Kelabu


Dunia kelabu,

Hujan bertimpa lalu,

Hati kaku,

Menunggu esok pengadilan.

.

Hati kelabu,

Mohon jangan dikelam lagi,

Tambah sayu,

Gelagat jelama pentingkan diri.

5.07pm

11 November 2018

Advertisements
Kelabu

Jika


Jika, pada saat itu, aku hulurkan tanganku kepadanya, atau aku mendapat keberanian untuk memeluknya dari belakang, sambil memujuk dengan kata-kata “sabar, semuanya ujian, dan ujian ini wujud untuk menjadikan kita insan yang lebih kuat di kemudian hari”, apakah yang akan terjadi kepadaku kini? Apakah yang akan merentet selepas saat itu kepada kami berdua? Apakah kami akan menjadi makin akrab, atau apakah keakraban itu akan pecah dengan perasaan cemas dan kecamuk benci dan amarah?

Aku, sejujurnya dan seikhlasnya, tidak tahu.

Jika, beberapa tahun sebelum itu, aku tidak memutuskan untuk menurut kata-kata ibuku lalu membiarkan diri dan hati larut dalam sarat kekecewaan, apakah kita masih tidak akan bertemu? Apakah bibit perasaan ini akan terkambus langsung, takkan ada peluang langsung? Dan apakah kita akan membawa haluan masing-masing? Dua orang yang cukup dewasa, yang masih kebudak-budakan, yang kekok dalam cara masing-masing. Apakah arus takdir akan membawa kita hanyut ke pantai yang berbeza, atau apakah ia tetap akan membawa kita ke laut yang sama? Itu pun, aku tidak tahu.

Apa yang aku dan kau tahu dan boleh ambil sebagai iktibar, semuanya sudah termaktub dalam lipatan sejarah. Analisa hanya boleh dibuat secara retrospektif, dan kekecewaan yang menyusup bersama dapatan analisa itu harapnya akan membantu kita untuk menjadi lebih matang, lebih “dewasa” dan makin kurang “budak”. Tetapi sakit itu tetap akan ada. Walau bagaimana kau dan aku mahu putarkan fakta dan hakikat, sakit itu tetap akan ada di sini. Ia mungkin akan surut bersama masa, ia mungkin akan membatu bersama masa, tetapi yang pasti ia tetap ada. Dan harapnya kita memaafkan diri masing-masing kerana kekhilafan kita yang lampau.

Jika aku tak pernah berkenalan denganmu, dan kau tak pernah berkenalan denganku, apakah seyuman yang lebih lebar akan merias wajah kita, atau apakah tangisan sendu yang lagi syahdu akan menemani kita pada malam-malam yang mendatang? Kita manusia, tak punya pandangan ke masa hadapan. Maka sejujurnya dan seikhlasnya kita takkan pernah tahu apa yang masa depan kandungkan untuk kita. Apa yang masa depan akan eramkan untuk kita, dan bila pula masanya segala yang tersurat itu akan dilahirkan dan dalam bentuk apa ia akan dizahirkan kepada kita. Kita hanya mampu berdoa.. adalah harapan yang teramat palsu dan teramat pemalas, dan aku benci apabila ahli keluargaku dan keluargamu, keluarga kita berdua katakan begitu. Kerana secara tepatnya kita bukan sahaja mampu berdoa, tetapi kita juga mampu berusaha. Ke manakah perginya penekanan terhadap usaha itu? Mengapakah doa yang dipersalahkan apabila segalanya tidak terjadi seperti yang telah dirancang? Memang benarlah, manusia ini hidupan yang tidak pernah bersyukur.

Dan apabila kita sudah berusaha sehabis baik tetapi masih tidak mendapat hasil yang kita impikan, apakah usaha itu sia-sia? Mulutmu berkata tidak, tetapi matamu mengkhianati niat baikmu. Kerana dalam sinarnya, ia telah meluahkan fikiran sebenar yang terbuku dalam hatimu. Ya, usaha kita berdua sia-sia. Itulah yang diucapkan oleh bolak-balik anak matamu, dalam sinarnya yang merundum, dalam air yang terkandung, dan dalam sarat berat pandangan yang dilemparkannya. Ingin sangat aku memeluk dirimu dan berkata tidak mengapa, kita cuba lagi, dan lagi, lagi, tetapi tak tergamak jiwaku berbuat demikian. Ini bukan salah siapa-siapa melainkan kita berdua. Aku memegang separuh bebanan kesalahan ini, engkau separuh yang lain. Maka aku tak layak memujuk dirimu, kerana salah itu sebahagiannya milik aku.

Jika semua ini berakhir suatu hari nanti. ingin aku genggam semula tanganmu, usap semula rambutmu, kucup semula dahimu, dan mulakan segalanya sekali lagi. Kita tak mungkin akan bermula dengan kanvas suci, tetapi sekurang-kurangnya kita akan belajar berdiri semula, bertatih setempat dan kemudian berjalan seiringan. Sekali lagi. Bersama-sama. Dan kali ini, biar pengalaman yang mendewasakan jadikan kita kelasi yang lebih baik mengatur-suai laluan bahtera ini meredah lautan kehidupan serba haru-biru.

“Sayang itu boleh dipupuk, ditanam, dijaga, dan dibesarkan semula, tetapi masa depan yang baharu takkan pernah boleh dibeli”

-Hafis Jasni, 2015

 

12.37 am

24 Ogos 2018

Jika

Teratak


Kerdip, mengerdip matamu lekat,

Empat suku pagi, jiwamu sarat

.

Minda melayar bahtera kesunyian,

Angkuhnya ego minta diutamakan,

Nafsu melara mengaut segalanya,

Angan tergantung tanpa sudahnya

.

Sisipkan impi dalam perbuatanmu,

Empat ayat lagi, empat berlalu,

Menulislah dikau walau tak mampu,

Usah dihirau berat beban bahu,

Agar cerita ini kan ke penghujungnya,

Niatkan saja, biar berlabuh di dalam hati,

Yakinkan saja, biar bertaut di hujung jemari,

Akan pena menitiskan dakwat pada kertas suci

.

Menaiplah dikau, biar tak sempurna,

Enggani tamak hati yang memilih,

Nukilkan terus tanpa was dan prasangka,

Gagahkan jiwa bergaduh dengan minda,

Hilangkan “nanti” bibit prokrastinasi,

Ingkari rasa kosong yang membenci,

Lalu menapaklah dikau mencari erti,

Aksara biar berpusing, berpuing, berputing beliung,

Nun di situ mungkin ketemu damai,

Gemersik berbisik teratak hati yang permai.

 

4.24 am

11 Ogos 2018

Teratak

Pendosa Kelana


Pendosa kelana,

Minta jangan disalaherti,

“Ini semua perjuangan peribadi”,

“Ini atas nama hak asasi”,

“Ini semua masa depan kita”,

Ini semua kata dustanya.

 

Pendusta kelana,

Menjaja cerita tak perlu mengembara,

Cukup sekadar melayar arus maya,

Cukup sekadar beri retorik dan falasi,

Cukup punya niat dan juga peminat.

 

Peminat kelana,

Minatnya berlari dari satu ke satu,

Apa yang terbaru di FB dan IG dia buru,

Api memercik semboyan bertalu,

Dan dia ingin di situ di tengah gerakan baru.

 

Pembenar kelana,

Tak punya peminat,

Tak punya tempat,

Dihindik ditindas,

Diracik tempias,

Digomoli peminat yang ‘in’,

Diseteru pendusta yang ‘on’,

Diketawa pendosa yang memimpin,

Dilupa kita yang sekadar menjeling.

 

7.39pm

13 Julai 2018

Pendosa Kelana

Suatu hari aku akan pergi


Suatu hari aku akan pergi

ke tempat di mana kita semua dinanti,

Di mana ideal merapuh dan jiwa meluluh,

Manakala bayang membentuk meraung angkuh.

 

Sesekali kita ingin rasa hari yang berlalu,

Pejam mata dan pohon dibawa ke masa itu,

Takdir kan menyelamat, kau sangka,

Takdir membelakangimu, kau duga.

 

Ingin kulihat sejauh mana mampu kau pergi

bolosi dinding yang tinggi dan berlapis-lapis,

Ingin kulihat sejauh mana mampu kau harungi

dawai berduri dan tarikan graviti,

Ingin kuduga kau mampu ke penghujung jalan

menongkah lepasi asid dan gelap malam,

Ingin kutiba di sana juga

dunia sempurna yang kita impikan.

 

Suatu hari aku akan pergi

ke tempat di mana kita semua dinanti,

Bukan di tanah enam kaki dalam,

Malahan bukan di selitan langit berjuta bintang,

Bukan di layar putih semerbak suci,

Atau di pelusuk hitam hati bergaul benci,

Tempat itu memanggil aku duluan,

Selamat bertemu lagi

wahai teman seperjuangan.

 

2.56 am

28 April 2018

Suatu hari aku akan pergi

Kepada Biru Tua dan Biru Muda dan seluruh semesta


The Place Promised In Our Early Days (2004).mkv_snapshot_01.29.51_[2017.01.05_16.55.25]

Kepada biru tua dan biru muda dan seluruh semesta,

Kepada langit jingga di penghujung senja,

Kepada hijau rumput dan lumut dan muntah,

Kepada kelabu dunia, metaforikal dan harafiah,

Kepada warna-warni remaja dan naif semangat berkobar-kobar,

Kepada warna-warna pelangi di kala petang yang dingin,

Kepada prisma yang menyedarkan kesatuan dan perpecahan,

Kepadamu yang kucinta tetapi takkan kukata,

Terima kasih semua,

Terima kasih semua.

 

7.01 pm

20 April 2018

 

Nota: Gambar diambil dari penghujung filem The Place Promised in Our Early Days (Kumo no Muko, Yakusoku no Basho) hanya sekadar hiasan. Ataukah bukan? Entahlah.

Kepada Biru Tua dan Biru Muda dan seluruh semesta

April


Setiap manusia yang pernah hidup di muka bumi ini pada asasnya adalah individu yang keseorangan, sentiasa sendirian, dan senantiasa kesepian. Kita cuba untuk menafikan fakta ini dengan bersosial dan bergaul bersama mereka yang kita boleh gelar sebagai keluarga ataupun kenalan, tetapi hakikatnya kita adalah makhluk yang sentiasa individual. Ya. Tiada siapa yang mampu meneroka kehidupan individu yang lain. Tiada siapa yang mampu menerobosi tirai senyuman dan tangisan kita dan boleh berkata dengan seratus peratus bahawa mereka memahami individu yang lain. Dan hal ini membawa kepada satu hakikat yang lagi susah untuk kita sangkal, tetapi lebih ingin kita sangkali: kita hidupan yang hipokrit. Untuk berkata bahawa kita tidak bersendirian, kita membina prakonsepsi bahawa bersosial itu mampu membuatkan kita satu, bahawa melalui perbualan dan pertukaran kata-kata serta idea antara individu, satu jaringan minda dan hati terbentuk, dan kita sebahagian daripada jaringan itu.

Itu semua palsu, aku kata. “Masyarakat” itu perkataan yang paling bohong sekali di atas muka bumi ini.

Kenapa kau berkata begitu, kau tanya padaku. Matahari baru sahaja ingin mengucapkan selamat pagi, dan kita sedang menghirup secawan bayu pagi yang berpuput lalu bersama kedinginan malam yang tersisa. Senang sahaja, balasku. Lihatlah dunia ini, kutambah. Kau menayangkan tanda tanya pada wajahmu yang licin berkilat. Aku sekadar tersengih kelat melihat kau tidak mengerti.

Aku ada satu cerita yang mampu membuktikan bahawa kita, pada asas yang paling asas, adalah kehidupan yang sentiasa sendirian. Lihat dan dengar dengan teliti. Ini kisah aku semalam. Sepanjang tempoh aku bertugas, tak pernah aku lakukan apa-apa kesilapan. Malah, aku sentiasa sopan apabila berurusan perihal kerjaku. Namun aku tidak juga mempunyai apa-apa ciri yang luarbiasa yang mampu membuatkan orang lain mengenalpasti diriku serta-merta. Aku sekadar satu lagi bahagian dalam mekanisme penyampaian perkhidmatan yang boleh kau panggil sebagai satu gergasi perniagaan. Tetapi segalanya berubah semalam.

Aku telah melakukan satu kesilapan kecil dalam penyampaian perkhidmatanku. Dan untuk itu, aku dicaci-maki, diherdik, diperli, dan diperlaku seumpama anjing kurap, dipukul sesuka hati dan diharap cepat mati. Hanay kerana satu kesilapan kecil. Di mana penghargaan terhadap ketidaksilapan besar aku selama ini? Tiada. Tidak wujud. Kenapa? Kerana ketidaksilapan aku selama ini tidak menonjolkan diri aku sebagai satu individu. Ketidaksilapan aku selama ini menenggelamkan aku dalam konsep masyarakat, dalam konsep kumpulan, dan aku hanya satu lagi daripada berjuta bahagian lain. Aku sebagai individu tidak penting, dan aku sebagai sebahagian daripada masyarakat pula tidak bermakna. Tetapi apabila aku melakukan kesilapan, aku menonjolkan diri sebagai seorang individu. Maka kerana tertonjolnya aku, aku dipulaukan, selayaknya sesiapa yang bergelar individu. Sekarang, mengertikah anda?

Kau masih menayangkan tanda soal besar pada wajahmu. Kau masih tidak mengerti. Dan untuk itu, aku cuma mampu tergelak kecil. Pastinya ini sekadar berbunyi seperti suatu rungutan kepadamu. Masakan tidak, kau juga individual sepertiku. Kau juga sentiasa keseorangan dan senantiasa kesepian. Aku juga tak mampu merungkai personalitimu, perasaanmu, dan pembawaanmu. Maka berdirilah kita di bumbung bangunan ini, senyap tanpa persefahaman, tak mampu dirungkaikan nilai individual masing-masing. Dan pada detik itu, satu ayat tergaris di benakku.

Kau takkan fahami aku, dan aku, takkan fahami kamu.

7.19 am

18 Mac 2018

April