Nila


“Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?”

Terjaga dari lena, Lorreta membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Bintang berjuta menyambut pandangannya. Badannya terasa sedikit kesejukan tetapi kedua-dua belah tangannya masih hangat dek pautan jari-jemari mereka.

“Sedap tidur?”

Lorreta menoleh ke kanan. Sebuah senyuman yang sangat dia kenali, yang sangat dia sayangi dan dambai, menyambut pandangannya. Dia senyum kembali ke arah lelaki tersebut. Lelaki yang telah menemani dirinya sepanjang hidup. Yang tabah menghadapi segala rengekan dan tangisan dan keluhannya. Yang tak pernah meninggalkan dirinya keseorangan. Yang amat dia sayangi, kini sedang berbaring di tepi dirinya.

“Mestilah sedap. Sampai berdengkur tu, confirm sedap, hee!”

Kini terdengar suara dari sebelah kirinya pula. Dengan wajah yang memerah, Lorreta segera menoleh ke kiri dirinya. Sebuah senyuman lebar penuh sinis menyambut pandangannya. Senyuman yang menjengkelkan, yang sentiasa terang laksana mentari di malam kelam, yang sentiasa dia hargai. Senyuman yang sama dan tak pernah berubah sejak dia kenali gadis tersebut sembilan tahun yang lalu. Lorreta mencebik lalu melenting, sambil genggaman tangan kirinya sengaja diketatkan.

“Hei, mana ada! Orang terlena sekejap saja pun!”

“Aduh! Sakit Eta, sakit! OK, OK, kau tidak berdengkur. Aku gurau saja. Minta maaf,” balas gadis tersebut sambil cuba menarik tangannya dari genggaman Lorreta.

Melihat reaksi gadis itu, sebuah senyuman kecil melirik di bibir Lorreta. Dia sengaja menguatkan lagi genggamannya ke atas tangan kanan gadis tersebut.

“Aduh! Aduh! Minta ampun, Eta! Minta ampun!”

Lorreta menyeringai kepuasan sebelum mengendurkan genggamannya. Gadis tersebut menarik tangan kanannya lalu mengurutnya perlahan.

“Kau ni betul-betul tidak pandai bergurau,” gadis tersebut berkata sambil menarik muka masam.

Lorreta sekadar membalas dengan sengihan sinis. Melihat air muka Lorreta, gadis tersebut mencebik, tetapi tidak lama kemudian menghulurkan tangannya kembali kepada Lorreta. Lorreta memandang wajah gadis tersebut dengan penuh hairan.

“Pegang tangan aku. Macam tadi.”

Saat itu, Lorreta tersenyum manis. Dia mengambil tangan kanan gadis itu lalu menyulam jemarinya bersama jemari gadis tersebut, membentuk satu genggaman erat dan hangat. Gadis tersebut membalas senyuman Lorreta dengan senyuman girangnya yang tersendiri, yang tak pernah lut dek masa.

Terlentang di bawah gugusan bintang yang bergemerlapan di angkasa, mereka memutuskan untuk tidak bersuara. Tak sepatah perkataan pun keluar dari mulut mereka dalam tempoh sejam yang berlalu. Mereka hanya terbaring di situ, dalam kegelapan alam yang datang bersama perginya mentari di hujung hari. Yang kedengaran cuma bunyi cengkerik dan serangga malam. Sesekali terdengar sahutan burung pungguk dan libasan sayap mereka yang bergelar makhluk nokturnal. Udara malam yang segar dan sejuk membaluti diri mereka dengan sentuhan yang paling lembut. Embun yang mulai terbentuk di hujung bilah rerumput kadang-kadang merenjis membasahi hujung tikar yang terbentang, namun mereka langsung tak mempedulikannya.

Lorreta yang berbaring di tengah-tengah tikar berasa amat girang. Jarang sekali dia dapat meluangkan masa bersama dua orang yang sangat dia kasihi, yang sangat dia sayangi seperti ini. Sejak awal tadi, dia  menggenggam tangan kedua-dua insan yang dikasihinya tanpa sesaat pun membiarkan tangan mereka telepas. Abangnya, Jefry, berada di sebelah kanan manakala sahabat akrabnya, Elly, berada di sebelah kiri. Inilah dua insan yang sangat berharga buat dirinya. Malah dia berani mengatakan bahawa dua insan inilah yang mendorong dirinya untuk meneruskan kehidupan dengan tabah.

Mereka berdua menerima dirinya seadanya. Mereka menerima segala keganjilan dirinya, kekekokan tuturcaranya, ideanya yang terpesong daripada kebiasaan, dan biasan personaliti luarannya yang langsung tak sama dengan dalaman dirinya. Lorreta tahu dirinya insan yang tak sempurna. Malah, dia sedar bahawa dia bukanlah manusia yang baik. Dia berkecamuk. Dia bukan tenang tasik di malam hari tanpa siulan bayu merentas. Dia sentiasa ribut. Dia hampir tenggelam dalam keserabutan dirinya sendiri. Tetapi dua insan luar biasa ini menerima dirinya bulat-bulat, kebobrokan dirinya termasuk. Oleh itu, Lorreta sangat mengasihi dan menghargai dua orang manusia bernama Jefry dan Elly ini. Tanpa mereka, tiadalah dia. Sekurang-kurangnya itulah yang dia fikirkan. Lorreta sendiri sukar untuk percaya bahawa dia kini sedang terlentang bersama dua orang insan yang membawa makna seluruh dunia kepadanya.

Tetapi jika ditanya seminggu yang lalu, pasti Lorreta akan menjawab bahawa mereka tidak mungkin akan berbaring di sini pada malam ini, bertilamkan hamparan rumput menghijau dan berbumbungkan langit malam yang indah mempesona ini. Bahkan Lorreta akan berkata dengan pasti bahawa dia telah menghancurkan dunianya sendiri. Dunianya yang kaca, yang rapuh, yang terawang-awang di udara tanpa sokongan. Dunianya yang berserabut. Dunianya yang berkecamuk.

Dunianya yang hanya mempunyai Elly dan Jefry di dalamnya.

*

“Oh… jadi abang kau balik minggu depan lah?” terdengar suara Elly di hujung talian.

“Em,” jawab Lorreta ringkas.

Malam itu seperti malam-malam sebelumnya; panas dan melekit. El nino betul-betul meradang sekuat hati kali ini, fikir Lorreta. Nasib baiklah manusia dikurniakan kebijaksanaan untuk mencipta alat pendingin hawa. Lorreta bersyukur kerana Tuhan masih sayang akan umat manusia dan membenarkan mereka hidup serba selesa dalam keadaan yang mendesak seperti ini.

“Tu yang kau gembira sangat sampai telefon aku malam-malam ni?” sambung Elly dalam nada sinisnya yang menjengkelkan yang Lorreta biasa dengari.

“Bukanlah! Aku telefon ni pasal mahu ajak kau ke rumah minggu depan. Ada makan-makan sikit. Kau tidurlah di rumah aku,” balas Lorreta, cepat membidas sakatan Elly.

Namun Lorreta tak boleh membidas perasaannya sendiri. Sejujurnya, dia sangat gembira bahawa Jefry akan pulang ke rumah ini, ke rumah nenek mereka setelah tiga tahun terpisah. Hanya Lorreta tahu betapa seksa jiwanya terasa apabila harus berpisah dengan abangnya itu, satu-satunya keluarga yang dia ada selain nenek.

Lorreta memang rapat dengan Jefry. Selepas ibu bapa mereka bercerai, mereka mengambil keputusan untuk memberi hak penjagaan adik-beradik tersebut kepada nenek mereka, ibu kepada ibu adik-beradik ini. Alasannya, tidak ada seorang pun daripada mereka berdua berhak ke atas adik-beradik itu, tetapi pada masa yang sama mereka bersetuju bahawa mereka berdua bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka. Maka jalan tengah yang diambil ialah memberikan hak penjagaan kepada pihak ketiga tetapi segala keperluan kewangan dan persekolahan ditanggung oleh ibu-bapa yang tidak bertanggungjawab ini. Itulah yang Lorreta faham akan situasi ‘keluarga’nya. Kini, ayah mereka memencilkan diri daripada sebarang hubungan dengan keluarga manakala ibu mereka sibuk dengan suami baru dan anak-anaknya, adik-adik tiri Lorreta dan Jefry yang pada hemat Lorreta, terlalu dimanjakan dan teramatlah menyakitkan hati. Melihat ibu-bapa mereka, Lorreta menutup dirinya daripada dunia luar. “Kerana semua manusia kecuali abang jahat!”. Itulah yang selalu dilaungkan Lorreta ketika masih kecil.

“Kau jangan tipulah Eta. Kau ingat berapa lama sudah aku kenal kau? Sehari? Dua? Mestil kau rindu sangat Jefry kan, hee,” Elly menyambung sakatannya.

Lorreta sekadar mendengus dan melenting seperti biasa. Namun jauh di sudut hatinnya dia tahu apa yang Elly katakan adalah betul. Elly betul-betul memahami dirinya. Dahulunya seorang budak tomboy yang tak pernah tahu erti menahan diri dan sentiasa menyatakan pendapatnya walaupun tidak ditanya, Elly satu-satunya kawan yang dia ada. Elly bagaikan mentari, muncul ketika dunianya dilanda kegelapan tatkala Jefry melangkah ke sekolah menengah, manakala dia sendiri baru berada di darjah tiga. Dalam dunia persekolahan yang terasing tanpa abangnya, dalam kekalutan dirinya cuba untuk hidup berdikari dengan caranya sendiri, Elly yang ketika itu baru berpindah ke sekolahnya merobek dinding yang mengasingkan dirinya daripada dunia luar tanpa meminta izin. Pada awalnya Lorreta berasa takut dan pada masa yang sama marah terhadap Elly, namun kini dia bersyukur Elly mengambil tindakan sedemikian sembilan tahun yang lalu.

Lorreta mula membuka dirinya kepada manusia lain. Tetapi semuanya melalui proksi topengnya. Dia yang asalnya pendiam mula tersenyum dan bermain bersama budak-budak kelasnya. Dia mula menerima dunia luar memasuki dunianya, tetapi beralas dengan budi pekerti yang dipaksa diri. Dia menjadi hipokrit, dan dia sedar bahwa dia seorang hipokrit. “Tetapi ini bukan salah aku. Semua orang hipokrit untuk kelangsungan diri sendiri, kecuali abang dan Elly.” Itulah pegangan baru Lorreta hinggalah ke hari ini.

Hanya di hadapan Jefry dan Elly sahaja dia berani melabuhkan topeng dari wajah dan hatinya. Jefry dan Elly-lah tempat dia merembeskan segala perasaan tidak puas hatinya terhadap dunia. Dunia yang kolot. Dunia yang tak adil. Dunia yang berkecamuk seperti dirinya. Tetapi dia tidak kisah jika dirinya berkecamuk, kerana terdapat insan yang menerima kecamuk dirinya, rapuh dirinya seadanya. Dan insan-insan ini sanggup menemani dirinya melalui lembah kedurjanaan yang dipanggil kehidupan ini. Mereka tidak berselindung daripada Lorreta. Mereka sentiasa jujur kepada Lorreta. Mereka sayang akan Lorreta. Itulah yang Lorreta fikirkan adalah kebenaran dunianya.

Tetapi Lorreta silap.

*

Dia mula sedar akan perasaan itu ketika umurnya baru menjejak usia 15 tahun. Ketika itu, dia menemani rakannya ke lapangan terbang. Rakannya yang gila dalam cara yang tersendiri, dan dia yang gila dalam cara yang lain pula. Rakannya yang cengeng, manakala dirinya pemarah. Tetapi mereka sentiasa bersama. Terdapat satu ikatan antara mereka berdua yang sukar untuk diterangkan dengan kata-kata, yang tak terjangkau bahasa, yang menembusi ruang logik akal mereka yang tak pernah merasa manis nikmat ikatan tersebut. Bagi dunia, mereka berdua adalah satu keganjilan. Malah, ada yang memanggil mereka dengan panggilan taboo. Ada yang menabur kata-kata kesat terhadap mereka, menyifatkan mereka sebagai kejelikan dunia dan tanda akhir zaman. Tetapi yang mengata itu tidak berani meluahkan pendapat mereka secara berterus-terang di hadapan dirinya. Jika tidak, pasti wajah mereka remuk ditumbuk dirinya.

“Jaga Lorreta untuk aku.”

Itulah kata-kata pertama yang memercikkan perasaan itu dalam dirinya. Dia telah kenal Jefry hampir sama lama dengan perkenalannya dengan Lorreta. Dia menganggap Jefry sebagai abang yang menjengkelkan; dia sendiri seorang anak tunggal yang tak pernah merasa nikmat adik-beradik. Manakala Lorreta dianggapnya adik yang tak mampu berdiri atas kaki sendiri, yang sentiasa perlukan sokongan dirinya. Itulah imej yang terpampang dalam minda Elly sejak mereka mula berkenalan. Tetapi imej itu berubah pada hari itu, di lapangan terbang.

Mungkin segalanya bermula lebih awal lagi, tetapi dia yang tak sedar akan hal itu. Mungkin selama ini dia anggap perasaan tersebut sekadar rasa hormatnya kepada abang seorang kawan, kerana dalam keterjengkelan dia terhadap Jefry, dia masih menghormatinya. Dia selalu melenting apabila Jefry menyatakan pendapat ataupun apabila Jefry melarang mereka berdua daripada perkara-perkara bodoh dan bahaya yang ingin dia dan Lorreta cuba lakukan, tetapi Jefry tidak pernah marah padanya. Bila difikirkan semula, dirinya tersangatlah kurang ajar terhadap Jefry. Hampir semua teguran Jefry berniat baik dan ada betulnya, tetapi dia sering melawan. Ketika itu, dia rasakan bahawa inilah nikmat mempunyai seorang abang. Inilah nikmatnya bergaduh dengan adik-beradik, biarpun Jefry bukanlah abang kandungnya. Tetapi kini dia rasa bahawa dirinya silap menafsir perasaan sendiri. Mungkin selama ini dia inginkan perhatian Lorreta dan Jefry. Sebab itulah dia bertindak sedemikian.

Apabila Jefry meminta dirinya menjaga Lorreta, hatinya terasa sebak. Pipinya terasa panas. Pandangannya mula berkaca dek genangan air mata. Tetapi dia tak mahu menangis di hadapan Jefry, sama seperti Lorreta sebentar tadi yang kini telah ke bilik air untuk membasuh wajahnya yang sugul. Elly gagahkan diri untuk memandang terus ke mata Jefry, tetapi dia tak mampu luahkan kata-kata yang terkulum di hujung lidah. Akhirnya dia hanya mengangguk tanda setuju, kemudian membiarkan kepalanya tertunduk sehinggalah Lorreta kembali dari bilik air. Itulah saat pertama dia meragui perasaannya dan pandangannya terhadap Jefry.

Setelah Jefry hilang di balik pintu masuk ke balai menunggu, setelah mereka kembali ke rumah nenek Lorreta, setelah beberapa minggu berlalu, dan Lorreta kembali ceria tetapi tetap merindui abangnya, Elly mengumpul kekuatan hati untuk bertanya pendapat Lorreta tentang kekalutan hatinya. Dia masih bingung, masih tak pasti siapakah Jefry kepada dirinya. Dan dia tak ingin kekal dalam kebingungan. Dia tak suka kesamaran perasaannya sendiri. Dia inginkan penjelasan dan pengukuhan kepada lonjakan perasaannya tempoh hari di lapangan terbang. Adakah ia sekadar perasaan terharu kerana diberikan kepercayaan oleh seorang insan yang dia hormati untuk menjaga seorang lagi insan yang dia sayangi? Atau adakah ia lebih daripada itu? Atau mungkin juga dia sekadar sayang akan insan itu sepertimana dia patut mengasihi seorang abang? Dia yang tak pernah mempunyai adik-beradik tenggelam dalam persoalan hatinya sendiri. Maka, pada satu petang yang panas di beranda rumah nenek Lorreta, sambil menikmati bayu yang tak seberapa dan ais batang yang dibuat oleh nenek, dia menggagahkan dirinya untuk bertanya kepada Lorreta.

“Lorreta,” katanya perlahan, bukan dalam nada bersahaja yang biasa membalut kata-katanya.

Lorreta menoleh ke arah Elly, wajahnya sendiri penuh terpancul dengan tanda tanya. Sangat jarang Elly bersuara dalam nada sedemikian, dan lagi jarang Elly memanggilnya dengan nama penuh.

“Kau OK-kah Elly? Demamkah?” Lorreta bertanya secara berseloroh.

Wajah Elly memerah. Ya, dia sedar bahawa bukanlah kebiasaan dirinya untuk bercakap dalam gaya sebegitu.

“Tidaklah! Ada benda yang serius aku mahu tanya kau ni..”

Melihat ketegasan dalam wajah Elly, Lorreta mengendurkan senyuman mengejeknya. Dia tahu bahawa Elly memang bersungguh apabila dia menyatakan sedemikian. Elly jenis yang tak pandai berpusing-pintal. Elly garis lurus yang tak pernah berselindung. Itulah Elly ayng Lorreta kenal. Melihat kawannya dalam keadaan tegas dan serius, Lorreta bersedia untuk membalas dalam nada serius yang serupa. Jika ada apa-apa yang merunsingkan fikiran kawannya, dia bersedia untuk meluruskannya, sepertimana Elly sentiasa bersedia untuk menyokong dirinya.

“Apa yang kau mahu tanya?” tanya Lorreta dengan kemas dan teratur.

Elly senyap untuk seketika, tak terus menjawab persoalan Lorreta. Dia berfikir untuk kali terakhir, patutkah aku bertanya akan hal ini kepada Lorreta? Akhirnya dia putuuskan untuk teruskan sahaja niat hatinya.

“Kau rasa lah, ada bezakah antara sayang dan cinta?”

Dengan tidak semena-menanya Lorreta tergelak. Tak pernah dia lihat Elly dalam keadaan sebegini, dan apabila dia tahu sebabnya, tak tercapai akalnya bahawa rakannya yang sentiasa terbuka ini terperangkap dalam soal hati yang sensitif sebegini.

“Eta!! Aku serius tanya ni. Janganlah ketawa!” sergah Elly dengan wajah yang merah padam menahan malu.

“Kau jatuh hati dengan siapa ni Elly? Kenapa aku tidak pernah tahu, hahaha!” Lorreta membalas lalu sambung ketawa.

“Aku tanya sajalah! Bukannya aku ada suka siapa-siapa!” balas Elly pula. Jelas wajahnya tampak jengkel dek reaksi Lorreta.

Melihat air muka Elly yang berubah gusar, Lorreta cuba untuk mengawal tawanya lalu membetulkan duduk dirinya. Namun sekali-sekala terlepas juga lirikan senyuman dek geli hatinya. Apabila dia sudah tenang, Lorreta meneruskan perbualan mereka.

“Jadi, kalau kau tidak suka siapa-siapa, kenapalah kau tanya?” ujar Lorreta, masih cuba untuk mengawal geli hatinya.

“Tiada apa-apa. Cuma aku terfikir, apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta?” balas Elly dengan tenang, pandangannya dilontarkan ke arah bendang menghijau di hadapan rumah nenek Lorreta.

Mendengar balasan Elly, Lorreta terdiam. Senyuman sinisnya lekas mati. Dia menoleh ke hadapan, melontarkan pandangannya ke arah yang sama dengan pandangan Elly. Melihat kebisuan Lorreta, Elly menyambung bicaranya.

“Kalau ada, di mana letaknya garis itu?”

*

“Aku suka kamu!”

Luruh jantung Lorreta mendengar ayat tersebut. Nafasnya tersekat di kerongkong, tenaganya hilang diresap udara, tangannya lemah, kakinya longlai, sehingga hampir sahaja beg plastik dalam rangkulannya terlepas jatuh ke lantai. Seperti mana nafasnya terhenti menyergap, begitu juga jantungnya diserbu degupan deras pada saat seterusnya. Lantas, tepat pada detik itu, dia terpanggil perbualannya dengan Elly tiga tahun yang lalu. Perbualan yang terjadi di beranda rumah ini pada satu petang yang hangat. Kata-kata Elly ketika itu kembali terngiang-ngiang dalam mindanya.

– Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?

Ketika itu, Lorreta tak menjawab persoalan Elly, kerana dia sendiri sedang mencari jawapan kepada soalan yang sama. Ketika itu, dia sangkakan bahawa Elly sedang memberi amaran kepada dirinya. Dia sangkakan Elly tahu akan isi hatinya, kerana Elly sentiasa tahu apa yang tersirat jauh di sudut hatinya. Dia sentiasa lutsinar di mata Elly. Itulah tanggapan Lorreta terhadap Elly selama ini. Tetapi pada hari ini, tanggapannya jatuh berderai ke tanah. Mendengar suara Elly dari ruang tamu sebentar tadi, dia pasti inilah maksud di sebalik persoalan Elly tiga tahun lepas.

“Elly, kau tahu aku tidak suka bergurau begini,” terdengar suara Jefry dari ruang tamu, memecahkan kesunyian yang bermaharajalela untuk seketika.

Tidak, Jef. Elly tidak bergurau, bisik hati kecil Lorreta.

Lorreta cukup kenal akan rakannya itu. Cukup masak dengan perangainya, dengan amarahnya yang sentiasa membuak-buak, dengan sakatannya yang berpanjangan. Lorreta tahu bila Elly bergurau, dan dia pasti ini bukan salah satu cubaan gurauannya.

Bagaimana semua ini boleh terjadi? Bagaimana dia tak pernah perasan akan perasaan Elly? Adakah dia terlalu taksub dengan dirinya sendiri, dengan hatinya sendiri, sehingga dia tak menyedari hal ini yang melibatkan dua orang yang paling dia kasihi di atas muka bumi ini? Adakah dia telah mengambil mudah kewujudan dua orang insan ini, kerana selama ini dia dibiarkan berbuat sesuka hati di hadapan mereka? Lorreta bingung. Kepalanya berdenyut kuat. Dia letakkan bakul plastik berisi bahan membuat kek di atas kaunter dapur. Nafasnya cuba ditahan, tak ingin Elly dan Jefry menyedari kehadiran dirinya. Dia keluar ke pekan seorang diri awal tadi untuk membeli bahan membuat kek, dengan harapan membakar kek kegemaran Elly dan Jefry secara senyap-senyap. Apabila dia tiba di rumah, kelihatan motosikal Elly (atau dengan lebih tepat, motosikal ayahnya) di depan rumah. Sebab itulah dia menyelinap masuk dari dapur. Dan sebab itulah dia boleh terdengar luahan hati Elly.

Sebab itulah kini perasaannya bercampur-baur, caca marba.

“Tidak Jef, aku serius. Aku suka-”

“Tapi kau kawan adik aku..” Jefry memintas sebelum sempat Elly habiskan ayatnya.

“Jadi!?” terdengar Elly bertempik, disusuli bunyi esakan yang halus.

Kesunyian bertandang sekali lagi. Esakan halus Elly berterusan. Degupan kencang jantung Lorreta berleretan. Jefry pula termangu tanpa kata-kata. Kata-kata telah lari daripada lidahnya, meninggalkan dia bisu dan dungu. Lorreta menekup tangan kanannya di dada, merasa ribut degupan jantungnya sendiri. Air mata bergenang di matanya. Seluruh badan dan wajahnya terasa panas, bagaikan sedang demam. Ingin sahaja dia menerpa keluar dan memeluk Elly serta menampar abangnya. Pada masa yang sama, ingin sahaja dia lakukan sesuatu yang terbalik kepada kedua-duanya: menampar Elly dan memeluk abangnya. Dia marah dan kecewa dan sedih pada masa yang sama. Terasa sesalan membuku di hati. Andai kata dia tidak menyelinap masuk dari pintu belakang, mungkin semua ini tidak berlaku. Tetapi Lorreta lebih daripada mengetahui bahawa ini sekadar retrospektif semata. Ia takkan dapat merubah apa yang telah dan sedang terjadi.

“Jadi.. kenapa kau tidak boleh terima aku? Pasal Eta-kah?” terdengar suara kecil Elly menyelinap keluar dari celah bibirnya, memecahkan kesunyian yang janggal dan menyakitkan itu.

Lorreta yang sudah terduduk di lantai dapur memasang telinga. Jefry pula menarik nafas dalam dengan perlahan, lalu menghembuskannya kembali. Ditenung Elly yang sedang tertunduk di hadapannya. Perasaan kasihan dan terharu meruntum pangkal jiwanya. Telah lama dia anggap Elly sebagai adiknya sendiri. Tetapi dia tak pernah menganggap Elly lebih daripada itu. Baginya, Elly adalah keluarga. Maka perkara sebegini tidak patut ada antara ahli keluarga. Oh Elly, maafkan aku kerana tak ampu membalas perasaanmu. Tanpa berfikir panjang, tangan kanannya terangkat lalu mengusap kepala Elly. Elly yang jelas terperanjat dengan tindakan Jefry segera mengangkat wajahnya. Pipi dan hidungnya masih merah. Matanya masih berkaca-kaca bertakung air. Ditenung mata Jefry, dan Jefry menenung kembali. Akhirnya bibir Jefry terbuka lalu terluah kata-kata yang telah lama dinantikan tetapi tak ingin Elly dan Lorreta dengari.

“Aku sayang kau Elly, sama macam aku sayang Lorreta.”

Jefry berhenti seketika. Elly menahan nafasnya, menantikan kata-kata yang seterusnya. Dadanya terasa berat. Benarlah orang kata, penantian itu satu penyeksaan. Di balik tabir dapur, Lorreta juga menahan nafasnya, merangkul kejap dada blausnya sendiri, menanti dengan gementar apa yang abangnya ingin katakan lagi.

“Dan bila aku cakap aku sayang kau sama macam aku sayang Lorreta, aku maksudkan sayang sebagai seorang abang kepada seorang adik. Tidak lebih dari itu.”

Lalu melimpahlah titisan air mata Elly. Jatuh berderai air matanya, sama seperti harapannya agar diterima lelaki yang amat dia sayang ini. Elly lekas berkalih ke arah pintu. Jefry biarkan sahaja, tak mampu dan tak sanggup untuk berbuat apa-apa lagi. Kedengaran bunyi enjin motosikal dihidupkan, diikuti oleh rempitan yang deras lalu menghilang pergi. Rumah itu sekali lagi dikuasai oleh kesunyian. Jefry menekup wajahnya, kedua-dua lengan menongkat di lutut. Keluhan demi keluhan terluah dari mulutnya, cuba untuk meringankan bebanan hati. Selepas beberapa ketika, keluhan-keluhan tersebut hilang senyap ditelan kesunyian yang membingitkan ruang rumah tersebut. Yang terdengar hanyalah esakan halus yang hampir tidak disedari datang dari arah dapur.

*

Asalnya, Lorreta sangkakan perasaan sayangnya terhadap Jefry adalah satu kebiasaan. Sayang seorang adik kepada abangnya. Ditambah pula dengan keadaan keluarga mereka yang berpecah-belah dan hanya Jefry sahaja yang memberikan perhatiannya kepada dirinya, Lorreta menganggap tarikannya kepada Jefry adalah sesuatu yang lumrah. Sayangnya melangkau batas logik akal manusia. Dia sangat sangat sangat sangat sayang akan Jefry. Jefry-lah satu-satunya ahli keluarganya, dan seluruh dunia adalah musuh mereka. Hatta nenek sekali pun tetap musuh mereka. Nenek hanya menjaga mereka atas dasar tanggungjawab. Ibu dan ayah mereka contoh terbaik sifat lepas tangan yang ada pada semua dewasa. Ya, semua dewasa adalah sama. Itulah tanggapan Lorreta saban hari, sehinggalah dia bertemu dan berkenalan dengan Elly.

Dan sekali lagi, satu ikatan yang tak boleh diungkap dengan kata-kata terbentuk antara dirinya dan seorang insan lain. Sayang Lorreta terhadap Elly melangkaui persahabatan dan keluarga, keperluan sosial dan seksual, tema mahupun definisi. Tak ada fakta yang boleh menggambarkan perasaan sayangnya terhadap Elly. Ikatan yang magis dan luarbiasa itu tak tertakhluk kepada logik akal. Lorreta hanya boleh ungkapkan hubungannya dengan Elly sebagai pasangan roh yang terpisah apabila lahir ke dunia. Itupun dia rasakan teramat sangatlah tidak memadai untuk menerangkan hubungan mereka. Sebab itulah apabila ada yang memanggil mereka sebagai pasangan luar tabii, Lorreta biarkan sahaja kerana dia tahu tak ada kata-kata yang boleh menerangkan hubungan tersebut kepada mereka yang tak pernah merasainya sendiri. Elly pula sangat sensitif kepada isu itu, sehingga dia pernah digantung sekolah kerana menumbuk seorang rakan sekelas sehingga berdarah hidungnya.

Tetapi, hampiri dewasa, Lorreta mula menyedari bahawa hubungannya dengan dua orang insan ini bukan satu kebiasaan. Dia ganjil. Dia pelik. Dan mereka yang terhubung dengannya juga dianggap ganjil dan pelik. Dia dapati bahawa dirinya sendiri keliru sama ada perasaan ini adalah sayang ataupun cinta. Dia mula mempersoalkan persepsinya sendiri. Siapakah Jefry kepadaku? Abang? Keluarga? Seorang lelaki, individu daripada jantina yang bertentangan? Kekasih? Siapa pula Elly kepadaku? Sahabat? Bff? Kekasih luar tabiiku? Kakak daripada ibu dan ayah yang berbeza? Lorreta tenggelam dalam persoalan berkisar persepsinya sendiri. Dia inginkan kepastian, jawapan kepada soalan-soalan tersebut, tetapi dia dapati bahawa ikatan tersebut bukan sahaja melangkaui akal manusia bahkan juga logik akalnya sendiri. Dia sendiri tak boleh ungkapkan dalam kata-kata perasaan itu, kerana dia sendiri terikat kepada batas-batas seorang manusia. Ketika dia sedang sesat dalam pencariannya sendiri, Elly pula bertanya hal yang sama.

Apakah ada garis yang pasti yang memisahkan antara sayang dan cinta? Kalau ada, di mana letaknya garis itu?

Garis itu tak wujud, wahai Elly-ku tersayang, Elly-ku tercinta. Tetapi kau dan Jefry tidak akan memahami hal ini, sama seperti aku yang tidak dapat memahami hal ini. Maka Lorreta putuskan untuk tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun mengenai kegusaran hatinya, pencariannya ini. Dia selesa dengan status quo yang memerintah dunianya, dan dia tak ingin ia berubah. Sumbang mahram? Lesbian? Abaikan semua label yang memerintah dunia orang lain. Dunia aku tak perlukan label-label tersebut. Itulah yang Lorreta putuskan dua tahun yang lalu.

Namun kini dunianya diancam peraturan-peraturan yang dipanggil norma masyarakat, dan peraturannya juga mengancam harmoni dunia kecilnya. Elly terikat kepada norma. Begitu juga Jefry. Mungkin dia sahaja yang ganjil. Mungkin dia sahaja yang tak tercapai akal. Mungkin semua ini sekadar lakonan, sekadar alasan agar dia kuat melangkah ke hari yang seterusnya dalam dunia penuh kedurjanaan ini. Mungkin dia dungu, dan dia yang tak mampu menerangkan perkara mudah seperti ini mengambil jalan mudah menarik semua orang ke paras pemikirannya. Dia telah membuat kesimpulan bahawa semua orang berfikir di tahapnya.

Dialah punca masalah dalam dunianya sendiri.

Empat hari Lorreta berkurung di dalam bilik sendiri. Bila Jefry datang menyapa, dia katakan bahawa dia kurang sihat. Bila Elly menghantar mesej, dia katakan bahawa dia sedang berfikir sesuatu yang mustahak. Tiada guna menipu Elly, fikir Lorreta. Oleh itu, dia memberi maklumat minima, dengan harapan Elly tak akan bertanya lebih. Elly memahamiku, pasti dia tahu aku tak ingin dia bertanya lebih daripada apa yang aku berikan. Jika dia tak pasti apa yang membebani fikiranku, biarlah dia bermain dengan spekulasi. Begitu juga dengan Jefry. Biarlah mereka berdua bermain dengan spekulasi. Ini ‘amarah’nya terhadap dua insan yang paling berharga kepada dirinya.

Hari kelima, Lorreta putuskan bahawa dunianya hanyalah satu fatamorgana. Oleh itu, dia harus keluar dari dunia yang sempit ini. Dia tak mahu membesar menjadi seorang dewas yang tak guna, yang lekat dalam persepsi yang sempit, yang sentiasa berasa bahawa dirinya yang betul dan dunia yang salah. Kerana dalam dunia ini, betul salah tak semudah hitam putih gambar monokrom. Sedangkan putih itu sendiri terdiri daripada tujuh spektrum, merah  jingga kuning hijau biru nila ungu, apatah lagi dunia? Jika selama ini dia mampu bergerak ke hadapan melalui jalan penuh kedurjanaan ini berkat sokongan Elly dan Jefry, biarlah kali in dia yang menyokong mereka. Itulah yang Lorreta putuskan. Itulah tindakan yang akan diambilnya.

Maka diseru dua orang insan yang paling dia hargai di atas muka bumi ini, lalu dia cadangkan mereka berkhemah di Tasik Mamut.

*

Di bawah hamparan bintang yang berjuta, Lorreta masih tenggelam dalam fikirannya sendiri. Dia rasakan bahawa dirinya sedang terapung di angkasa, habuk kecil di tengah ketiadaan yang dipanggil bahan hitam dan medan Higgs yang tak kelihatan mata kasar. Kepadanya, bintang berjuta itu bagai mengejeknya, mengingatkan bahawa dirinya, Elly, dan Jefry adalah kerdil. Manusia memang makhluk yang kerdil tetapi mempunyai ego sebesar Bima Sakti. Dan termasuk dalam golongan manusia itu adalah dirinya. Itu dia tak boleh nafikan.

Jadi apa yang perlu dirisaukan jika tindakan aku ini betul atau salah? Kepada alam semesta, kami tetap kerdil. Jadi, pedulilah betul salah untuk malam ini. Lorreta mengetatkan genggaman tangannya. Serentak itu, Jefry dan Elly menoleh ke arahnya.

“Jefry, Elly..”

Lorreta mengatup kelopak mata untuk sementara. Genggaman tangannya bertambah kuat, tetapi kedua-dua Jefry dan Elly mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. ‘Lorreta tahu’. Itulah yang bermain di fikiran mereka berdua.

Lorreta membuka kelopak matanya perlahan-lahan, melihat bintang-bintang yang bertaburan di angkasa, yang mungkin telah lama lenyap daripada kewujudan. Secalit senyuman merias wajahnya.

Bintang, berikan aku kekuatan..

“Lorreta sayang kamu berdua.”

10.25pm

15 Mei 2016

Advertisements
Nila

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s