Kuat


Adakalanya aku tertanya-tanya, apakah yang terlihat oleh mereka padaku? Apakah yang terimbas di kornea mereka itu kenyataan realiti ini ataupun olahan minda yang ingin mengacu seorang aku menjadi apa yang mereka kehendaki? Mereka inginkan kehebatan, keampuhan seorang manusia yang mereka boleh gelarkan setara dengan diri mereka. Dan secara tersirat mengadun kehebatan dan keampuhan seorang aku, baik khayalan ataupun realiti, hal itu tidak penting, ke dalam keperibadian individual mereka, lantas memujuk seorang penghina dalam setiap diri mereka dengan berkata “ya, kau juga hebat sepertinya”.

Ya, aku tertanya-tanya sekali lagi. Setelah beberapa kali aku bertanya, masih lagi ingin aku bertanya soalan yang sama. Apakah aku dahagakan pujian yang terlahir daripada pandangan peribadi mereka terhadapku? Apakah aku seronok menerimanya? Di luarnya, aku katakan tidak, tapi di dalam? Apakah ego aku kenyang mendengar segala pujian tersebut, lalu ia gembar-gemburkan kepada mindaku seraya berkata “kita hebat! Kita bukan seperti mereka! Kita di atas mereka!” Lalu mindaku menurut kata egotistikal seorang egois dalam diriku, seraya menjawab “ya, kita memang hebat!”, “kita bukan seperti mereka!”, dan “kita di atas mereka!” Apakah itu kenyataan dialog antara hatiku, si ego, dan mindaku, si logika? Jika jawapannya ya, maka aku seorang manusia yang angkuh dan kufur nikmat. Angkuh, kerana dalamanku mengiyakan kata-kata mereka tanpa usul periksa kebenarannya. Kufur, kerana luaranku menolak apa yang dipinjamkan kepadaku, kehebatan diriku dan nyawaku, dan berkata aku biasa-biasa sahaja. Apakah ini bebanan menjadi seorang yang hebat? Ah, itu narsisistik namanya. Itu berdelusi namanya.

Kenapa soalan itu bertandang kembali ke mindaku? Setelah lama tidak ditanya, kenapa ia muncul kembali, si persoalan yang membuktikan bahawa narsisis itu milik keperibadianku juga? Semuanya bermula dengan aktiviti membuat nasi goreng ganjil versi entah ke berapa hari Selasa yang lalu. Di antara kelaparan yang dimaklumkan oleh perut yang berkeroncong dan kebosanan lidah merasai juadah tengah hari yang lebih kurang sahaja setiap hari (masakanku sendiri, si bibik separuh masa vila ini), kata-kata Agnes Keith menyinggah di kepala. “Setiap orang peribumi tahu bahawa untuk membuat nasi goreng, anda masukkan bawang, garam dan apa sahaja yang anda boleh capai atau lihat ke dalam kuali berminyak hangat.” Itu kata-katanya daripada buku Land Below the Wind yang dia terbitkan lewat tahun 1939. Orang peribumi itu merujuk kepadaku, kepada kami warga tanah Borneo Utara ini. Ayatnya itu pertama kali dia catatkan ke dalam buku notanya ketika sedang mengikut sang suami meredah hutan rimba tropika di tanah ini, hampir 80 tahun yang lalu. Dan aku yang mengaku peribumi kelahiran tanah ini setuju dengan pernyataan tersebut, lalu menguis mindaku untuk menerima cabaran membuat nasi goreng daripada apa-apa sahaja yang mampu dilihat atau dicapai tanganku.

Sedang mengupas kulit bawang besar, memori awal tahun mengisi ruang kosong masa dan mindaku. Ketika itu masih Januari. Ketika itu, kami makan malam bersama, melepak bersama di tepi laut hingga lewat tengah malam, sambil itu bermain truth or dare, kenangan terakhir bersama sebagai siswa-siswi mengambil kursus yang sama di hujung tanah Malaya ini. Itulah kali terakhir aku bersama mereka sebagai pelajar bersama sebelum masing-masing membawa haluan tersendiri, manakala aku menyambung satu lagi semester di sana sebagai seorang mahasiswa, kononnya. Malam itu aku memilih truth, dan malam itu seorang dia bertanya, apakah ada yang istimewa di hati? Dan aku menjawab “mungkin ada”. “Adakah dia seseorang yang kami kenali?” “Mungkin ya, mungkin tidak,” jawabku sejujurnya tanpa sekelumit pun niat ingin berdalih. Dalam kepala otakku, aku berfikir bahawa mungkin mereka mengenalinya kerana aku tidak tahu siapa yang mereka kenali dan sebaliknya. Maka sesi truth aku berakhir di situ sahaja. Aku langsung tidak khuatir atau bersyak-wasangka. Aku tidak belajar daripada pengalaman masa lampau. Dan ketika di dapur pada hari Selasa yang biasa itu, sedang jari-jemariku menggenggam kejap bawang besar di tangan kiri dan pisau bawang (nama yang aku berikan sendiri) di tangan kanan, satu ombak kebodohan melanda diriku secara tiba-tiba, menaikkan segala bulu roma di tengkuk. Tidakkah kau belajar daripada pengalamanmu, wahai si aku? Dan kau dengan selamba ke Ipoh secara tiba-tiba pada Julai lalu, mengajaknya berjumpa dan bercerita seperti biasa? Apakah yang telah kau lakukan? Apakah sanggup kau tanggung bebanan perasaannya, jika wujud?

Itulah yang membawa kepada kemunculan semula persoalan asal dalam penulisan kali ini. Seringkali aku mendengar mereka berkata “kau bijak. Kau cool. Kau matang.” Tetapi mereka tidak mengenali diriku. Mereka tidak tahu aku berdesah-desus mengenangkan kehidupanku. Mereka tidak tahu aku meradang dan menyesal ketika mereka bercerai, ketika mereka ingin bunuh diri, ketika mereka sedang depresi, ketika mereka putus cinta, ketika mereka membuat percaturan yang salah yang hanya terlihat kesannya apabila semuanya sudah terlewat. Mereka tidak tahu betapa bencinya aku terhadap diri sendiri, terhadap kelemahanku untuk sentiasa bertindak waras tanpa emosi, terhadap fikiranku yang berserabut, yang berpusing-pusing-pusing tak sudah-sudah, terhadap ketidakupayaan aku untuk menolong mereka apabila mereka memerlukannya. Mereka tidak tahu!

Jadi apakah kau ingin mereka tahu?

Mindaku kembali ke Ogos tahun lalu. Permulaan kemurunganku yang terhasil olahan warasku sendiri, yang menyusun dengan teliti sebuah labirin yang memerangkap diriku, motivasiku, keinginanku, dan daya usahaku. Ketika itu, seorang dia yang lain meminta aku memberikan dirinya semangat untuk menempuh masa hadapan yang tak dia duga. Masa hadapan jangkaannya, dia menikahi rakanku, dan mereka bahagia selamanya. Masa hadapan ini bukan jangkaannya. Rakanku tidak menikahi dia. Mereka tidak bahagia selamanya. Aku, dengan kesungguhan yang besar kemungkinan terlahir daripada rasa bersalah yang tak bertempat, memenuhi permintaannya. Memberikan dia saki-baki semangatku, kebijaksanaanku (jika ada) dalam kata-kata yang ditaip pada telefon bimbit mini kesayanganku. Dan di akhir tugasanku, dia berkata, alangkah bagusnya jika dia matang sepertiku, dan alangkah bagusnya jika dia sekuat diriku.

“Aku cuma manusia biasa sepertimu,” jawabku dalam penaipan nada bersahaja, harapnya.

Biarlah mereka tidak tahu kelemahanku. Biarlah aku menjadi adiwira, sekalipun sekadar khayalan dan olahan harapan mereka. Aku tak ingin mereka tahu bobrok diriku. Bukankah kita dipesan untuk menjaga aib masing-masing? Kalau aku harapan mereka untuk menjadi manusia yang lebih baik, biarkanlah ia begitu. Sama seperti aku ada mereka yang aku pandang tinggi, biarpun mereka mungkin tak inginkannya. Kehidupanku, kisahku, hanyalah satu titik di atas tebaran sarang labah-labah yang terlalu kompleks dan cantik. Semangat mereka yang aku pandang tinggi, biar mengalir kepada mereka yang memandang tinggi diriku pula, lalu lengkaplah kisaran yang berpaksi pada keinginan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Keangkuhan ini pula, biarlah Allah sahaja yang menilai.

5.59 pm

4 Oktober 2016

Advertisements
Kuat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s