Di bawah langit yang sama


Beberapa hari yang lalu aku terasa kosong, seperti ada lohong hitam di dalam diriku, memecut-sedut diriku sehingga aku hancur tak berbaki apa-apa. Melankoli. Sering sahaja aku berasa begini sejak sekian lama. Melankoli ini datang dalam bentuk ombak, datang sedikit-sedikit. Kadang-kadang ia sekadar membasahi bibir pantai, kadang-kadang habis terendam diriku. Begitulah melankoli. Aku sejak dahulu tak tahu apa yang mencetuskan perasaan ini. Sering kali aku tenggelam dalam persoalan-persoalan berkisar hidup dan mati, tujuan dan halangan, kejayaan dan kegagalan apabila berhadapan dengan perasaan ini, tetapi langsung tak dapat aku meneka sebab sebenar di sebalik perasaan ini.

Ketika darjah satu, aku kaitkan perasaan ini dengan  keadaan semasa manusia yang semakin menjauhi alam, semakin kurang menghargai alam sekitar, dan semakin berleluasa membuat onar. Ketika itu, aku tak tahu kewujudan istilah melankoli. Yang aku tahu cuma berasa hati yang teramat sangat rawan, bagai boleh disumbat langit dan alam di dalamnya. Sering sahaja aku bersembunyi di balik rumpunan rumput yang meninggi di semak bukit belakang taman perumahan kami. Aku tak takut ular atau ulat atau kala jengking atau pengait (mereka yang dikatakan ‘mengait’ kepala manusia untuk ditanam di dalam tiang asas bangunan atau jambatan sebagai pengeras). Yang aku tahu ketika itu ialah aku berasa sedikit tenang di dalam kepompong alam peribadiku. Selesai beberapa jam duduk di situ, sekali-sekala terlelap dalam panas tengah hari yang suam melekit tetapi menyegarkan itu, aku akan kembali ke rumah bagai tak ada apa-apa yang berlaku. Bila aku fikirkan kembali kini, mungkin juga aku mengaitkan perasaan rawan ini kepada alam sekitar kerana terpengaruh dengan filem-filem animasi yang aku tonton ketika kecil dahulu. Filem-filem seperti A Troll in Central Park, Pocahontas, dan Fern Gully banyak bermain dengan tema alam sekitar, maka tak mustahil aku terpengaruh dengan idea yang cuba ditanam oleh para pembuat filem tersebut.

Naik tahap dua, perasaan melankoli itu terkait dengan unsur yang lain pula. Aku mula mengaitkan perasaan rawan tersebut dengan dahaga untuk memperhebatkan diri. Di sinilah ego aku bercambah dan berkembang, hanya untuk dihancurkan dengan teruk apabila aku memasuki tingkatan satu, tetapi itu kisah yang lain. Secara retrospektif, aku pada ketika itu bertindak atas dasar yang mungkin paling tepat boleh disimpulkan dalam frasa dari kitab Injil yang sangat terkenal itu: And God created man in His image. Aku ketika itu tak pernah mendengar frasa tersebut, tetapi tindakan aku ketika itu bagai ingin membuktikan bahawa sebagai ciptaanNya, aku harus menjadi yang terhebat. Ditambah pula dengan maksud namaku, haruslah aku memenuhi takdir aku untuk menjadi yang terhebat dan memimpin yang lain ke arah kehebatan, kerana aku ciptaan Allah yang terhebat. Nauzubillah minzalik. Alangkah bodoh dan naifnya diri aku untuk mengangkat diriku sehingga sebegitu rupa semata-mata ingin menyuap dan memuaskan dahaga jiwaku, rawan hatiku ketika itu. Jadi apabila aku dikirimkan oleh Allah satu pengajaran yang sangat besar, teguran yang sangt terus-terang ketika aku berada di tingkatan satu, aku akur dengan latihan tersebut. Allah masih sayang diriku, dan aku bersyukur kepadaNya untuk ajaran tersebut. Boleh dikatakan asas kepada peribadiku kini berkisar pada rentetan peristiwa ini. Andai kata tak pernah berlaku, aku kini sudah pasti akan jadi personafikasi segala yang aku benci. Syukur ke hadrat Illahi untuk teguranNya.

Namun begitu, melankoli tetap bertandang di hati dari semasa ke semasa.

Ada ketika melankoli datang menyerang kuat, begitu kuat sehingga aku terasa seperti tak mampu untuk bangun lagi. Fizikalku lelah, jiwaku mual, hatiku rebah, mindaku goyah. Ada ketika aku terasa seperti tak layak dan tak ingin hidup lagi. Semuanya kerana satu perasaan yang tak aku tahu asal-usulnya, penyebabnya. Dan kembalilah kepada Tuhanmu. Itulah jawapan yang pernah seorang rakan berikan kepadaku berkisar melankoli aku beberapa tahun yang lalu. Ketika itu, melankoli tersebut telah bercambah menjadi sesuatu yang negatif, yang memakan diriku. Aku berasa murung dan tak terdaya. Ayat tersebut telah memercik kembali api semangatku. Apa tidaknya, ia dikatakan oleh rakanku yang juga berada dalam keadaan emosi yang kurang stabil ketika itu. Apabila aku ceritakan perkara ini kepada ummiku, kami tergelak bersama. Bagaimana seorang yang kekurangan motivasi diri, dia, memberikan motivasi kepada seorang yang juga kekurangan motivasi diri ketika itu, aku? Bukan sekali. Bukan dua kali. Beberapa kali. Beberapa tahun yang lalu, motivasi daripada seseorang yang sendiri kekurangan motivasi diri kepada orang lain yang juga kekurangan motivasi diri itu memuncak, lalu terlahirlah Medan Higgs Kita daripada kekaguman dan cemburu aku terhadapnya.

Kini, sekali lagi melankoli merundum jiwaku, datang tak dijemput entah dari mana. Melankoli kadang-kala boleh melahirkan perasaan meluat terhadap diri sendiri dan segala kekurangannya, kekhilafannya, kepincangannya, kegagalannya yang besar, dan kejayaannya yang tak seberapa. Ya, melankoli kali ini sebegitu rupa. Aku jadi jumud, dan aku salahkan melankoli. Pada masa yang sama, melankoli menyalahkan kehadirannya atas kejumudan diriku. Satu kitaran yang takkan putus selagi tak diputuskan oleh tuan punya badan. Pusaran ini selalu aku putuskan melalui perbandingan dengan kes yang selari, membayangkan orang lain yang tak kukenali, juga mereka yang kukenali. Jika mereka berada dalam situasi yang sama, apakah mereka akan menyerah kalah? Apakah mereka akan berputus asa? Jika ya, kasihanlah mereka, dan tak inginlah aku menjadi sebahagian daripada mereka yang aku kasihani. Jika tidak, jika mereka bangkit bersungguh-sungguh hingga tertanam melankoli dalam kegagalannya sendiri, ingin aku menjadi setanding, tak, lebih hebat daripada mereka. Jika boleh dikalahkan, mengapa aku tak boleh kalahkan? Jika ada yang gagal, mengapa aku harus bersedih dengan kejayaan aku yang tak seberapa? Kejayaan tetap satu kejayaan, biarpun hanya di sebelah garis tipis yang memisahkan kejayaan dengan kegagalan. Bukankah kufur nikmat jika kejayaan itu tak dihargai? Bukankah juga termasuk dalam zon selesa jika kejayaan tersebut digembar-gemburkan? Maka ambillah jalan yang tidak menafikan dua fakta ini, pada masa yang sama memperlihatkan kepada dunia bahawa kedua-duanya fakta ini boleh dilawan dengan tindakan. Bersyukurlah kerana berjaya, tetapi pada masa yang sama sedarlah bahawa masih jauh perjalanan ke kemuncak.

DSC_0108

Jika orang lain boleh buat, kenapa tidak aku? Bukankah kita semua berada di bawah langit yang sama?

10.53 pm

23 Febuari 2016

Advertisements
Di bawah langit yang sama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s