Abadi


1.

Engsel pintu mengeluarkan bunyi geselan yang memecahkan kesunyian sebaik sahaja Shafie menolak buka pintu itu. Dengan serta-merta, bau kertas dari segala buku, majalah, kitab, dan pustaka menyerbu rongga nasalnya. Dalam biasan cahaya matahari yang masuk dari tingkap kecil yang memanjang membarisi bahagian loteng perpustakaan kecil itu, kelihatan habuk-habuk halus menari ria mengikut rentak hawa yang tenang, sekali-sekala terganggu oleh pergerakan hawa dingin yang dihembus mesin pendingin hawa model lama.

Lantai kayu perpustakaan itu berkeriuk apabila Shafie melangkah ke arah kaunter yang terletak bertentang pintu hadapan tempat dia masuk sebentar tadi. Di kaunter itu, seorang wanita, pustakawan agaknya, sedang membaca sebuah novel dengan tekun. Mampir dirinya, Shafie dapat melihat judul novel itu. Epilog Nusantara karya Hamlin Abolhi. Bukan satu judul yang ranggi persis tajuk novel-novel dewasa kini. Malah, nama penulisnya pun tidak mempunyai sifat komersil dan plastik selaras nama penulis-penulis kontemporari.

“Ehem,” Shafie berdehem setibanya dia di kaunter itu.

Namun wanita itu langsung tidak endah. Anak matanya yang hitam kelihatan berlari-lari di atas lembaran novel itu, ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan dengan kepantasan yang mengujakan, biarpun yang membaca adalah wanita itu, bukan Shafie. Shafie berdehem sekali lagi. Kali ini dengan lebih kuat.

“Ehem!”

Wanita itu pantas mengangkat wajahnya. Matanya yang sedari tadi redup membundar besar. Pandangannya berkaca-kaca mempunyai gemerlap cahaya bukan berasal dari dunia ini. Rambut wanita itu, hitam dan berkilat, yang dibiar lepas terayun sekali dengan dongakan kepalanya. Pandangannya menerobosi diri Shafie, tajam tetapi tidak tertumpu. Bagaikan Shafie tidak berada di situ.

“Urm, pustakawankah?” tanya Shafie secara lembut.

Dengan semena-menanya, anak mata wanita itu mula kembali ke saiz normal. Sinar yang luarbiasa tadi beransur hilang, dan tumpuannya terarah ke wajah Shafie. Wajahnya tampak risau. Pipinya merah padam. Entah kenapa, tetapi ini membuatkan Shafie ingin sangat untuk menyentuh pipi wanita itu yang kelihatan halus dan gebu. Nasib baik kewarasan masih beraja di minda.

“Y-Ya encik, boleh saya bantu anda?” tanya wanita itu. Jelas dia tidak mendengar soalan Shafie sebentar tadi.

“Ya, saya perlukan bantuan awak. Boleh saya tanya jika terdapat buku tentang spesies burung-burung yang terdapat di Malaysia di perpustakaan ini? Saya cuba google, tapi tidak menjumpai maklumat yang saya mahu,” jawab Shafie panjang lebar.

Wanita itu diam seketika. Pandangannya terlirik ke kiri untuk sesaat sambil sudut bibirnya diketap taring kiri.

“Spesies burung di Malaysia, ya? Hrmm..”

“Kalau tidak ada, tidak mengapa,” sampuk Shafie.

“Sekejap ya, encik. Saya rasa kami ada buku yang encik perlukan. Cuma saya tidak tahu jika ia memadai atau tidak. Encik tidak cuba cari di perpustakaan negeri di pekan?”

“Saya ke sana, tapi pustakawan di sana kata mereka tiada buku yang saya cari. Mereka yang cadangkan saya untuk datang ke sini. Banyak buku pelik di sini, kalau ikut cakap mereka lah,” Shafie membalas dalam nada yang riang, cuba untuk meramahkan keadaan.

“Banyak buku pelik..” ulang wanita itu dengan perlahan, pandangannya kembali tidak fokus. Hampir terlalu perlahan, bagaikan satu bisikan, ia mungkin sahaja monolog dalaman yang terluah secara tidak sengaja, fikir Shafie.

Sedetik kemudian, pandangannya kembali ke realiti. Matanya terkilas ke arah Shafie untuk sesaat, kemudian teralih dengan tolehan kepala yang deras. Merah di pipinya yang surut sebentar kembali marak. Wanita itu bingkas bangkit dari tempat duduknya.

“Err, tunggu di sini sekejap ya encik. Saya pergi ambil buku-buku tersebut,” kata wanita itu dengan suara yang sedikit patah.

Wanita itu meninggalkan Shafie seorang diri di kaunter. Kedengaran langkahan kakinya beransur jauh. Sempat Shafie mengerling ke arah kaki wanita itu. Kasut Convers hijau pekat dan kain berwarna pic beropol-ropol paras buku lali. Ada gaya, bisik Shafie dalam hati.

Apabila wanita itu hilang dari pandangannya, mata Shafie melilau ke serata ruang perpustakaan. Perpustakaan ini cukup kecil tetapi dengan saiznya yang tidak seberapa, terdapat satu aura yang melingkari lorong-lorong raknya, yang menyelaputi meja-meja kosongnya, yang berada di dalam udaranya dan membuatkan tempat ini tampak mistik, tampak tenang, dan tampak eksklusif. Seperti ada satu lohong halimunan menebarkan tarikannya ke serata udara ruang ini, menarik dengan daya yang tak boleh diterangkan oleh sains dan teknologi. Sekadar satu perasaan, tetapi ia cukup kuat hingga Shafie tak boleh nafikan biarpun jika dia mahu.

“Encik, saya dah letakkan buku-buku tersebut di atas meja di belakang sana,” tiba-tiba wanita itu bersuara.

Shafie tidak menyedari bila masanya wanita itu kembali ke kaunter, dan itu sedikit mengejutkan dia. Pandangannya yang menerawang di serata ruang kembali tertumpu ke kaunter. Wanita itu telah duduk kembali di kerusinya. Menyedari pandangan Shafie, wanita itu melirik satu senyuman tipis lalu mengunjukkan tangan kanannya ke sebuah meja berhampiran kaunter itu.

“Di sana ya encik,” kata wanita itu lagi.

“Oh, ya, ya. Ok. Terima kasih banyak ya cik pusta-“

“Encik boleh panggil saya Ramlah,” pintas wanita itu.

Shafie terpaku seketika oleh kata-kata Ramlah. Kemudian, satu senyuman hinggap di wajahnya. Senyuman yang lembut, sayu, dan tenang pada masa yang sama.

“Ramlah. Baiklah. Sekali lagi, terima kasih banyak, Ramlah,” akhirnya Shafie menyambung bicaranya.

“Terima kasih kembali, encik,” balas Ramlah penuh lemah lembut.

Shafie melangkah ke arah meja di belakang kaunter dan mendapati beberapa jilid buku tersusun rapi. Sebuah buku bertajuk Kenali Burung-Burung Malaysia pula diletakkan berasingan dari timbunan buku yang lain. Shafie membelek buku-buku yang lain. Sebuah buku bertajuk Panduan Asas Fotografi Binatang Liar, satu lagi bertajuk The Magnificent Birds of Southeast Asia, dan buku paling bawah dalam timbunan itu bertajuk How to train your parrot (subjudul and other birds as well!). Di atas timbunan tiga jilid tersebut, sebuah novel Bahasa Melayu berjudul Yang Benar, Mr Jealous kelihatan agak asing dalam kelompok buku tersebut.

Satu kerutan muncul di dahi Shafie. Apakah Ramlah ingin membaca novel ini tetapi secara tidak sengaja tercampur buku ini bersama buku-buku yang lain? Shafie mengerling ke arah Ramlah. Dari belakang, kelihatan kepala Ramlah sedikit tertunduk menghadap novel dalam genggamannya. Ramlah sudah kembali ke dunia Epilog Nusantara. Shafie mengambil novel itu lalu menghadap ke arah Ramlah.

“Ramlah,” panggil Shafie sekali, namun tidak berbalas.

“Ehem! Ramlah?” panggil Shafie sekali lagi, kali ini dengan suara yang lebih keras.

Ramlah mengangkat wajahnya lantas berputar ke arah Shafie, dirinya masih terduduk di atas kerusi.

“Y-Ya encik, ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?” sahut Ramlah dengan sedikit gugup, sama seperti awal pertemuan mereka tadi.

Shafie mengangkat novel di tangannya, kulit hadapan menghadap ke arah Ramlah.

“Ini untuk awakkah? Tertinggal?” tanya Shafie.

“Oh, tidak. Itu untuk encik,” balas Ramlah ringkas.

Satu kerutan menyinggah di wajah Shafie.

“Untuk saya?”

Tapi aku minta buku berkaitan burung, bukannya sebuah novel, sambung Shafie dalam hatinya.

“Oh, maaf encik. Saya terlupa sesuatu. Dalam novel tu ada bahagian yang menarik tentang burung. Encik boleh lihat mukasurat 63 hingga 65 dan mukasurat 91. Saya rasa bahagian-bahagian tu mungkin bermanfaat untuk encik,” jelas Ramlah panjang lebar apabila melihat kerutan di wajah Shafie.

Masih keliru, Shafie menyelak lembaran novel tersebut. Kerutan masih lekat di dahi, Shafie akhirnya ketemu mukasurat 63. Dia mula membaca secara sepintas lalu. Perkataan demi perkataan. Bait demi bait. Cerita novel picisan itu mula mengalir membentuk satu arus naratif yang membawa dirinya ke dalam alam rekaan literasi si penulis. Tanpa menyedari, tibalah dia di perenggan yang menceritakan tentang seekor burung acang cina berekor merah yang cedera dek ditangkap kucing milik seorang watak perempuan. Dalam menyedari bahawa memang naluri binatang peliharaannya untuk memburu burung tersebut, hatinya tak sanggup melihat binatang itu dipermain sebegitu oleh kucing kesayangannya. Selepas melepaskan burung tersebut daripada cengkaman kucingnya, watak tersebut mengambil inisiatif untuk merawat burung itu. Dia menelefon rakannya yang Shafie tafsirkan sebagai seorang ‘teman tapi mesra’ yang merupakan seorang doktor haiwan lalu merawat burung itu seperti yang diarahkan.

Perenggan demi perenggan berlalu. Akhirnya selepas dua mukasurat, burung itu dilepaskan oleh watak tersebut. Dan Shafie pun menutup lembaran mukasurat yang terbuka, sebuah senyuman mekar di wajahnya. Tak disangkanya, jawapan kepada persoalan yang membawa kepada dirinya keluar setelah sekian lama terperuk di rumah ditemui dalam senaskah novel yang dia anggap picisan, murah, dan tidak berkualiti.

Ramlah yang sedari tadi masih menghadap Shafie melirik sendiri. Menyedari perubahan air muka Shafie, Ramlah berasa lega kerana sekurang-kurangnya dapat membuat seseorang senyum, lebih-lebih lagi tersenyum membaca sebuah buku dalam perpustakaan tak berpelawat ini.

“Menarik kan, encik?” kata Ramlah dalam nada ceria.

Shafie meletakkan novel itu di atas meja lalu memandang ke arah Ramlah.

“Shafie. Nama saya Shafie. Dan ya, memang menarik bahagian tu.”

“Kan?”

Mereka berdua berbalas senyuman. Perasaan lawak dan riang melingkari mereka, bagai debu-debu buku yang menari di udara, merawak menerawang tenang berkecamuk. Satu perasaan yang susah Shafie ungkapkan dalam kata-kata. Mungkin cik pustakawan Ramlah tahu apa perasaan ini, tapi Shafie gentar untuk bertanya. Takut disalah-erti.

“Cinta,” tiba-tiba Ramlah bersuara.

“Ah? Eh!? Apa?” bercelaru keluar kata-kata Shafie.

Jantungnya berdegup kencang. Otot-otot di bahunya menegang keras. Apakah yang Ramlah maksudkan dengan perkataan tersebut?

“Muka kamu, Shafie, macam orang yang dilamun cinta pandang pertama,” jelas Ramlah.

Penjelasan yang hanya merumitkan keadaan. Titisan peluh dingin memercik di dahi Shafie. Jelas tampak kegelisahan dirinya dalam situasi janggal tersebut.

“Maksud saya, mesti Encik Shafie sudah temui jawapan encik, kan? Bukan cinta secara harafiah. Cuma perbandingan situasi cinta pandang pertama dengan kelegaan menemui jawapan yang diidamkan,” Ramlah berkata lagi, senyuman tipis yang nakal menggaris bibirnya.

Sejurus mendengar penjelasan sebenar Ramlah, bahu Shafie mengendur. Nafasnya kembali teratur. Wajahnya jernih semula, jelas tampak lega.

“Oh, itu pula maksud awak. Saya ingatkan apa tadi,” kata Shafie dalam nada yang tenang.

“Ya, itu maksud saya. Maaf, tapi pasti saya maksudkan ia perbandingan, bukannya cinta pandang pertama antara kita berdua, Encik Shafie,” balas Ramlah, senyuman semanisnya penyebab diabetis merias wajahnya.

Wajah Shafie berubah merah padam. Lantas dia memalingkan wajah ke arah barisan rak buku di sebelah kanan perpustakaan itu.

“Y-Ya, pasti itu maksud cik. Saya tidak berfikir sebaliknya,” jelas Shafie, cuba mengurangkan kejanggalan situasi tersebut.

Melihat reaksi Shafie, Ramlah tidak dapat menahan geli hatinya. Dengan tangan menangkup mulut, Ramlah cuba untuk meredam tawanya. Namun itu hanya usaha yang sia-sia. Suaranya terluah juga, bergema di dalam perpustakaan kecil itu. Tawa yang kecil, yang comel, yang sangat melegakan, yang sangat menjengkelkan. Shafie menoleh semula ke arah Ramlah. Wajahnya tampak dibarisi garisan-garisan keliru. Keliru sungguh. Pelik sungguh. Hairan yang berpanjangan. Apakah yang cik pustakawaan ini sedang lakukan? Apakah yang mengena di hati cik pustakawan ini? Proses fikirannya berusaha giat, mengundur masa dan peristiwa, cuba memahami apa yang telah berlaku selang beberapa minit pertukaran kata-kata antara mereka berdua.

Akhirnya, satu kesedaran bagai saat ‘Eureka!’ Archimedes menyinggah di mindanya. Terduduk Shafie apabila dia menyedari bahawa Ramlah sedang mempermainkan dirinya. Perasaannya berkecamuk, bercampur-baur, bertindih antara marah dan lega dan lucu. Dengan wajah yang tertunduk, satu gelak ‘heh’ terluah dari mulutnya. Seterusnya, Shafie menggelengkan kepalanya berulang kali, senyuman pahit di wajah. Dia kurang pasti apakah yang lebih menguasai dirinya ketika itu; perasaan lucu ataupun marah. Tapi seperkara yang dia pasti, perilakunya, tindakbalasnya telah dijangka oleh cik pustakawan ini, dan cik pustakawan ini mendapati jangkaannya mencuit hati. Dengan itu, Shafie membuat keputusan untuk memaafkan sendaan cik pustakawan perpustakaan kecil tak berpengunjung ini. Biarlah dia berasa suka dengan keliru diriku, fikir Shafie.

“Maaf Shafie. Terlalu lama sudah saya tidak bergurau dengan siapa-siapa. Apabila saya terlihat wajah kamu yang suci, kenakalan dalam diri saya terbangkit,” kata Ramlah apabila tawanya mereda.

Mendengar kata-kata Ramlah, Shafie mengangkat wajahnya lalu menghadap ke arah punca suara itu. Kelihatan saki-baki air mata di bucu mata Ramlah dan di bulu matanya yang panjang. Pipi Ramlah masih merah dek menahan tawa. Dia mengambil sapu tangan kecil dari kocek kainnya lalu menyeka air mata yang merimbun di hujung bulu mata. Daripada perbuatan itu, Shafie yang sedang memerhati menyedari bahawa wanita ini memakai mekap yang tersangatlah minima. Namun dalam kekurangan riasan wajah, Ramlah masih kelihatan cantik. Cantik yang biasa, yang tidak mencapai tinggi bintang di langit malam, tidak juga mengundang perasaan terawang-awang yang dibawa oleh mistik lautan dalam. Bagai nasi yang dimakan hari-hari. Kosong. Tawar. Tetapi tetap dimakan setiap hari. Itulah perumpamaan yang datang ke minda Shafie, dan dia sendiri susah untuk terangkan apa kaitan antara nasi dan kecantikan yang biasa ini.

Dalam mencari maksud kepada perumpamaan yang menjelma, Shafie tertangkap butiran kata-kata Ramlah sebentar tadi yang menarik perhatiannya. Lantas mindanya teralih daripada isu kecantikan dan nasi.

“Terlalu lama?” tanya Shafie dalam nada suara yang lebih kedengaran seperti sebuah monolog, bukannya persoalan yang ditujukan kepada orang lain.

“Ya, terlalu lama,” jawab Ramlah ringkas.

“Mungkin sebab awak lama tidak bergaul dengan kawan-kawan awak,” Shafie menambah penerangan sendiri, hipotesis yang sebenarnya memprovok balasan yang boleh memberi jawapan yang lebih jitu; sebuah gerakan retorik semata.

“Mungkin juga. Lagipun saya bekerja sepanjang masa di sini,” Ramlah mula menambah butiran.

“Setiap hari? Awak tiada hari rehatkah?” tanya Shafie, sedikit pelik dengan butiran tersebut.

“Maksud saya, hampir setiap hari. Saya bekerja dari Isnin hingga Jumaat dan Sabtu setiap selang seminggu. Tapi di sini hari-harinya sentiasa sama, sentiasa berulang. Terlalu lama sudah perpustakaan ini tidak dikunjungi sesiapa, sehingga saya sendiri kurang pasti bila kali terakhir pintu itu dibuka oleh orang lain selain diri saya dan Tuan Sadeed.”

“Tuan Sadeed?”

“Ya, Tuan Sadeed, pemilik perpustakaan ini. Sebenarnya perpustakaan ini lebih kepada koleksi peribadi dirinya dan keluarga. Hampir semua buku di perpustakaan ini dibeli oleh Tuan Sadeed dan ahli keluarganya, jadi pilihan buku-bukunya sedikit rawak mengikut minat mereka. Mungkin sebab itulah pustakawan perpustakaan di pekan tu kata kami banyak buku pelik,” tambah Ramlah sebelum menarik nafas.

“Mungkin sebab itulah kurang pengunjung ke perpustakaan ini,” Shafie menyuntik penerangannya sendiri sekali lagi.

“Ya, mungkin juga. Tapi mungkin juga kerana orang tempatan percaya bahawa tempat ini terkena sumpahan. Kamu pasti bukan orang asal sini, kan Shafie?”

Shafie menelan liur sebelum mengangguk perlahan.

“Keluarga saya berpindah ke sini lima tahun yang lepas. Saya jarang berada di sini. Selalu berpindah dari satu tempat ke satu tempat,” Shafie memberi penerangan.

“Dah agak dah. Kalau kamu berasal dari tempat ni, pasti kamu tidak ke sini,” sambung Ramlah, secalit senyuman sayu di wajahnya.

Suasana hening seketika. Ramlah mendongak ke arah tingkap kecil di loteng bangunan itu. Kesunyian merayap masuk lalu menguasai seluruh ruang tersebut. Cuma debu-debu yang bertebaran sahaja yang mengeluarkan bunyi dalam perpustakaan itu. Bunyi-bunyian yang terhasil dek getaran zarah-zarah mereka. Apakah getaran itu berfrekuensi terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk telinga manusia menafsir sebagai bunyi, Ramlah kurang pasti. Atau dengan lebih tepat, Ramlah tidak ingin pun pasti. Biarlah faktanya kabur dalam tanya-tanya.

“Err.. jadi kenapa orang tempatan kata perpustakaan ini terkena sumpahan?” Shafie memecahkan hening dengan persoalannya.

Ramlah kembali memandang ke arah Shafie, mata menguyu, senyuman sayu masih melekat di wajah.

“Dulu, sebelum perpustakaan di pekan dibuka, inilah bangunan cawangan perpustakaan negeri di daerah ini. Bila perpustakaan sekarang tu dibina dan dibuka, bangunan ini sepatutnya dirobohkan. Tetapi Tuan Sadeed tidak setuju dengan cadangan tersebut. Jadi dia membeli bangunan ini dan kekalkan sebagai perpustakaan. Cuma kini perpustakaan ini penuh dengan koleksi mereka anak-beranak,” jelas Ramlah panjang-lebar.

“Masih tidak menerangkan aspek ‘sumpahan’ perpustakaan ini,” pintas Shafie.

“Ya, masih tidak menerangkan. Ada satu perkara yang perlu saya nyatakan terlebih dahulu.”

“Apa?”

“Saya kata ini semua koleksi Tuan Sadeed sekeluarga, tetapi hakikatnya keluarga Tuan Sadeed sudah tidak wujud.”

“Maksud awak?”

“Maksud saya, Tuan Sadeed sekarang tinggal sebatang kara. Dia sudah tidak mempunyai ahli keluarga lain. Sekurang-kurangnya itulah cerita yang tersebar dalam kalangan kami orang tempatan.”

“Mati? Cerai? Ataupun-“

Belum sempat Shafie menghabiskan ayatnya, Ramlah mencelah dengan jawapan.

“Ya, mati. Kesemuanya.”

Ramlah melepaskan helaan nafas yang agak berat, serasanya mampu ditimbang kati kilonya.

“Dan di situlah bermulanya cerita pasal sumpahan tu,” Shafie menyambung.

Ramlah sekadar mengangguk sekali.

“Bagaimana-“

Shafie tidak menghabiskan ayatnya apabila melihat Ramlah menggelengkan kepala. Matanya terkatup. Kelihatan cahaya matahari terbias di hujung alis matanya. Mutiara air penanda kesedihan sudah muncul di sana, di dalam hati si cik pustakawan. Melihat Ramlah dalam keadaan penuh emosi sebegitu, jantung Shafie disentap oleh kasar realiti dan bobrok dirinya yang tidak sensitif, yang bertanya langsung, yang menganggap kematian-kematian tersebut tidak lebih daripada gosip semata. Serta-merta Shafie berasa muak dengan dirinya sendiri, berasa benci dan marah dan meluat pada kurangnya logik dan simpati dirinya, dan pada masa yang sama berasa sedih pada dirinya yang tidak menyedari hal ini.

“Maaf bertanya,” Shafie berkata, cuba untuk menjernihkan keadaan.

“Eh, tidak. Patutnya saya yang meminta maaf lepada kamu, Encik Shafie,” balas Ramlah perlahan, suara kedengaran basah dan sedikit serak.

Mereka berdua diam seketika, membiarkan debu-debu buku bercerita dalam hayunan yang tidak sekata. Shafie memandang ke arah novel yang sejak tadi berada di tangannya. Yang Benar, Mr Jealous. Rasanya pada saat ini, ketika ini, Mr Jealous itu adalah kesunyian yang merompak mereka daripada suasana santai dan ramah awal tadi. Menukar udara yang riang menjadi berat dan pilu. Mengunci kata-kata di balik bibir-bibir mereka.

Menyedari bahawa suasana itu tidak dapat diubah dirinya, Shafie bingkas bangkit dari duduknya. Beberapa langkah kemudian, dia meletakkan novel itu di atas kaunter. Ramlah mendongak, satu tanda tanya terpancar di wajahnya.

“Saya nak pinjam buku ni. Bolehkah, cik pustakawan?” tanya Shafie dalam nada yang agak mendatar.

Ramlah membalas dengan satu senyuman kecil.

“Maaf Encik Shafie, tetapi buku-buku di perpustakaan ini hanya untuk bacaan di sini sahaja. Kami tidak mempunyai sistem rekod pinjaman buku,” jawab Ramlah, suaranya jelas dan teratur.

“Oh, begitu..” kata Shafie dalam suara yang kecil dan meleret, pandangan ditunduk arah ke novel itu.

“Tapi memandangkan perpustakaan ini sudah lama tidak dikunjung, rasanya saya mampu ingat siapa yang membawa keluar satu daripada 723 jilid novel yang berada di bawah jagaan saya,” sambung Ramlah pula.

Dengan mata yang membundar, Shafie mengangkat pandangannya kembali ke arah Ramlah. Mungkin kerana suasana sunyi yang mencengkam sudah berlarut pergi, mungkin juga kerana hanya mereka berdua berada di sana, saat pandangannya jatuh pada wajah pustakawan tersebut, satu sentapan merangkul pangkal jantungnya. Wajah yang cantik tapi biasa itu, yang tidak luarbiasa, yang boleh dilihat sehari-harian di mana sahaja di atas muka bumi Allah yang luas ini, sedang memberikan satu senyuman comel mengiyakan ‘pinjaman’ novel tersebut. Dan saat itu Shafie tahu satu fakta yang tidak boleh disangkal, bahawa sepanjang sejarah peradaban manusia beberapa milenia yang telah berlalu dan yang akan datang, sepanjang hayatnya yang telah berlalu dan yang akan datang, itulah senyuman yang paling comel Shafie pernah lihat.

“Tapi encik mesti berjanji untuk menjaga buku tersebut dan pulangkan ke perpustakaan ini,” tambah Ramlah, memecahkan pukauan yang melingkari Shafie.

“Oh, OK. Ya. Maklum,” balas Shafie, sedikit kelam-kabut.

“Pastikan kamu pulangkan buku tu, ya? Biarpun jika saya tidak mengetahuinya, tolong pulangkan buku itu.”

Dan dengan itu, berakhirlah urusan pinjaman novel tersebut. Shafie mengucapkan terima kasih lalu beredar pergi, meninggalkan Ramlah seorang diri di bangunan kayu satu tingkat itu. Kesunyian menjelma kembali, mengambil tempatnya yang telah dikacau oleh pertukaran kata-kata dan emosi antara dua insan. Dan Ramlah menyambut kesunyian dengan penuh terbuka, maklum bahawa kesunyian-lah kawannya yang setia meneman sepanjang hari, setiap hari, hingga ke akhir masa ini, jika ada.

Tiba pukul lima petang, jam kayu tinggi di tepi pintu masuk berbunyi lima kali. Ramlah mengatup Epilog Nusantara lalu meletaknya kembali di tempat asalnya di antara novel-novel lain di atas para kedua, rak nombor tiga barisan ketiga bahagian belakang perpustakaan. Suis pendingin hawa ditekan tutup. Lampu di bahagian belakang perpustakaan juga ditutup. Maka terhentilah masa untuk debu-debu buku di dalam ruang itu. Melangkah keluar, Ramlah memusingkan tanda ‘Buka’ kepada ‘Tutup’ di pintu masuk utama perpustakaan itu, mengunci pintu tersebut, lalu beredar pulang ke rumahnya.

Malam itu, selesai membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk hidangan makan malam mereka, Ramlah kembali ke kamarnya. Telefon bimbit dicapai dari atas meja sebelum dia melontarkan dirinya ke katil. Dibuka kunci skrinnya lalu diteliti  nombor-nombor pada skrin tersebut. 22:31,15 Mei 2016. Ramlah seterusnya membuka aplikasi jurnal dalam telefonnya, berniat untuk mengisinya, tetapi terhenti pertengahan jalan. Satu senyuman menyinggah di wajah. Ramlah menggelengkan kepalanya berulang-kali sebelum menutup aplikasi jurnal itu tanpa habis menulis entrinya. Diletakkan telefon tersebut kembali di atas meja sebelah katil sebelum dirangkulnya Pocong si bantal peluk.

“Hari yang pelik,” luah Ramlah kepada dirinya sendiri.

Di satu lokasi lain pula, pada masa yang sama, kelihatan sekujur tubuh kaku dalam  posisi yang mengerikan. Darah pekat mengalir dari mulut dan hidungnya, membentuk takungan sederhana besar di tengah jalan raya. Beberapa meter dari tubuh itu, kelihatan sebuah beg silang yang terobek buka, isinya terluah di tepi jalan. Dalam longgokan tersebut kelihatan novel Yang Benar, Mr Jealous mengintip dari sebalik helaian pakaian, kaku menanti dipungut sesiapa.

1.28 pm

18 April 2017

Advertisements
Abadi

One thought on “Abadi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s