Sudah berdebu rasanya blog ini, terbiar lama tanpa apa-apa isi kandungan baru. Seperti buku-buku di atas mejaku, tersusun rapi, tak terusik untuk sekian lama. Setiap hari kulihat, bermula dari kiri ke kanan: 1. The sky of the longing for memories, sejilid buku seni lukis karya-karya Makoto Shinkai. Sebahagian besar, malah boleh dikatakan separuh daripada buku ini tertumpu kepada seni dan lukisan serta proses yang digunakan dalam menghasilkan filem 5cm per second, manakala bakinya tertumpu kepada filem The Place Promised in Our Early Days dan filem pendek Voice of a Distant Star. Buku ini kusimpan sebagai sumber rujukan dan inspirasi, bukan untuk melukis (aku bukan seorang pelukis) tetapi untuk menulis. Proses pembayangan setting tempat, ruang, cahaya, dan masa, aku rasakan banyak persamaanku dengan Makoto Shinkai. Malah tema-tema yang disentuh oleh beliau dalam karyanya juga merupakan tema yang sering menjadi tumpuan dalam karya-karya(?)ku. Bezanya, dia melampirkan segala usahanya dalam pembikinan sebuah kerja berbentuk visual dan audio, manakala aku sekadar dalam bentuk tulisan. Ah, angkuhnya aku untuk membandingkan diriku yang kerdil kepada dia, orang besar yang menyentuh hati jutaan melalui karya-karyanya, terutamanya melalui filem terkini beliau, your name. Menulis tentang Shinkai mengingatkan aku bahawa dia punyai karya terbaru yang bakal keluar Julai nanti. Dengarnya, kali ini filem terbarunya akan ditayangkan serentak di seluruh dunia. Apa pula naratifnya kali ini? Aku sangat ingin mengetahuinya.
2. Namamu… – Di Sebalik: Earthbound. Buku ini adalah sebuah antologi cerpen yang mengiringi naratif filem your name keluaran Kadokawa Gempak Starz. Ya, syarikat pengeluar komik tempatan kita, Gempak Starz, kini dimiliki oleh pengeluar dan gergasi hiburan Jepun, Kadokawa. Aku hanya membeli buku ini kerana berasa lawak melihat judul buku ini. Pada masa yang sama, aku terhibur kerana menyangkakan ini sebuah gerakan didorong sepenuhnya oleh ketamakan korporat yang ingin secebis keuntungan daripada populariti filem tersebut. Dan aku juga ingin melihat setepat manakah penterjemahan kerja ini. Di sebelah buku ini pula, sejilid novel yang masih terbungkus plastik pembalut, 3. Kafka on the Shore karya Haruki Murakami. Sejujurnya, selera aku untuk membaca menjunam awal tahun lalu, maka aku tidak tahu apa cerita novel ini. Dan selepas beberapa bulan, daya untuk menulis telah lesap dari jasadku. Maka bermulalah era penulisan separa siap dan rutin yang hampir ritualistik menulis dan memadam berulang-kali yang menyesakkan jiwa dan mematahkan semangat untuk menghasilkan apa-apa yang punyai makna, dan akhirnya aku berhenti menulis untuk apa-apa, dalam apa jua bentuk. 4. The Peculiar Life of a Lonely Postman, 5. Eksistensi, 6. The Unlikely Pilgrimage of Harold Fry, dan 7. The Narrow Road to the Deep North berkongsi nasib dengan Kafka on the Shore. Terbiar. Tak dibaca. Berdebu. Mungkin aku harus membaca kembali. Membaca jambatan ilmu, bak pepatah Melayu.
Ah, kenapakah aku menulis tentang buku-buku di atas mejaku? Itu bukanlah tujuan aku menulis hari ini. Dan inilah yang membawa kepada ritual tersebut. Naratifku tak padat dan tersusun. Lari ke sana sini. Hilang pedoman, hilang fokus, hilang arah, dan akhirnya hilang langsung, Lesap ditelan kekosongan putih dan kursor yang terundur bersama tekanan berterusan ke atas kekunci backspace. Mungkin itulah sifatku. Sering aku sedri bahawa apabila bercerita bersama rakan-rakan, ceritaku, naratifku akan terbawa ke alam dan pentas yang bersilih ganti, dan di akhir penceritaan itu, kami berada di suatu cerita yang langsung tidak ada kaitan dengan cerita yang pertama. Namun cara setiap cerita berganti tampak begitu.. semulajadi(?), kami tidak menyedari transisi dari suatu cerita ke cerita yang lain. Semuanya tampak pantas dan tak janggal, kami dibawa bersama oleh cerita yang sepatutnya kami yang pandu. Dan di sini aku beralih lagi ke topik bukan pilihan fokus penulisan kali ini. Namun kali ini, aku telah berjanji untuk tidak menekan kekunci backspace. Biarlah ini menjadi suatu terapi dan peringatan bahawa aku mudah lupa dan mudah hilang fokus. Dan kini, biarlah aku kembali kepada tujuan asal penulisanku kali ini.
Pagi tadi, setelah selesai bersarapan bersama adik bongsuku Ema dan menghantarnya menaiki ETS, aku mengambil keputusan untuk menggunakan GoKL untuk kembali ke teratak sewaanku. Red Line akan membawaku dari KL Sentral ke Chow Kit secara percuma, dan aku teringin melihat bahagian-bahagian Kuala Lumpur yang sudah lama tak kelihatan kepadaku, walaupun di sebalik kaca cermin bas. KL Sentral sebuah tempat yang sesak penuh dengan orang dan kenderaan, dan kedudukannya di tengah-tengah bandar DAN sebagai hab pengangkutan awam utama Kuala Lumpur membuatkan kesesakan itu makin teruk, terutamanya pada hari-hari bekerja seperti hari ini. Sekumpulan polis trafik dan polis bantuan cuba sedaya upaya untuk melancarkan trafik di bahagian menurunkan dan menaikkan penumpang berhadapan Le Meridian dan Hilton KL kerana kebiasaannya kenderaan persendirian akan menunggu sehingga mengganggu sebahagian jalan raya tiga lorong tersebut. Ada kalanya, jalan raya tiga lorong itu hanya ditinggalkan dengan satu lorong untuk kenderaan bergerak, manakal dua lorong kiri dan tengahnya digunakan secara tidak berhemah oleh para pengguna kenderaan persendirian yang pentingkan diri sendiri.
Maka, sambil menunggu bas, aku lakukan sesuatu yang kurasa telah lama tidak aku lakukan: memerhati. Mungkin aku terlalu taksub dengan kehidupanku sendiri, aku sudah terlupa akan hobiku memerhatikan orang dan persekitaran hanya untuk suka-suka. Mungkin itu juga, selain daripada kurang membaca, sebabnya keapa aku tidak mampu menulis lagi. Aku kekurangan inspirasi dan rasa putus hubungan dengan dunia dan realiti. Tetapi pemerhatianku pada pagi ini sangat membuahkan hasil.
Masalah utama yang dihadapi oleh para pegawai polis, trafik dan bantuan serupa, ialah keengganan para pemandu kenderaan persendirian untuk, 1. maju ke kotak parkir paling hadapan, dan 2. berpusing semula jika penumpang yang dinantikan belum tiba. Terdapat juga 3. para pemandu yang sengaja parkir berlapis kerana enggan masuk ke petak parkir, yang menghasilkan bottle-neck effect dan menyusahkan para pengguna jaln raya yang lain. Pada hemat asal, kelihatan bahawa para pemandu ini hanya pentingkan diri sendiri. Mereka pun mengalami masalah yang sama apabila kenderaan di hadapan mereka membuat tindakan yang sama. Dan kenderaan di belakang yang terkesan oleh tindakan mereka berkemungkinan besar akan membuat tindakan yang sama juga. Kitaran ini berterusan kerana rasa bersalah itu telah terhakis oleh kebiasaan. Jika semua orang berhenti ikut suka hati, maka itulah nilai sivil yang terlekat pada minda orang lain, kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan, biarpun jika tindakan itu menyusahkan orang. Tetapi selepas beberapa ketika memerhati, suatu dapatan menyinggah di benak ini.

Jika dilihat pada gambar di atas, kelihatan bahawa terdapat banyak petak parkir untuk menurunkan dan mengambil penumpang. Malah, jalan raya tiga lorong ini tidak patut sesak biarpun pada masa puncak kerana sudah terdapat satu lagi jalan selari satu lorong di sebelah kiri (kanan sekali dalam gambar di atas, di belakang perhentian bas) yang sepatutnya digunakan oleh mereka yang menurunkan penumpang sahaja (petak parkir di lorong ini terhad kepada teksi sahaja). Namun begitu, lorong ini tidak digunakan. Kenapa? Kerana rekabentuk kawasan ini pada amnya tidak membenarkan kenderaan masuk pada masa puncak. Susur masuk ke lorong ini terdapat di awal jalan raya ini selepas lencongan dari jalan raya di sisi bangunan KL Sentral. Kebiasaannya, susur masuk ini terlindung oleh kenderaan yang berada di lorong kiri dan bertambah sempit oleh barisan teksi yang menunggu hingga terkeluar dari susur ini. Rekabentuk simpang berlampu isyarat sebelum lencongan ini juga memainkan peranan dalam melencongkan para pengguna jalan raya daripada menggunakan lorong selari ini.


Rekabentuk jalan raya yang membawa kenderaan ke bahagian menurunkan dan mengambil penumpang ini sendiri memangkinkan para pemandu untuk 1. tidak menggunakan lorong selari sedia ada, dan 2. berhenti di atas jalan raya utama kerana sukar untuk merapat ke petak parkir di bahagian paling kiri. Benar, sifat pentingkan diri para pemandu juga memainkan peranan dalam menyesakkan lagi jalan raya tersebut, tetapi rekabentuk sistem jalan raya ini tidak membantu meleraikan dan mengatur pergerakan kenderaan dengan lebih berkesan. Hasilnya, sebuah parti kesesakan jalan raya dan bunyi wisel hampir setiap pagi hari bekerja. Aliran kenderaan di kawasan ini seringkali terhenti dan terhalang akibat gabungan faktor-faktor yang dinyatakan. Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita melancarkan aliran ini? Jawapannya ada di dalam badan kita.
Sistem aliran darah dalam badan manusia juga serupa sistem jalan raya di sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur. Seorang insan yang sihat akan mempunyai sistem aliran darah yang lancar, memungkinkan sel-sel darah bergerak ke segenap penjuru badan dengan efisyen. Satu daripada cara badan kita ‘menyampaikan’ sel-sel darah kita ke destinasi mereka ialah melalui hieraki ‘jalan raya’ yang betul dan tersusun. Saluran-saluran darah kita mempunyai saiz yang tersusun dari besar ke kecil untuk menyalurkan darah ini ke tempat tujuan. Setiap ‘pecahan’ dalam saluran arteri utama ini pula tersambung dengan saluran arteri yang lebih kecil sesuai dengan jumlah sel darah yang menggunakannya. Dan sel-sel darah ini akan melalui arteri hingga ke kapilari di mana pertukaran dilakukan, sebelum kembali ke dalam saluran vena yang ‘pergi meninggalkan’ kawasan kapilari. Kapilari darah kita serupa bahagian yang sesak di KL Sentral ini. Bezanya, badan kita melaksanakan proses menurunkan dan mengambil penumpangnya dengan lancar, manakala para pemandu di jalan raya ini tidak dapat berbuat demikian. Rangkaian jalan raya yang membawa kenderaan ke bahagian ini terdiri daripada dua jalan raya dua lorong, bermakna empat lorong keseluruhan disumbatkan ke jalan raya tiga lorong yang sering tersumbat ini. Berbeza dengan badan kita, jumlah kenderaan yang masuk ke bahagian tiga lorong ini tidak berkurang daripada bahagian empat lorong. Rekabentuk ini sudah berjaya memangkinkan kesesakan, dan keadaan bertambah teruk kerana lorong selari, kapilari kepada jalan raya ini tidak terpakai secara efisyen. Pertukaran haruslah efisyen untuk memangkin kenderaan beredar dengan lebih cepat dan lebih tersusun. Dan ini boleh dilakukan dengan menjadikan aliran kenderaan di kawasan ini lebih semula jadi.
Antara idea yang terlintas di kepalaku apabila meliaht situasi pagi tadi ialah mengubah bahagian perpindahan penumpang ini. Aku bukanlah jurutera mahupun arkitek, tetapi serasanya aliran kenderaan akan bertambah lancar di kawasan ini jika 1. lorong selari dengan jalan raya digunakan sepenuhnya, 2. kenderaan yang menurunkan dan mengambil penumpang tidak perlu bergerak dari tempat asal mereka berhenti di petak parkir, dan 3. insiden pemandu berhenti kerana parkir berlapis dihapuskan. Ideanya mudah, bukanlah sesuatu yang inovatif ataupun baru. Malah, idea ini telah digunapakai di negara kita di banyak stesen bas dan bahagian parkir kenderaan berat di kawasan rehat dan rawat. Rekabentuk kini mempunyai petak parkir yang selari dengan jalan raya. Kenderaan harus masuk dan keluar dari jalan raya yang sama. Hal ini menyebabkan kesesakan di lorong kiri apabila kenderaan ingin keluar masuk. Jika petak parkir ini dibuat secara pepenjuru, dengan kederaan masuk dari jalan raya utama dan keluar melalui lorong selari dan kembali bersatu dengan jalan raya utama di hujung lorong tersebut dengan susur keluar eksklusif, kesesakan akibat kenderaan ingin keluar dari petak parkir dapat dihapuskan.
Rekabentuk pepenjuru ini juga menggunapakai lorong selari yang kurang digunakan kini, dan kerana setiap petak parkir berbentuk pepenjuru, kebarangkalian untuk kenderaan parkir berlapis adalah sangat minimal kerana berbuat demikian akan menghalang laluan masuk ke petak parkir tersebut. Malah dengan rekabentuk ini, lorong kiri dijangkakan akan mempunyai pegerakan kenderaan yang berterusan, membawa imej pesalah terasing kepada mana-mana pihak yang ingin berhenti di lorong kiri jalan raya utama ini. Perbuatan parkir berlapis akan kelihatan janggal dan akan diterjemah sebagai perbuatan salah pada pandangan masyarakat yang sudah terbiasa dengan menunggu di petak parkir tersedia. Dan dengan lambakan petak parkir serta kemudahan untuk menunggu tanpa perlu berpusing semula, mengapa perlu parkir berlapis?
Dan semua itu berlaku di dalam otakku dalam selang masa beberapa minit sahaja. Namun untuk menulisnya di sini mengambil masa hampir dua jam. Tambahan, ini sekadar idea seorang pemerhati tanpa apa-apa kuasa untuk mengubah sistem dan rekabentuk sedia ada. Ah, apalah gunanya menulis semua ini?
12.46 am
26 April 2019