Oren


Oren ialah warna yang ganjil,

Rona yang keanak-anakan dalam cerianya

tetapi jengkel dalam silau terangnya,

Warna yang melankolik,

Warna yang sentimental,

Warna cinta dan putusnya,

Antara siang dan malam.

.

Oren ialah warna hatiku,

Merayau, bergentayangan, mendesak,

Agar aku segera jumpa

apa yang dipanggil rumah dan cita,

Dan apa yang dicerca

sebagai ketenangan hakiki.

..

Oren ialah warna buah

yang sama nama dengannya,

Kerana ia tak punya nahu lain

untuk digembleng sebagai miliknya sendiri

tanpa berkongsi.

7.28 pm

14 Julai 2016

Prisma


Aku takut perasaan ini memudar pergi,

Aku takut niat hati tak dimengerti,

Sedangkan jernih cahaya pun mengambil masa

beribu tahun untuk ditemui

aspek tujuh pecahan panjang gelombang,

Apakah pula hati manusia?

 

5.41 am

21 Jun 2016

Putih


Hazri terjaga, tersentak dari lenanya. Bunyi letupan kedengaran membingitkan telinga. Di hadapan matanya terpampang siling yang merekah.

“Hazri..”

Hazri bingkas bangun lalu keluar daripada bangunan tersebut. Tiba-tiba dia berhenti melangkah. Kaku. Langkahannya mati. Pemandangan kemusnahan menanti, memperlihatkan suasana kebinasaan. Orang ramai lari lintang-pukang. Tahi bintang menjunam ke bumi, membara, menghancurkan bangunan sekeliling. Tanah bergegar bagai satu Bumi sedang digoncang. Pencakar langit runtuh di sana-sini, mengaburi pandangan apabila debu berterbangan. Hazri panik. Di manakah dia sekarang? Mengapa segalanya musnah? Adakah sudah tiba hari pengadilan? Dia hilang arah tujuan. Hazri mula naik gila, mula hilang kewarasan akal, mula berlari entah ke mana seperti mereka yang lain.

“Hazri..”

Hazri tersentak. Akalnya mula waras kembali. Dia menoleh ke belakang. Di tengah-tengah kekacauan itu berdirinya seorang gadis yang berpakaian serba putih tepat di belakangnya. Hazri terkejut melihat kelibat gadis itu. Ingatannya menerjah mindanya. Dia kenal akan gadis itu!

“K-Kau!? Siapa.. kenapa kau ada di sini?”

Gadis itu sekadar melemparkan senyuman manis, suatu reaksi yang mengelirukan Hazri dengan lebih lanjut. Kedua-dua belah kaki Hazri mula bergetar. Perasaan takut mula menyelubungi dirinya.

“Jangan takut, Hazri. Aku datang untuk membalas jasamu,” kata gadis itu dengan suara yang sayup-sayup.

“Hah!? Apa?”

Tiba-tiba tanah bergegar kuat. Hazri terjelepok ke tanah. Gegaran tersebut bertambah kuat dengan setiap selang masa yang berlalu. Hazri sempat mengerling ke arah gadis tersebut, tetapi gadis itu sudah lesap dari persekitarannya.

Gegaran bertambah kuat. Bongkah-bongkah tanah dan batu mula terapung, melawan tarikan graviti Bumi. Hazri melihat ramai yang terjatuh ke bawah, ke arah darat yang sudah tiada. Bongkah tanah yang dinaiki dirinya semakin laju membelah angkasa, meninggalkan permukaan bumi. Semakin lama, semakin laju. Udara semakin menipis. Hazri mulai sesak nafas. Oksigen mula berkurangan. Suhu persekitarannya berkecamuk, sekejap makin sejuk, kemudian memanas sebentar sebelum membeku semula. Kini suh turun mendadak. Dirinya bergetar. Nafasnya menghilang. Kelima-lima derianya bagai disekat. Hanya kesakitan yang boleh dia rasai kini. Pada kekita kesedarannya mula menyusup pergi, tiba-tiba-

BOOM!

Bumi meletup, hancur, lesap. Begitu juga dengan bongkah-bongkah tanah di angkasa. Hazri terjatuh, kembali ke arah pusat tarikan graviti Bumi. Terjatuh. Menjunam. Laju. Sinar putih menyilau penglihatannya, menyelaputi dirinya, mengaburi pandangannya. Pandangannya, semakin putih. Semakin menyilau. Semakin menghakis kesedarannya. Hazri semakin khayal. Semakin hilang akal. Pandangannya makin kabur. Hilang akhirnya. Lesap.

*

“Hazri, bangunlah.”

Mendengar suara tersebut memanggil lembut, matanya segera terbuntang luas. Hazri dapati dirinya terbaring, terlentang di atas padang rumput penuh bunga berwarna-warni. Pandangannya masih kabur. Selang beberapa kemudian, imej yang terbelah-belah mula bersatu. Maka kelihatanlah satu wajah tersembul di hadapannya. Hazri tersentak. Nafasnya tertahan di pekung dada. Matanya terbeliak.

“Ka- kau! Kenapa-“

“Shh..”

Gadis itu menyentuh lembut bibir Hazri. Hazri terdiam membatu. Gadis itu tersenyum. Seulas senyuman yang lembut. Menawan. Yang tidak kelihatan ketika kali pertama mereka bertemu tiga minggu yang lalu.

*

“Irene! Irene!” Hazri menjerit memanggil nama rakannya.

Peluh membasahi dirinya. Sudah hampir tiga jam dia meredah hutan pada tengah malam yang kelam tak berpurnama ini. Gurauan para fasilitator menukar igauan mereka menjadi realiti. Teruk!

“Irene! Irene!!”

Hazri berhenti melangkah. Dirinya lelah meredah hutan simpan ini. Badannya lesu. Otot dan sendinya terasa tegang. Dia melihat jam tangannya. Sudah pukul 2.37 pagi. Irene masih belum ditemui. Lampu suluhnya makin malap. Hujan renyai-renyai memburukkan lagi keadaan. Hazri mengelap peluh di dahi. Dia cuba untuk duduk mencangkung, mengambil nafas dan merehatkan mental dan emosinya untuk seketika.

Tiba-tiba, tanah tempat dia bercangkung mengalah kepada tarikan graviti lalu menggelongsor ke lembah di bawahnya. Bersamanya, Hazri tergolek ke dalam lembah yang sama. Lampu suluhnya pecah. Hazri jatuh terlentang di kaki bukit di tengah-tengah hutan itu, pada suatu malam yang basah dan kelam. Seluruh badannya yang sedari tadi dimamah lesu kini ditimbun pula oleh rasa sakit. Dalam keterasingan dirinya daripada dunia, dia mencarut nasib dirinya dan Irene. Apakah yang telah mereka lakukan sehingga mendapat pembalasan sebegini?

KREK!

Dalam kelam tersebut, Hazri terdengar bunyi ranting kayu dipijak. Dia segera memaksa diri untuk bangun dan menoleh ke arah bunyi tersebut. Sebaik sahaja melihat ke arah itu, wajahnya memucat. Darahnya membeku dan terhenti mengalir. Nafasnya tertahan di kerongkong. Di hadapannya kelihatan satu lembaga putih. Wajhanya sayu, sedih. Cahaya biru suram terpancar daripada lembaga itu. Dalam suram malam itu, Hazri dapat melihat bibir lembaga tersebut menguak mengeluarkan kata-kata yang hanya sayup-sayup kedengaran.

“Hazri, maaf..”

Itu sahaja yang didengari Hazri sebelum pandangannya mengabur dan kesedarannya meresap pergi.

*

“Hazri! Hazri!”

Hazri terjaga. Suasana suram pagi menyambut pandangannya. Laungan tadi- adakah benar dia mendengarnya? Atau sekadar mainan mindanya?

“Hazri!”

Namanya dilaungkan sekali lagi. Dia cukup kenal akan suara itu. Hazri cuba untuk bangkit tetapi belakangnya terasa amat sakit. Kemudian memorinya kembali ke lapangan minda, bermain bagai suatu filem. Ya, kini dia ingat bahawa dia terjatuh ke dalam sebuah gaung ketika sedang mencari Irene yang hilang.

“Hazri!!”

“Y- Ya.”

“DI mana kau?”

“Sini.”

Farouq meninjau ke dalam lembah tersebut dari lereng bukit tersebut. Dia terkejut apabila melihat Hazri terlantar di kaki bukit.

“Ya Allah, Hazri! Sabar, aku turun ni!”

Hazri kaku dalam pembaringan. Farouq segera menuruni cerun itu lalu menghampiri Hazri.

“Hazri, kau OK tak?”

“Emm..”

“macam mana kau boleh-“

“Mana Irene?”

Farooq berhenti bersuara. Dia menundukkan pandangannya. Matanya menguyu. Segumpal keluhan berat terlepas dari mulutnya.

“Farouq, mana Irene?” Hazri mengulang soalannya.

“Hazri, Irene-“

*

Bagai tamat sebuah tayangan di pawagam, Hazri kembali ke dunia putih dan hamparan rumput dan bunga. Gadis itu masih di sana, masih memandang dirinya dengan satu ekspresi yang sayu.

“Maaf kerana aku tidak boleh selamatkan Irene ketika itu,” gadis itu bersuara memecahkan kesunyian alam tersebut.

Hazri sedikit terkejut. Adakah gadis itu boleh membaca fikirannya? Adakah dia juga melihat tayangan memori sebentar tadi? Atau adakah segalanya tertulis di wajahnya? Walau apapun sebabnya, Hazri memutuskan untuk mendapatkan pengesahan daripada gadis tersebut.

“Siapa kau? Kenapa aku di sini? Dan di manakah aku?” Hazri memulakan bicara dengan beberapa soalan.

“Relliqa,” gadis itu memberi jawapan pendek.

“Ha!?”

“Aku Relliqa. Hazri mungkin tak kenal aku tapi Hazri pernah membantu aku. Jadi aku bawa Hazri ke sini untuk membalas budi Hazri. Tapi Relliqa minta maaf kerana pandangan putih ini akan kekal,” Relliqa mula menerangkan.

“Apa? Aku tak faham. Apa yang kau cuba sampaikan ni?” Hazri yang bertambah keliru membentak, memohon penjelasan yang lebih ‘jelas’.

“Hazri akan faham nanti.”

Sejurus sahaja memberi jawapan pendek itu, Relliqa bangkit berdiri lalu berjalan pergi, lesap ke dalam pandangan putih di sekeliling Hazri. Hazri pun segera berdiri lalu mengejar Relliqa dalam keputihan yang menyilau pandangan tersebut.

“Relliqa, tunggu! Aku masih tak faham!” laung Hazri.

Namun laungannya tak berbalas. Segalanya sunyi seperti malam tersebut. Bezanya cuma persekitarannya kini tak kelam seperti malam itu. Tetapi perincian yang lain hampir serupa. Hazri kini bersendirian. Hanya kuntuman bunga berwarna-warni sudi menemani dirinya dalam kesunyian itu.

“Relliqa, aku masih tak faham!” Hazri menjerit sekali lagi.

Masih tiada jawapan. Hazri mula berputus asa. Dia duduk semula di tengah-tengah padang rumput itu seorang diri. Dia masih bingung. Masih banyak persoalan yang terbungkam di hati, yang masih tak terjawab. Di manakah dia sekarang? Apakah tujuan Relliqa membawa dirinya ke sini? Apakah ini syurga?

“Adakah terdapat garis yang nyata antara hidup dan mati?”

Dalam keterasingan dirinya, Hazri dikunjung oleh satu suara lain. Suara yang sangat dia kenali. Suara seorang teman. Hazri mengangkat wajahnya lalu memandang  ke hadapan.

“Kalau ada, sangat menakjubkan kerana kau berada du tengah-tengah garisan halus itu.”

Mata Hazri membutang. Mulutnya sedikit melopong kerana tidak percaya akan apa yang sedang dia lihat. Di tengah-tengah putih yang membingitkan mata dan membutakan telinga, seulas senyuman ceria yang nakal menyambut pandangannya.

“Irene?” Hazri berkata perlahan.

Irene tersengih mengejek.

“Jangan terkejut Hazri. Aku cuma datang melawat. Walaupun hakikatnya aku sedih kerana kita tetap akan berpisah di akhir semua ini,” Irene berkata-kata, wajahnya diceriakan untuk melindung galau hati sendiri.

Hazri masih bingung.

“Maksud kau, aku sudah-“

“Kau belum lagi jadi seperti kami.”

Kini kedengaran satu lagi suara yang sangat Hazri kenali. Farouq muncul dari keputihan yang samar-samar.

“Farouq? Kenapa kau-“

“Ini sudah ketentuan. Takdir kita tidak boleh diubah,” jawab Farouq selamba sebelum Hazri sempat menghabiskan soalannya.

“Ya, dan masa kau berlum tiba Hazri,” sambung Irene pula.

“Tapi.. tapi kenapa?” Hazri bertanya lagi.

“Kerana ini sudah ketentuan Tuhan. Takdir. Suratan Illahi. Panggillah apa yang kau mahu, semuanya sama maksud,” jelas Irene lagi.

“Sebab itulah kau masih di sana,” Farouq mencelah.

“Di sana?”

“”Ya, di alam pertengahan,” sambung Farouq.

“Bukan seperti aku dan Farouq,” tambah Irene.

Hazri tercengang mendengar kata-kata dua orang rakannya itu. Dia masih keliru dan tidak memahami apa yang mereka katakan. Dan kebingungannya terpancar di wajah.

“Hazri, Hazri. Masih lagi seperti dulu. Susah nak buat kau faham sesuatu perkara baru,” Farouq berkata lagi sambil menggelengkan kepalanya.

“Biarlah. Nanti dia akan faham juga tu,” Irene memberi pendapat.

“Harap-harap begitulah. Walau apapun, aku gembira dapat bertemu dengan kau untuk kali terakhir, rasanya,” kata Farouq pula lau menghulurkan tangannya ke arah Hazri.

Hazri hanya memandang tangan Farouq tanpa menyambutnya. Dirinya masih terperangkap dalam kekeliruan dan perasaan ganjil. Apa yang Farouq maksudkan? Apa yang Irene cuba sembunyikan? Kenapa mereka tak boleh memberikan penjelasan yang telus dan lurus?

“Hazri, maaf, tapi masa kami sudah habis,” jelas Farouq lagi lalu menjangkau tangan kanan Hazri lalu menjabatnya.

Irene pula sekadar melihat dari tepi. Farouq melepaskan genggaman tangannya lalu berpaling ke arah samar-samar putih yang membungkus mereka bertiga.

“Jom Irene!”

Irene bingkas bangun lalu berlari anak mengikut jejak Faruoq. Namun beberapa langkah kemudian, dia berpaling semula ke arah Hazri. Senyuman riang tipikalnya lekat di wajah.

“”Hazri, lupa nak cakap sesuatu.”

Hazri memandang terus ke arah Irene yang berada tepat di hadapan dirinya.

“Bye! Hidup baik-baik ya,” bisik Irene lalu mengucup dahi Hazri sebelum berlari semula ke arah putih kabus.

Sekali lagi, Hazri ditinggalkan keseorangan. Keadaan kembali sunyi. Sepi. Hazri mengeluh. Dia mendongak ke arah langit, namun langit tiada di situ. Hanya cahaya putih berseri yang menyilau mata menyambut pandangannya.

“Cantik tempat ni, kan?”

Hazri menoleh ke kanan. Relliqa sedang duduk di sisinya dengan kaki terlipat dan lutut dipeluk, memerhati keindahan padang rumput itu. Bayu lembut menampar wajah mereka berdua. Satu ketenangan tiba-tiba menerpa ke dada Hazri. Segala soalan yang hendak ditanya kepada Relliqa hilang, lesap ditiup bayu. Hanya satu soalan sahaja yang tinggal dalam mindanya.

“Relliqa, macam mana kau boleh kenal aku?”

Relliqa tidak segera menjawab soalan Hazri. Wajahnya bertukar suram, sedih. Setelah beberapa ketika membiarkan kesunyian menguasai ruang di antara mereka, Relliqa membuka mulutnya.

“Hazri nak tahu?”

Hazri mengangguk perlahan.

“Baiklah. Tapi jangan bersedih. Bukan salah Hazri.”

Pernyataan itu membangkitkan rasa ingin tahu Hazri, tapi dipendamkan soalan itu di dasar hati. Dia pasti soalan itu akan terjawab juga tak lama lagi.

Dengan lembut, Relliqa menyentuh tangan Hazri. Sekali lagi, seperti kali-kali sebelumnya, pandangannya mengabur dan kesedarannya menipis. Akhirnya dia lelap.

*

Kesedaran dirinya mula kembali. Bersamanya satu pemandangan dan kehingaran yang membingitkan. Kedengaran suara ratusan manusia, bagai suasana di kaki lima. Akhirnya, pandangan Hazri kembali jelas sepenuhnya.

“Di mana ni?” tanya Hazri.

“Dalam sebuah memori di dunia nyata,” jawab Relliqa.

Kelihatan kaki lima yang penuh dengan orang. Suatu pemandangan yang Hazri rasakan sangat biasa dia lihat. Seperti sebuah tempat yang biasa dia lalui.

Memori itu terus bermain, bagai menonton wayang di pawagam. Tiba-tiba kelihatan Relliqa dalam tayangan itu. Dia menaiki tangga sebuah banguan. Tak lama selepas itu kelihatan Hazri menaiki tangga yang sama. Ketika itulah Hazri teringat kembali akan tempat itu.

“Ini.. bukankah aku tinggal di sini dulu?” tanya Hazri.

“Ya, dan juga tempat tinggal aku,” jawab Relliqa.

Hazri terkejut mendengar jawapan Relliqa. Dia sangkakan bahawa Relliqa bukan seorang manusia kerana penampilannya yang persis sesuatu dari alam lain. Tidak pula dia ketahui bahawa dia pernah berjiran dengan makhluk ini.

Tayanagn memori diteruskan. Relliqa memasuki rumah di tingkat empat. Tiba-tiba tangannya disentap seorang lelaki pertengahan umur. Lelaki itu menarik Relliqa rapat ke dirinya lalu menamparnya hingga badan kecilnya tersungkur di sudut rumah.

“Kau ceritakan kepada kawan kau di sekolah ya!?” tempik lelaki itu.

Relliqa menangis teresak-esak. Lelaki itu menghampirinya semula lalu menarik rambutnya.

“Kau nak jadi macam kakak kau ya!?”

Relliqa terus menangis. Air matanya mengalir tak henti-henti. Lelaki itu melepaskan rambut Relliqa lalu menanggalkan seluarnya. Separuh bogel, dia cuba menarik Relliqa ke arahnya, tetapi Relliqa mengelak. Relliqa cuba untuk melarikan diri tetapi lelaki itu menangkap kakinya. Dia merentap baju pinafore Relliqa dengan keras. Relliqa cuba untuk melepaskan diri namun apa kudratnya untuk melawan binatang buas itu. Walau bagaimanapun, Relliqa tidak mengalah. Dia tak ingin lagi menjadi bahan pemuas nafsu serakah binatang tersebut. Dia tidak akan membiarkan binatang itu menggunakan dirinya dengan begitu mudah.

Pada ketika itu, tayangan memori itu beralih ke rumah Hazri. Setelah membersihkan diri, Hazri beralih ke ruang tamu rumah pangsa itu. Dia menekan punat televisyen dan-

BOOM!

Hazri yang terkejut secara refleksnya melompat ke belakang. Litar pintas telah memarakkan set televisyen tersebut, kini marak terbakar dalam sekelip mata. Tanpa berfikir panjang, Hazri mencapai kain langsir yang baru dibasuh maknya lalu cuba untuk memadam api itu, namun api tersebut terlalu kuat untuk ditepuk mati. Malah, kain yang dia guna untuk memadam api tersebut disambar dan menjadikan keadaan bertambah teruk. Dalam kelam-kabut dirinya, Hazri melepaskan kain tersebut dari genggamannya lalu bergegas ke tandas untuk mencedok air. Setibanya kembali di ruang tamu, api sudah marak menyambar perabot dan langsir, merebak dan membakar wayar telefon dan tikar getah yang menyelaputi lantai rumah kecil itu. Dalam masa yang begitu singkat, api tersebut memasuki ruang dapur sehingga  ke almari kayu tempat menyimpan bahan makanan dan juga tong gas di bawah meja di sebelah almari itu. Melihat api yang merebak teruk itu, Hazri melepaskan gayung di tangan dan segera keluar dari rumah itu.

BOOM!

Satu lagi letupan kuat berlaku, menggegarkan kompleks rumah pangsa itu. Lelaki itu tersentak. Matanya melilau ke arah tingkap. Kelihatan hujung api memarak menjilat bangunan. Lelaki itu melupakan niatnya lantas berlari ke arah pintu rumah. Sebaik sahaja membuka pintu tersebut, dia dapati api yang bermula dari tingkat satu itu sudah memenuhi ruang tingkat dua dan tiga.

“Pukimak!”

Lelaki itu menoleh ke arah Relliqa yang masih berada dalam keadaan separuh bogel.

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya kau masih ada di sini.”

Lelaki itu menghampiri Relliqa yang tiada tempat untuk melarikan diri. Relliqa hanya berharap api itu segera sampai ke tingkat mereka. biarlah dia mati terbakar daripada terus menjadi permainan lelaki jahanam itu.

BOOM!

Satu lagi letupan kuat kedengaran. Dengannya datang hembusan bebola api dari ruang tangga kompleks tersebut, memasuki rumah pangsa mereka melalui pintu yang tak ditutup lalu membaham lelaki tersebut yang berada berdekatan pintu. Lelaki itu berguling-guling di lantai, merebakkan api itu ke seluruh rumah. Relliqa tersenyum. Hajatnya dimakbulkan. Api tersebut terus merebak, membaham, membakar. Menyahkan hidup ngerinya.

*

Mata Hazri terbeliak luas. Dia segera menarik tangannya daripada genggaman Relliqa lalu menggelengkan kepalanya berulang kali. Relliqa hanya mendiamkan diri, langsung tak menoleh ke arah Hazri.

“Relliqa, aku tak tahu. Maaf..”

Relliqa membisu, tetapi wajahnya tenang.

“Relliqa, maaf.”

“Tak perlu minta maaf Hazri. Hazri sebenarnya telah melepaskan aku daripada permaiinan hidup di alam fana. Aku sebenarnya sangat bersyukur kerana Hazri telah membantu aku, biarpun jika itu hanyalah alasannya, asbabnya sebagai jawapan kepada kita yang tak mampu memahami pelan agungNya.”

Hazri hanya mampu untuk mendiamkan diri. Dia tak tahu apa yang harus dia katakan, apa yang harus dia lakukan kini. Ketika itulah Relliqa menoleh ke arah Hazri sambil tersenyum manis.

“Janganlah sedih, Hazri. Hazri betul-betul telah tolong aku. Aku pula.. sekadar ini sahaja yang mampu aku tolong. Namun aku tak dapat hilangkan pandangan putih ini.”

Hazri masih hilang dalam kebuntuan. Perasaan bersalah menguasai dirinya, biarpun jika Relliqa menyatakan bahawa ini semua bukan salahnya. Menyedari kebuntuan Hazri, Relliqa mengusap lembut pipi Hazri, matanya merenung tepat ke dalam mata Hazri.

“Hazri, percayalah bahawa Hazri telah melakukan sesuatu yang baik kepada aku. Dan kini Hazri kena teruskan perjalanan dengan tabah.”

Selesai sahaja meluahkan kata-kata tersebut, Relliqa bingkas bangkit lalu beredar meninggalkan Hazri. Dalam kecelaruan dirinya, Hazri sempat menyentap tangan Relliqa.

“Relliqa, tunggu dulu!”

Relliqa menoleh ke arah Hazri, wajahnya sayu, matanya bergenang.

“Masanya telah tiba Hazri.”

Dan begitu sahaja, Relliqa lesap. Hilang dalam keputihan yang samar-samar itu. Hazri masih bingung. Masih tak faham sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba padang rumput itu bergegar. Tanpa amaran, sebuah lohong muncul di bawah kaki Hazri. Hazri jatuh ke dalam kegelapan itu. Jatuh, dan lesap entah ke mana.

*

Dalam kegelapan mula muncul bunyi-bunyian yang Hazri tak pasti asal-usulnya. Bunyi-bunyian itu semakin hampir akhirnya kedengaran seperti suara-suara yang terkumam di mulut. Dia tak dapat menangkap butir bicara itu. Suara-suara tersebut berlegar dalam ruang mindanya, terngiang-ngiang tanpa membawa sebarang maksud kepadanya.

Tiba-tiba dia merasa dirinya bagai disentap kuat, ditarik keluar dari kegelapan itu. Dia menjerit ketakutan. Akhirnya dia kembali sedar. Dia membuka kelopak matanya, tapi-

“Ya Allah! Hazri! Kau sedar juga akhirnya!”

Satu pelukan erat penuh kemesraan dan kasih sayang menyerkap dirinya, dan dia amat kenal akan suara itu.

“Mak?”

“Ya Hazri. Mak ada di sini.”

“Apa yang terjadi?”

“Kau tak ingat? Kau naik kereta api, tapi kereta api tu tergelincir dari landasan. Tapi syukur kau selamat Hazri.”

Dia dapat merasakan beberapa butir basah mengena bahunya.

“Tapi Hazri, Farouq..”

Terasa badan ibunya bergetar. Ketika itulah pertemuannya dengan Farouq menjenguk ingatannya. Kata-kata Farouq terngian-ngiang dalam otaknya.

– aku gembira dapat bertemu dengan kau untuk kali terakhir..

Adakah Farouq sudah tiada? Adakah itu rohnya yang aku temui? Dia keliru. Seperkara lagi yang membuatkan dia keliru ialah pandangannya. Kenapa dia hanya nampak-

“Hazri, dengar sini. Mak nak cakap sesuatu,” ibunya bersuara selepas melepaskan pelukannya.

Dia terus mendengar, biarpun dia sudah boleh mengagak apa yang ibunya ingin katakan. Ibunya menyambung kata-katanya. Kedengaran suaranya berbaur keresahan.

“Walaupun kau selamat, kau.. kau tak dapat-“

“Putih,” dia mencelah.

Ibunya terkejut mendengar kata-katanya.

“Apa yang putih?” tanya ibunya.

“Pandangan putih ini akan berkekalan.”

Sebaik sahaj dia meluahkan kata-kata tersebut, terdengar ibunya menahan esak. Namun tak dapat ditahan sebak di dada. Akhirnya ibunya memeluk dirinya erat-erat.

“Janganlah sedih mak. Hazri kan masih ada di sini,” dia berkata sambil tersenyum ikhlas, cuba memujuk ibunya yang kesedihan.

Ibunya terus menangis. Wajahnya masih dirias sekuntum senyuman. Bukan senyuman memujuk tetapi senyuman terima kasih, kerana dalam pandangan putih itu dia dapat melihat Relliqa di sudut bilik itu, tersenyum manis ke arahnya.

“Terima kasih Relliqa,” bisik hatinya.

Nukilan asal,

2.55 pm

16 Jun 2005

Diolah semula,

3.20 am

20 Jun 2016

Tajuk asal ialah Kembali Putih, diilhamkan oleh lagu-lagu Into White dan Lady D’Arbanville oleh Cat Stevens serta pengalaman sendiri ketika berada di tengah-tengah hutan satu malam yang jahanam. Oh, indahnya memori masa sekolah.

Warna-Warna Pelangi


Kelabu. Itulah yang aku selalu nampak. Tapi kau berbeza pendapat. Kau berbeza pandangan, setepatnya. Heh, pandangan! Aku nampak dunia ini penuh dengan kelabu, kerana hitam putih monotona bukanlah pilihan kita dan bukan juga pilihan alam. Jadi semuanya bercampur-aduk menjadi lumpur kelabu yang hanyir, yang jelik, yang memualkan. Aku meluat dengan dunia dan peradabannya. Aku meluat dengan kehidupan dan kepura-puraannya. Aku menyampah dengan kematiaan yang menyusahkan dan menyesakkan. Aku benci dengan segalanya, diriku termasuk.

Tapi kau berbeza pendapat denganku. Berbeza pandangan, setepatnya.

Sering aku tertanya, apakah buta mata menjadikan kau celik minda? Kau sering mengelak daripada menjawab soalanku, dengan senyuman kecil engkau yang tersipu-sipu, yang membuat aku naik geram dan ingin mencubit bibirmu. Aku manusia biasa, jawabmu. Tidak, engkau bukan manusia biasa, engkau cacat, jawabku. Dan amarah yang aku nantikan kekal dalam penantian. Kau membalas provokasiku dengan senyuman yang paling ikhlas. Apakah butamu telah membuatkan kau kebal daripada ancaman yang datang melalui empat inderamu yang lain? Jika ya, ingin saja aku menjadi buta sepertimu. Tapi itu kufur nikmat, kau membidas. Aku tahu kau bergurau denganku, kau sambung lagi.

Dalam kelam itu, apa yang kau lihat? Apa yang kau nampak? Apakah hitam melulu yang menyambut pandanganmu? Persoalan demi persoalan terpacul dari mulutku. Aku tak melihat apa-apa. Aku tak nampak apa-apa. Apakah hitam? Aku tak tahu hitam itu bagaimana. Itu jawapanmu kepadaku. Aku tergelak mendengarnya. Benarlah. Jika kau tak pernah melihat warna hitam, bagaimana harus kau tahu jika ia hitam? Kau membuat aku sedar bahawa soalan aku ralat. Tak semua perkara mengikut logik kita, atau mengikut pemahaman kita yang tak seberapa, kerana banyak lagi pengetahuan yang mungkin boleh memberi penjelasan kepada perkara-perkara yang kita tidak tahu ini, tetapi kita tidak mengetahuinya. Kau bingung mendengar leteranku. Aku tak salahkan dirimu kerana aku sendiri tak faham apa yang aku leterkan.

Tetapi ada seperkara yang lebih aku tak faham berbanding leteranku. Aku tak faham dengan pernyataanmu. Dunia ini penuh warna-warni. Tolong jelaskan kepadaku bagaimana kau boleh katakan dunia ini penuh warna-warni apabila kau sendiri tak mengenali apa itu warna. Sedangkan warna hitam itu sendiri kau tak tahu bagaimana rupanya, bagaimana pula kau boleh tahu rupa warna-warna yang lain? Aku rasa, itu sahaja penjelasanmu. Kau rasa? Apakah kau ingat warna itu untuk dirasa dengan hati, didengar dengan telinga, dikumam oleh minda lalu diluah oleh lidahmu sebagai warna yang kau fahami? Ya, jawabmu lagi. Apa yang membuatkan kau yakin bahawa warna itu terhad kepada penglihatan sahaja, kau tanya kembali. Kau tak faham konsep warna, balasku. Kau tak faham konsep buta, balasmu dengan senyuman yang mengejek. Dan dengan senyuman itu, aku tewas.

Mengenali dirimu biarpun untuk seketika telah membuka mataku kepada pandangan yang baru. Mata mindaku, setepatnya. Menyedari hakikat ini membuat aku bertanya kepada diriku sendiri: siapakah yang kekurangan sebenarnya?

1.45am

4 Jun 2016

Nila


“Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?”

Terjaga dari lena, Lorreta membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Bintang berjuta menyambut pandangannya. Badannya terasa sedikit kesejukan tetapi kedua-dua belah tangannya masih hangat dek pautan jari-jemari mereka.

“Sedap tidur?”

Lorreta menoleh ke kanan. Sebuah senyuman yang sangat dia kenali, yang sangat dia sayangi dan dambai, menyambut pandangannya. Dia senyum kembali ke arah lelaki tersebut. Lelaki yang telah menemani dirinya sepanjang hidup. Yang tabah menghadapi segala rengekan dan tangisan dan keluhannya. Yang tak pernah meninggalkan dirinya keseorangan. Yang amat dia sayangi, kini sedang berbaring di tepi dirinya.

“Mestilah sedap. Sampai berdengkur tu, confirm sedap, hee!”

Kini terdengar suara dari sebelah kirinya pula. Dengan wajah yang memerah, Lorreta segera menoleh ke kiri dirinya. Sebuah senyuman lebar penuh sinis menyambut pandangannya. Senyuman yang menjengkelkan, yang sentiasa terang laksana mentari di malam kelam, yang sentiasa dia hargai. Senyuman yang sama dan tak pernah berubah sejak dia kenali gadis tersebut sembilan tahun yang lalu. Lorreta mencebik lalu melenting, sambil genggaman tangan kirinya sengaja diketatkan.

“Hei, mana ada! Orang terlena sekejap saja pun!”

“Aduh! Sakit Eta, sakit! OK, OK, kau tidak berdengkur. Aku gurau saja. Minta maaf,” balas gadis tersebut sambil cuba menarik tangannya dari genggaman Lorreta.

Melihat reaksi gadis itu, sebuah senyuman kecil melirik di bibir Lorreta. Dia sengaja menguatkan lagi genggamannya ke atas tangan kanan gadis tersebut.

“Aduh! Aduh! Minta ampun, Eta! Minta ampun!”

Lorreta menyeringai kepuasan sebelum mengendurkan genggamannya. Gadis tersebut menarik tangan kanannya lalu mengurutnya perlahan.

“Kau ni betul-betul tidak pandai bergurau,” gadis tersebut berkata sambil menarik muka masam.

Lorreta sekadar membalas dengan sengihan sinis. Melihat air muka Lorreta, gadis tersebut mencebik, tetapi tidak lama kemudian menghulurkan tangannya kembali kepada Lorreta. Lorreta memandang wajah gadis tersebut dengan penuh hairan.

“Pegang tangan aku. Macam tadi.”

Saat itu, Lorreta tersenyum manis. Dia mengambil tangan kanan gadis itu lalu menyulam jemarinya bersama jemari gadis tersebut, membentuk satu genggaman erat dan hangat. Gadis tersebut membalas senyuman Lorreta dengan senyuman girangnya yang tersendiri, yang tak pernah lut dek masa.

Terlentang di bawah gugusan bintang yang bergemerlapan di angkasa, mereka memutuskan untuk tidak bersuara. Tak sepatah perkataan pun keluar dari mulut mereka dalam tempoh sejam yang berlalu. Mereka hanya terbaring di situ, dalam kegelapan alam yang datang bersama perginya mentari di hujung hari. Yang kedengaran cuma bunyi cengkerik dan serangga malam. Sesekali terdengar sahutan burung pungguk dan libasan sayap mereka yang bergelar makhluk nokturnal. Udara malam yang segar dan sejuk membaluti diri mereka dengan sentuhan yang paling lembut. Embun yang mulai terbentuk di hujung bilah rerumput kadang-kadang merenjis membasahi hujung tikar yang terbentang, namun mereka langsung tak mempedulikannya.

Lorreta yang berbaring di tengah-tengah tikar berasa amat girang. Jarang sekali dia dapat meluangkan masa bersama dua orang yang sangat dia kasihi, yang sangat dia sayangi seperti ini. Sejak awal tadi, dia  menggenggam tangan kedua-dua insan yang dikasihinya tanpa sesaat pun membiarkan tangan mereka telepas. Abangnya, Jefry, berada di sebelah kanan manakala sahabat akrabnya, Elly, berada di sebelah kiri. Inilah dua insan yang sangat berharga buat dirinya. Malah dia berani mengatakan bahawa dua insan inilah yang mendorong dirinya untuk meneruskan kehidupan dengan tabah.

Mereka berdua menerima dirinya seadanya. Mereka menerima segala keganjilan dirinya, kekekokan tuturcaranya, ideanya yang terpesong daripada kebiasaan, dan biasan personaliti luarannya yang langsung tak sama dengan dalaman dirinya. Lorreta tahu dirinya insan yang tak sempurna. Malah, dia sedar bahawa dia bukanlah manusia yang baik. Dia berkecamuk. Dia bukan tenang tasik di malam hari tanpa siulan bayu merentas. Dia sentiasa ribut. Dia hampir tenggelam dalam keserabutan dirinya sendiri. Tetapi dua insan luar biasa ini menerima dirinya bulat-bulat, kebobrokan dirinya termasuk. Oleh itu, Lorreta sangat mengasihi dan menghargai dua orang manusia bernama Jefry dan Elly ini. Tanpa mereka, tiadalah dia. Sekurang-kurangnya itulah yang dia fikirkan. Lorreta sendiri sukar untuk percaya bahawa dia kini sedang terlentang bersama dua orang insan yang membawa makna seluruh dunia kepadanya.

Tetapi jika ditanya seminggu yang lalu, pasti Lorreta akan menjawab bahawa mereka tidak mungkin akan berbaring di sini pada malam ini, bertilamkan hamparan rumput menghijau dan berbumbungkan langit malam yang indah mempesona ini. Bahkan Lorreta akan berkata dengan pasti bahawa dia telah menghancurkan dunianya sendiri. Dunianya yang kaca, yang rapuh, yang terawang-awang di udara tanpa sokongan. Dunianya yang berserabut. Dunianya yang berkecamuk.

Dunianya yang hanya mempunyai Elly dan Jefry di dalamnya.

*

“Oh… jadi abang kau balik minggu depan lah?” terdengar suara Elly di hujung talian.

“Em,” jawab Lorreta ringkas.

Malam itu seperti malam-malam sebelumnya; panas dan melekit. El nino betul-betul meradang sekuat hati kali ini, fikir Lorreta. Nasib baiklah manusia dikurniakan kebijaksanaan untuk mencipta alat pendingin hawa. Lorreta bersyukur kerana Tuhan masih sayang akan umat manusia dan membenarkan mereka hidup serba selesa dalam keadaan yang mendesak seperti ini.

“Tu yang kau gembira sangat sampai telefon aku malam-malam ni?” sambung Elly dalam nada sinisnya yang menjengkelkan yang Lorreta biasa dengari.

“Bukanlah! Aku telefon ni pasal mahu ajak kau ke rumah minggu depan. Ada makan-makan sikit. Kau tidurlah di rumah aku,” balas Lorreta, cepat membidas sakatan Elly.

Namun Lorreta tak boleh membidas perasaannya sendiri. Sejujurnya, dia sangat gembira bahawa Jefry akan pulang ke rumah ini, ke rumah nenek mereka setelah tiga tahun terpisah. Hanya Lorreta tahu betapa seksa jiwanya terasa apabila harus berpisah dengan abangnya itu, satu-satunya keluarga yang dia ada selain nenek.

Lorreta memang rapat dengan Jefry. Selepas ibu bapa mereka bercerai, mereka mengambil keputusan untuk memberi hak penjagaan adik-beradik tersebut kepada nenek mereka, ibu kepada ibu adik-beradik ini. Alasannya, tidak ada seorang pun daripada mereka berdua berhak ke atas adik-beradik itu, tetapi pada masa yang sama mereka bersetuju bahawa mereka berdua bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka. Maka jalan tengah yang diambil ialah memberikan hak penjagaan kepada pihak ketiga tetapi segala keperluan kewangan dan persekolahan ditanggung oleh ibu-bapa yang tidak bertanggungjawab ini. Itulah yang Lorreta faham akan situasi ‘keluarga’nya. Kini, ayah mereka memencilkan diri daripada sebarang hubungan dengan keluarga manakala ibu mereka sibuk dengan suami baru dan anak-anaknya, adik-adik tiri Lorreta dan Jefry yang pada hemat Lorreta, terlalu dimanjakan dan teramatlah menyakitkan hati. Melihat ibu-bapa mereka, Lorreta menutup dirinya daripada dunia luar. “Kerana semua manusia kecuali abang jahat!”. Itulah yang selalu dilaungkan Lorreta ketika masih kecil.

“Kau jangan tipulah Eta. Kau ingat berapa lama sudah aku kenal kau? Sehari? Dua? Mestil kau rindu sangat Jefry kan, hee,” Elly menyambung sakatannya.

Lorreta sekadar mendengus dan melenting seperti biasa. Namun jauh di sudut hatinnya dia tahu apa yang Elly katakan adalah betul. Elly betul-betul memahami dirinya. Dahulunya seorang budak tomboy yang tak pernah tahu erti menahan diri dan sentiasa menyatakan pendapatnya walaupun tidak ditanya, Elly satu-satunya kawan yang dia ada. Elly bagaikan mentari, muncul ketika dunianya dilanda kegelapan tatkala Jefry melangkah ke sekolah menengah, manakala dia sendiri baru berada di darjah tiga. Dalam dunia persekolahan yang terasing tanpa abangnya, dalam kekalutan dirinya cuba untuk hidup berdikari dengan caranya sendiri, Elly yang ketika itu baru berpindah ke sekolahnya merobek dinding yang mengasingkan dirinya daripada dunia luar tanpa meminta izin. Pada awalnya Lorreta berasa takut dan pada masa yang sama marah terhadap Elly, namun kini dia bersyukur Elly mengambil tindakan sedemikian sembilan tahun yang lalu.

Lorreta mula membuka dirinya kepada manusia lain. Tetapi semuanya melalui proksi topengnya. Dia yang asalnya pendiam mula tersenyum dan bermain bersama budak-budak kelasnya. Dia mula menerima dunia luar memasuki dunianya, tetapi beralas dengan budi pekerti yang dipaksa diri. Dia menjadi hipokrit, dan dia sedar bahwa dia seorang hipokrit. “Tetapi ini bukan salah aku. Semua orang hipokrit untuk kelangsungan diri sendiri, kecuali abang dan Elly.” Itulah pegangan baru Lorreta hinggalah ke hari ini.

Hanya di hadapan Jefry dan Elly sahaja dia berani melabuhkan topeng dari wajah dan hatinya. Jefry dan Elly-lah tempat dia merembeskan segala perasaan tidak puas hatinya terhadap dunia. Dunia yang kolot. Dunia yang tak adil. Dunia yang berkecamuk seperti dirinya. Tetapi dia tidak kisah jika dirinya berkecamuk, kerana terdapat insan yang menerima kecamuk dirinya, rapuh dirinya seadanya. Dan insan-insan ini sanggup menemani dirinya melalui lembah kedurjanaan yang dipanggil kehidupan ini. Mereka tidak berselindung daripada Lorreta. Mereka sentiasa jujur kepada Lorreta. Mereka sayang akan Lorreta. Itulah yang Lorreta fikirkan adalah kebenaran dunianya.

Tetapi Lorreta silap.

*

Dia mula sedar akan perasaan itu ketika umurnya baru menjejak usia 15 tahun. Ketika itu, dia menemani rakannya ke lapangan terbang. Rakannya yang gila dalam cara yang tersendiri, dan dia yang gila dalam cara yang lain pula. Rakannya yang cengeng, manakala dirinya pemarah. Tetapi mereka sentiasa bersama. Terdapat satu ikatan antara mereka berdua yang sukar untuk diterangkan dengan kata-kata, yang tak terjangkau bahasa, yang menembusi ruang logik akal mereka yang tak pernah merasa manis nikmat ikatan tersebut. Bagi dunia, mereka berdua adalah satu keganjilan. Malah, ada yang memanggil mereka dengan panggilan taboo. Ada yang menabur kata-kata kesat terhadap mereka, menyifatkan mereka sebagai kejelikan dunia dan tanda akhir zaman. Tetapi yang mengata itu tidak berani meluahkan pendapat mereka secara berterus-terang di hadapan dirinya. Jika tidak, pasti wajah mereka remuk ditumbuk dirinya.

“Jaga Lorreta untuk aku.”

Itulah kata-kata pertama yang memercikkan perasaan itu dalam dirinya. Dia telah kenal Jefry hampir sama lama dengan perkenalannya dengan Lorreta. Dia menganggap Jefry sebagai abang yang menjengkelkan; dia sendiri seorang anak tunggal yang tak pernah merasa nikmat adik-beradik. Manakala Lorreta dianggapnya adik yang tak mampu berdiri atas kaki sendiri, yang sentiasa perlukan sokongan dirinya. Itulah imej yang terpampang dalam minda Elly sejak mereka mula berkenalan. Tetapi imej itu berubah pada hari itu, di lapangan terbang.

Mungkin segalanya bermula lebih awal lagi, tetapi dia yang tak sedar akan hal itu. Mungkin selama ini dia anggap perasaan tersebut sekadar rasa hormatnya kepada abang seorang kawan, kerana dalam keterjengkelan dia terhadap Jefry, dia masih menghormatinya. Dia selalu melenting apabila Jefry menyatakan pendapat ataupun apabila Jefry melarang mereka berdua daripada perkara-perkara bodoh dan bahaya yang ingin dia dan Lorreta cuba lakukan, tetapi Jefry tidak pernah marah padanya. Bila difikirkan semula, dirinya tersangatlah kurang ajar terhadap Jefry. Hampir semua teguran Jefry berniat baik dan ada betulnya, tetapi dia sering melawan. Ketika itu, dia rasakan bahawa inilah nikmat mempunyai seorang abang. Inilah nikmatnya bergaduh dengan adik-beradik, biarpun Jefry bukanlah abang kandungnya. Tetapi kini dia rasa bahawa dirinya silap menafsir perasaan sendiri. Mungkin selama ini dia inginkan perhatian Lorreta dan Jefry. Sebab itulah dia bertindak sedemikian.

Apabila Jefry meminta dirinya menjaga Lorreta, hatinya terasa sebak. Pipinya terasa panas. Pandangannya mula berkaca dek genangan air mata. Tetapi dia tak mahu menangis di hadapan Jefry, sama seperti Lorreta sebentar tadi yang kini telah ke bilik air untuk membasuh wajahnya yang sugul. Elly gagahkan diri untuk memandang terus ke mata Jefry, tetapi dia tak mampu luahkan kata-kata yang terkulum di hujung lidah. Akhirnya dia hanya mengangguk tanda setuju, kemudian membiarkan kepalanya tertunduk sehinggalah Lorreta kembali dari bilik air. Itulah saat pertama dia meragui perasaannya dan pandangannya terhadap Jefry.

Setelah Jefry hilang di balik pintu masuk ke balai menunggu, setelah mereka kembali ke rumah nenek Lorreta, setelah beberapa minggu berlalu, dan Lorreta kembali ceria tetapi tetap merindui abangnya, Elly mengumpul kekuatan hati untuk bertanya pendapat Lorreta tentang kekalutan hatinya. Dia masih bingung, masih tak pasti siapakah Jefry kepada dirinya. Dan dia tak ingin kekal dalam kebingungan. Dia tak suka kesamaran perasaannya sendiri. Dia inginkan penjelasan dan pengukuhan kepada lonjakan perasaannya tempoh hari di lapangan terbang. Adakah ia sekadar perasaan terharu kerana diberikan kepercayaan oleh seorang insan yang dia hormati untuk menjaga seorang lagi insan yang dia sayangi? Atau adakah ia lebih daripada itu? Atau mungkin juga dia sekadar sayang akan insan itu sepertimana dia patut mengasihi seorang abang? Dia yang tak pernah mempunyai adik-beradik tenggelam dalam persoalan hatinya sendiri. Maka, pada satu petang yang panas di beranda rumah nenek Lorreta, sambil menikmati bayu yang tak seberapa dan ais batang yang dibuat oleh nenek, dia menggagahkan dirinya untuk bertanya kepada Lorreta.

“Lorreta,” katanya perlahan, bukan dalam nada bersahaja yang biasa membalut kata-katanya.

Lorreta menoleh ke arah Elly, wajahnya sendiri penuh terpancul dengan tanda tanya. Sangat jarang Elly bersuara dalam nada sedemikian, dan lagi jarang Elly memanggilnya dengan nama penuh.

“Kau OK-kah Elly? Demamkah?” Lorreta bertanya secara berseloroh.

Wajah Elly memerah. Ya, dia sedar bahawa bukanlah kebiasaan dirinya untuk bercakap dalam gaya sebegitu.

“Tidaklah! Ada benda yang serius aku mahu tanya kau ni..”

Melihat ketegasan dalam wajah Elly, Lorreta mengendurkan senyuman mengejeknya. Dia tahu bahawa Elly memang bersungguh apabila dia menyatakan sedemikian. Elly jenis yang tak pandai berpusing-pintal. Elly garis lurus yang tak pernah berselindung. Itulah Elly ayng Lorreta kenal. Melihat kawannya dalam keadaan tegas dan serius, Lorreta bersedia untuk membalas dalam nada serius yang serupa. Jika ada apa-apa yang merunsingkan fikiran kawannya, dia bersedia untuk meluruskannya, sepertimana Elly sentiasa bersedia untuk menyokong dirinya.

“Apa yang kau mahu tanya?” tanya Lorreta dengan kemas dan teratur.

Elly senyap untuk seketika, tak terus menjawab persoalan Lorreta. Dia berfikir untuk kali terakhir, patutkah aku bertanya akan hal ini kepada Lorreta? Akhirnya dia putuuskan untuk teruskan sahaja niat hatinya.

“Kau rasa lah, ada bezakah antara sayang dan cinta?”

Dengan tidak semena-menanya Lorreta tergelak. Tak pernah dia lihat Elly dalam keadaan sebegini, dan apabila dia tahu sebabnya, tak tercapai akalnya bahawa rakannya yang sentiasa terbuka ini terperangkap dalam soal hati yang sensitif sebegini.

“Eta!! Aku serius tanya ni. Janganlah ketawa!” sergah Elly dengan wajah yang merah padam menahan malu.

“Kau jatuh hati dengan siapa ni Elly? Kenapa aku tidak pernah tahu, hahaha!” Lorreta membalas lalu sambung ketawa.

“Aku tanya sajalah! Bukannya aku ada suka siapa-siapa!” balas Elly pula. Jelas wajahnya tampak jengkel dek reaksi Lorreta.

Melihat air muka Elly yang berubah gusar, Lorreta cuba untuk mengawal tawanya lalu membetulkan duduk dirinya. Namun sekali-sekala terlepas juga lirikan senyuman dek geli hatinya. Apabila dia sudah tenang, Lorreta meneruskan perbualan mereka.

“Jadi, kalau kau tidak suka siapa-siapa, kenapalah kau tanya?” ujar Lorreta, masih cuba untuk mengawal geli hatinya.

“Tiada apa-apa. Cuma aku terfikir, apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta?” balas Elly dengan tenang, pandangannya dilontarkan ke arah bendang menghijau di hadapan rumah nenek Lorreta.

Mendengar balasan Elly, Lorreta terdiam. Senyuman sinisnya lekas mati. Dia menoleh ke hadapan, melontarkan pandangannya ke arah yang sama dengan pandangan Elly. Melihat kebisuan Lorreta, Elly menyambung bicaranya.

“Kalau ada, di mana letaknya garis itu?”

*

“Aku suka kamu!”

Luruh jantung Lorreta mendengar ayat tersebut. Nafasnya tersekat di kerongkong, tenaganya hilang diresap udara, tangannya lemah, kakinya longlai, sehingga hampir sahaja beg plastik dalam rangkulannya terlepas jatuh ke lantai. Seperti mana nafasnya terhenti menyergap, begitu juga jantungnya diserbu degupan deras pada saat seterusnya. Lantas, tepat pada detik itu, dia terpanggil perbualannya dengan Elly tiga tahun yang lalu. Perbualan yang terjadi di beranda rumah ini pada satu petang yang hangat. Kata-kata Elly ketika itu kembali terngiang-ngiang dalam mindanya.

– Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?

Ketika itu, Lorreta tak menjawab persoalan Elly, kerana dia sendiri sedang mencari jawapan kepada soalan yang sama. Ketika itu, dia sangkakan bahawa Elly sedang memberi amaran kepada dirinya. Dia sangkakan Elly tahu akan isi hatinya, kerana Elly sentiasa tahu apa yang tersirat jauh di sudut hatinya. Dia sentiasa lutsinar di mata Elly. Itulah tanggapan Lorreta terhadap Elly selama ini. Tetapi pada hari ini, tanggapannya jatuh berderai ke tanah. Mendengar suara Elly dari ruang tamu sebentar tadi, dia pasti inilah maksud di sebalik persoalan Elly tiga tahun lepas.

“Elly, kau tahu aku tidak suka bergurau begini,” terdengar suara Jefry dari ruang tamu, memecahkan kesunyian yang bermaharajalela untuk seketika.

Tidak, Jef. Elly tidak bergurau, bisik hati kecil Lorreta.

Lorreta cukup kenal akan rakannya itu. Cukup masak dengan perangainya, dengan amarahnya yang sentiasa membuak-buak, dengan sakatannya yang berpanjangan. Lorreta tahu bila Elly bergurau, dan dia pasti ini bukan salah satu cubaan gurauannya.

Bagaimana semua ini boleh terjadi? Bagaimana dia tak pernah perasan akan perasaan Elly? Adakah dia terlalu taksub dengan dirinya sendiri, dengan hatinya sendiri, sehingga dia tak menyedari hal ini yang melibatkan dua orang yang paling dia kasihi di atas muka bumi ini? Adakah dia telah mengambil mudah kewujudan dua orang insan ini, kerana selama ini dia dibiarkan berbuat sesuka hati di hadapan mereka? Lorreta bingung. Kepalanya berdenyut kuat. Dia letakkan bakul plastik berisi bahan membuat kek di atas kaunter dapur. Nafasnya cuba ditahan, tak ingin Elly dan Jefry menyedari kehadiran dirinya. Dia keluar ke pekan seorang diri awal tadi untuk membeli bahan membuat kek, dengan harapan membakar kek kegemaran Elly dan Jefry secara senyap-senyap. Apabila dia tiba di rumah, kelihatan motosikal Elly (atau dengan lebih tepat, motosikal ayahnya) di depan rumah. Sebab itulah dia menyelinap masuk dari dapur. Dan sebab itulah dia boleh terdengar luahan hati Elly.

Sebab itulah kini perasaannya bercampur-baur, caca marba.

“Tidak Jef, aku serius. Aku suka-”

“Tapi kau kawan adik aku..” Jefry memintas sebelum sempat Elly habiskan ayatnya.

“Jadi!?” terdengar Elly bertempik, disusuli bunyi esakan yang halus.

Kesunyian bertandang sekali lagi. Esakan halus Elly berterusan. Degupan kencang jantung Lorreta berleretan. Jefry pula termangu tanpa kata-kata. Kata-kata telah lari daripada lidahnya, meninggalkan dia bisu dan dungu. Lorreta menekup tangan kanannya di dada, merasa ribut degupan jantungnya sendiri. Air mata bergenang di matanya. Seluruh badan dan wajahnya terasa panas, bagaikan sedang demam. Ingin sahaja dia menerpa keluar dan memeluk Elly serta menampar abangnya. Pada masa yang sama, ingin sahaja dia lakukan sesuatu yang terbalik kepada kedua-duanya: menampar Elly dan memeluk abangnya. Dia marah dan kecewa dan sedih pada masa yang sama. Terasa sesalan membuku di hati. Andai kata dia tidak menyelinap masuk dari pintu belakang, mungkin semua ini tidak berlaku. Tetapi Lorreta lebih daripada mengetahui bahawa ini sekadar retrospektif semata. Ia takkan dapat merubah apa yang telah dan sedang terjadi.

“Jadi.. kenapa kau tidak boleh terima aku? Pasal Eta-kah?” terdengar suara kecil Elly menyelinap keluar dari celah bibirnya, memecahkan kesunyian yang janggal dan menyakitkan itu.

Lorreta yang sudah terduduk di lantai dapur memasang telinga. Jefry pula menarik nafas dalam dengan perlahan, lalu menghembuskannya kembali. Ditenung Elly yang sedang tertunduk di hadapannya. Perasaan kasihan dan terharu meruntum pangkal jiwanya. Telah lama dia anggap Elly sebagai adiknya sendiri. Tetapi dia tak pernah menganggap Elly lebih daripada itu. Baginya, Elly adalah keluarga. Maka perkara sebegini tidak patut ada antara ahli keluarga. Oh Elly, maafkan aku kerana tak ampu membalas perasaanmu. Tanpa berfikir panjang, tangan kanannya terangkat lalu mengusap kepala Elly. Elly yang jelas terperanjat dengan tindakan Jefry segera mengangkat wajahnya. Pipi dan hidungnya masih merah. Matanya masih berkaca-kaca bertakung air. Ditenung mata Jefry, dan Jefry menenung kembali. Akhirnya bibir Jefry terbuka lalu terluah kata-kata yang telah lama dinantikan tetapi tak ingin Elly dan Lorreta dengari.

“Aku sayang kau Elly, sama macam aku sayang Lorreta.”

Jefry berhenti seketika. Elly menahan nafasnya, menantikan kata-kata yang seterusnya. Dadanya terasa berat. Benarlah orang kata, penantian itu satu penyeksaan. Di balik tabir dapur, Lorreta juga menahan nafasnya, merangkul kejap dada blausnya sendiri, menanti dengan gementar apa yang abangnya ingin katakan lagi.

“Dan bila aku cakap aku sayang kau sama macam aku sayang Lorreta, aku maksudkan sayang sebagai seorang abang kepada seorang adik. Tidak lebih dari itu.”

Lalu melimpahlah titisan air mata Elly. Jatuh berderai air matanya, sama seperti harapannya agar diterima lelaki yang amat dia sayang ini. Elly lekas berkalih ke arah pintu. Jefry biarkan sahaja, tak mampu dan tak sanggup untuk berbuat apa-apa lagi. Kedengaran bunyi enjin motosikal dihidupkan, diikuti oleh rempitan yang deras lalu menghilang pergi. Rumah itu sekali lagi dikuasai oleh kesunyian. Jefry menekup wajahnya, kedua-dua lengan menongkat di lutut. Keluhan demi keluhan terluah dari mulutnya, cuba untuk meringankan bebanan hati. Selepas beberapa ketika, keluhan-keluhan tersebut hilang senyap ditelan kesunyian yang membingitkan ruang rumah tersebut. Yang terdengar hanyalah esakan halus yang hampir tidak disedari datang dari arah dapur.

*

Asalnya, Lorreta sangkakan perasaan sayangnya terhadap Jefry adalah satu kebiasaan. Sayang seorang adik kepada abangnya. Ditambah pula dengan keadaan keluarga mereka yang berpecah-belah dan hanya Jefry sahaja yang memberikan perhatiannya kepada dirinya, Lorreta menganggap tarikannya kepada Jefry adalah sesuatu yang lumrah. Sayangnya melangkau batas logik akal manusia. Dia sangat sangat sangat sangat sayang akan Jefry. Jefry-lah satu-satunya ahli keluarganya, dan seluruh dunia adalah musuh mereka. Hatta nenek sekali pun tetap musuh mereka. Nenek hanya menjaga mereka atas dasar tanggungjawab. Ibu dan ayah mereka contoh terbaik sifat lepas tangan yang ada pada semua dewasa. Ya, semua dewasa adalah sama. Itulah tanggapan Lorreta saban hari, sehinggalah dia bertemu dan berkenalan dengan Elly.

Dan sekali lagi, satu ikatan yang tak boleh diungkap dengan kata-kata terbentuk antara dirinya dan seorang insan lain. Sayang Lorreta terhadap Elly melangkaui persahabatan dan keluarga, keperluan sosial dan seksual, tema mahupun definisi. Tak ada fakta yang boleh menggambarkan perasaan sayangnya terhadap Elly. Ikatan yang magis dan luarbiasa itu tak tertakhluk kepada logik akal. Lorreta hanya boleh ungkapkan hubungannya dengan Elly sebagai pasangan roh yang terpisah apabila lahir ke dunia. Itupun dia rasakan teramat sangatlah tidak memadai untuk menerangkan hubungan mereka. Sebab itulah apabila ada yang memanggil mereka sebagai pasangan luar tabii, Lorreta biarkan sahaja kerana dia tahu tak ada kata-kata yang boleh menerangkan hubungan tersebut kepada mereka yang tak pernah merasainya sendiri. Elly pula sangat sensitif kepada isu itu, sehingga dia pernah digantung sekolah kerana menumbuk seorang rakan sekelas sehingga berdarah hidungnya.

Tetapi, hampiri dewasa, Lorreta mula menyedari bahawa hubungannya dengan dua orang insan ini bukan satu kebiasaan. Dia ganjil. Dia pelik. Dan mereka yang terhubung dengannya juga dianggap ganjil dan pelik. Dia dapati bahawa dirinya sendiri keliru sama ada perasaan ini adalah sayang ataupun cinta. Dia mula mempersoalkan persepsinya sendiri. Siapakah Jefry kepadaku? Abang? Keluarga? Seorang lelaki, individu daripada jantina yang bertentangan? Kekasih? Siapa pula Elly kepadaku? Sahabat? Bff? Kekasih luar tabiiku? Kakak daripada ibu dan ayah yang berbeza? Lorreta tenggelam dalam persoalan berkisar persepsinya sendiri. Dia inginkan kepastian, jawapan kepada soalan-soalan tersebut, tetapi dia dapati bahawa ikatan tersebut bukan sahaja melangkaui akal manusia bahkan juga logik akalnya sendiri. Dia sendiri tak boleh ungkapkan dalam kata-kata perasaan itu, kerana dia sendiri terikat kepada batas-batas seorang manusia. Ketika dia sedang sesat dalam pencariannya sendiri, Elly pula bertanya hal yang sama.

Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?

Garis itu tak wujud, wahai Elly-ku tersayang, Elly-ku tercinta. Tetapi kau dan Jefry tidak akan memahami hal ini, sama seperti aku yang tidak dapat memahami hal ini. Maka Lorreta putuskan untuk tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun mengenai kegusaran hatinya, pencariannya ini. Dia selesa dengan status quo yang memerintah dunianya, dan dia tak ingin ia berubah. Sumbang mahram? Lesbian? Abaikan semua label yang memerintah dunia orang lain. Dunia aku tak perlukan label-label tersebut. Itulah yang Lorreta putuskan dua tahun yang lalu.

Namun kini dunianya diancam peraturan-peraturan yang dipanggil norma masyarakat, dan peraturannya juga mengancam harmoni dunia kecilnya. Elly terikat kepada norma. Begitu juga Jefry. Mungkin dia sahaja yang ganjil. Mungkin dia sahaja yang tak tercapai akal. Mungkin semua ini sekadar lakonan, sekadar alasan agar dia kuat melangkah ke hari yang seterusnya dalam dunia penuh kedurjanaan ini. Mungkin dia dungu, dan dia yang tak mampu menerangkan perkara mudah seperti ini mengambil jalan mudah menarik semua orang ke paras pemikirannya. Dia telah membuat kesimpulan bahawa semua orang berfikir di tahapnya.

Dialah punca masalah dalam dunianya sendiri.

Empat hari Lorreta berkurung di dalam bilik sendiri. Bila Jefry datang menyapa, dia katakan bahawa dia kurang sihat. Bila Elly menghantar mesej, dia katakan bahawa dia sedang berfikir sesuatu yang mustahak. Tiada guna menipu Elly, fikir Lorreta. Oleh itu, dia memberi maklumat minima, dengan harapan Elly tak akan bertanya lebih. Elly memahamiku, pasti dia tahu aku tak ingin dia bertanya lebih daripada apa yang aku berikan. Jika dia tak pasti apa yang membebani fikiranku, biarlah dia bermain dengan spekulasi. Begitu juga dengan Jefry. Biarlah mereka berdua bermain dengan spekulasi. Ini ‘amarah’nya terhadap dua insan yang paling berharga kepada dirinya.

Hari kelima, Lorreta putuskan bahawa dunianya hanyalah satu fatamorgana. Oleh itu, dia harus keluar dari dunia yang sempit ini. Dia tak mahu membesar menjadi seorang dewas yang tak guna, yang lekat dalam persepsi yang sempit, yang sentiasa berasa bahawa dirinya yang betul dan dunia yang salah. Kerana dalam dunia ini, betul salah tak semudah hitam putih gambar monokrom. Sedangkan putih itu sendiri terdiri daripada tujuh spektrum, merah  jingga kuning hijau biru nila ungu, apatah lagi dunia? Jika selama ini dia mampu bergerak ke hadapan melalui jalan penuh kedurjanaan ini berkat sokongan Elly dan Jefry, biarlah kali in dia yang menyokong mereka. Itulah yang Lorreta putuskan. Itulah tindakan yang akan diambilnya.

Maka diseru dua orang insan yang paling dia hargai di atas muka bumi ini, lalu dia cadangkan mereka berkhemah di Tasik Mamut.

*

Di bawah hamparan bintang yang berjuta, Lorreta masih tenggelam dalam fikirannya sendiri. Dia rasakan bahawa dirinya sedang terapung di angkasa, habuk kecil di tengah ketiadaan yang dipanggil bahan hitam dan medan Higgs yang tak kelihatan mata kasar. Kepadanya, bintang berjuta itu bagai mengejeknya, mengingatkan bahawa dirinya, Elly, dan Jefry adalah kerdil. Manusia memang makhluk yang kerdil tetapi mempunyai ego sebesar Bima Sakti. Dan termasuk dalam golongan manusia itu adalah dirinya. Itu dia tak boleh nafikan.

Jadi apa yang perlu dirisaukan jika tindakan aku ini betul atau salah? Kepada alam semesta, kami tetap kerdil. Jadi, pedulilah betul salah untuk malam ini. Lorreta mengetatkan genggaman tangannya. Serentak itu, Jefry dan Elly menoleh ke arahnya.

“Jefry, Elly..”

Lorreta mengatup kelopak mata untuk sementara. Genggaman tangannya bertambah kuat, tetapi kedua-dua Jefry dan Elly mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. ‘Lorreta tahu’. Itulah yang bermain di fikiran mereka berdua.

Lorreta membuka kelopak matanya perlahan-lahan, melihat bintang-bintang yang bertaburan di angkasa, yang mungkin telah lama lenyap daripada kewujudan. Secalit senyuman merias wajahnya.

Bintang, berikan aku kekuatan..

“Lorreta sayang kamu berdua.”

10.25pm

15 Mei 2016

Hijau


“Kau OK dah?”

Rizal alihkan lengannya daripada menghalang pandangan. Dalam silau cahaya mentari yang berjaya menembusi lapisan rimbunan dedaun, wajah seorang lelaki menyambut pandangannya. Lelaki itu tersenyum melihat Rizal yang jengkel dek tusukan cahaya yang gigih menyuluh ke arah matanya. Menyedari senyuman lelaki itu, Rizal bangkit lalu menyandar di batang pokok akasia yang teguh meninggi menongkat langit. Lelaki itu yang sedari tadi membongkok ke arahnya menghulurkan sebiji botol berisi air. Rizal mengambil botol tersebut lalu diminum beberapa tegukan sebelum ditutup semula dengan ketat. Sambil mengelap mukanya dengan sehelai tuala kecil, Rizal memandang tepat wajah lelaki tersebut, wajahnya sendiri terpancar dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Dah,” katanya dengan senyuman penuh keyakinan.

Dengan senyuman melirik di bibir, lelaki itu tanpa berlengah terus berpaling ke arah denai lalu melangkah gagah mengharung hutan rimba tropika yang hangat dan lembab itu. Rizal bingkas bangkit dan menurut di belakang. Bunyi cericip dan derap langkah mereka berdua langsung tak mengganggu harmoni bunyi-bunyian alam yang menelan mereka dalam kegemilangannya. Unggas berterbangan menebar sayap kecil, dedaun bergemersik selang ditiup bayu lembah, bunyi sahutan binatang-binatang kecil yang bermain riang, bergayut dari dahan ke dahan. Semuanya seiring membentuk satu okestra yang mewah dengan bunyi-bunyian yang menenangkan yang tak mampu dihasilkan oleh mana-mana okestra manusia.

Mereka terus meredah hutan yang tebal itu, mengikut denai yang membawa mereka ke altitud yang makin meninggi. Rizal terpaksa berhenti mengambil nafas beberapa kali. Dia tak biasa dengan aktiviti luar seperti ini. Dia biasa dengan sejuk pendingin hawa dan hingar pejabat serta gosip berbaur fitnah dan stigma masyarakat. Itu dunia asalnya, habitatnya. Dia penduduk kota raya yang penuh dengan kecelakaan dan rasa tidak puas hati serta dengki yang memanjang. Dan akibat tak tertahan dengan tekanan kehidupan kota raya, dia memutuskan untuk lari dari kota tercintanya dan benamkan dirinya dalam limpahan keindahan alam semulajadi.

Dia tak tahu bagaimana dia boleh berakhir di denai ini, di tengah-tengah hutan rimba tropika yang lebat ini, tapi kini dia berada di sini dengan seorang lelaki lain. Seorang teman yang dia rasakan sangat rapat dengan dirinya, tapi telah dia lupa akan namanya. Memandang belakang lelaki itu yang tegap dan bersungguh-sungguh, Rizal cuba memanggil semula memorinya, mengorek dalam-dalam ruang mindanya, cuba untuk mencari satu petunjuk kepada nama lelaki itu. Siapakah lelaki ini? Tak, dia cukup yakin bahawa dia kenal akan lelaki ini, tetapi namanya telah lari daripada pengetahuannya, bersembunyi di sudut hati, sengaja ingin menimbulkan satu perasaan berbaur misteri. Rizal cuba mengingat dengan sedaya-upaya, sambil itu kakinya terus melangkah mengikut jejak langkah lelaki itu. Dipejamkan matanya untuk seketika. Apakah nama lelaki ini? Bagaimana aku boleh lupa namanya?

“Kimi.”

Rizal tersentak daripada lamunannya. Dia memandang ke hadapan. Lelaki itu telah berhenti melangkah dan sedang menghadap dirinya yang berada beberapa meter di belakang. Rizal tak mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh lelaki itu, atau dengan lebih tepat, tak mengerti apa yang dimaksudkan olehnya. Oleh itu, dia bertanya untuk mendapat kepastian.

“Apa kau kata?”

“Kimi. Nama aku. Kau nak tahu, kan?” balas lelaki itu sambil tersenyum sinis.

Rizal berasa serba-salah dan malu. Bagaimana dia boleh lupa namanya? Sebaik sahaja dia sedar bahawa dia tahu akan nama itu selama ini, perasaan malu membuak-buak di dada, merembes keluar dalam bentuk wajah yang memerah. Kimi tergelak melihat reaksi Rizal, hanya untuk membuat Rizal bertambah segan.

“Tak, biar aku betulkan ayat aku. Kau memang tahu, tapi kau tak ingat, kan?”

Rizal mengangguk perlahan.

“Maaf,” katanya perlahan.

“Alah. Tak ada hal-lah. Small matter,” balas Kimi dalam nada yang bersahaja.

Selepas itu, mereka kembali senyap, kembali tenggelam dalam harmoni rimba yang memuaskan. Tali-tali halus dalam hati Rizal mula tertarik-tarik. Langkahan kakinya mula terasa ringan. Dirinya mula berasa kagum dengan alam sekitar yang selama ini tidak dia pedulikan, yang tidak dia hargai, yang hanya menjadi latar belakang dunia, watak sampingan yang boleh ditukar-ganti dengan apa-apa elemen lain. Hatinya mula rawan dalam kekaguman. Selama ini, bagaimana aku boleh tidak endahkan keindahan yang terpampang di hadapanku ini? Hidup ini penuh dengan warna alam yang menyegarkan. Jadi kenapa aku kemaruk dengan kelabu kota raya selama ini?

“Mungkin sebab kau terlalu optimis,” Kimi tiba-tiba menyampuk.

Minda Rizal kembali ke realiti. Matanya menangkap bayang Kimi yang jatuh ke arahnya. Kimi sedang berdiri di tengah sebuah bukaan di hujung denai itu. Beberapa langkah ke hadapan, Rizal dapati bahawa mereka telah tiba di tepi sebuah tebing yang terpacak tinggi memayung hutan rimba itu. Di hadapan mereka terpampang sebuah potret tri-warna yang meruntum perasaan. Hijau yang merimbun serta biru bercalit beberapa tompok putih Sirus. Terpesona, Rizal tangguhkan niat untuk mendapat penjelasan daripada Kimi, kawan baiknya yang misteri ini. Kimi duduk bersila di hamparan rumput sambil mempelawa Rizal untuk duduk serta, dan Rizal akur dengan pelawaan itu. Mereka duduk dalam sepi, mencerap segala yang boleh dilihat dengan mata kasar, menyerap segala tenaga yang terpantul daripada hijau daun, terik mentari, dan bayu rimba yang nyaman. Badan yang berkeringat mula mengering. Nafas mula kembali stabil. Kaki yang lenguh mula meregang santai. Ah, alangkah bagusnya jika aku boleh kekal dalam detik ini untuk selama-lamanya, bisik Rizal dalam hati.

“Tapi kau kena kembali kepada kehidupan kau. Kalau tidak, kau hanya melarikan diri daripada realiti. Masalah kau takkan selesai,” pintas Kimi.

Kali ini Rizal cepat meminta penjelasan. Dia berpaling ke arah Kimi, mulut bersedia meluah kata-kata, minda ligat menyusun bicara, hati menjerit meminta jawapan.

“Apa maksud kau? Dan kenapa aku rasa macam kau tahu apa yang aku tengah fikirkan?” Rizal bertanya tanpa berselindung.

Mendengar soalan-soalan Rizal, Kimi tergelak kecil. Dengan pandangan yang tak teralih, masih meneliti ufuk di kejauhan, Kimi menjawab.

“Mestilah aku tahu. Bukankah kau yang beritahu bahawa kau ingin lari dari kehidupan kau? Dari pantulan sinar mata kau, aku tahu dah apa yang kau fikirkan. Emosi kau melimpah keluar dari mata kau yang jujur tu,” Kimi menjawab dalam nada yang sinis.

Rizal diam, tak cepat melatah. Apakah Kimi sinis mengherdik atau sinis mengejek? Atau sekadar menyakat dirinya?

“Aku saja sakat kau lah Rizal. Takkan aku nak pandang rendah pada kau pula,” Kimi memberi jawapan sebelum sempat Rizal bertanya.

“Bagaimana-“

“Kan aku dah cakap. Emosi kau melimpah keluar.”

Rizal kembali membisu. Dia terasa seperti telah dinodai oleh Kimi. Hatinya hairan dan marah pada masa yang sama. Dia terasa seperti jiwanya, hatinya, dan mindanya telah disingkap oleh Kimi tanpa izinnya, seperti diperlekehkan oleh kawan baiknya itu. Menyedari apa yang Rizal sedang fikirkan, Kimi melepaskan sebuah keluhan.

“Maaf Rizal. Aku tak berniat merendahkan diri kau,” Kimi berkata perlahan.

“Tapi kau buat lagi benda tu,” bidas Rizal dalam satu campuran amarah, lega, dan hairan.

Kini giliran Kimi pula untuk diam. Dia cuba mengatur bicara agar tidak menyakitkan hati Rizal. Setelah beberapa hembusan bayu rimba berlalu, Kimi berkata kembali.

“Baiklah. Beginilah. Aku takkan jawab persoalan yang kau ada kecuali kau nyatakan secara lisan. OK?” Kimi memberi cadangan.

Rizal masih berasa rimas biarpun Kimi telah memberi cadangan tersebut.

“Tapi tu tetap tak menghalang kau daripada menyingkap minda aku. Aku masih rasa tercabul,” Rizal membalas.

Kimi tersenyum kecil.

“Tercabul? Itu satu perkataan yang bahaya, kalau kau tanya aku. Lagipun aku tak rasa aku ‘mencabuli’ diri kau, sebab kau yang biarkan emosi kau melimpah,” kata Kimi sinis.

Bullshit! Celah mana emosi melimpah boleh bagi kau tepat seratus peratus apa yang aku tengah fikirkan! Kau pakai sihirkah?” Rizal membentak, tak tertahan amarah yang membadai.

“Memanglah aku tak boleh meneka seratus peratus apa yang kau fikirkan berdasarkan emosi sahaja. Tapi kau dah beritahu aku awal tadi kenapa kau nak ke sini. Kau lupakah?” Kimi membalas dalam nada yang sungguh-sungguh hairan.

Rizal sekali lagi terdiam untuk seketika.

“Apa yang aku cakap tadi? Seingat aku, tak ada apa-apa yang aku katakan sebelum kau membaca fikiran aku,” Rizal akhirnya bersuara setelah berfikir seketika.

“Kau cakap kau nak lari dari kehidupan kau, yang kau dah tak tahan hidup, yang kau perlukan satu tempat untuk bersembunyi. Takkan kau dah lupa?”

“Bila aku cakap begitu?”

“Sebelum kita datang ke sini, awal tadi.”

“Tapi awal tadi-”

Rizal berhenti dalam tuturannya. Mindanya ligat berpusing kembali. Awal tadi, sebelum dia tiba di sini, di manakah dia? Apakah yang telah dia buat sebelum tiba di sini, sebelum meredah hutan dan mendaki hingga ke tebing ini? Kenapa dia tak boleh ingat? Adakah dia datang dengan kereta, atau adakah dia menumpang Kimi? Siapa Kimi?

Sebaik sahaja dia sedar akan persoalan-persoalan ini, dia berpaling ke kanan, namun Kimi tiada di situ. Bulu romanya meremang. Rizal bingkas bangun dan berpusing meneliti persekitarannya. Kimi tiada di situ, di bukaan di hujung denai di tebing itu. Tak. Dengan lebih tepat, denai itu pun tiada di situ. Begitu juga dengan hutan rimba di sekeliling dirinya, dan tompokan awan Sirus di langit, dan langit yang membiru. Semuanya lesap sekelip mata. Yang tinggal hanya dirinya dan tebing itu. Cahaya mentari pun telah hilang, namun dia masih boleh melihat persekitarannya dengan jelas. Dia menjenguk ke dalam gaung di hujung tebing. Hanya kegelapan yang melemaskan merenung kembali ke arahnya. Di manakah dia? Adakah dia sedang bermimpi?

-Memang manusia suka bermimpi, dan akhirnya akan tertimbus oleh bebanan impian masing-masing. Tapi itu tak menghalang kita daripada terus bercita-cita.

Kata-kata tersebut berdengung di ruang tersebut. Atau adakah ia sekadar terngiang dalam kepala Rizal? Rizal tak pasti. Tapi dia pasti telah mendengar kata-kata tersebut sebelum ini, intonasi, dan suara itu. Persoalannya, dari siapa?

-Siapa kita sebenarnya dan siapa kita di mata dunia boleh jadi dua perkara yang berbeza, tetapi boleh juga jadi satu benda. Semuanya terpulang kepada kau. Jadi kau harus tanya, siapa diri kau sebenarnya.

Sekali lagi, kata-kata berdengung di udara tanpa Rizal dapat pastikan asal-usulnya. Namun dia dapat menangkap suara tersebut. Suara yang sangat dia kenali, yang sangat dia biasa dengari. Rizal menarik nafas dalam-dalam lalu menjerit ke arah gaung yang hitam itu.

“Kimi! Aku tahu ini semua permainan kau! Apa yang kau nak dari aku?”

Tiada balasan.

Rizal menjerit sekali lagi, namun sekali lagi, dia dinafikan nikmat sebuah jawapan. Dia mencuba sekali lagi, dan sekali lagi, dan sekali lagi, hinggalah suaranya mengering dan kerongkongnya sakit. Masih tiada jawapan. Masih tiada penjelasan kepada fenomena ini. Apakah aku sedang bermimpi buruk? Jika ya, bangunkanlah aku. Apakah aku sudah mati? Jika ya, lepaskanlah aku daripada kesengsaraan ini.

Sedari selesai rayuannya, Rizal dapati dirinya terawang-awang di tengah-tengah ketiadaan. Tebing tempat dia berdiri telah lesap. Begitu juga dengan gaung yang merenungnya. Hilang begitu sahaja. Tak ada satu zarah pun wujud di ruang itu selain dirinya. Semuanya gelap. Tak, bukan gelap tapi tak ada apa yang boleh dilihat Rizal. Pandangannya masih berfungsi, masih boleh melihat dirinya, tangannya, kakinya, biarpun tiada sumber cahaya di ruang itu. Bagaikan magis.

Satu perasaan takut mencengkam dirinya, menggenggam pangkal jantungnya dengan kejap. Kegelapan dan sejuk ketiadaan merangkul dirinya, memeluk dengan dingin yang tak terperi. Rizal menggigil. Mindanya yang sedari tadi ligat berpusar, cuba untuk menghadam apa yang sedang berlaku sejak tadi, telah tiba di hujung takat kewarasan. Jika ini satu permainan, dia ingin menarik diri. Jika ini bukan helah, baik dia mati sahaja, kerana tiada nilai dirinya dalam helah yang bodoh dan membodohkan ini. Dia tak mampu berbuat apa-apa.

“Baik aku mati sahaja..” terluah dari bibir Rizal.

Ketika itulah dia terasa pipinya menghangat. Mindanya yang hampir melepasi takat kewarasan kembali kepada dirinya. Dia menyentuh pipin kanannya. Serentak itu pipi kirinya pula terasa hangat. Apakah ini, dia bertanya kepada dirinya sendiri. Pipi kanan dan kirinya diserang secara berselang-seli oleh kehangatan yang tidak dapat dia lihat asal-usulnya, dan kehangatan itu berubah pedih dan akhirnya terasa sakit. Rizal terasa sesuatu meleleh dari sudut bibirnya. Dia menyentuh cecair tersebut lalu diteliti. Cecair yang berwarna merah dan berbau seperti karat itu dia pasti adalah darahnya sendiri. Apakah ini? Apakah maksud semua ini?

Tiba-tiba muncul satu titik putih dalam ruang penuh ketiadaan ini. Rizal merenung ke arah titik tersebut yang makin membesar dan akhirnya membentuk sebuah lohong cahaya. Cahaya keemasan penuh gemilang terpancar dari lohong tersebut tanpa putus. Akhirnya, cahaya! Rizal melangkah ke arah lohong tersebut. Mula-mula dengan perlahan, kemudian beralih laju, kemudian berubah menjadi larian, akhirnya berubah menjadi sebuah pecutan. Rizal berlari ke arah lohong tersebut, ingin segera keluar dari ruang penuh ketiadaan ini. Sepanjang pecutannya, dia sedar bahawa terdapat butiran-butiran cahaya berupa guli melepasi dirinya, dirembeskan oleh lohong tersebut. Ah, pedulikan mereka, Rizal memekik dalam hatinya. Dia teruskan pecutannya, namun jarak di antara dirinya dan lohong tersebut kelihatan tak berubah. Masih sama, masih tak tercapai. Adakah ini satu helah yang ingin memperlekehkan diriku? Memikirkan kemungkinan tersebut, perasaan marah membuak-buak dalam diri Rizal.

Ketika itulah baru Rizal sedar bahawa guli bercahaya yang dilepaskan lohong tersebut mempunyai sedutan-sedutan yang berbeza di dalamnya. Seperti sebuah pawagan holografik mini di dalam setiap satunya. Dan setiap guli mempunyai sedutan yang berlainan. Sedutan-sedutan tersebut penuh dengan individu-individu yang dikenali dirinya. Ibunya, ayahnya, adik-beradiknya. Dan seorang lelaki yang dia sangat kenal tapi lupa akan namanya. Rizal menghampiri sebutir guli cahaya lalu diteliti sedutan di dalamnya. Di dalamnya kelihatan lelaki yang telah dia lupa akan namanya itu.

-Kalau kau hidup hanya untuk bersusah-payah dan akhirnya mati, ditangisi, lalu ditelan lipatan masa lalu dilupakan, apalah gunanya hidup?

Rizal rasa bagai disentak. Jantungnya berhenti berdegup untuk sementara. Tangannya menggigil. Dahinya merembes peluh sejuk. Otaknya kembali penuh dengan segala memori yang telah dia lupakan. Dia cukup kenal akan ayat tersebut. Dia sangat ingat akan peristiwa itu. Masakan tidak. Dialah yang mengeluarkan ayat tersebut. Itu suaranya. Itu intonasinya apabila sedang murung atau jengkel. Dan lelaki itu adalah..

“Jadi, kau dah ingat dah bagaimana kau boleh sampai ke sini?”

Rizal berpaling ke kiri. Kimi berdiri di tepi dirinya, matanya lekat pada butiran guli tersebut. Dengan perlahan, Rizal menganggukkan kepalanya.

Melihat respon Rizal, Kimi mengalihkan pandangan ke arah lohong cahaya yang berada di hadapan mereka. Matanya merenung ke arah ufuk di balik lohong itu, jauh beribu batu di hadapan mereka. Rizal melepaskan butiran guli cahaya di tangannya lalu merenung ke arah yang sama. Jantungnya kembali berdegup dengan ritma yang sama. Mindanya kembali waras. Pernafasannya kembali stabil.

“Jadi, kau ingin kembali ke dunia itu?”

Sekali lagi, Rizal menganggukkan kepala, tetapi kali ini dengan penuh keyakinan. Kimi melirik ke arah Rizal. Terpantul semangat yang membara di kornea Rizal.

“Tapi dunia itu penuh dengan kesusahan. Dunia itu tidak adil. Dunia itu penuh pancaroba. Kau masih nak kembali ke sana?”

“Ya,” Rizal menjawab ringkas.

“Biarpun jika hidup kau tak bermakna, impian kau kekal impian, hati kau kekal sakit sepanjang masa, dan matinya kau di sana menandakan bermulanya era kau dilupakan oleh semua, dan akhirnya kau akan lesap ditelan arus masa? Biarpun jika hidup dan mati kau tak membawa sebarang maksud?”

Rizal tersengih. Dia berpaling ke arah Kimi, matanya merenung tepat ke mata Kimi.

“Biarpun jika hidup aku tak bermakna, impian aku kekal impian, hati aku kekal sakit sepanjang masa, dan matinya aku di sana menandakan bermulanya era aku dilupakan oleh semua, dan akhirnya aku akan lesap ditelan arus masa, aku akan tetap kembali ke sana, kerana tidak bermakna kehidupan ini, dengan segala kepayahan dan ketidakadilan dan prejudisnya, langsung tak membawa sebarang maksud kepada dunia. Aku akan dilupakan, tetapi aku membawa makna kepada mereka di sekelilingku, biarpun dalam keterlupaan mereka terhadap diriku.”

Kini giliran Kimi pula untuk tersengih.

“Rizal, itu bongkak namanya.”

“Tak Kimi. Ini namanya penghargaan kepada mereka yang pernah, sedang, dan akan menghargai diriku.”

Mendengar balasan Rizal, Kimi tersenyum lalu menggelengkan kepala.

“Manusia, memang kamu semua degil dan tak logik.”

“Kata kamu yang tidak berpegang kepada logik,” Rizal menyambung.

Kimi tak membalas. Cuma tersenyum sendirian.

“Terima kasih,” Rizal berkata sambil melangkah ke arah lohong cahaya di hadapan dirinya.

“Tak Rizal, terima kasih kepada dirimu kerana membuat pilihan yang betul,” balas Kimi sebelum hilang melesap sekali lagi.

Rizal sekadar menggelengkan kepala. Ya, benar, kehidupan penuh dengan dugaan, tetapi tidak bermakna dia harus membuang hidupnya dengan sewenang-wenangnya. Dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk membetulkan kesilapan dirinya. Lagipun, hidup yang penuh kesusahan ini bukanlah sesuatu yang tidak bermakna, kerana ada yang menghargai dirinya yang tak seberapa ini.

Sebaik sahaja tiba di lohong itu, Rizal berhenti untuk seketika. Dia menarik nafas dalam sebelum mengambil langkah seterusnya ke dalam lohong itu. Maka lesaplah lohong itu dan dirinya, dan ruang itu kembali kepada keadaan penuh ketiadaan.

*

Rizal membuka kelopak matanya. Serentak itu dia mengerang kesakitan. Seluruh badannya terasa sakit yang teramat sangat. Dia cuba untuk menggerakkan tangan dan kakinya, namun tak berjaya. Matanya meliar, cuba untuk meneliti persekitarannya. Akhirnya anak matanya berhenti pada suatu wajah yang sedang tersenyum lebar.

“Yo bro, selamat kembali,” Hakimi bersuara, memecahkan hening tengah malam yang dingin.

Rizal cuba membalas senyuman Hakimi, namun tak terdaya. Mulutnya sakit. Begitu juga dengan pipinya.

Relax bro, tak payah tergesa-gesa. Kau tunggu sini jap. Aku nak panggil missy jap.”

Hakimi bangun daripada kerusi di tepi katil Rizal lalu menyelak tabir putih yang menyempadani ruangan katil tersebut. Sebelum melangkah keluar, Hakimi berhenti lalu menoleh ke arah Rizal, tangan terkepal kejap, suara tertahan-tahan.

“Rizal..”

Anak mata Rizal beralih ke arah Hakimi.

“Jangan kau berani buat gini lagi,” Hakimi berkata dalam suara yang terketar-ketar, secalit senyuman paksa merias wajahnya.

Melihat perilaku Hakimi, Rizal terasa sebak. Air matanya mula bergenang. Dia memaksa diri untuk mengangkat tangannya lalu menunjukkan tanda thumbs up  kepada Hakimi.

“OK.”

12.51am

4 Mei 2016

Jingga


Aku berlari terus, mendaki bukit yang bagai tak berkesudahan ini, mendaki tepian yang menghalang perjalananku ini. Dadaku berombak kencang turun naik. Kakiku melembik ingin berputus asa daripada dakian yang memenatkan ini. Otakku ligat berkisar pada persoalan yang sedari tadi bermain di minda, memancar cahaya hitam putih hitam putih yang selari dengan deras nafasku. Pokok-pokok yang merimbun bagai berkomplot terhadapku, ingin menyusahkan lagi perjalananku, pendakianku. Angin mati tak bertiup, diam sahaja menyaksikan kesusahanku. Mentari pula segan silu untuk keluar memancar dan memanaskan bumi pada hari ini, bagai sahaja ingin meninggalkan aku dalam kegelapan malam. Mentari, keluarlah dikau! jeritku dalam hati. Bersamanya segala sumpah-seranah yang terkumpul di lubuk hati yang menyumbat minda, menyesakkan dada, merimaskan jiwa, dan menggetarkan jasmani.

Dalam kelam-kabut kelam subuh ini, sempat aku menekan punat telefon pintarku untuk melihat masa yang terpampang di skrin. 06:13, dan mentari masih malas untuk keluar dari peraduannya. Ah, biarlah kau mentari! Yang penting sekarang ialah aku harus cepat, aku harus tangkas, aku harus lincah. Jika tidak, dia mungkin berakhir, kehidupannya mungkin berakhir, kisah ini akan berakhir tragis. Aku tak nak kisah ini berakhir tragis. Aku tak kisah apa yang mereka ingin katakan. Biarlah mereka katakan bahawa aku terdesak, bahawa aku tak malu, bahawa aku buta dan telah dibutakan. Itu bukan persoalannya kini. Kini, nyawa seorang insan berada di hujung tanduk. Kini, apa yang penting ialah kelestarian, bukan sentimen mahupun perasaan. Kini, aku takut aku terlambat.

Langkahan kakiku makin mengecil. Otot betisku makin mengencang. Peluh membasahi seluruh tubuhku sementara embun merecik saki-baki kedinginan malam. Semuanya tampak seperti sebuah konspirasi. Sebuah kudeta yang dirancang rapi, yang ingin merampas segala harapan daripada diriku. Tapi aku takkan mengalah. Bukan sekarang, bukan di sini. Aku menarik nafas panjang lalu meneruskan langkahanku, biarpun ia semakin mengecil, kan ku teruskan juga dakian ini, ,kan ku teruskan juga usaha ini. Aku tak tahu sama ada usaha ini akan membuahkan hasil ataupun menzahirkan kekecewaan, tetapi aku tak ada masa untuk memikirkan segala kemungkinan. apa yang aku tahu ialah aku harus melangkah ke hadapan kini, aku harus berusaha bersungguh-sungguh kini, kerana itulah pilihan terbaik yang au boleh buat sekarang.

Aku melihat langit di atasku dari celah dedaunan pohon hutan yang merimbun. Sudah kelihatan sedikit rona merah dan jingga tergaris di kanvas langit. Warna biru gelap pula memudar menjadi campuran indigo dan biru muda. Hari sudah bermula, fikirku. Dengan pernyataan ini merentas mindaku, jantungku berdegup lebih kencang. Kalau benar apa yang dia tulis, permulaan hari ini bermakna pengakhiran baginya. Aku harus lebih cepat sampai ke puncak. Gerak hatiku kuat mengatakan bahawa dia berada di sana.

Dia sangat suka akan tempat itu. Tempat di mana dia telah dibawa oleh temannya untuk melihat bintang, juga tempat di mana mereka berjanji untuk kekal bersama selamanya. Akan tetapi, janji tinggal janji. Temannya telah pergi, dan dia ditinggalkan dalam lembah kesedihan dan kemurungan. Kenapa? Itulah persoalan yang bermain di mindanya saban hari. Dia tak boleh melarikan diri daripada segala persoalan yang bermula dengan “kenapa” itu. Tak, lebih tepat lagi, dia tak ingin membebaskan dirinya daripada segala “kenapa” yang bertandang di minda dan hatinya. Akhirnya, dia terperangkap dalam kekenapaan yang berleluasa yang memakan dirinya, mnghakis jiwanya, dan meluruhkan rohaninya. Dia tinggal rangka hidup tanpa jiwa dan kewarasan.

Mungkin sebab itulah dia merasakan bahawa kehidupan tidak lagi bermakna buat dirinya. Mungkin sebab itulah dia memutuskan untuk mengakhiri segalanya. Mungkin sebab itulah dia meninggalkan nota tersebut, agar orang lain tahu bahawa kisahnya akan berakhir oleh tangannya sendiri. Dalam haru-birunya, sempat lagi waras minda mengingatkan dia untuk memberikan satu epilog, penutup yang jelas bagi hidupnya.

Aku akan mengakhiri kisah ini di mana ia bermula. Itulah yang tertulis dalam nota kecil yang ditinggalkan di dalam biliknya pada malam dia menghilangkan diri dari rumah ibu-bapanya. Aku ditelefon oleh ibunya yang bertanya jika aku mempunyai sebarang petunjuk. Aku katakan bahawa aku tidak tahu-menahu tentang apa-apa, tetapi pada masa yang sama mindaku ligat berpusing, menaksir kedudukan dirinya di atas muka bumi ini. Tanpa berfikir panjang, satu ingatan melintas mindaku. Satu perbualan yang telah kami lalui dua tahun yang lalu. Ketika itu mereka masih bersama. Dia masih bersama temannya, masih percaya akan janji yang telah mereka katakan, masih percaya bahawa ia akan dikotakan.

Dia pernah berkata bahawa dia telah menjumpai satu tempat di aman dia boleh melihat bintang-bintang di angkasa sepuas hatinya. Dia memang suka akan bintang, buruj, dan segala apa yang berkaitan dengan angkasa lepas. Memang minatnya semenjak kecil lagi, sejak kami berada di bangku sekolah rendah, mengharungi enam tahun bersama dalam kelas yang sama. Dia selalu merungut bahawa pemandangan lanigt malam di ibu kota sangatlah hambar. Dia menyalahkan pembangunan yang tak terancang dan pencemaran cahaya yang berleluasa. Bila aku bertanya bagaimana dia boleh menemui tempat tersebut, dia sekadar tersenyum manis, kemudian menuturkan kata-kata ini:

“Rozaini yang jumpa tempat tu.”

Sebab itulah aku pasti bahawa dia berada di tempat ini, di puncak bukit di tengah hutan ini. Inilah tempat segalanya bermula bagi dia, dan dia ingin menamatkan segalanya di sini. Aku meneruskan dakian, yakin dengan firasatku biarpun aku sendiri tak pernah menaiki bukit ini ataupun meredah hutan di sekelilingnya. Aku pasti inilah tempatnya, dan aku tak ingin dia menamatkan segalanya kerana satu janji yang tak dikotakan. Aku ingin memberitahu dia bahawa dia tak usah gusar dengan kasih sayang daripada satu orang kerana ramai lagi menyayangi dirinya. Aku ingin memberitahu dia bahawa aku juga mengasihinya, bahawa aku juga mencintainya, bahawa aku sanggup mendengar segala luahan perasaannya biarpun aku tak mampu untuk memahami kesakitan yang dia lalui dalam enam bulan sejak perpisahan mereka ini. Biarlah mereka katakan bahawa aku menangguk di air yang keruh, yang penting diriku ikhlas tak ingin melihatnya merana seorang.

Biarlah aku berada di sampingnya dan merana sekali.

Akhirnya, aku tiba di sebuah bukaan dalam hutan tersebut. Di tengah bukaan itu ialah sebuah pohon tunggal, berdiri gah dalam limpahan jingga mentari yang makin naik. Embun masih menyengat dengan saki-baki kedinginan malam, bagai tak ingin melepaskan apa yang sudah berlalu. Aku melangkah perlahan ke arah pohon itu. Dalam langkahanku, aku terlihat sepasang kaki berjuntai dari dahan pohon tersebut. Keteruskan langkahanku sehinggalah aku berada tepat di bawah pohon tersebut, lalu kusandarkan badan pada pohon itu. Aku masih tercungap-cungap akibat berlari merentas hutan mendaki bukit ini. Sedang aku cuba mengatur nafasku, dia bersuara:

“Cuba lihat ke arah sana,” kataya sambil menuding jari ke arah ufuk timur.

Aku berpaling ke arah yang ditunjukkan. Ketika itulah limpahan jingga yang indah merebak ke seluruh kanvas alam, bagai api yang meletus tetapi akhirnya mekar sebagai bunga yang terlahir dari letupan tersebut. Pemandangan yang sungguh indah. Tak pernah lagi aku melihat pemandangan seperti ini sepanjang hayatku. Aku hanyut dalam kecantikan permulaan hari yang tak pernah aku sedari, yang tak pernah aku hargai.

“Cantik, kan?” dia bersuara sekali lagi.

Aku mendongak ke arahnya yang sedang duduk di dahan pohon tersebut. Banyak yang ingin aku katakan, tetapi semuanya tersekat di kerongkong. Aku cuba memanggil namanya, tetapi mindaku yang sedari semalam ligat berfikir dan berpusing terhenti seketika.

Di hadapanku ialah pemandangan seorang wanita dengan wajah yang bersih yang langsung tak tercalit hitam kemurungan ataupun kesedihan. Wajah seorang wanita yang kuat, yang telah menyatakan “sayonara” kepada kisah silamnya. Wajah seorang wanita yang sebelum ini merana, kini bersih dan bersahaja, tenang dan gemilang. Wajah wanita yang kucintai.

Aku menelan segala apa yang ingin kukatakan, hati berasa lega dan kecewa pada masa yang sama. Dia tak perlukan aku. Dia sendiri telah memutuskan bahawa telah tiba masanya untuk dirinya melangkah ke hari yang baru dan tinggalkan malam yang kelam. Akhirnya aku tersenyum lalu menganggukkan kepala.

“Ya memang cantik,” balasku setelah kembali ke alam yang nyata.

Kemudian aku berpaling semula ke arah mentari, ke arah jingga yang mengembang di pagi hari. Ketika itulah aku terdengar dia membisikkan sesuatu, mungkin bercakap dengan dirinya sendiri.

“…pagi…cantik… dari jingga senja…”

Aku berpaling semula ke arahnya lalu bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Apa?”

Untuk pertama kalinya setelah sekian lama, dia memandang tepat ke arahku. Matanya merenung jauh ke dalam mataku. Bibirnya menguntumkan sebuah senyuman yang sangat girang.

“Tak ada apa-apa.”

1.03pm

24 Disember 2015