Tanah Tumpahnya Darahku


Selesai Subuh, aku meneruskan rutin harianku seperti biasa. Langsir ruang televisyen kusingkap ke tepi, pintu ruang tamu kukuak luas, tingkap bilikku kubuka, langsirnya disingkap ke tepi juga. Hawa dingin pagi menyerbu rumah ini, villa ini, setelah seharian dihalang dari mengisi ruang dalamannya. Mentari bersiap bangkit dari tidurnya, atau sekurangnya itulah apa yang manusia perhatikan. Walhal kita yang tidur dan bangun. Mentari tak pernah beradu. Cuma dialihkan pandangannya ke sebelah bumi yang satu lagi. Begitulah kebesaran dan kehebatan alam, susunan sempurna Illahi yang Maha Esa, Maha Berkuasa.

Sebaik tabir bilikku kusingkap, dia datang menyambut pandanganku seperti kebanyakan hari sebelumnya. Andai kata di sini hujan atau di sana hujan, dia takkan menantiku di subuh hari. Andai kata kabus atau jerebu bertandang, dia cuma mengintai diriku sambil tersipu-sipu malu. Dialah Kinabalu. Puncak tertinggi jajaran banjaran Crocker. Megah berdiri di ketinggian 4096 meter, namun masih tunduk akur kepada Allah, Tuhan semesta alam. Kadang hatiku cemburu kepadanya. Bagaimana satu entiti yang besar, yang jelas tampak megahnya dari kejauhan, masih duduk diam, akur dan setia. Hari-hari tertentu, pabila rembulan datang menyakat Kinabalu, dia hanya melihat kawannya itu dari bumi tanpa bergerak, tanpa cemburu, tanpa merajuk, tanpa buruk sangka. Dia tahu tingginya cuma sekadar tinggi gunung yang melekat tetap di atas muka bumi. Mungkin juga ini sekadar sentimenku sendiri, bercampur dan menyesatkan aku dari persepsi Kinabalu sendiri.

Pagi ini, Kinabalu masih berada di sana. Masih berdiri gah. Masih diam akur. Masih menyakat mentari, melindungnya kala dia ingin bangkit menyinar bumi. Ada juga kenakalan Kinabalu, fikirku sambil tersenyum sendiri. Namun pagi ini aku berasa sedikit sayu. Pagi ini mungkin pagi terakhir aku melihatnya. Bumi Malaya memanggilku kembali kerana tugasan dan tanggungjawab, maka haruslah aku melunaskan tugasan dan tanggungjawabku yang tertangguh. Bukanlah aku menyalahkan tugasan dan tanggungjawab kerana sesungguhnya pilihan untuk ke sana hakikatnya adalah pilihan aku sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Andai kata ajal memanggilku sebelum dapat aku memijak kembali bumi Sabah ini, inilah pagi terakhirku melihatnya, dan dia memandangku kembali. Bermacam perkara boleh terjadi kepadaku, namun semuanay asbab sahaja. Asbab bagi menjawab logik fikiran manusia, kerana manusia perlukan asbab, kerana manusia lemah, tak boleh menerima sesuatu perkara begitu sahaja, kosong tanpa penerangan. Maka, aku tidak tahu mana satu yang akan menyambut aku dahulu; Kinabalu ataupun Ajal. Mana-manapun, aku harap aku redha dengan pilihan Allah. Matikan aku dalam keredhaan, oh Tuhanku.

Selesai mengemas barang, aku ucapkan salam, memeluk, dan mencium pipi ummiku, inangku tercinta, masuk ke bahagian pemandu Avanza abahku, yamaku yang tersayang, lalu menekan pedal minyak, keluar dari ruang parkir villa tautan kasih yamaku dan inangku. Sambil itu, mataku melirik ke arah Kinabalu. Tahun lepas, dia mengamuk sebentar, tapi aku tiada di sini untuk merasa amukannya dan cemas adik-adikku serta beribu yang lain yang berada di bumi di bawah bayu ini. Aku mendengar kisah ngerinya, tetapi sekadar mendengar sahaja. Dalam kepalaku terfikir, Kinabalu pun ada hari-hari mendungnya. Atau mungkin juga ini sekadar sentimenku sekali lagi. Walau apapun, walau bagaimana teruk dan ngeri pun tempat ini, aku masih sayang akan tempat ini. Tanah ini, negara ini, pulau ini. Langitnya, lautnya, gunungnya, orangnya, aku masih sayang semuanya. Senyumannya, gurauannya, ejekannya, sakatannya, aku terima semuanya. Kini, di Lapanagan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sambil menunggu penerbanganku, sambil melihat langit biru yang tinggi melampau sinonim dengan mana-mana pulau, sambil menyerap tenaga daripada pantulan cahaya dari Laut Cina Selatan yang pekat lagi membiru, tak ingin kalah kepada langit, aku terkenang kembali 26 tahun 6 hari kehidupanku. Jatiku tetap orang pulau, sama seperti mereka yang aku sayang dan yang aku benci di tempat ini. Biarpun pulau ini besar, mereka yang tinggal di sini tetap orang pulau, tetap dengan mentaliti orang pulau, kedua-dua baiknya dan buruknya. Aku lahir di sini, membesar di sini, dan harapnya mati di sini, biarpun Ajal yang memilih tempat dan masanya.

Selamat tinggal tanah tumpahnya darahku. Moga ketemu lagi, insyaAllah.

DSC_0098
Gunung yang tinggi pun batasnya terlekat di Bumi. Si sabit dalam jangkauan tapi masih kejauhan.

10.25 am

8 Febuari 2016

Advertisements
Tanah Tumpahnya Darahku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s