Jika


Jika, pada saat itu, aku hulurkan tanganku kepadanya, atau aku mendapat keberanian untuk memeluknya dari belakang, sambil memujuk dengan kata-kata “sabar, semuanya ujian, dan ujian ini wujud untuk menjadikan kita insan yang lebih kuat di kemudian hari”, apakah yang akan terjadi kepadaku kini? Apakah yang akan merentet selepas saat itu kepada kami berdua? Apakah kami akan menjadi makin akrab, atau apakah keakraban itu akan pecah dengan perasaan cemas dan kecamuk benci dan amarah?

Aku, sejujurnya dan seikhlasnya, tidak tahu.

Jika, beberapa tahun sebelum itu, aku tidak memutuskan untuk menurut kata-kata ibuku lalu membiarkan diri dan hati larut dalam sarat kekecewaan, apakah kita masih tidak akan bertemu? Apakah bibit perasaan ini akan terkambus langsung, takkan ada peluang langsung? Dan apakah kita akan membawa haluan masing-masing? Dua orang yang cukup dewasa, yang masih kebudak-budakan, yang kekok dalam cara masing-masing. Apakah arus takdir akan membawa kita hanyut ke pantai yang berbeza, atau apakah ia tetap akan membawa kita ke laut yang sama? Itu pun, aku tidak tahu.

Apa yang aku dan kau tahu dan boleh ambil sebagai iktibar, semuanya sudah termaktub dalam lipatan sejarah. Analisa hanya boleh dibuat secara retrospektif, dan kekecewaan yang menyusup bersama dapatan analisa itu harapnya akan membantu kita untuk menjadi lebih matang, lebih “dewasa” dan makin kurang “budak”. Tetapi sakit itu tetap akan ada. Walau bagaimana kau dan aku mahu putarkan fakta dan hakikat, sakit itu tetap akan ada di sini. Ia mungkin akan surut bersama masa, ia mungkin akan membatu bersama masa, tetapi yang pasti ia tetap ada. Dan harapnya kita memaafkan diri masing-masing kerana kekhilafan kita yang lampau.

Jika aku tak pernah berkenalan denganmu, dan kau tak pernah berkenalan denganku, apakah seyuman yang lebih lebar akan merias wajah kita, atau apakah tangisan sendu yang lagi syahdu akan menemani kita pada malam-malam yang mendatang? Kita manusia, tak punya pandangan ke masa hadapan. Maka sejujurnya dan seikhlasnya kita takkan pernah tahu apa yang masa depan kandungkan untuk kita. Apa yang masa depan akan eramkan untuk kita, dan bila pula masanya segala yang tersurat itu akan dilahirkan dan dalam bentuk apa ia akan dizahirkan kepada kita. Kita hanya mampu berdoa.. adalah harapan yang teramat palsu dan teramat pemalas, dan aku benci apabila ahli keluargaku dan keluargamu, keluarga kita berdua katakan begitu. Kerana secara tepatnya kita bukan sahaja mampu berdoa, tetapi kita juga mampu berusaha. Ke manakah perginya penekanan terhadap usaha itu? Mengapakah doa yang dipersalahkan apabila segalanya tidak terjadi seperti yang telah dirancang? Memang benarlah, manusia ini hidupan yang tidak pernah bersyukur.

Dan apabila kita sudah berusaha sehabis baik tetapi masih tidak mendapat hasil yang kita impikan, apakah usaha itu sia-sia? Mulutmu berkata tidak, tetapi matamu mengkhianati niat baikmu. Kerana dalam sinarnya, ia telah meluahkan fikiran sebenar yang terbuku dalam hatimu. Ya, usaha kita berdua sia-sia. Itulah yang diucapkan oleh bolak-balik anak matamu, dalam sinarnya yang merundum, dalam air yang terkandung, dan dalam sarat berat pandangan yang dilemparkannya. Ingin sangat aku memeluk dirimu dan berkata tidak mengapa, kita cuba lagi, dan lagi, lagi, tetapi tak tergamak jiwaku berbuat demikian. Ini bukan salah siapa-siapa melainkan kita berdua. Aku memegang separuh bebanan kesalahan ini, engkau separuh yang lain. Maka aku tak layak memujuk dirimu, kerana salah itu sebahagiannya milik aku.

Jika semua ini berakhir suatu hari nanti. ingin aku genggam semula tanganmu, usap semula rambutmu, kucup semula dahimu, dan mulakan segalanya sekali lagi. Kita tak mungkin akan bermula dengan kanvas suci, tetapi sekurang-kurangnya kita akan belajar berdiri semula, bertatih setempat dan kemudian berjalan seiringan. Sekali lagi. Bersama-sama. Dan kali ini, biar pengalaman yang mendewasakan jadikan kita kelasi yang lebih baik mengatur-suai laluan bahtera ini meredah lautan kehidupan serba haru-biru.

“Sayang itu boleh dipupuk, ditanam, dijaga, dan dibesarkan semula, tetapi masa depan yang baharu takkan pernah boleh dibeli”

-Hafis Jasni, 2015

 

12.37 am

24 Ogos 2018

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s