaki mengucapkan selamat tinggal kepada seorang wanita yang hilang ditelan arus masa. Dan akhirnya, sepasang mata yang merenung tepat ke arahnya.

Badannya bergetar apabila melihat sepasang mata itu. Renungannya tajam menusuk dan betul-betul tertumpu kepadanya. Apakah mata tersebut dapat melihat dirinya yang sedang terawang-awang ini, dia tertanya. Kerana sesungguhnya pandangan itu bukanlah pandangan yang dilontarkan ke kejauhan yang infiniti. Bukan juga pandangan yang diberikan apabila sedang menerawang. Pandangan itu ditujukan kepada dirinya yang sedang hanyut di antara dimensi ini. Dia yakin pandangan itu ditujukan kepada dirinya.

Tapi dia tak mampu menafsir maksud di sebalik pandangan itu.

*

Cahaya jingga melankolik melimpahi ruang bilik tersebut, mengular masuk dari barisan cermin yang terbiar tanpa tirai ditarik kejap. Dalam samar cahaya senja itu, Ali membelek laporan yang berada di tangannya. Dibaca laporan tersebut dengan kesungguhan yang tak seberapa. Kemudian diletakkan laporan tersebut di atas meja di sebelah katil. Segumpal keluhan menelusuri kerongkongnya. Keluhan yang berat, yang penuh kekecewaan. Sekali lagi, dia gagal untuk bertemu dengan maklumat yang dia perlukan. Kekecewaan yang dia rasai hanya boleh dia sandarkan pada dirinya sendiri, kerana dia yang menaruh harapan tinggi. Tiada orang lain yang boleh dipersalahkan melainkan dirinya sendiri. Itu, dia cukup tahu. Tetapi kesabarannya makin menipis. Sudah terlalu lama dia menunggu untuk bertemu peluang sebegini. Peluang untuk menerokai kebenaran alam semesta. Peluang untuk merungkai pelbagai kebarangkalian. Peluang untuk bertemu dengannya sekali lagi. Rindunya sudah menebal sejak sekian lama. Apakan tidak dia berasa kecewa apabila mengetahui bahawa insiden ini bukan peluang yang dia cari. Di akhir episod kesedaran ini, dia melepaskan satu lagi keluhan berat.

Pintu bilik ditarik ke tepi, dan masuklah Dr Amzah. Dia mampir ke tepi katil dan berhenti di tepi Ali. Tangannya dilatakkan di belakang dalam posisi rehat. Matanya lekat pada sekujur tubuh yang terbaring di katil itu.

“Maaf kerana terlambat. Saya ada hal sebentar tadi yang memerlukan tindakan segera,” Amzah bersuara.

“Tidak mengapa. Saya faham bahawa dengan jawatan yang doktor pegang dan kepakaran ayng ada pada diri doktor, hal-hal begini tidak dapat dielakkan,” balas Ali penuh sopan.

“Bercakap tentang jawatan, saya rasa awak berada dalam keadaan yang sama seperti saya. Tidak sangka seorang pegawai tinggi SPH akan datang in person. Adakah lawatan ini berkaitan hal-hal penunaian hajat?” Amzah cuba mengorek maklumat.

Ali berdiam diri tanpa jawapan. Renungannya yang tajam dan dingin ditujukan tepat ke mata Amzah. Menyedari jengkel pegawai tersebut, Amzah berdehem kosong.

“Asalnya, dia disyaki mempunyai severe anemia kerana ujian makmal menunjukkan bahawa dia kekurangan beberapa zat dalam sampel darahnya. Tapi semakin hari, semakin teruk keadaan dirinya. Dia sering pitam tanpa amaran. Ada kalanya dia pengsan langsung biarpun jika sedang menjalani apa-apa aktiviti,” Amzah mula berbicara manakala Ali kekal membisu.

“Ketika itu, mereka mengesyaki bahawa dia mepunyai narkolepsi. Mereka memulakan terapi tidur, pada masa yang sama masih membekalkan makanan tambahan untuk merawat simtom anemia yang dia tunjukkan,” sambung Amzah apabila melihat tiada respon dari Ali.

Amzah kemudian mencapai laporan yng berada di atas meja tepi lalu membeleknya hingga ke satu mukasurat penuh carta dan gambar rajah.

“Lihat sini. Ini hypnogram terawal yang diambil. Dan ini pula hypnogram yang diambil sebulan selepas itu. Awak nampak tak berbezaannya?” kata Amzah sambil menunjukkan muka surat tersebut kepada Ali.

“Apa yang saya faham ialah REM sleep Cik Hana makin menjadi-jadi,” balas Ali dengan nada yang tenang.

“Tepat! Tapi tidak cukup tepat. Sekarang, cuba lihat hypnogram ini pula,” kata Amzah, keterujaan menguasai suaranya.

Ali merenung apa yang Amzah katakan sebagai hypnogram itu untuk beberapa ketika. Kerutan mula terbentuk di dahinya. Selepas beberapa ketika, Ali memandang Amzah dengan wajah penuh persoalan.

“Maafkan saya, doktor. Saya bukan seorang pakar perubatan, tapi ini bukan EEG chart biasakah? Bukankah ini corak aktiviti otak seorang manusia yang sedang bangun?” Ali mengatur kata-katanya dengan penuh hati-hati.

Amzah tersenyum lebar apabila mendengar persoalan Ali, kemudian menggelengkan kepalanya perlahan.

“Tidak, ini gelombang otak Cik Hana ketika sedang tidur.”

“Gelombang otaknya serupa masa sedang bangun, tetapi dia sedang tidur?” Ali bertanya lagi.

Kali ini, Amzah mengangguk perlahan.

“Semasa sedang tidur, Cik Hana sebenarnya sedang bangun. Otaknya berfungsi sepertimana dia sedang menjalani kehidupan seharian. Bezanya, dia, ataupun jasadnya, sedang tidur. Ia bagaikan otaknya, mungkin juga jiwanya, rohnya, sedang menjalani kehidupan di alam mimpi, ataupun di mana-mana yang kita tidak tahu setakat ini.”

Mendengar penjelasan Amzah, Ali mula menyentuh dagunya. Bulu roma seluruh badannya mengembang tegang. Otaknya mula ligat berfikir. Peluh dingin pecah di dahinya. Untuk beberapa ketika, Ali kaku dalam posisi tersebut tanpa sepatah perkataan terluah. Suasana bilik itu kembali kepada kesunyian awal tadi sebelum Amzah melangkah masuk. Yang berkata-kata mungkin sahaja cahaya jingga yang menerobosi seluruh pelusuk ruang bilik itu, dan mesin pembaca nadi di tepi katil. Sesekali kata-kata cahaya jingga dan mesin nadi disampuk oleh bunyi titisan dari beg TPN yang tergantung.

“Adakah itu juga menerangkan simtom anemia yang Cik Hana tunjukkan sebelum episod-episod hilang kesedarannya?”

“Mungkin, tapi setakat ini kami hanya mampu mengagak. Tiada bukti klinikal setakat ini.”

Ali kembali mebisu, dan dengan itu, seluruh ruang bilik itu kembali membisu bersama. Selepas beberapa ketika, bibir Ali terkuak, dan kata-kata yang terucap halus membisik ke telinga Amzah. Suara yang terlalu halus, ia mungkin sekadar monolog, ataupun satu persoalan yang diharap dapat menerobosi kesedaran Hana yang berada entah di mana ketika ini. Kata-kata yang, tanpa pengetahuan Ali, menyusup masuk ke telinga Hana, menggetarkan gegendang telinganya, mengaktifkan kokleanya, lalu menghantar iimpuls kepada kesedaran Hana yang berada di antara dimensi.

 

Apakah yang kau impikan selama ini?

 

=Tamat=

 

11.21 pm

13 Ogos 2017

 

Tidur, Bahagian 3

Tidur, Bahagian 2


“Kau mahu aiskrim strawberi?”

“Dan Bumi pun berputar pada paksinya yang senget.”

“Tiga darab lima bukan sepuluh-lah Amir.”

“Aku.. aku cintakan kau..”

 

-Apa yang kau impikan, Rasyiqah?-

 

Rasyiqah membuka kelopak matanya. Mungkin lebih tepat jika dikatakan bahawa dia membuka semula talian antara mata dan mindanya, kerana kelopak matanya memang sedia terbuka sejak awal tadi. Cuma pandangannya dihalakan ke arah hadapan yang tidak berpenghujung. Satu titik infiniti yang tidak akan pernah mampu dijangkau oleh sesiapa, hatta dengan kemajuan sains dan teknologi sepuluh ribu tahun akan datang sekalipun. Infiniti. Bagai masa yang kita rasakan tertarik dari satu titik peristiwa ke satu masa hadapan yang kita tak tahu lagi. Walhal sebenarnya masa itu sendiri tidak infinit. Masa itu bernilai. Masa itu terhad. Cuma nyawa kita manusia si pemerhati lebih terhad daripada nyawa masa itu sendiri.

“Jadi Syiqa, awak nak yang mana satu? Berangan atau ubi?”

Rasyiqah menyasarkan pandangannya yang mati pada titik infiniti tadi ke satu objek yang lebih dekat berbanding titik itu. Ke arah seraut wajah seorang jejaka yang sangat dia kenali. Ke arah Zamir.

“Mana-mana pun boleh, aku tak kisah,” jawab Rasyiqah selamba, lamunannya sebentar tadi langsung tak kelihatan di permukaan wajahnya.

“Kalau gitu, aku ambil ubi-lah. Boleh bahagi dua nanti,” kata Zamir selepas berfikir sebentar.

“Ok je,” balas Rasyiqah pendek.

Setelah mendapat ubi keledek dari tukang jual, mereka beredar ke meja makan yang tersedia. Dengan penuh cermat, Zamir ‘mematahkan’ ubi tersebut kepada dua bahagian yang hampir sama besar lalu menghulurkan bahagian yang kelihatan lebih besar kepada Rasyiqah.

“Terima kasih,” kata Rasyiqah sebaik sahaja bahagiannya tersambut di dalam tangannya.

“Hati-hati. Panas tau,” ujar Zamir kepada rakannya.

Rasyiqah sekadar tersengih nakal.

“Apa yang panas, ubi ni? Takkan ni pun awak panggil panas,” Rasyiqah berkata dalam nada bergurau.

Namun reaksi yang dijangkakan dirinya daripada Zamir tak kunjung tiba. Mungkin ia terjadi, mungkin reaksi itu diluahkan oleh Zamir, tetapi Rasyiqah tidak dapat memerhatikan reaksi itu. Kerana sesungguhnya sebaik sahaja dia tersengih, dirinya telah ditelan oleh satu fenomena ganjil. Masa yang berlalu pada landasannya ditarik memanjang ke arah infiniti, dan Rasyiqah pemerhati tunggal fenomena itu. Dia terperangkap dalam tarikan tersebut. Sukar untuk dia nyatakan dalam kata-kata apa yang sedang dia lalui. Fenomena yang memenatkan jiwanya. Fenomena yang saban hari menghakis rasional mindanya. Adakalanya Rasyiqah berasa bahawa dia sudah jatuh dari domain siuman.

Harus ditegaskan bahawa Rasyiqah tidak merasai bahawa masa bergerak dengan kelajuan yang sangat perlahan ala efek slow-motion filem Hollywood. Tidak juga masa jumud pada satu titik. Masa, dalam kata-kata yang paling kena intipati analoginya, bagai bekas plastik tidak selamat ketuhar yang dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro lalu meleding akibat haba yang dilepaskan oleh udara dan isi bekas tersebut. Ya, masa meleding. Itulah istilah yang paling hampir kepada apa yang berlaku ketika fenomena ganjil tersebut. Dan dalam ledingan masa tersebut, pelbagai garis masa yang Rasyiqah tidak dapat kenal pasti akan tercampur bersama garis masa asalnya. Itu hanya hipotesis dirinya. Sekadar pernyataan daripada pengamatannya, kerana sebenar-benarnya dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku dalam tempoh kelangsungan fenomena tersebut.

Apabila masa kembali kepada pergerakan asalnya, Rasyiqah membuka kelopak matanya. Atau lebih tepat jika dikatakan bahawa dia membuka semula talian antara mata dan mindanya, kerana kelopak matanya memang sedia terbuka sejak awal tadi. Dan objek pertama yang menyinggah pandangannya adalah wajah Zamir yang cemas.

“Syiqa, awak ok tak?” tanya Zamir berulang kali.

Pergerakan bibirnya kedengaran oleh Rasyiqah, tapi suaranya tidak kelihatan. Zamir kedengaran mengulangi kata-kata yang sama berulang kali. Apakah aku masih terperangkap dalam fenomena ganjil masa, tanya Rasyiqah dalam benaknya. Jawapannya, tidak. Aku tidak lagi terperangkap dalam fenomena tersebut. Kerana sedikit demi sedikit, tangan kanannya mulai terasa sentuhan tangan Zamir.

“Syiqa? Syiqa!? Wei, awak ok tak ni?”

Tangan Zamir menggenggam kejap pergelangan tangan kanan Rasyiqah. Seperti pandangannya sebentar tadi, talian saraf antara tangannya dan otaknya mula terhubung semula. Begitu juga dengan derianya yang lain. Tangannya yang digenggam Zamir terasa sakit, tetapi bukan kerana genggaman Zamir. Matanya melirik ke arah tangannya. Barulah dia sedari bahawa tangannya dilumuri cecair merah dan coklat pekat. Perasaan cemas mula menular di dalam dirinya. Apakah yang telah terjadi? Matanya mula bergenang dengan cecair jernih. Pandangannya dilontarkan semula ke arah Zamir. Bibirnya mula terkuak memanggil nama lelaki yang sedang duduk bertentang dengannya. Satu panggilan halus, ia bagaikan rayuan pertolongan seseorang yang berada di ambang kematian.

“Zaqwan… apa yang terjadi ni?”

Mata Zamir membundar. Dengan perlahan, genggamannya terlerai daripada pergelangan tangan Rasyiqah. Satu keluhan halus terluah dari celah-celah bibir Zamir yang kelihatan terkatup. Mata Zamir meredup. Pandangannya sesat dalam pemandangan gelas pecah dan air Milo dan air batu yang berselerak di atas meja. Mata Zamir kemudian dikatup. Apabila dibuka semula, dicapai sapu tangan di dalam kocek baju lalu dihulurkan kepada Rasyiqah.

“Nah, tekup kain ni kat luka tu dulu.”

Rasyiqah yang sedari beberapa saat tadi sudah melinangkan air mata akur pada arahan Zamir tanpa sepatah kata balas. Diambil sapu tangan tersebut lalu ditekup pada luka di tangannya. Sengatan pedih terasa mencucuk apabila dia menekup luka tersebut, namun Rasyiqah cuba untuk menahan diri daripada menangis akibat kesakitan. Biarlah dirinya menangis kerana kekeliruan, bukan kesakitan, fikir Rasyiqah, atau Hana, atau Liana, atau siapa sahaja dirinya kini. Kerana sesungguhnya Rasyiqah (atau Hana atau Liana atau sesiapa sahaja) sendiri tidak tahu di manakah dia pada ketika itu, apakah yang telah berlaku pada ketika itu, dan siapakah diri sebenarnya. Cuma satu perkara sahaja yang dia pasti.

Zaqwan ada di sisinya ketika dia memerlukan.

 

11.51 pm

10 Ogos 2017

Tidur, Bahagian 2

Tidur, Bahagian 1


 

Everybody needs a friend,

I’ve been looking for one for ever,

To let me dream,

To let me breath,

But.. nobody’s perfect,

Taste you for the first time,

You bring me to life..

-HARUHI, Friend

 

Kau rasa pemandangan ini cantik?

Kau rasa pemandangan ini sempurna?

Ya, itulah yang kau rasa.

Bukan oren.

Bukan lemas.

Itulah yang kau rasa pada saat ini.

Kau rasa sempurna.

Tapi kau keseorangan kini.

Adakah kesempurnaan yang kau kira-kira itu, yang kau hisab dari jauh itu, termasuk imej sepi seorang kamu?

Jika ya, tahniah.

Jika tidak,

 

Apa yang kau impikan selama ini?

 

“Jadi, berangan atau keladi?”

Hana mengerdipkan matanya. Kemudian, mengalihkan pandangan ke arah Zubir. Matanya mencari sesuatu yang terngiang-ngiang di telinga sebentar tadi. Sebuah lagu. Sebuah imej yang didengari oleh telinga mindanya. Sebuah madah yang dilihat oleh mata hatinya. Namun semua itu sudah berlalu pergi. Berlalu dengan dingin hawa kompleks membeli-belah itu. Dingin yang tak mampu menundukkan bau buah berangan dan ubi keladi yang dibakar menggunakan ketulan-ketulan yang memimik penyebaran haba oleh ketulan arang sebenar. Buah berangan yang sedap. Ubi keladi yang manis. Kegemarannya, kedua-duanya. Memang Zubir tahu. Sebab itulah Zubir bertanya. Tetapi Zubir tidak tahu bahawa itu kegemarannya dahulu, bukan kini.

“Hana, you okay ke?” tanya Zubir, wajah merisau, tangan dilambai di hadapan wajah Hana.

“Ok, ok. I okay,” balas Hana.

Jawapan yang langsung tak meyakinkan.

Kerana di dalam rongga minda Hana pada ketika itu, dia sedang jatuh. Rebah, setepatnya. Rebah ke belakang, ke atas satu tilam yang gebu. Dan dengan serta-merta, bulu pelepah bertaburan memenuhi ruang kompleks membeli-belah itu.

Hana mengerdipkan matanya sekali lagi. Dia dapat melihat wajah risau Zubir. Zubir sedang mengatakan sesuatu, tetapi hanya gerak bibirnya yang didengari Hana. Tangannya terhulur ke arah Hana yang makin jatuh, makin tenggelam ke dalam tilam yang muncul secara tiba-tiba itu. Bulu-bulu pelepah yang bersinar putih makin banyak, makin menyerabutkan pandangan mata. Dan akhirnya, dia buta dalam keputihan yang membingitkan itu. Serupa sesuatu yang bernyawa pada hujung hayatnya.

Serupa mati.

Itulah keadaan dirinya ketika ini.

Putih yang membingitkan itu menariknya masuk, mengulumnya, menghancurkan peribadinya kepada utas-utas benang halus yang tak serupa dirinya, menggumpalnya kembali dalam satu gerakan yang menyakitkan dan menaikkan nafsu syahwatnya pada masa yang sama, lalu meludahnya kembali ke dalam dunia yang dia kenali. Cuma, dunia ini bukan dunia yang tadi.

“I am a solitary person but I love people, I’m not a misanthrope. I like the idea of speaking only when it’s strictly necessary. The closest I ever feel to people is in shared experience. I’m still exploring that, I don’t know where it’s going to lead me.”

-Laura Marling

 

Aku melihat diriku dari kacamata kamu.

Dan kamu selayaknya melihat hidupmu dari kacamata yang sama.

Maka, adakah aku dirimu? Dan kau, diriku?

Atau adakah aku masih aku, dan kamu, masih kamu?

“Jadi, berangan atau bergerak?”

Hana mengerdipkan matanya. Dalam samar kegelapan malam itu, di lorong gelap yang hanya terlimpah neon jingga dan kerdipan lampu daripada projek pembinaan MRT SSP berhampiran, dia terdengar seorang jejaka di hadapannya. Mulutnya terasa suara jejaka yang sangat dikenalinya itu. Ya. Dia pasti itu suara Zamir. Atau adakah namanya Zubir? Dia kurang pasti. Tapi dia pasti Zamir (atau Zubir) itu insan yang terlayang di layar mindanya. Itu dia pasti tanpa sangkalan.

“Bergerak,” Hana menjawab sepatah.

Zamir (atau Zubir) tersenyum. Gigi kacipnya yang comel kedengaran dan dirasai oleh kulit Hana. Zamir (atau Zubir) pun terus berpaling ke hadapan lalu melangkah dalam senyap. Hana menurut di belakang. Yang kelihatan hanyalah bunyi pembinaan, sahutan kenderaan yang melaju di jalan utama, dan siulan tren yang berlalu pada landasan bertingkat yang tersedia. Oh, dan lagu HARUHI yang sedari tadi dimainkan berulang melalui corong fon telinganya. Lagu yang mengasyikkan. Lagu yang sempurna dengan suasana pada malam itu. Dengan neon jingga yang terpantul oleh aspal yang basah dek hujan lebat sepanjang siang tadi. Dengan angin yang mati pada geraknya. Dengan bau wangian Zamir (atau Zubir) yang dengan segan-silu merobek rongga nasalnya. Semuanya sempurna. Imej yang sempurna. Dan Hana sangat menghayati kesempurnaan itu.

Tapi suasana sempurna itu cuma mempunyai imej sepi seorang kamu.

Jadi, berbalik kepada persoalan asal tadi.

Apakah yang kau impikan?

“Aku ingin kawan, tapi aku tak mahu berteman. Aku sakit dalam kesunyian yang meracun, yang membingitkan ini, tapi aku tak suka ramah kemesraan manusia, masyarakat, keluarga, dan lebih-lebih lagi mereka yang menggelar diri mereka kawan aku. Aku sakit, tapi aku tak mampu lari dari kesakitan ini. Kau faham tak!?”

Bibir Zubir terkunci rapat. Tiada kata balas daripadanya. Malah, jawapan bernas dan witty tipikal Zubir juga terkubur sama. Dalam limpahan hujan lebat itu, ternyata sukar untuk dia kenal pasti sama ada air yang mengalir di wajah Hana itu milik langit atau milik wanita itu. Air matanya, jika ada, pun terkubur sama pada petang itu. Zubir melepaskan keluhan yang terangkul di kerongkong. Hana teresak-esak menanti jawapan yang pasti dia akan luati. Kerana apapun jawapan Zubir, dia pasti dia tetap akan membencinya. Dan punca kebencian itu berkisar semula kepada dirinya. Kifarah seorang insan yang inginkan segalanya, hanya untuk menolak segalanya. Dalam esakannya, mata Hana langsung tak berkerdip. Matanya lekat pada wajah Zubir. Pada bibir Zubir, pada kata-kata Zubir yang masih terpendam di kerongkongnya, di dadanya malah.

Akhirnya Zubir meluakkan bibirnya. Dan akhirnya terluahlah suara Zubir, mengucup gegendang telinga Hana.

“Awak! Awak okay tak ni?”

Hana mengerdipkan matanya. Dia berada di dalam kompleks membeli-belah yang berhawa dingin, terbaring di lantai. Atau dengan lebih tepat, terbaring dalam rangkulan seorang jejaka yang tidak dia kenali tetapi terasa begitu dikenali. Wajah jejaka itu penuh kerutan kerisauan yang ikhlas. Wajah yang sebentar tadi didengari penuh kebingitan bulu-bulu pelepah. Bagaikan seorang bidadari dari syurga, fikir Hana. Dan dengan imej itu melintasi fikirannya, sebuah senyuman menguntum di bibirnya. Dicapainya pipi jejaka itu. Jejaka itu kelihatan keliru. Kerutan risau di dahinya bertambah banyak. Bibir Hana yang tersenyum manis mula terkuak. Hembusan nafas bertukar frekuensi, membentuk kata-kata yang boleh dilihat.

“Saya nak berhenti.”

 

11.24 pm

3 Ogos 2017

Tidur, Bahagian 1

Putih


Hazri terjaga, tersentak dari lenanya. Bunyi letupan kedengaran membingitkan telinga. Di hadapan matanya terpampang siling yang merekah.

“Hazri..”

Hazri bingkas bangun lalu keluar daripada bangunan tersebut. Tiba-tiba dia berhenti melangkah. Kaku. Langkahannya mati. Pemandangan kemusnahan menanti, memperlihatkan suasana kebinasaan. Orang ramai lari lintang-pukang. Tahi bintang menjunam ke bumi, membara, menghancurkan bangunan sekeliling. Tanah bergegar bagai satu Bumi sedang digoncang. Pencakar langit runtuh di sana-sini, mengaburi pandangan apabila debu berterbangan. Hazri panik. Di manakah dia sekarang? Mengapa segalanya musnah? Adakah sudah tiba hari pengadilan? Dia hilang arah tujuan. Hazri mula naik gila, mula hilang kewarasan akal, mula berlari entah ke mana seperti mereka yang lain.

“Hazri..”

Hazri tersentak. Akalnya mula waras kembali. Dia menoleh ke belakang. Di tengah-tengah kekacauan itu berdirinya seorang gadis yang berpakaian serba putih tepat di belakangnya. Hazri terkejut melihat kelibat gadis itu. Ingatannya menerjah mindanya. Dia kenal akan gadis itu!

“K-Kau!? Siapa.. kenapa kau ada di sini?”

Gadis itu sekadar melemparkan senyuman manis, suatu reaksi yang mengelirukan Hazri dengan lebih lanjut. Kedua-dua belah kaki Hazri mula bergetar. Perasaan takut mula menyelubungi dirinya.

“Jangan takut, Hazri. Aku datang untuk membalas jasamu,” kata gadis itu dengan suara yang sayup-sayup.

“Hah!? Apa?”

Tiba-tiba tanah bergegar kuat. Hazri terjelepok ke tanah. Gegaran tersebut bertambah kuat dengan setiap selang masa yang berlalu. Hazri sempat mengerling ke arah gadis tersebut, tetapi gadis itu sudah lesap dari persekitarannya.

Gegaran bertambah kuat. Bongkah-bongkah tanah dan batu mula terapung, melawan tarikan graviti Bumi. Hazri melihat ramai yang terjatuh ke bawah, ke arah darat yang sudah tiada. Bongkah tanah yang dinaiki dirinya semakin laju membelah angkasa, meninggalkan permukaan bumi. Semakin lama, semakin laju. Udara semakin menipis. Hazri mulai sesak nafas. Oksigen mula berkurangan. Suhu persekitarannya berkecamuk, sekejap makin sejuk, kemudian memanas sebentar sebelum membeku semula. Kini suh turun mendadak. Dirinya bergetar. Nafasnya menghilang. Kelima-lima derianya bagai disekat. Hanya kesakitan yang boleh dia rasai kini. Pada kekita kesedarannya mula menyusup pergi, tiba-tiba-

BOOM!

Bumi meletup, hancur, lesap. Begitu juga dengan bongkah-bongkah tanah di angkasa. Hazri terjatuh, kembali ke arah pusat tarikan graviti Bumi. Terjatuh. Menjunam. Laju. Sinar putih menyilau penglihatannya, menyelaputi dirinya, mengaburi pandangannya. Pandangannya, semakin putih. Semakin menyilau. Semakin menghakis kesedarannya. Hazri semakin khayal. Semakin hilang akal. Pandangannya makin kabur. Hilang akhirnya. Lesap.

*

“Hazri, bangunlah.”

Mendengar suara tersebut memanggil lembut, matanya segera terbuntang luas. Hazri dapati dirinya terbaring, terlentang di atas padang rumput penuh bunga berwarna-warni. Pandangannya masih kabur. Selang beberapa kemudian, imej yang terbelah-belah mula bersatu. Maka kelihatanlah satu wajah tersembul di hadapannya. Hazri tersentak. Nafasnya tertahan di pekung dada. Matanya terbeliak.

“Ka- kau! Kenapa-“

“Shh..”

Gadis itu menyentuh lembut bibir Hazri. Hazri terdiam membatu. Gadis itu tersenyum. Seulas senyuman yang lembut. Menawan. Yang tidak kelihatan ketika kali pertama mereka bertemu tiga minggu yang lalu.

*

“Irene! Irene!” Hazri menjerit memanggil nama rakannya.

Peluh membasahi dirinya. Sudah hampir tiga jam dia meredah hutan pada tengah malam yang kelam tak berpurnama ini. Gurauan para fasilitator menukar igauan mereka menjadi realiti. Teruk!

“Irene! Irene!!”

Hazri berhenti melangkah. Dirinya lelah meredah hutan simpan ini. Badannya lesu. Otot dan sendinya terasa tegang. Dia melihat jam tangannya. Sudah pukul 2.37 pagi. Irene masih belum ditemui. Lampu suluhnya makin malap. Hujan renyai-renyai memburukkan lagi keadaan. Hazri mengelap peluh di dahi. Dia cuba untuk duduk mencangkung, mengambil nafas dan merehatkan mental dan emosinya untuk seketika.

Tiba-tiba, tanah tempat dia bercangkung mengalah kepada tarikan graviti lalu menggelongsor ke lembah di bawahnya. Bersamanya, Hazri tergolek ke dalam lembah yang sama. Lampu suluhnya pecah. Hazri jatuh terlentang di kaki bukit di tengah-tengah hutan itu, pada suatu malam yang basah dan kelam. Seluruh badannya yang sedari tadi dimamah lesu kini ditimbun pula oleh rasa sakit. Dalam keterasingan dirinya daripada dunia, dia mencarut nasib dirinya dan Irene. Apakah yang telah mereka lakukan sehingga mendapat pembalasan sebegini?

KREK!

Dalam kelam tersebut, Hazri terdengar bunyi ranting kayu dipijak. Dia segera memaksa diri untuk bangun dan menoleh ke arah bunyi tersebut. Sebaik sahaja melihat ke arah itu, wajahnya memucat. Darahnya membeku dan terhenti mengalir. Nafasnya tertahan di kerongkong. Di hadapannya kelihatan satu lembaga putih. Wajhanya sayu, sedih. Cahaya biru suram terpancar daripada lembaga itu. Dalam suram malam itu, Hazri dapat melihat bibir lembaga tersebut menguak mengeluarkan kata-kata yang hanya sayup-sayup kedengaran.

“Hazri, maaf..”

Itu sahaja yang didengari Hazri sebelum pandangannya mengabur dan kesedarannya meresap pergi.

*

“Hazri! Hazri!”

Hazri terjaga. Suasana suram pagi menyambut pandangannya. Laungan tadi- adakah benar dia mendengarnya? Atau sekadar mainan mindanya?

“Hazri!”

Namanya dilaungkan sekali lagi. Dia cukup kenal akan suara itu. Hazri cuba untuk bangkit tetapi belakangnya terasa amat sakit. Kemudian memorinya kembali ke lapangan minda, bermain bagai suatu filem. Ya, kini dia ingat bahawa dia terjatuh ke dalam sebuah gaung ketika sedang mencari Irene yang hilang.

“Hazri!!”

“Y- Ya.”

“DI mana kau?”

“Sini.”

Farouq meninjau ke dalam lembah tersebut dari lereng bukit tersebut. Dia terkejut apabila melihat Hazri terlantar di kaki bukit.

“Ya Allah, Hazri! Sabar, aku turun ni!”

Hazri kaku dalam pembaringan. Farouq segera menuruni cerun itu lalu menghampiri Hazri.

“Hazri, kau OK tak?”

“Emm..”

“macam mana kau boleh-“

“Mana Irene?”

Farooq berhenti bersuara. Dia menundukkan pandangannya. Matanya menguyu. Segumpal keluhan berat terlepas dari mulutnya.

“Farouq, mana Irene?” Hazri mengulang soalannya.

“Hazri, Irene-“

*

Bagai tamat sebuah tayangan di pawagam, Hazri kembali ke dunia putih dan hamparan rumput dan bunga. Gadis itu masih di sana, masih memandang dirinya dengan satu ekspresi yang sayu.

“Maaf kerana aku tidak boleh selamatkan Irene ketika itu,” gadis itu bersuara memecahkan kesunyian alam tersebut.

Hazri sedikit terkejut. Adakah gadis itu boleh membaca fikirannya? Adakah dia juga melihat tayangan memori sebentar tadi? Atau adakah segalanya tertulis di wajahnya? Walau apapun sebabnya, Hazri memutuskan untuk mendapatkan pengesahan daripada gadis tersebut.

“Siapa kau? Kenapa aku di sini? Dan di manakah aku?” Hazri memulakan bicara dengan beberapa soalan.

“Relliqa,” gadis itu memberi jawapan pendek.

“Ha!?”

“Aku Relliqa. Hazri mungkin tak kenal aku tapi Hazri pernah membantu aku. Jadi aku bawa Hazri ke sini untuk membalas budi Hazri. Tapi Relliqa minta maaf kerana pandangan putih ini akan kekal,” Relliqa mula menerangkan.

“Apa? Aku tak faham. Apa yang kau cuba sampaikan ni?” Hazri yang bertambah keliru membentak, memohon penjelasan yang lebih ‘jelas’.

“Hazri akan faham nanti.”

Sejurus sahaja memberi jawapan pendek itu, Relliqa bangkit berdiri lalu berjalan pergi, lesap ke dalam pandangan putih di sekeliling Hazri. Hazri pun segera berdiri lalu mengejar Relliqa dalam keputihan yang menyilau pandangan tersebut.

“Relliqa, tunggu! Aku masih tak faham!” laung Hazri.

Namun laungannya tak berbalas. Segalanya sunyi seperti malam tersebut. Bezanya cuma persekitarannya kini tak kelam seperti malam itu. Tetapi perincian yang lain hampir serupa. Hazri kini bersendirian. Hanya kuntuman bunga berwarna-warni sudi menemani dirinya dalam kesunyian itu.

“Relliqa, aku masih tak faham!” Hazri menjerit sekali lagi.

Masih tiada jawapan. Hazri mula berputus asa. Dia duduk semula di tengah-tengah padang rumput itu seorang diri. Dia masih bingung. Masih banyak persoalan yang terbungkam di hati, yang masih tak terjawab. Di manakah dia sekarang? Apakah tujuan Relliqa membawa dirinya ke sini? Apakah ini syurga?

“Adakah terdapat garis yang nyata antara hidup dan mati?”

Dalam keterasingan dirinya, Hazri dikunjung oleh satu suara lain. Suara yang sangat dia kenali. Suara seorang teman. Hazri mengangkat wajahnya lalu memandang  ke hadapan.

“Kalau ada, sangat menakjubkan kerana kau berada du tengah-tengah garisan halus itu.”

Mata Hazri membutang. Mulutnya sedikit melopong kerana tidak percaya akan apa yang sedang dia lihat. Di tengah-tengah putih yang membingitkan mata dan membutakan telinga, seulas senyuman ceria yang nakal menyambut pandangannya.

“Irene?” Hazri berkata perlahan.

Irene tersengih mengejek.

“Jangan terkejut Hazri. Aku cuma datang melawat. Walaupun hakikatnya aku sedih kerana kita tetap akan berpisah di akhir semua ini,” Irene berkata-kata, wajahnya diceriakan untuk melindung galau hati sendiri.

Hazri masih bingung.

“Maksud kau, aku sudah-“

“Kau belum lagi jadi seperti kami.”

Kini kedengaran satu lagi suara yang sangat Hazri kenali. Farouq muncul dari keputihan yang samar-samar.

“Farouq? Kenapa kau-“

“Ini sudah ketentuan. Takdir kita tidak boleh diubah,” jawab Farouq selamba sebelum Hazri sempat menghabiskan soalannya.

“Ya, dan masa kau berlum tiba Hazri,” sambung Irene pula.

“Tapi.. tapi kenapa?” Hazri bertanya lagi.

“Kerana ini sudah ketentuan Tuhan. Takdir. Suratan Illahi. Panggillah apa yang kau mahu, semuanya sama maksud,” jelas Irene lagi.

“Sebab itulah kau masih di sana,” Farouq mencelah.

“Di sana?”

“”Ya, di alam pertengahan,” sambung Farouq.

“Bukan seperti aku dan Farouq,” tambah Irene.

Hazri tercengang mendengar kata-kata dua orang rakannya itu. Dia masih keliru dan tidak memahami apa yang mereka katakan. Dan kebingungannya terpancar di wajah.

“Hazri, Hazri. Masih lagi seperti dulu. Susah nak buat kau faham sesuatu perkara baru,” Farouq berkata lagi sambil menggelengkan kepalanya.

“Biarlah. Nanti dia akan faham juga tu,” Irene memberi pendapat.

“Harap-harap begitulah. Walau apapun, aku gembira dapat bertemu dengan kau untuk kali terakhir, rasanya,” kata Farouq pula lau menghulurkan tangannya ke arah Hazri.

Hazri hanya memandang tangan Farouq tanpa menyambutnya. Dirinya masih terperangkap dalam kekeliruan dan perasaan ganjil. Apa yang Farouq maksudkan? Apa yang Irene cuba sembunyikan? Kenapa mereka tak boleh memberikan penjelasan yang telus dan lurus?

“Hazri, maaf, tapi masa kami sudah habis,” jelas Farouq lagi lalu menjangkau tangan kanan Hazri lalu menjabatnya.

Irene pula sekadar melihat dari tepi. Farouq melepaskan genggaman tangannya lalu berpaling ke arah samar-samar putih yang membungkus mereka bertiga.

“Jom Irene!”

Irene bingkas bangun lalu berlari anak mengikut jejak Faruoq. Namun beberapa langkah kemudian, dia berpaling semula ke arah Hazri. Senyuman riang tipikalnya lekat di wajah.

“”Hazri, lupa nak cakap sesuatu.”

Hazri memandang terus ke arah Irene yang berada tepat di hadapan dirinya.

“Bye! Hidup baik-baik ya,” bisik Irene lalu mengucup dahi Hazri sebelum berlari semula ke arah putih kabus.

Sekali lagi, Hazri ditinggalkan keseorangan. Keadaan kembali sunyi. Sepi. Hazri mengeluh. Dia mendongak ke arah langit, namun langit tiada di situ. Hanya cahaya putih berseri yang menyilau mata menyambut pandangannya.

“Cantik tempat ni, kan?”

Hazri menoleh ke kanan. Relliqa sedang duduk di sisinya dengan kaki terlipat dan lutut dipeluk, memerhati keindahan padang rumput itu. Bayu lembut menampar wajah mereka berdua. Satu ketenangan tiba-tiba menerpa ke dada Hazri. Segala soalan yang hendak ditanya kepada Relliqa hilang, lesap ditiup bayu. Hanya satu soalan sahaja yang tinggal dalam mindanya.

“Relliqa, macam mana kau boleh kenal aku?”

Relliqa tidak segera menjawab soalan Hazri. Wajahnya bertukar suram, sedih. Setelah beberapa ketika membiarkan kesunyian menguasai ruang di antara mereka, Relliqa membuka mulutnya.

“Hazri nak tahu?”

Hazri mengangguk perlahan.

“Baiklah. Tapi jangan bersedih. Bukan salah Hazri.”

Pernyataan itu membangkitkan rasa ingin tahu Hazri, tapi dipendamkan soalan itu di dasar hati. Dia pasti soalan itu akan terjawab juga tak lama lagi.

Dengan lembut, Relliqa menyentuh tangan Hazri. Sekali lagi, seperti kali-kali sebelumnya, pandangannya mengabur dan kesedarannya menipis. Akhirnya dia lelap.

*

Kesedaran dirinya mula kembali. Bersamanya satu pemandangan dan kehingaran yang membingitkan. Kedengaran suara ratusan manusia, bagai suasana di kaki lima. Akhirnya, pandangan Hazri kembali jelas sepenuhnya.

“Di mana ni?” tanya Hazri.

“Dalam sebuah memori di dunia nyata,” jawab Relliqa.

Kelihatan kaki lima yang penuh dengan orang. Suatu pemandangan yang Hazri rasakan sangat biasa dia lihat. Seperti sebuah tempat yang biasa dia lalui.

Memori itu terus bermain, bagai menonton wayang di pawagam. Tiba-tiba kelihatan Relliqa dalam tayangan itu. Dia menaiki tangga sebuah banguan. Tak lama selepas itu kelihatan Hazri menaiki tangga yang sama. Ketika itulah Hazri teringat kembali akan tempat itu.

“Ini.. bukankah aku tinggal di sini dulu?” tanya Hazri.

“Ya, dan juga tempat tinggal aku,” jawab Relliqa.

Hazri terkejut mendengar jawapan Relliqa. Dia sangkakan bahawa Relliqa bukan seorang manusia kerana penampilannya yang persis sesuatu dari alam lain. Tidak pula dia ketahui bahawa dia pernah berjiran dengan makhluk ini.

Tayanagn memori diteruskan. Relliqa memasuki rumah di tingkat empat. Tiba-tiba tangannya disentap seorang lelaki pertengahan umur. Lelaki itu menarik Relliqa rapat ke dirinya lalu menamparnya hingga badan kecilnya tersungkur di sudut rumah.

“Kau ceritakan kepada kawan kau di sekolah ya!?” tempik lelaki itu.

Relliqa menangis teresak-esak. Lelaki itu menghampirinya semula lalu menarik rambutnya.

“Kau nak jadi macam kakak kau ya!?”

Relliqa terus menangis. Air matanya mengalir tak henti-henti. Lelaki itu melepaskan rambut Relliqa lalu menanggalkan seluarnya. Separuh bogel, dia cuba menarik Relliqa ke arahnya, tetapi Relliqa mengelak. Relliqa cuba untuk melarikan diri tetapi lelaki itu menangkap kakinya. Dia merentap baju pinafore Relliqa dengan keras. Relliqa cuba untuk melepaskan diri namun apa kudratnya untuk melawan binatang buas itu. Walau bagaimanapun, Relliqa tidak mengalah. Dia tak ingin lagi menjadi bahan pemuas nafsu serakah binatang tersebut. Dia tidak akan membiarkan binatang itu menggunakan dirinya dengan begitu mudah.

Pada ketika itu, tayangan memori itu beralih ke rumah Hazri. Setelah membersihkan diri, Hazri beralih ke ruang tamu rumah pangsa itu. Dia menekan punat televisyen dan-

BOOM!

Hazri yang terkejut secara refleksnya melompat ke belakang. Litar pintas telah memarakkan set televisyen tersebut, kini marak terbakar dalam sekelip mata. Tanpa berfikir panjang, Hazri mencapai kain langsir yang baru dibasuh maknya lalu cuba untuk memadam api itu, namun api tersebut terlalu kuat untuk ditepuk mati. Malah, kain yang dia guna untuk memadam api tersebut disambar dan menjadikan keadaan bertambah teruk. Dalam kelam-kabut dirinya, Hazri melepaskan kain tersebut dari genggamannya lalu bergegas ke tandas untuk mencedok air. Setibanya kembali di ruang tamu, api sudah marak menyambar perabot dan langsir, merebak dan membakar wayar telefon dan tikar getah yang menyelaputi lantai rumah kecil itu. Dalam masa yang begitu singkat, api tersebut memasuki ruang dapur sehingga  ke almari kayu tempat menyimpan bahan makanan dan juga tong gas di bawah meja di sebelah almari itu. Melihat api yang merebak teruk itu, Hazri melepaskan gayung di tangan dan segera keluar dari rumah itu.

BOOM!

Satu lagi letupan kuat berlaku, menggegarkan kompleks rumah pangsa itu. Lelaki itu tersentak. Matanya melilau ke arah tingkap. Kelihatan hujung api memarak menjilat bangunan. Lelaki itu melupakan niatnya lantas berlari ke arah pintu rumah. Sebaik sahaja membuka pintu tersebut, dia dapati api yang bermula dari tingkat satu itu sudah memenuhi ruang tingkat dua dan tiga.

“Pukimak!”

Lelaki itu menoleh ke arah Relliqa yang masih berada dalam keadaan separuh bogel.

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya kau masih ada di sini.”

Lelaki itu menghampiri Relliqa yang tiada tempat untuk melarikan diri. Relliqa hanya berharap api itu segera sampai ke tingkat mereka. biarlah dia mati terbakar daripada terus menjadi permainan lelaki jahanam itu.

BOOM!

Satu lagi letupan kuat kedengaran. Dengannya datang hembusan bebola api dari ruang tangga kompleks tersebut, memasuki rumah pangsa mereka melalui pintu yang tak ditutup lalu membaham lelaki tersebut yang berada berdekatan pintu. Lelaki itu berguling-guling di lantai, merebakkan api itu ke seluruh rumah. Relliqa tersenyum. Hajatnya dimakbulkan. Api tersebut terus merebak, membaham, membakar. Menyahkan hidup ngerinya.

*

Mata Hazri terbeliak luas. Dia segera menarik tangannya daripada genggaman Relliqa lalu menggelengkan kepalanya berulang kali. Relliqa hanya mendiamkan diri, langsung tak menoleh ke arah Hazri.

“Relliqa, aku tak tahu. Maaf..”

Relliqa membisu, tetapi wajahnya tenang.

“Relliqa, maaf.”

“Tak perlu minta maaf Hazri. Hazri sebenarnya telah melepaskan aku daripada permaiinan hidup di alam fana. Aku sebenarnya sangat bersyukur kerana Hazri telah membantu aku, biarpun jika itu hanyalah alasannya, asbabnya sebagai jawapan kepada kita yang tak mampu memahami pelan agungNya.”

Hazri hanya mampu untuk mendiamkan diri. Dia tak tahu apa yang harus dia katakan, apa yang harus dia lakukan kini. Ketika itulah Relliqa menoleh ke arah Hazri sambil tersenyum manis.

“Janganlah sedih, Hazri. Hazri betul-betul telah tolong aku. Aku pula.. sekadar ini sahaja yang mampu aku tolong. Namun aku tak dapat hilangkan pandangan putih ini.”

Hazri masih hilang dalam kebuntuan. Perasaan bersalah menguasai dirinya, biarpun jika Relliqa menyatakan bahawa ini semua bukan salahnya. Menyedari kebuntuan Hazri, Relliqa mengusap lembut pipi Hazri, matanya merenung tepat ke dalam mata Hazri.

“Hazri, percayalah bahawa Hazri telah melakukan sesuatu yang baik kepada aku. Dan kini Hazri kena teruskan perjalanan dengan tabah.”

Selesai sahaja meluahkan kata-kata tersebut, Relliqa bingkas bangkit lalu beredar meninggalkan Hazri. Dalam kecelaruan dirinya, Hazri sempat menyentap tangan Relliqa.

“Relliqa, tunggu dulu!”

Relliqa menoleh ke arah Hazri, wajahnya sayu, matanya bergenang.

“Masanya telah tiba Hazri.”

Dan begitu sahaja, Relliqa lesap. Hilang dalam keputihan yang samar-samar itu. Hazri masih bingung. Masih tak faham sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba padang rumput itu bergegar. Tanpa amaran, sebuah lohong muncul di bawah kaki Hazri. Hazri jatuh ke dalam kegelapan itu. Jatuh, dan lesap entah ke mana.

*

Dalam kegelapan mula muncul bunyi-bunyian yang Hazri tak pasti asal-usulnya. Bunyi-bunyian itu semakin hampir akhirnya kedengaran seperti suara-suara yang terkumam di mulut. Dia tak dapat menangkap butir bicara itu. Suara-suara tersebut berlegar dalam ruang mindanya, terngiang-ngiang tanpa membawa sebarang maksud kepadanya.

Tiba-tiba dia merasa dirinya bagai disentap kuat, ditarik keluar dari kegelapan itu. Dia menjerit ketakutan. Akhirnya dia kembali sedar. Dia membuka kelopak matanya, tapi-

“Ya Allah! Hazri! Kau sedar juga akhirnya!”

Satu pelukan erat penuh kemesraan dan kasih sayang menyerkap dirinya, dan dia amat kenal akan suara itu.

“Mak?”

“Ya Hazri. Mak ada di sini.”

“Apa yang terjadi?”

“Kau tak ingat? Kau naik kereta api, tapi kereta api tu tergelincir dari landasan. Tapi syukur kau selamat Hazri.”

Dia dapat merasakan beberapa butir basah mengena bahunya.

“Tapi Hazri, Farouq..”

Terasa badan ibunya bergetar. Ketika itulah pertemuannya dengan Farouq menjenguk ingatannya. Kata-kata Farouq terngian-ngiang dalam otaknya.

– aku gembira dapat bertemu dengan kau untuk kali terakhir..

Adakah Farouq sudah tiada? Adakah itu rohnya yang aku temui? Dia keliru. Seperkara lagi yang membuatkan dia keliru ialah pandangannya. Kenapa dia hanya nampak-

“Hazri, dengar sini. Mak nak cakap sesuatu,” ibunya bersuara selepas melepaskan pelukannya.

Dia terus mendengar, biarpun dia sudah boleh mengagak apa yang ibunya ingin katakan. Ibunya menyambung kata-katanya. Kedengaran suaranya berbaur keresahan.

“Walaupun kau selamat, kau.. kau tak dapat-“

“Putih,” dia mencelah.

Ibunya terkejut mendengar kata-katanya.

“Apa yang putih?” tanya ibunya.

“Pandangan putih ini akan berkekalan.”

Sebaik sahaj dia meluahkan kata-kata tersebut, terdengar ibunya menahan esak. Namun tak dapat ditahan sebak di dada. Akhirnya ibunya memeluk dirinya erat-erat.

“Janganlah sedih mak. Hazri kan masih ada di sini,” dia berkata sambil tersenyum ikhlas, cuba memujuk ibunya yang kesedihan.

Ibunya terus menangis. Wajahnya masih dirias sekuntum senyuman. Bukan senyuman memujuk tetapi senyuman terima kasih, kerana dalam pandangan putih itu dia dapat melihat Relliqa di sudut bilik itu, tersenyum manis ke arahnya.

“Terima kasih Relliqa,” bisik hatinya.

Nukilan asal,

2.55 pm

16 Jun 2005

Diolah semula,

3.20 am

20 Jun 2016

Tajuk asal ialah Kembali Putih, diilhamkan oleh lagu-lagu Into White dan Lady D’Arbanville oleh Cat Stevens serta pengalaman sendiri ketika berada di tengah-tengah hutan satu malam yang jahanam. Oh, indahnya memori masa sekolah.

Putih

Seketika bersama Surga


“Lina, kita tak ada apa-apa hubungan lagi.”

Kata-kata Zaki masih terngiang-ngiang di telinganya. Air matanya bercucuran jatuh. Namun dikuatkan kakinya. Diteruskan langkahnya menaiki tangga tersebut. Tinggal dua tingkat sahaja ke penghujung kisah sedih ini, fikirnya.

“Awak ada dengar tak, Zaki clash dengan Lina.”

“Ada! Mereka kata Zaki clash dengan Lina pasal dia dah jatuh hati dengan Eliza.”

“Kesiannya Lina. Eh, kalau aku, aku terus bunuh diri tau! Tak tahan hidup gitu.”

Ya, terima kasih kepada kamu semua, penyibuk, penggosip! Aku sudah ketemu jawapan kepada kisah sedih ini. Kamu semua penyibuk yang akhirnya berguna juga. Terima kasih.

Akhirnya Lina berhenti melangkah. Sebuah pintu rintangan api menghadang dirinya untuk maju. Dia menolak pintu besi tersebut. Suatu ruang yang lapang tetapi kelam menyambut kedatangannya. Lina melangkah keluar. Kehingaran lalu lintas kota membisik di telinga. Bintang malam menyapa dirinya. Lina meneruskan langkah sayunya ke tepian bumbung kompleks Permai Plaza setinggi 16 tingkat itu. Bayu malam menghembus lembut, mengeringkan linangan air matanya. Dia melangkah ke atas bendul di tepian lalu memandang ke bawah. Di sinilah penghujungnya, fikir Lina. Orang ramai dan lalu lintas kelihatan sangat kecil dari atas ini, sempat dia menelaah.

Lina memejamkan kedua-dua belah matanya dan cuba mengumpul segala kekuatan untuk melakukan lompatan. Lompatan yang akan menyudahkan hidup yang sudah tak bermakna ini, fikir Lina. Air matanya masih mengalir melewati kelopak mata yang terkatup rapat. Sedih untuk meneruskan hidup tetapi sedih juga untuk meninggalkan dunia ini.

Setelah keliru dengan tindakan yang harus diambil, akhirnya Lina nekad. Ah, hidup hanya sementara. Apa bezanya jika aku akhirinya di sini? Kisah ini harus berakhir, sekarang, di sini. Lina memulakan kiraan dalam hatinya. Satu…. dua….

“Hei, turunlah dari situ.”

Lina tersentak. Dia hampir melakukan lompatan tersebut apabila satu suara asing menyapanya. Lina berpaling menghadap ke belakang. Seraut wajah yang tersenyum mesra menyambut pandangan matanya.

“Turunlah, nanti jatuh,” katanya lagi sambil melirikkan senyuman manis menawan.

“Siapa awak?” tanya Lina yang masih keliru.

“Hanya seorang pemuda yang kebetulan berada di sini.”

Lina terkejut mendengar jawapan jejaka tersebut. Setahunya, tiada sesiapapun di tempat ini ketika dia tiba. Tambahan, tiada juga sesiapa yang mengekori dirinya di tangga tadi.

“Marilah turun. Biar saya bantu awak.”

Jejaka tersebut menghulurkan tangan kanannya ke arah Lina. Lina memandang ke arah tangan tersebut, kemudian ke arah wajah si asing itu. Dirinya teragak-agak untuk menyambut tangan orang yang tak dikenalinya itu. Namun kemesraan yang terpancar di wajahnya meyakinkan Lina untuk memberikan tangan kanannya kepada jejaka tersebut. Lalu dia pun turun dari bendul tepian tersebut. Si asing tersenyum lagi.

“Nah, kan bagus begini!”

“Kenapa…. awak halang saya…. terjun?”

“Saya tak halang awak terjun.”

“Hah!?”

“Kalau awak nak terjun, terjunlah. Tapi bukan di sini. Saya hanya tak nak tempat ni dinodai darah seorang si bodoh. Tapi bagus juga kalau awak terjun. Kurang juga orang bodoh di dunia ni.”

Lina terkaku mendengar kata-kata si asing tersebut. Wajahnya merah padam. Malu dan marah pada masa yang sama. Si asing tersebut sedar akan reaksi negatif tersebut.

“Ah…. ah…. sorry, sorry! Maafkan saya! Sebenarnya saya ni lurus bendul sikit. Maaf, saya juga seorang si bodoh!”

Jejaka tersebut meminta maaf berulang kali lalu menundukkan kepalanya tanda menyesal. Lina hairan melihat kelakuan jejaka tersebut. Dia berasa lucu melihat aksinya. Rasa galau hatinya tertolak ke tepi. Dengan tidak semena-menanya, Lina tergelak besar.

“Adakah awak maafkan saya, cik… err….”

“Lina.”

“Ah, Cik Lina!”

“Emm…. ya, rasanya.”

Lina menjawab dengan teragak-agak. Tiba-tiba perasaan sedihnya tertanam jauh di sudut hati. Jejaka tersebut telah memberikan dirinya suatu perasaan dan suasana ceria yang sudah lama tak dirasainya.

“Terima kasih Cik Lina! By the way, cantik nama awak.”

Tiba-tiba Lina berasa segan. Ada-ada saja si asing ini, fikirnya. Jejaka tersebut tiba-tiba ke sisi Lina lalu duduk menyandar di bendul tepian bumbung tersebut.

“Duduklah sekali, Cik Lina. Itupun kalau awak tak kisah,” pelawa jejaka tersebut.

“Panggil Lina sajalah,” balas Lina lalu duduk di sebelah si asing.

Entah kenapa dia terusduduk tanpa ragu-ragu. Dia sendiri pun tidak tahu. Dia hanya tahu bahawa dia perlu duduk seketika bersama si asing itu.

“Oh, ya! Apa nama encik?”

“Saya Surga. Tak payah panggil encik, tuan, abang, atau lebih-lebih lagi pak cik. Panggil Surga sahaja.”

Lina tersenyum kecil mendengar jawapan melalut dari Surga.

“Surga… macam syurga lah pula.”

“Oh, Syurga tu kawan saya.”

“Hah?”

“Ya, Syurga tu nama kawan saya.”

“Oh…”

Lina menge’oh’ saja walaupun tidak berapa faham apa yang Surga katakan sebentar tadi. Mereka berdua tiba-tiba tidak bersuara. Suasana menjadi sunyi. Hanya bunyi kenderaan yang sayup-sayup kedengaran dari jalan raya di bawah. Ketika itulah bayang-bayang kesedihan menjangkau hati Lina, menghalau segala keceriaan yang terang dan tenang. Dadanya terasa berat dan sesak. Air matanya mula mengalir semula. Lina mula menangis teresak-esak. Apa yang awak buat ni, bodoh, gtus hati kecilnya. Kenapa awak duduk dengan si asing yang ganjil ini? Awak patut terjun tadi, fikirnya lagi.

“Oh, ya! Kenapa awak nak bunuh diri?” tanya Surga tanpa mengendahkan tangisan Lina.

Lina tak menjawab. Dia hanya merangkul lututnya rapat ke dada, lalu tunduk membenamkan kepalanya dalam ruangan di antara kedua-dua belah kakinya dengan tangisan yang tak terhenti.

“Kenapa? Kecewa? Putus cinta? Si dia meninggalkan awak?”

Lina terkejut mendengar butiran pertanyaan Surga. Namun dia hanya mengangguk perlahan sebagai tanda ‘ya’.

“Janganlah putus asa dengan kehidupan. Cuba awak fikir, berbaloikah awak korbankan nyawa demi si dia yang tak membalas cinta awak?”

Lina menggelengkan kepala perlahan-lahan, seperti teragak-agak untuk memberi jawapan. Sejujurnya, dia cukup tahu bahawa tindakannya melulu dan tak matang, tetapi dia tak mampu membendung perasaan sedih dan kecewa yang memberat di hati.

“Kalau begitu, teruskanlah hidup awak. Memang sakit putus cinta, lebih-lebih lagi kalau ditinggalkan. Tapi janganlah ambil jalan singkat. Lawan perasaan itu. Tunjukkan si bedebah itu bahawa awak tak perlukan dia. Buat dia menyesal tinggalkan awak! Boleh ya, Lina?”

Lina mengangkat kepalanya. Air matanya mula berhenti mengalir. Betul juga kata-kata Surga, fikirnya dengan rasional. Lina menyeka saki-baki air matanya lalu melurutkan rambut panjang dan lurusnya ke belakang. Tiba-tiba datang satu gambaran bahawa Surga itu seorang yang matang di mata Lina. Seperti seorang abang. Timbul intuisi bahawa Surga itu bagai seorang malaikat. Ah, itu hanya khayalan awak, fikir Lina.

“Surga… siapa awak sebenarnya?”

“Sudah saya kata, saya hanya seorang pemuda yang kebetulan berada di sini. Tak, mungkin jawapan tu kurang tepat. Sebenarnya saya hanyalah seorang si bodoh yang mahu melihat bintang dari sini.”

Lina tersenyum kecil. Tak, sayalah si bodoh yang sebenar, fikirnya. Namun begitu, perasaan sedihnya masih membayangi diri.

“Lina, janganlah tahan perasaan sedih tu. Tapi janganlah sampai tahap bunuh diri pula.”

“J-Jadi, macam mana?” tanya Lina tergugup-gagap, menahan sebak di dada.

Surga tersenyum. Dia meletakkan tangan kanannya di kepala Lina lalu mengusap-usap rambutnya, bagai seorang ayah memujuk anak perempuannya.

“Ekspresikanlah diri awak. Nangislah sepuas hati. Lepas itu, jeritlah kuat-kuat. Luahkan segalanya. Buang segalanya dan teruskanlah hidupmu.”

Sebak di dadanya tak mampu ditahan. Air matanya tak mampu dibendung. Dengan hati yang tak tertahan, Lina memeluk Surga erat-erat lalu menangis semahu-mahunya. Dia meluahkan segala-galanya. Membuang segala kesedihan yang terbuku di hati. Menjerit sekuat hatinya bagai hendak gila.

Surga hanya tersenyum sambil terus mengusap kepala Lina. Lalu dilontarkan pandangannya ke langit. Terima kasih Tuhan. Syukur kepadaMu Tuhan kerana mengasihani hambaMu yang kerdil dan tiada kekuasaan ke atas hidupnya tanpa izinMu.

Surga membiarkan dirinya menjadi tempat Lina merembeskan air matanya. Baju kemeja bercorak petak-petak yang dipakainya sudah basah disimbah air mata Lina. Biarkanlah dia menangis puas-puas, suara hatinya membisik. Lina menangis dan terus menangis. Air mata yang terluah mula membersihkan hatinya daripada luka kesedihan.

Agak lama juga Lina meratapi kisah cintanya yang kecundang malang itu. Tetapi kini dia lega. Akhirnya berakhir juga kisah sedihnya. Berakhir sudah drama dirinya. lina mengelap mukanya. Dia kembali menyandar di sisi Surga. Surga pula sudah membuka kemejanya yang basah, menampakkan t-shirt berwarna coklat yang dipakai di bawah lapisan kemeja itu.

“Surga, awak ada kekasih tak?” Lina memulakan perbuaan yang telah terhenti seketika.

“Tak ada,” Surga membalas ringkas.

“Pernah ada?” tanya Lina lagi.

Surga menggeleng.

“Habis tu kenapa awak sangat memahami saya?” tanya Lina, mula hairan dengan Surga.

“Kerana saya seorang yang memahami,” jawab Surga sambil tersenyum lebar.

Lina menggelengkan kepalanya. Ganjil, fikir Lina. Sekejap nampak bodoh, sekejap pula nampak matang dan memahami. Apa kena dengan mamat ni, bentak hatinya ingin tahu kebenaran.

“Awak ni ganjil lah Surga,” Lina berkata semula.

“Kenapa?” tanya Surga ringkas.

“Sebab awak ganjil lah,” Lina menegaskan dalam kekuranganan kosa katanya.

“…”

“Ganjil tu… lain dari yang lain lah,” Lina cuba menerangkan apabila melihat wajah Surga yang tak yakin dengan jawapan awalnya.

“Kalau gitu, awak pun ganjil lah! Awak pun lain dari yang lain. Tak gitu?” balas Surga dengan senyuman sinis melekat di mukanya.

Lina menepuk dahinya. Bodoh ke apa mamat ni?

“Lina.”

Lina dikejutkan oleh suara Surga. Dia menoleh ke arahnya.

“Sebenarnya semua manusia- tak, saya silap, tapi setiap individu tak kira makhluk apa, itu unik. Awak kena keluar dari bawah tempurung dan fikir dengan cara lain. Lihat dari perspektif berbeza. Saya tak ganjil. Begitu juga dengan awak. Kita hanya unik, bukan ganjil.”

Lina tersenyum mendengar kata-kata Surga. Dia senang mendengar kata-kata Surga yang penuh kebenaran dan membawa seribu ketenangan (walaupun Surga seorang si ganjil).

“Surga,” panggil Lina perlahan.

“Ya?” sahut Surga bersahaja.

“Awak pernah bercinta?”

“Oh ho! Sebenarnya, saya memang sedang bercinta.”

Lina terkejut mendengar jawapan Surga.

“Tadi awak kata awak tak ada kekasih. Jadi-“

“Saya bercinta dengan-“

Surga menunjuk ke atas. Lina mendongak. Tiada apa-apa yang dapat dilihat kecuali langit malam.

“Hah!? Saya tak faham.”

“Saya sebenarnya hanay mencintai Tuhan yang Maha Agung.”

Lina terdiam seketika. Dia tidak sangka bahawa Surga akan berkata begitu.

“Saya mencintaiNya kerana Dia memberikan saya ketenangan. Dia lah alasan untuk saya hidup dan Dia juga alasan untuk saya mati, kerana saya dimilikiNya. Begitu juga awak, Lina.”

Lina hanya mendengar. Tak pernah dia terfikir akan alasannya untuk hidup tetapi Surga telah membuka matanya. Kini dia mengerti akan alasannya untuk kekal hidup. Bukan semata-mata untuk cinta manusia yang sementara tetapi sebenarnya adalah untuk mencari keredhaanNya.

Tiba-tiba Surga bangkit berdiri. Dia melihat jam tangannya, lalu menoleh ke arah Lina.

“Dah dekat pukul 11 dah ni. Konpleks ni akan tutup tak lama lagi. Tak nak balik ke?” Surga berkata dalam suara yang jelas dan lembut.

Lina merenung wajah Surga. Entah kenapa dapat dirasai aura ketenangan daripada Surga. Lantas Lina tersenyum sendiri. Senyman manis yang sebelum ini tak pernah merias wajahnya. Surga ikut senyum sekali. Senyuman mesra yang telah menyapa Lina sebentar tadi. Senyuman pembuka bicara dan persahabatan.

“Ya, marilah balik,” jawab Lina lau berdiri.

“Awak baliklah dulu. Saya nak tengok bintang sekejap.”

Lina hanya menurut kata-kata Surga bagai dipukau. Ketika sudah berada di ruang tangga kecemasan barulah dia tersedar daripada ‘lamunan’nya. Baik aku minta nombor telefon mamat ni dan ucap terima kasih, fikir Lina. Dia berpatah balk ke arah bumbung. Pintu rintangan api tingkat teratas tersebut ditolaknya sekali lagi. Maka kembalilah dia di atas bumbung kompleks tersebut.

Pemandangan yang menyambut matanya membuatkan Lina berasa terkejut. Dia hairan melihat keadaan bumbung tersebut. Kosong. Tiada seorang pun manusia di situ selain dirinya. bahkan Surga juga sudah menghilangkan diri. Lesap bagai ditiup angin malam.

Lina berlegar-legar di ruangan bumbung tersebut. Namun kelibat Surga langsung tidak dapat dicari. Lina melihat ke bawah dari tepian setiap penjuru bumbung tersebut, khuatir Surga pula yang melakukan perkara bodoh.

“Surga! Surga!”

Lina melaung memanggil nama Surga, namun tidak berbalas. Ketika itulah terdengar bisikan halus di telinganya.

“Jangalah berputus asa dengan kehidupan. Teruskanlah hidup awak, Lina…”

Lina segera berpaling ke kanan, namun Surga tetap tidak kelihatan. Tiba-tiba Lina melirikkan senyuman di bibir. Barulah dia mengerti segalannya. Dia telah diberikan harapan dan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan. Terima kasih Tuhan, bisik hati kecilnya. Lina mendongak, memandang ke arah langit malam. Sebutir bintang bersinar dengan terang, menyuluh cahaya tenang. Cahaya syurga kurniaan Illahi.

“Terima kasih Surga.”

Nukilan asal,

2004-2005

Diolah semula,

11.21 am

7 Jun 2016

Seketika bersama Surga