Hilang


Didedikasikan kepada mereka yang terkorban dalam Tragedi Double Six dan semua yang terperangkap dalam mainan ‘mereka’. Jasamu dikenang. Moga tenanglah kamu di sana.

Bangun. Gosok gigi. Mandi. Solat subuh. Bersiap-siap untuk pergi kerja. Jerang air. Buat teh. Duduk di hadapan komputer. Melihat kepulan wap naik dan lesap dari cawan sambil menunggu start-up komputer. Komputer terpasang. Membuka pelayar Google. Menyemak e-mel Yahoo!. Tiada e-mel baru. Menutup akaun e-mel. Melihat paparan berita di muka hadapan laman web Yahoo!. Cawan diangkat ke bibir. Mata mengimbas tajuk-tajuk berita yang terpapar. Tajuk pertama menarik perhatian. Pautan diklik. Cawan hampir ke bibir. Bau semerbak teh mengisi rongga nasal. Pautan terbuka. Tangan berhenti bergerak.

Dan di sinilah perbuatanku mula melencong dari rutin harianku.

Aku meletakkan cawanku kembali di atas meja. Di laman tersebut disertakan sebuah klip dari Youtube. Aku membuka pautan klip video tersebut, dan menonton klip berdurasi empat minit tiga puluh tujuh saat itu dengan hati penuh debaran. Video yang dirakam dari pejabat ketua menteri Sabah. Sekumpulan orang berpakaian segak sedang berdiri di tengah-tengah pejabat tersebut. Seorang lelaki yang agak tinggi dan kurus berdiri di tengah-tengah dan memberi ucapan yang aku faham dan tak faham pada masa yang sama. Kata-kata yang terpacul dari mulutnya tak masuk akal.  Sabah untuk Sabah. Kelestarian budaya tempatan Borneo Utara. Hak autonomi penuh. Perkara 20 Sabah. Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB. Perjanjian Malaysia 1963. Dia menggunakan kata-kata yang besar, yang gah, tetapi semuanya boleh disimpulkan dalam ayat-ayat terakhir lelaki tersebut.

“Oleh itu, kami percaya bahawa Sabah, sebagai sebuah tanah yang merdeka dan mempunyai hak ke atas entitinya sendiri, mengumumkan kewujudannya sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk jajahan, baik secara langsung atau tidak langsung. Kami mengumumkan bahawa negara Sabah secara rasminya menarik diri daripada Persekutuan Malaysia.”

Video tersebut diakhiri dengan kibaran bendera negara Sabah yang lama serta logo gerakan yang memulakan segalanya, organisasi yang hanya dinamakan Oblige. Pada hari ini, keamanan yang aku sangkakan akan berkekalan hingga ke akhir hayatku lenyap begitu sahaja. Keamanan yang aku, dan beribu lagi insan lain, ambil ringan, yang aku sangkakan hanya akan terkubur jika Perang Dunia Ketiga terletus, lesap begitu sahaja pada suatu hari yang sepatutnya menjadi hari yang biasa dan penuh dengan rutin bosanku. Pada hari ini, aku menjadi sebahagian daripada gerakan yang aku langsung tak jangka akan membawa aku mengenali diriku, dirinya, serta suci dan gelap hati manusia dengan lebih mendalam.

Pada hari ini, yang akan dikenang oleh generasi akan datang sebagai Hari Kewajipan, aku terjebak dalam satu pengembaraan yang tak pernah aku impikan. Dan hidupku tak pernah sama lagi selepasnya.

3.03 pm

6 Jun 2016

Advertisements
Hilang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s