Mudah Terlupa


DSC_0194

Aku melangkah keluar dari dewan peperiksaan sesenyap yang mungkin. Ketika itu, jam tanganku menunjukkan masa 3.40 petang. Peperiksaan masih berbaki hampir dua jam, tapi aku sudah selesai menjawab apa yang perlu dan apa yang aku mampu. Dalam hatiku terdapat satu perasaan lega yang teramat. Masakan tidak. Inilah kertas terakhir yang aku jawab sebelum menamatkan sesi pengajian sarjana mudaku. Sarjana? Kedoktoran? Aku tak pasti lagi sama ada aku ada hati dan semangat untuk mengharunginya. Belum aku putuskan lagi. Untuk masa kini, perjalananku di peringkat ini hampir ke penghujungnya. Episode penultimate sebelum viva voce sembilan hari kemudian.

Aku agak risau sebelum tiba di dewan peperiksaan tengah hari itu. Mood raya masih lagi mengaburi fokusku. Dan kembalinya aku dua hari sebelum peperiksaanku di tanah paling utara di Malaysia ini tidak membantu langsung. Aku membazirkan masaku dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Hanya pagi tersebut baru aku berjaya mengumpul segala kudrat dan semangat untuk menelaah apa yang termampu. Ingin sahaja aku berputus asa, tetapi suatu perbualan beberapa hari sebelumnya menyinggah di benak. Dan ingatan itulah yang membuatkan aku enggan berputus asa.

Malam itu, aku dan adikku seorang pergi menyambut abah ummi kami di lapangan terbang. Biarpun kepalaku berdenyut teruk, kugagahkan juga memandu meredah senja yang memudar. Nasib baik ini berlaku Kota Kinabalu, bukannya Kuala Lumpur. Aku suka senja di bandar tepi laut ini. Rona yang menggomol lembut seluruh nusantara bagai esok tak ketemu lagi, laut yang membadai lembut, membuat pusaran-pusaran air di pesisir Teluk Likas, awan yang berguling bersama arus jet di ketinggian 10, 11 kilometer dari permukaan bumi. Semuanya tenang, bersedia menyambut satu lagi malam yang tak mempunyai apa-apa keistimewaan. Semuanya biasa di bandar tepi laut ini. Tetapi ‘biasa’ inilah yang aku mula hargai sejak lapan tahun yang lalu, dan makin aku hargai pantas setiap hari yang berlalu. Sesuatu kebiasaan yang, apabila ditarik balik daripada mewarnai kehidupan sehari-harian, mengingatkan aku tentang asal-usulku yang biasa-biasa yang tak patut aku pandang enteng biarpun betapa sederhananya segala sifatku dan cerita hidupku. Ya, hargailah sederhana yang dimiliki, kerana hanya kurang daripada sederhana yang termilik orang lain. Itulah pelajaran alam kepadaku malam itu. Dan pelajaranku belum khatam malam itu.

Sebaik menyambut kedua-dua abah ummi kami, abah bertanya soalan yang selalu dia tanya apabila kami bertemu di lapangan terbang, tak kisah sama ada sebagai penumpang ataupun penyambut tetamu yang pulang dari tanah yang jauh. Sudah makankah? Adikku menjawab dengan penuh ragu-ragu, sifatnya yang selalu membuat aku naik angin. Erm, dah, tadi tengah hari, katanya. Mendengar jawapannya, aku berasa jengkel. Sering aku ingatkan dia, jika dia ingin katakan ‘ya’, katakan ya, bukannya ‘mungkin’ ataupun iringi jawapannya dengan ‘nda bah’/’main-main saja bah’. Perlu ada ketegasan dalam membuat keputusan. Aku terus mencelah dan katakan terus bahawa kami belum menjamah apa-apa pada malam tersebut. Dengan jawapan itu, abah menyuruh aku singgah di KFC untuk menapau ayam mati (sic).

Setibanya di cawangannya di tepi Jalan Tuaran Bypass, ummi dan adikku berjalan seiringan ke dalam premis tersebut, bagai adik dengan kakak, manakala aku dan abah tunggu sahaja di dalam kereta. Untuk menghapus kesunyian yang menguasai ruang kereta, aku bertanya soalan lazimku. Nenek sihatkah? Abah pun menjawab dengan jawapan lazimnya. Sihat-sihat orang tua lah. Kemudian bermulalah sesi penceritaan abah. Bagaimana nenek sakit belakang kerana tergelincir di dalam tandas tempoh hari. Bagaimana nenek hanya makan di dalam biliknya. Bagaimana dia dan bapanya patut disalahkan atas keadaan nenek, dan juga keadaan adik perempuan bongsunya. Sejujurnya, aku kurang senang dengan makcik itu. Begitu juga dengan sepupu-sepupuku. Adik-beradik abah juga sudah berputus asa untuk membetulkan perangai makcikku. Trauma masa lampau membentuk makcik tersebut menjadi seorang yang pelik, menutup hatinya dan mindanya kepada logik dan toleransi. Tetapi abah tak berputus asa ke atas adiknya. Abah masih menyimpan harapan untuk adiknya berubah menjadi manusia yang lebih baik, manusia yang sederhana seperti kami semua, yang mampu melepaskan dendam dan memaafkan seluruh umat manusia yang dia rasai telah mengkhianati dirinya. Bagi aku, abah optimis yang melampau. Optimisme yang dia bawa terlalu likat, terlalu manis, ia memualkan. Dan di sini terbuktilah aku lupa pelbagai perkara.

Dalam beberapa minit yang seterusnya, mendengar kata-kata abah yang penuh bersadur optimisme bukan sahaja untuk adiknya bahkan juga untuk seluruh umat manusia, mindaku terpanggil satu teka-teki yang aku temui beberapa tahun yang lalu. Teka-tekinya berbunyi begini.

“Dua orang ibu dan dua orang anak perempuan berjalan-jalan di satu taman pada suatu hari yang panas terik. Setelah penat berjalan, mereka duduk di sebuah bangku yang berdekatan dengan sebuah gerai aiskrim. Sebiji aiskrim berharga RM2, manakala kumpulan tersebut hanya mempunyai sejumlah RM7. Namun begitu, setiap orang mendapat sebiji aiskrim. Bagaimana?”

Cerita abah berubah menjadi leteren dan berakhir sebagai satu syarahan agama, selayaknya dia seorang pensyarah, namun tak selayaknya dirinya seorang pensyarah undang-undang. Putus asa tidak boleh berada dalam kamus kehidupan kita, lebih-lebih lagi kita sebagai orang Islam. Kerana setiap apa yang tak tercapai oleh kita, Allah tersangatlah mampu untuk mencapai dan menyorongkannya kepada kita. Jadi, kita yang tak mampu pun mampu memiliki apa yang kita hajati kerana Allah mampu. Allah Maha Pemurah. Kita ada Allah. La ilaha illallah. Itulah kata-katanya, bersama iringan ayat-ayat Ad-Dhuha bersama terjemahannya. Bagai mampu melihat ke dalam lubuk hatiku, dia menyambung syarahannya dengan satu pengajaran. Jika tak mampu membantu, jangan mengata. Dan dengan rumusan itu, optimisme dirinya yang memualkan itu berdiri gah, melebur ego diriku, mengingatkan dan menghina aku pada masa yang sama. Aku, yang berkata dia berbangga kerana mempunyai toleransi yang tinggi terhadap pelbagai fiil manusia, gagal memberikan toleransi itu kepada makcikku, darah dagingku sendiri.

Tetapi pelajaranku tidak tamat di situ. Biarpun ummi dan adikku sudah kembali ke kereta, dan aku sudah menekan pedal minyak meneruskan perjalanan pulang, abah meneruskan syarahannya. Dia beralih kepada suatu kisah pengajaran yang diviralkan beberapa bulan lepas. Kisah di mana seorang lelaki tua naik teksi ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan, tidak meminta bantuan anak-anaknya kerana takut membawa mereka kepada membuat dosa. Abah cukup jengkel dengan kisah itu, dan pada malam tersebut dia menyampaikan sebab di sebalik perasaan tersebut. Alasannya mudah. Cerita itu, biarpun sarat dengan pengajaran, adalah sesuatu anggapan yang salah kerana ia mengetepikan sesuatu yang sangat asas. Sebelum lelaki itu menjadi seorang bapa, bukankah dia juga pernah menjadi seorang anak terlebih dahulu? Bukankah dia juga bertindak sebagai seorang anak kepada bapanya sebelum anaknya bertindak sedemikian terhadap dirinya? Jadi, apakah dia terlepas daripada khilaf hanya kerana ingin mengelak khilaf anaknya? Bukankah anak-anak ini cermin kepada orang tuanya? Seperti kata-kata datukku kepada abahku: anak ini cerminan orang tuanya. Setiap apa yang ada pada anak itu, pastinya dari orang tuanya, biar betapa jelek, biar betapa cantik.

Lelaki tua itu lupa bahawa dia juga seorang anak suatu ketika dahulu. Aku lupa bahawa manusia membuat kesilapan. Kami berdua terlalu cepat menjatuhkan hukuman, dan kami berdua menganggap hukuman kami adalah muktamad, sesuatu yang takkan terubah oleh masa dan cuaca. Naratif seorang yang egois, sarat dengan prejudis dan bangga diri. Aku lupa bahawa satu-satu peristiwa boleh mengubah seluruh kehidupan seseorang, sebagaimana hidup aku terubah oleh beberapa titik sepanjang tempoh hayatku. Aku lupa mempertimbangkan kesan suatu insiden yang aku sendiri tak tahu magnitudnya terhadap makcikku. Aku menjadi sesuatu yang aku benci, orang yang menjatuhkan hukuman tetapi terlepas daripada taksiran peraturan yang dia sendiri nyatakan. Aku mudah terlupa perkara-perkara asas ini.

Malam itu satu peringatan bagiku. Dan perjalanan soloku ke Ipoh beberapa hari selepas kertas terakhirku mengingatkan aku kembali akan segala yang aku pelajari malam itu. Bangunan-bangunan lama yang berdiri menentang arus masa dan pembangunan, lorong-lorong yang membawa cerita tiga isteri si pelombong kaya, galeri yang didedikasikan kepada pengarah tersohor yang hanya dihargai selepas kematiannya, semuanya mengingatkan aku bahawa kita mudah terlupa akan apa yang dikatakan nikmat-nikmat kecil kehidupan. Aku mudah terlupa bahawa orang lain mempunyai jalan cerita yang berkisar diri mereka, ditonton dari kaca mata mereka sendiri. Kadang-kala kita terlalu linear, kita lupa bahawa kehidupan ini bukanlah jalan cerita yang linear. Ia mudah, tetapi bukan linear. Ya, betul, apa yang telah terjadi, telah terjadi. Tetapi sebelum kejadian itu, kebarangkaliannya berjuta. Ditambah dengan pintalan takdir berbilion manusia, naratifnya merawak menjadi satu gambaran kupu-kupu yang berterabur tetapi masih cantik dek garapan kita terhadap konsep asas bentuk kupu-kupu dan kecantikan. Jika kita lupa konsep-konsep asas ini, gambaran yang terpacul hanya akan kelihatan seperti dakwat hitam yang dipercik tanpa motif. Tak ingin aku lupa lagi perkara-perkara kecil yang membentuk rawak dan lawa kehidupan ini.

4.04 am

29 Julai 2016

Advertisements
Mudah Terlupa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s