Abadi


Bahagian terdahulu

2.

Engsel pintu mengeluarkan bunyi geselan yang memecahkan kesunyian sebaik sahaja Shafie menolak buka pintu itu. Dengan serta-merta, bau kertas dari segala buku, majalah, kitab, dan pustaka menyerbu rongga nasalnya. Dalam biasan cahaya matahari yang masuk dari tingkap kecil yang memanjang membarisi bahagian loteng perpustakaan kecil itu, kelihatan habuk-habuk halus menari ria mengikut rentak hawa yang tenang, sekali-sekala terganggu oleh pergerakan hawa dingin yang dihembus mesin pendingin hawa model lama.

Lantai kayu perpustakaan itu berkeriuk apabila Shafie melangkah ke arah kaunter yang terletak bertentang pintu hadapan tempat dia masuk sebentar tadi. Di kaunter itu, seorang wanita, pustakawan agaknya, sedang membaca sebuah novel dengan tekun. Mampir dirinya, Shafie dapat melihat judul novel itu. Epilog Nusantara karya Hamlin Abolhi. Bukan satu judul yang ranggi persis tajuk novel-novel dewasa kini. Malah, nama penulisnya pun tidak mempunyai sifat komersil dan plastik selaras nama penulis-penulis kontemporari.

“Ehem,” Shafie berdehem setibanya dia di kaunter itu.

Namun wanita itu langsung tidak endah. Anak matanya yang hitam kelihatan berlari-lari di atas lembaran novel itu, ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan dengan kepantasan yang mengujakan, biarpun yang membaca adalah wanita itu, bukan Shafie. Shafie berdehem sekali lagi. Kali ini dengan lebih kuat.

“Ehem!”

Wanita itu pantas mengangkat wajahnya. Matanya yang sedari tadi redup membundar besar. Pandangannya berkaca-kaca mempunyai gemerlap cahaya bukan berasal dari dunia ini. Rambut wanita itu yang hitam, berkilat, dan dibiar lepas ikut terayun dengan dongakan kepalanya. Pandangannya tepat ke wajah Shafie, tajam dan tertumpu. Bagaikan Shafie suatu makhluk yang tak pernah dia temui.

“Urm, pustakawankah?” tanya Shafie secara lembut.

“Ya, saya pustakawan di sini. Maaf, saya tidak perasan ketibaan encik,” jawab wanita itu dengan halus, bagaikan jasadnya sahaja yang bertutur tetapi rohnya berada di tempat lain.

“Boleh saya bantu encik?” sambung wanita itu dengan sebuah pertanyaan.

“Ya, saya perlukan bantuan awak. Boleh saya tanya jika terdapat buku tentang spesies burung-burung yang terdapat di Malaysia di perpustakaan ini? Saya cuba google, tapi tidak menjumpai maklumat yang saya mahu,” jawab Shafie panjang lebar.

Wanita itu diam seketika. Matanya masih lekat pada wajah Shafie, tetapi pandangannya menerobosi Shafie. Bagai mesin yang sedang mengimbas direktori, wanita itu kaku sebegitu untuk beberapa ketika sebelum pandangannya kembali ke alam nyata, ke wajah Shafie, dan satu senyuman menguntum di bibirnya.

“Secara spesifik, maklumat tentang burung apa yang encik cuba cari?” tanya wanita itu secara sopan, jiwa sudah terserap dalam tutur katanya.

“Saya pun kurang pasti apa nama burung itu. Sebab itulah mungkin saya susah mencari maklumat melalui google,” jawab Shafie selepas berfikir sementara, cuba untuk mengenalpasti burung yang dia temui di hadapan rumahnya awal pagi tadi.

“Kurang pasti, ya? Hrmm..”

“Kalau tidak ada, tidak mengapa,” sampuk Shafie.

“Sekejap ya, encik. Saya pasti kami ada maklumat yang encik perlukan. Cuma saya tidak tahu jika ia memadai atau tidak. Encik tidak menjumpai maklumat itu di perpustakaan negeri, kan?”

“Saya ke sana, tapi pustakawan di sana kata mereka tiada buku yang saya cari. Mereka yang cadangkan saya untuk datang ke sini. Banyak-“

Belum sempat Shafie menghabiskan ayatnya, wanita itu menyampuk.

“-buku pelik, kan?” wanita itu berkata serentak dengan Shafie.

Shafie terpana seketika. Menyedari bahawa kata-katanya boleh disifatkan sebagai kurang sopan, wajahnya serta-merta berubah merah. Shafie menunduk, malu menghadap wanita tersebut. Wanita itu tersenyum sinis. Langsung tidak nampak perca amarah di wajahnya. Namun Shafie mengesyaki itu hanyalah profesionalisme wanita tersebut. Hatinya mungkin sedang meradang marak dengan api amarah.

“Tunggu di sini sekejap ya encik. Saya dapatkan buku-buku tersebut. Encik boleh tunggu di meja sana ya,” tutur wanita itu dalam suara yang ramah sambil mengunjuk ke arah meja berhampiran kaunter tersebut.

“Oh, OK,” balas Shafie dengan satu anggukan kecil.

Wanita itu bangkit dari tempat duduknya lalu meninggalkan Shafie di ruang tersebut. Sambil melangkah ke arah meja yang ditunjukkan sebentar tadi, sempat Shafie mengerling ke arah kaki wanita tersebut. Kasut jenis loafers coklat gelap bertapak rata dan kain lurus berwarna kelabu terang ber’kipas’ tepi paras buku lali. Comfy, bisik Shafie dalam hati.

Apabila wanita itu hilang dari pandangannya, mata Shafie melilau ke serata ruang perpustakaan. Perpustakaan ini cukup kecil tetapi dengan saiznya yang tidak seberapa, terdapat satu aura yang melingkari lorong-lorong raknya, yang menyelaputi meja-meja kosongnya, yang berada di dalam udaranya dan membuatkan tempat ini tampak mistik, tampak tenang, dan tampak eksklusif. Seperti ada satu lohong halimunan menebarkan tarikannya ke serata udara ruang ini, menarik dengan daya yang tak boleh diterangkan oleh sains dan teknologi. Sekadar satu perasaan, tetapi ia cukup kuat hingga Shafie tak boleh nafikan biarpun jika dia mahu.

“Encik, ini buku-buku yang mungkin mempunyai maklumat yang encik inginkan,” tiba-tiba wanita itu bersuara sambil meletakkan lima jilid buku di atas meja di hadapan Shafie.

Shafie tidak menyedari bila masanya wanita itu kembali ke ruang tersebut, dan itu sedikit mengejutkan dia. Pandangannya yang menerawang di serata ruang kini tertumpu ke arah pustakawan di hadapannya. Menyedari pandangan Shafie, wanita itu melirik satu senyuman tipis lalu menguakkan bibirnya.

“Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu, encik?” tanya wanita itu dengan ramah.

“Tidak, rasanya. Terima kasih banyak cik pusta-“

“Nama saya Ramlah. Encik boleh panggil saya Ramlah sahaja,” pintas wanita itu.

Shafie terpaku seketika oleh kata-kata Ralah. Kemudian, satu senyuman hinggap di wajahnya. Senyuman yang lembut, mesra, dan ramah.

“Ramlah. Baiklah. Sekali lagi, terima kasih banyak, Ramlah,” akhirnya Shafie menyambung bicaranya.

“Terima kasih kembali, encik,” balas Ramlah penuh lemah lembut.

Ramlah seterusnya melangkah kembali ke kaunter. Mata Shafie mengekori gerak langkah Ramlah. Apabila melihat Ramlah duduk semula di tempatnya di belakang kaunter, pandangan Shafie meluru ke arah timbunan buku di hadapannya. Tanpa tangguh, satu kerutan muncul di dahi Shafie. Dia membelek buku-buku di bawah buku yang pertama, kemudian kembali melihat buku yang paling atas dalam timbunan tersebut. Tangannya mencapai buku tersebut. Sebuah novel Bahasa Melayu berjudul Yang Benar, Mr Jealous ditenung Shafie untuk beberapa ketika.

Kenapakah novel ini berada di sini? Apakah Ramlah ingin mebaca nvel ini tetapi secara tidak sengaja tertinggal buku ini di atas timbunan buku-buku yang dipintanya? Shafie mengerling ke arah Ramlah. Dari belakang, kelihatan kepala Ramlah sedikit tertunduk menghadap novel di tangannya. Ramlah sudah kembali ke dunia Epilog Nusantara. Shafie mengambil novel dalam genggamannya lalu menghadap ke arah Ramlah.

“Ra-“

Belum sempat Shafie memanggil, Ramlah berputar deras ke arah Shafie lalu terus berdiri. Matanya bundar, wajah dan badannya tegang, kedua-dua belah tangannya diletakkan lurus di atas kaunter. Shafie terkejut melihat perilaku Ramlah. Apakah Ramlah seorang yang senang terkejut, tanya Shafie dalam hatinya.

“Saya terlupa beritahu sesuatu!” kata Ramlah dalam suara yang separuh menjerit.

“A-Apa dia?” balas Shafie tergagap-gagap.

Ramlah menjeling ke arah novel dalam genggaman Shafie lalu mengangkat tangannya. Jari telunjuknya terpacak lurus ke arah novel tersebut.

“Mukasurat 63 hingga 65!”

“Hah!?”

Melihat wajah Shafie yang kebingungan, tangan Ramlah mengendur. Begitu juga wajahnya. Belakang Ramlah mula melembut seraya rona merah menjajah wajahnya. Ramlah duduk semula di kerusinya, wajahnya yang merah ditundukkan. Udara di keliling merek berubah janggal. Debu-debu buku bagai sedang bergelak sakan mentertawakan mereka berdua, satu sedang menahan malu, satu lagi kekeliruan.

Dalam kejanggalan tersebut, minda Shafie tertangkap kembali butiran perilaku ganjil Ramlah sebentar tadi. Masih keliru, Shafie menyelak lembaran novel tersebut. Kerutan masih lekat di dahi, Shafie akhirnya ketemu mukasurat 63. Dia mula membaca secara sepintas lalu. Perkataan demi perkataan. Bait demi bait. Cerita novel picisan itu mula mengalir membentuk satu arus naratif yang membawa dirinya ke dalam alam rekaan literasi si penulis. Tanpa menyedari, tibalah dia di perenggan yang menceritakan tentang seekor burung acang cina berekor merah yang cedera dek ditangkap kucing milik seorang watak perempuan. Dalam menyedari bahawa memang naluri binatang peliharaannya untuk memburu burung tersebut, hatinya tak sanggup melihat binatang itu dipermain sebegitu oleh kucing kesayangannya. Selepas melepaskan burung tersebut daripada cengkaman kucingnya, watak tersebut mengambil inisiatif untuk merawat burung itu. Dia menelefon rakannya yang Shafie tafsirkan sebagai seorang ‘teman tapi mesra’ yang merupakan seorang doktor haiwan lalu merawat burung itu seperti yang diarahkan.

Perenggan demi perenggan berlalu. Akhirnya selepas dua mukasurat, burung itu dilepaskan oleh watak tersebut. Dan Shafie pun menutup lembaran mukasurat yang terbuka, sebuah senyuman mekar di wajahnya. Tak disangkanya, jawapan kepada persoalan yang membawa kepada dirinya keluar setelah sekian lama terperuk di rumah ditemui dalam senaskah novel yang dia anggap picisan, murah, dan tidak bernilai.

Ramlah yang sedari tadi mengintai ekspresi wajah Shafie dari balik kaunter melirik sendiri. Menyedari perubahan air muka Shafie, Ramlah berasa lega. Pertama, kerana sekurang-kurangnya dapat membuat seseorang tersenyum lagi di dalam perpustakaan tak berpelawat ini. Kedua, kerana mesejnya yang terburu-buru tadi difahami oleh seseorang, biarpun mesej itu bercelaru dan tidak jelas.

“Membantukah, encik?” tanya Ramlah dalam suara yang kecil.

Shafie meletakkan novel itu di atas meja lalu memandang ke arah Ramlah.

“Shafie. Nama saya Shafie. Dan ya, memang sangat membantu bahagian tu.”

Wajah Ramlah mula ceria semula. Warna merah dan perasaan malu memudar pergi. Dengan satu senyuman yang lebar, Ramlah berkata dengan suara yang teruja:

“Kan?”

Mereka berdua berbalas senyuman. Perasaan lawak dan riang melingkari mereka, bagai debu-debu buku yang menari di udara, merawak menerawang tenang berkecamuk. Satu perasaan yang susah Shafie ungkapkan dalam kata-kata. Mungkin cik pustakawan Ramlah tahu apa perasaan ini, tapi Shafie gentar untuk bertanya. Takut disalah-erti.

“Cinta..” tiba-tiba Ramlah bersuara.

“Ah? Eh!? Apa?” bercelaru keluar kata-kata Shafie.

Jantungnya berdegup kencang. Otot-otot di bahunya menegang keras. Apakah yang Ramlah maksudkan dengan perkataan tersebut?

“..adalah apa yang saya mahu katakan. Tapi jika saya berkata begitu, jahatlah saya,” jelas Ramlah dalam nada yang perlahan.

Penjelasan yang hanya merumitkan keadaan. Titsan peluh dingin memercik di dahi Shafie. Jelas tampak kegelisahan dirinya dalam situasi yang sudah kembali janggal. Melihat wajah Shafie yang keliru, Ramlah berdiri lalu menundukkan kepala ke arahnya.

“Maaf Encik Shafie, kerana telah mempermainkan kamu sebelum ini,” Ramlah bersuara dalam nada yang terikhlas.

Namun kekeliruan Shafie hanya bertambah selepas mendengar permohonan maaf Ramlah.

“Bila awak permainkan saya?” Shafie bertanya sejujurnya.

“Eh, maksud saya, maaf kerana ingin mempermainkan kamu,” Ramlah membetulkan kata-katanya sebentar tadi.

Sejurus mendengar penjelasan sebenar Ramlah, bahu Shafie mengendur. Nafasnya kembali teratur. Wajahnya menjernih dan tampak lega. Lantas muncul satu garisan tipis melakar senyuman di bibirnya.

“Oh, itu pula maksud awak. Bermakna awak boleh agak lah apa yang saya fikirkan, dan awak ingin mengambil kesempatan tetapi pada saat akhir, awak rasa bersalah terhadap saya?”

Ramlah tidak terus menjawab. Matanya melirik ke kiri. Nafasnya terhela perlahan, menghembus debu yang melingkari dirinya. Maka bertebaranlah debu tersebut dalam sinar mentari yang mengintip masuk dari tingkap kecil loteng bangunan itu.

“Ya, saya cuba mengambil kesempatan,” akhirnya Ramlah berkata dalam suara yang kecil lalu mengangkat wajahnya.

“Maafkan saya, Encik Shafie,” sambungnya lagi dengan pandangan berkaca-kaca.

Melihat reaksi Ramlah, Shafie tidak dapat menahan geli hatinya. Dengan tangan menangkup mulut, Shafie cuba untuk meredam tawanya. Namun itu hanya usaha yang sia-sia. Suaranya terluah juga, bergema di dalam perpustakaan kecil itu. Tawa yang besar, yang kasar, yang sangat riang, yang hangat dengan kemesraan. Ramlah terus memandang Shafie, dirinya sendiri mula tersenyum. Pada masa yang sama, dia berasa sungguh keliru. Keliru sungguh. Pelik sungguh. Tapi dia menghargainya. Apakah yang pengunjung tunggal perpustakaan ini sedang lakukan, Ramlah dapat meneka. Seyogia kerana dia punya penaakulan yang telah terasah oleh beribu-ribu jilid buku, majalah, kitab, dan pustaka. Dia tahu, atau sekurang-kurangnya dapat mengagak aliran proses pemikiran Shafie.

Terasa satu sentapan dalam hatinya, rasa sakit hati kerana perasaannya dipermainkan semula oleh sasaran sendaannya. Pada masa yang sama, Ramlah berbisik kepada dirinya sendiri, inilah balasanmu kerana ingin memperguna kenaifan orang lain untuk tujuan hiburan semata-mata. Satu ironi, si pemburu jadi buruan si mangsa. Satu lawak yang menjadi, cuma kali ini dialah bahan lawak dan Shafie penonton.

Menyedari bahawa dia telah dikenakan qisas, Ramlah duduk semula di kerusi belakang kaunter. Perasaannya berkecamuk, bercampur-baur, bertindih antara marah dan lega dan lucu. Dengan wajah yang tertunduk, satu keluhan terluah dari mulutnya. Seterusnya, Ramlah menggelengkan kepalanya berulang kali, senyuman pahit di wajah. Dia kurang pasti apakah yang lebih menguasai dirinya ketika itu; perasaan lucu ataupun marah. Tapi seperkara yang dia pasti, perilakunya, tindakbalasnya pasti sama dengan Shafie sebelum ini, dan Shafie kini mendapati bahawa perilaku ini mencuit hati.

“Maaf Ramlah. Sudah lama saya tidak ketawa begini. Apabila saya terlihat muka awak yang jujur rasa bersalah, saya terasa seperti awak telah dikenakan oleh hukum karma,” kata Shafie apabila tawanya mereda.

Mendengar kata-kata Shafie, Ramlah mengangkat wajahnya lalu menghadap ke arah punca suara tersebut. Kelihatan genangan air jernih di mata Shafie. Pipi Shafie masih merah dek menahan tawa. Ramlah mengambil sapu tangan kecil dari kocek kainnya lalu dihulurkan kepada Shafie. Shafie menerima sapu tangan tersebut dengan satu senyuman di wajah.

“Terima kasih,” kata Shafie, lalu menyeka air matanya.

“Sama-sama kasih,” balas Ramlah, senyuman lembut mengiringi.

Dalam kucar-kacir emosi dan mental dua insan ini, mereka saling menemui sesuatu yang berharga pada diri yang bertentangan. Satu tenaga yang sukar untuk diungkapkan dalam kata-kata, yang halimunan tetapi nampak pada wajah mereka, pada girang dan malu dan lega satu sama lain. Dan untuk itu, Shafie memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana telah menggerakkan hatinya untuk  keluar dari rumahnya pada hari ini. Dia tidak pasti apakah perasaan atau tenaga yang sedang mengulit mereka berdua, dirinya dan Ramlah, tetapi dia tahu bahawa ia adalah sesuatu yang baik.

Sesuatu yang lembut, yang tidak kenampakan pada masa-masa biasa, tetapi jika ia wujud dalam bentuk fizikal, pasti semua orang seluruh dunia akan berebut-rebut untuk memilikinya. Itulah yang terlintas di fikiran Shafie apabila dia cuba untuk menyimpulkan tenaga itu dalam kata-kata. Dia pasti cik pustakawan Ramlah tahu apa perasaan ini, tenaga ini, dan dia yakin Ramlah boleh memberikan penerangan yang terbaik. Dia tidak tahu kenapa dia berfikir sebegitu, tetapi itulah yang dia fikirkan. Dan kali ini, Shafie putuskan untuk tidak gentar bertanya. Kali ini, dia tidak gentar disalah-erti.

“Apakah ini?” tanya Shafie dengan suara yang girang.

“Apa maksud kamu?” tanya kembali Ramlah, tidak dapat menangkap intipati persoalan yang diajukan kepadanya.

“Ini,” kata Shafie, kedua-dua belah tangannya membentuk satu pergerakan membulat melingkari mereka berdua.

“Apakah yang sedang kita lakukan ini? Kenapa saya rasa begitu senang dengan awak, padahal saya baru seketika mengenali awak?” sambung Shafie lagi.

Mendengar kata-kata Shafie membuatkan Ramlah tersipu. Suaranya kaku di kotak vokal. Minda buntu di perantaraan waktu yang begitu singkat tetapi begitu lama dirasakan peralihannya. Dipandangnya mata Shafie; mata Shafie memandangnya kembali. Masih menanti jawapan daripada Ramlah. Masih setia menanti. Itulah yang terlintas di hati Ramlah apabila melihat tenungan mata tersebut, walhal baru sahaja beberapa ketika berlalu. Melihat wajah Shafie yang gembira tetapi serius, yang masih menanti kata-kata balas daripadanya, Ramlah memutuskan untuk menjamu tetamunya dengan jawapan yang manis dan memuaskan, yang bakal mengundang pertanyaan lanjut tetapi tidak membosankan apabila diketahui segala apa yang ditanya. Dengan ritma pernafasan yang dikawal dan secalit senyuman perias muka, Ramlah memberi kata balas yang dinanti Shafie.

“Kimia,” jawab Ramlah pendek.

Girang di wajah Shafie berubah bentuk menjadi satu ekspresi yang pelik, gabungan gembira dan hairan, dan juga secubit perasaan lawak.

“Kimia? Macam subjek sains kat sekolah tu?” tanya Shafie kembali, tidak mempercayai bahawa jawapan kepada ‘ini’ boleh diungkapkan dalam satu perkataan yang mudah.

Ramlah mengangguk, senyuman di wajah melebar nakal.

“Tidaklah. Encik Shafie tahu, dalam kajian psikologi barat terdapat satu perasaan, satu bentuk tenaga yang boleh membawa maut dan telah membawa maut, yang telah dipersalahkan untuk pelbagai malang yang menimpa segelintir umat manusia-“

“Dan perasaan itu ialah.. kimia?” sampuk Shafie.

“Ya! Tetapi bukanlah kimia dalam maksud harafiahnya,” sambung Ramlah penuh bersemangat.

“Hara-apa?”

“Harafiah. Literal. Bukan kimia yang literal yang kamu pelajari di sekolah,” jelas Ramlah lagi.

Shafie terdiam seketika, cuba memproses kata-kata Ramlah. Kimia? Aku tak pernah terdengar pun pasal perasaan ini, bisik hati Shafie. Psikologi barat? Kimia? Chemistry? Ha!? Ooh…

Shafie melemparkan pandangannya kembali ke arah Ramlah yang mula ketawa kecil. Tawa yang kecil, yang comel, yang sangat melegakan, yang sangat menjengkelkan. Menyedari bahawa dirinya telah dipermainkan oleh cik pustakawan yang tampak mulia pada awalnya tetapi sebenarnya seorang yang nakal dan suka mempersendakan orang, Shafie ikut ketawa sekali. Dia pasti perasaan yang patut dia rasai pada saat ini adalah perasaan marah, atau sekurang-kurangnya jengkel dengan perbuatan pustakawan ini, lebih-lebih lagi selepas baru sahaja meminta maaf kerana berniat mempermainkan dirinya awal tadi. Sebaliknya, dia berasa senang dengan perbuatan cik pustakawan ini. Dia sendiri rasakan bahawa perilakunya, tindakbalasnya yang telah dijangka itu sesuatu yang melucukan. Jika dia sendiri sudah tercuit hati dengan kehairanan sendiri, Shafie pasti si cik pustakawan lebih merasainya. Dengan itu, Shafie membuat keputusan untuk memaafkan sendaan Ramlah si pustakawan perpustakaan kecil tak berpengunjung ini. Biarlah dia berasa suka dengan keliru diriku, fikir Shafie.

“Jadi awak rasa kita punyai chemistry antara kita?” tanya Shafie apabila tawanya mereda.

“Kalau Encik Shafie ingin memanggilnya sebegitu, saya tidak membantah,” jawab Ramlah licik.

“Jadi, kalau bukan chemistry, apa?” Shafie terus menyoal, tidak berpuas hati dengan balasan Ramlah.

“Mungkin bukan chemistry seperti yang Encik Shafie gambarkan, di mana dua manusia bertemu dan merasakan bahawa mereka senang bersama dan membuat tanggapan bahawa mereka akan senang bersama selamanya, hanya untuk dibuktikan oleh masa dan keadaan bahawa tanggapan awal mereka itu sekadar impi kosong.”

“Masih tidak menjawab soalan saya.”

“Mungkin kita berada dalam situasi yang harmoni. Ya. Saya lebih suka beranggapan bahawa kita, dalam bangunan penuh buku dan debu ini, di antara kesuaman pintasan cahaya matahari dari tingkap kecil di atas sana dan kesejukan udara pendingin hawa, dengan tingkahlaku kita dan tindakbalas kita, telah membentuk satu simfoni yang harmonik, yang tak mungkin akan terulang melainkan jika hari ini berulang. Itulah jawapan saya untuk ‘ini’,” akhirnya Ramlah menjawab dengan jujur, wajah masih tak lekang daripada senyuman.

Mendengar jawapan panjang lebar Ramlah membuatkan Shafie terpana. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, tetapi jawapan itu juga kedengaran lengkap. Mengejar kesimpulan yang lain akan membuatkan dirinya kelihatan terdesak, dan ego Shafie melarang dirinya daripada berbuat sedemikian. Sebenarnya dia sudah tahu apa jawapan yang dia mahu dengari daripada Ramlah, tetapi cik  pustakawan ini menafikan hasrat hatinya. Akhirnya, hanya satu senyuman tawar yang mampu Shafie bangkitkan di wajahnya. Menyedari senyuman yang janggal tersebut, senyuman Ramlah sendiri memudar. Senyuman janggal tersebut menebarkan auranya, dan mereka sekali lagi diselaputi suatu perasaan janggal yang menyesakkan.

Mereka berdua diam seketika, membiarkan debu-debu buku bercerita bagi pihak mereka. Shafie memandang ke arah novel yang sejak tadi berada dalam genggamannya. Yang Benar, Mr Jealous. Rasanya pada saat ini, ketika ini, Mr Jealous itu adalah hatinya yang terlalu tamak dan naif, yang mengharapkan realiti serupa ideal. Hati yang sama telah dikecewakan oleh harapan bahawa sesuatu yang istimewa telah bercambah di antara mereka berdua, harapan yang tinggal harapan. Dan hati yang kecewa itu telah merompak mereka daripada suasana santai dan ramah awal tadi. Menukar udara yang riang menjadi janggal dan menyesakkan. Mengunci kata-kata di balik bibir-bibir mereka.

Menyedari bahawa suasana itu tidak dapat diubah dirinya, Shafie bingkas bangkit dari duduknya. Beberapa langkah kemudia, dia meletakkan novel itu di atas kaunter. Ramlah mendongak, satu tanda tanya terpancar di wajahnya.

“Saya nak pinjam buku ini. Bolehkan, cik pustakawan?” tanya Shafie dalam nada yang agak mendatar.

Ramlah membalas dengan satu senyuman kecil.

“Maaf Encik Shafie, tetapi buku-buku di perpustakaan ini hanya untuk bacaan di sini sahaja. Kami tidak mempunyai sistem rekod pinjaman buku,” jawab Ramlah, suaranya jelas dan teratur.

“Oh, begitu..” kata Shafie dalam nada yang kecil dan meleret, pandangan ditunduk ke arah novel itu.

“Tapi memandangkan perpustakaan ini sudah lama tidak dikunjung, rasanya saya mampu ingat siapa yang membawa keluar satu daripada 723 jilid novel yang berada di bawah jagaan saya,” sambung Ramlah pula.

Dengan mata yang membundar, Shafie mengangkat pandangannya kembali ke arah Ramlah. Mungkin kerana suasana sunyi yang mencengkam sudah berlarut pergi, mungkin juga kerana hanya mereka berdua berada di sana, saat pandangannya jatuh pada wajah pustakawan tersebut, pangkal jantungnya dirangkul sentap. Wajah yang cantik tapi biasa itu, yang tidak luarbiasa, yang boleh disamakan dengan nasi yang dimakan hari-hari, ataupun langit yang indah tetapi dilupakan oleh manusia yang sudah kecanduan gajet dan internet, sedang memberikan satu senyuman comel mengiyakan ‘pinjaman’ novel tersebut. Dan saat itu Shafie tahu bahawa sepanjang sejarah peradaban manusia beberapa milenia yang telah berlalu dan yang akan datang, sepanjang hayatnya yang telah berlalu dan yang akan datang, itulah senyuman paling comel Shafie pernah lihat. Itu adalah satu fakta yang tidak boleh disangkal sesiapa.

“Tetapi encik perlu berikan nombor telefon encik kepada saya,” tambah Ramlah, memecahkan pukauan yang melingkari Shafie.

“Nombor telefon?” Shafie bertanya, jantungnya berdegup kencang.

“Ya. Saya perlukan nombor telefon Encik Shafie sebagai, urm.. insurans? Ya! Sebagai insurans seandainya Encik Shafie terlupa untuk pulangkan buku tersebut,” terang Ramlah.

“Oh, OK, OK,” balas Shafie, sedikit kelam-kabut.

Dan dengan itu, berakhirlah urusan pinjaman novel tersebut. Setelah bertukar nombor telefon, Shafie mengucapkan terima kasih lalu beredar pergi, meninggalkan Ramlah seorang diri di bangunan kayu satu tingkat itu. Kesunyian menjelma kembali, mengambil tempatnya yang telah dikacau oleh kehadiran seorang pelawat rawak. Dan Ramlah menyambut kesunyian dengan penuh terbuka, maklum bahawa kesunyian-lah kawannya yang setia meneman dirinya hingga ke hujung masa ini, jika ada.

Tiba pukul lima petang, jam kayu tinggi di tepi pintu masuk berbunyi lima kali. Ramlah mengatup Epilog Nusantara lalu meletaknya kembali di tempat asalnya. Suis pendingin hawa dan lampu bahagian belakang ditekan tutup. Maka sekali lagi, terhentilah masa untuk debu-debu buku di dalam ruang itu. Melangkah keluar, Ramlah memusingkan tanda ‘Buka’ kepada ‘Tutup’ di pintu masuk utama perpustakaan itu, mengunci pintu tersebut, lalu beredar pulang ke rumahnya.

Malam itu, ketika membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk hidangan makan malam mereka, Ramlah terdengar bunyi deringan telefon bimbitnya. Setelah berlari-lari anak ke kamarnya, Ramlah mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja. Diteliti nombor dan nama yang terpampang pada skrin tersebut. 014-567XXXX, Shafie Ganjil. Satu senyuman menyinggah di wajah. Ramlah membiarkan was-was menguasai dirinya untuk sementara sebelum akhirnya memutuskan untuk menjawab panggilan tersebut.

“H-Helo?” Ramlah memulakan bicara dengan suara yang gugup.

“Ramlah. Ni Shafie, yang b-baru pinjam novel dari p-perpustakaan awak petang tadi,” kedengaran suara Shafie bergetar di hujung talian.

“Ah, ya Encik Shafie. Ada apa-apa yang boleh saya bantu encik lagi?” Ramlah bertanya dalam nada profesional yang tidak disengajakan.

“Begini Ramlah. Saya.. mungkin tidak dapat.. memulangkan novel tersebut.. dalam tempoh terdekat. Maafkan saya..” kedengaran suara Shafie beransur berat.

Menyedari keganjilan di sebalik nada dan intipati percakapan Shafie, Ramlah berubah cemas. Peluh dingin mula pecah di dahinya.

“Err, kenapa ya Encik Shafie? Shafie, kamu OK-kah?” tanya Ramlah dengan cemas.

“Ramlah.. maafkan.. saya..”

Sejurus kemudian, kedengaran bunyi hentakan, bagaikan telefon di hujung sana terjatuh lepas dari genggaman. Talian masih bersambung tetapi senyap tanpa suara.

“Shafie? Shafie!? Dengar tak? SHAFIE!”

Namun panggilan Ramlah tidak berbalas. Yang menjawab di corong telefon hanyalah kesunyian yang nyata.

6.14 pm

7 Mei 2017

Bahagian seterusnya

Advertisements
Abadi

2 thoughts on “Abadi

  1. Keon Nyssa MS says:

    Your writings are something else these days, Bun. I look forward to see your writing on the bookstore shelf.

    1. Thank you Keon, but I still have a ways to go before that. Imho, my writing is still selfish and unrelatable to the masses, I guess. Not something ready for commercial publication, haha. Anyways, I’m glad you enjoy it.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s