Masa Depan Jangkaannya


Terjemahan daripada cerita ini. (A translation of this short story.)

“Jadi, kau akan teruskan juga? Kau rasa, inilah pilihan yang terbaik?”

“Tidaklah aku tahu kalau ini yang terbaik atau tidak, tapi ya, aku akan teruskan juga.”

“Kau akan teruskan biarpun ini mungkin bukan pilihan yang terbaik?”

“Kau kena faham. Aku tidak boleh melihat ke masa hadapan, tapi aku akan teruskan juga. Tidaklah aku tahu apa yang masa hadapan bekalkan untuk aku, untuk kita semua, tapi aku yakin masa depan itu wujud, dan masa depan aku ada di dalam gambaran itu.”

 Saat itu, dia kehilangan kata-kata untuk membalas. Wajah lelaki tersebut bersinar penuh keyakinan. Dia bukan sahaja boleh melihat keyakinan itu, bahkan juga dapat merasakan kehangatannya. Semangat membara berkobar-kobar yang memenuhi dada lelaki itu bukanlah sesuatu yang boleh disangkal sesiapa. Tanpa mengetahui apa yang harus dikatakan, dia hanya mampu menggelengkan kepala kepada lelaki tersebut, menunjukkan bahawa dia tak percaya dan tak bersetuju dengan apa yang lelaki itu katakan sebentar tadi.

Itu peristiwa tiga bulan yang lalu. Kini, pada Isnin yang diiringi hujan ini, dia terjaga dari lenanya. Badannya terasa berat dan lemah, lebih lemah daripada sebelum dia memasuki keadaan mati sebentar itu. Matanya melilau mencari telefon bimbitnya dan nombor yang tertera di paparannya. Nombor-nombor tersebut jelas menunjukkan bahawa masa sudah menjangkau pukul 11 pagi, namun mentari masih malu untuk menerangi bumi dengan sinarannya. Guruh terus berdentum. Hujan terus membasahi bumi. Titisan hujan mengetuk-ngetuk di jendela. Kadang-kadang angin berhembus kencang, seperti ingin menyerbu dan memecahkan jendela, tapi tak pernah kesampaian. Seperti seorang yang teragak-agak, tak pernah mempunyai keberanian untuk mengharungi segalanya. Hebat hanya pada sembangnya dan bukan pada tindakan. Bagai wap air yang meletus marah dari permukaan air yang mendidih, hilang begitu sahaja tanpa mencapai apa-apa.

Dia melepaskan sebuah keluhan yang tersangatlah berat, katilnya mengerekot berbunyi. Dalam keselesaan dan kehangatan lapisan demi lapisan bantal, pakaian, dan selimut gebunya, dia meregangkan badan sebelum kembali kembali santai dan malas. Sejurus kemudia, satu lagi keluhan terluah dari kerongkongnya. Dia meniarapkan badan lalu menarik kejap selimutnya. Dia tak ingin meninggalkan keselesaan dan kehangatan lapisan demi lapisan bantal, pakaian, dan selimut gebunya. Dia tahu bahawa di luar zon selesa ini, udara pagi sungguh dingin. Lebih-lebih lagi pada hari-hari seperti ini, pada mana hujan terus menerus membasahi bumi dari malam hinggalah ke pagi. Andai dia meninggalkan kubu kehangatan ini, dingin udara akan menyerang dirinya, dan dia pasti akan berasa sakit dan tidak selesa. Dia tak ingin merasai kesakitan itu. Bukan hari ini. Tak ingin lagi.

Tapi inilah kehidupan. Kita tak boleh lari daripada apa yang ingin kita elak, dan kita takkan dapat apa yang kita kehendaki. Hidup in kejam. Hidup in tak bermakna. Jika aku hidup hanya untuk menderita, kenapa hidup? Namun begitu, dia tak ingin mati. Dia belum bersedia untuk meninggalkan segalanya, dan menyedari hakikat ini membuatkan dirinya berasa makin jengkel. Dia benci kehidupan, tapi tak boleh melepaskannya. Dan segala kebencian itu berpusar kembali ke titik asalnya dalam satu kitaran yang teramat jahat, ia mengambil segala nilai dirinya lalu dihancurkan menjadi debu-debu yang tak bermakna.

“Tapi kau masih kena teruskan kehidupan. Begitulah caranya untuk menjadi seorang yang kuat. Kau kena hadapi segala cubaan, segala rintangan secara berhadapan, secara langsung. Pada mulanya, kau akan rasa sangat payah. Kau akan merangkak perlahan. Badan kau terasa berat dan kau fikir kau tidak akan berjaya. Tapi bila kau akhirnya berjaya, kau akan fikir ‘oh, aku mampu mengatasinya’. Kemudian kau hadapi rintangan yang seterusnya, dan yang seterusnya, dan yang seterusnya, hinggalah semua rintangan itu kau rasa semacam taman permainan sahaja. Pada ketika itu, kau akan terus menghancurkan rintangan tanpa rasa terbeban. Saat itu, kau akan sedar bahawa yang menghalang dirimu untuk maju ke hadapan ialah dirimu sendiri.”

Dia menggelengkan kepala dengan kuat sebaik sahaja terimbau kata-kata lelaki tersebut. Senanglah kau cakap begitu, orang hebat, dia mengherdik di dalam hati. Sedari terlintas kata-kata tersebut, dia berhenti menggelengkan kepala. Rambut ikalnya yang kembang kini berserabut. Dia benci rambutnya. Dia benci lelaki itu kerana mengingatkan dirinya bahawa dia seorang yang sangat menyedihkan. Dia benci rambutnya kerana mengingatkan dia kepada lelaki itu, kerana lelaki tersebut pernah mengatakan bahawa dia suka melihat rambut ikal yang kembang itu, yang dia benci. Dia benci rambutnya yang mencetuskan kenyataan daripada lelaki tersebut. Dia benci dirinya kerana mengingati semua ini. Dia benci dirinya kerana cuba untuk memberi hujah sokongan kepada semua kebencian ini dalam nahu yang terbatas. Dia benci dirinya kerana diri ini hanya mengetahui kebencian pada masa ini. Dia benci rambutnya kerana memulakan kitaran kebencian pada pagi yang cukup lewat ini. Dia benci rambutnya.

Namun begitu, dia tak boleh berbuat apa-apa terhadap semua ini. Dia masih di katilnya, masih tenggelam dalam kehangatan lapisan demi lapisan bantal, pakaian, dan selimut gebunya, masih tak mampu untuk berganjak keluar daripada hangat yang sangat selesa yang memerangkap dirinya. Dia tak boleh berbuat apa-apa selagi dia terus menyalahkan katil tersebut kerana terlalu selesa, walhal dia sedar bahawa dirinya sendiri yang tak mahu berganjak dari posisi tersebut. Dia sedar akan ironi ini, namun dia tetap tak mampu berbuat apa-apa tentangnya. Dia benci dirinya kerana tak mampu menyelesaikan permasalahan yang sungguh asas ini. Dia benci bagaimana kebenciannya hanya mengingatkan lagi dirinya kepada lelaki tersebut dan pandangan optimistiknya, senyumannya yang bersinar, semangatnya yang kebal, hatinya yang pemurah, kepercayaannya kepada diri sendiri, sayangnya terhadap umat manusia, kemampuannya untuk maju ke hadapan, kekurangan sifat angkuhnya, dan kejujuran tanpa sebab ataupun hujah mahupun prejudis. Dia benci betapa dia sanjungi lelaki tersebut yang bagai turun dari syurga manakala lelaki itu sendiri tak terfikir dirinya lebih daripada seorang jejaka biasa. Oh, ketidakadilan ini membunuh jiwanya, dirinya yang sudah separuh mati! Kenapakah dia begitu banyak berfikir tentang lelaki tersebut padahal lelaki itu sendiri tak berfikir panjang tentang dirinya sendiri? Dia mungkin ada jawapan kepada persoalan tersebut, tetapi dia tak ingin menerimanya.

“Kunci kepada menyelesaikan apa masalah sekalipun ialah penerimaan. Apabila kita menerima sesuatu tanpa perjudis, tanpa memaksa nilai-nilai kita  ke atas orang lain, dengan toleransi dan rasa horrmat untuk segala perbezaan antara kita, barulah kita boleh maju sebagai satu spesis. Kita tak perlukan mentaliti kolektif ataupun sifat individual yang menonjol dan menunjuk-nunjuk. Kita cuma perlu menerima. Hanya apabila kita mampu menerima, barulah kita mampu maju ke langkah seterusnya, menghargai keindahan kepelbagaian kita dan bersorak menyokong persamaan antara kita. Barulah kita mampu bersikap terbuka dan jujur tanpa perlu risau akan menyakiti satu sama lain tanpa perlu berselindung di sebalik prinsip kebebasan bersuara atau apa-apa slogan seperti ‘untuk tujuan perbincangan’. Barulah kita boleh buang segala topeng dan perisai kepada segala penipuan kita yang bertujuan ingin menjatuhkan kepercayaan, dogma, atau agama orang lain. Saat itu, kita akan mampu menyelesaikan masalah kolektif mahupun individu.”

Sekali lagi, dia menggelengkan kepalanya dengan kuat. Rambut ikalnya yang kembang terhayun ganas, bagai ombak membadai tebing berbatu dalam ribut petir. Dia tak ingin mengimbau kata-kata lelaki itu, kerana semuanya menjurus kepada rumusan yang sama; dia sendiri yang bersalah ke atas keadaan dirinya yang menyedihkan itu. Dia langsung tak faham akan apa yang lelaki itu maksudkan dalam separuh yang kedua kata-katanya. Jadi, kenapakah dia mengingati kata-kata lelaki tersebut? Dia benci bagaimana dia tahu akan sebab di sebalik semua imbauan memori ini. Dia benci bagaimana dia tahu akan sebab yang mencetuskan ingatannya kepada petikan demi petikan yang dia dengari dari lelaki tersebut dari pelbagai kesempatan. Dia benci segalanya. Dia benci dirinya kerana membenci. Dia benci lelaki tersebut kerana membuatkan dia membenci dirinya sendiri. Dia benci bagaimana suatu ketika dahulu dia sangkakan bahawa lelaki tersebut hanyalah seorang yang penuh pura-pura, yang penuh gimik hanya untuk kelihatan hebat pada pandangan orang lain. Dia benci bagaimana kini dia tahu bahawa lelaki itu tidak berpura-pura tetapi memang itulah sifat sebenarnya. Dia benci semuanya! Dia benci segalanya! Dia benci-

Tiba-tiba, telefon bimbitnya yang sejak semalam dibiarkan dalam mod senyap bergetar. Skrin telefonnya menyala menunjukkan nama pemanggil. Melihat nama tersebut, matanya terbuntang luas. Nafasnya tersekat di kerongkong. Jantungnya berhenti berdegup untuk sesaat. Kawan baiknya sedang memanggilnya. Dia ragu-ragu untuk seketika, tetapi akhirnya mengumpul segala kekuatan untuk menjawab panggilan tersebut.

“Helo Ann. Kau OK?” kedengaran suara kawannya dari hujung talian dalam nada yang agak rendah dan serak. Bukan suara biasanya, dia terfikir.

“Sepatutnya aku yang tanya kau soalan tu,” dia balas dengan cubaan untuk kedengaran sinis.

Kawannya tergelak untuk seketika, tetapi dia tak mampu menyangkal bunyi sedu-sedan bergema dalam tawa itu. Mungkin itu hanya imaginasinya, dia berkata kepada diri sendiri dalam cubaan untuk bersangka baik.

“Jadi, kau datangkah? Ke majlis pengebumian abang saya.”

Dia terdiam. Air matanya mula bergenang. Adik-beradik ini! Tak pernah berlapis kata, dia menjerit di dalam hati. Suatu perasaan yang kuat mula terbentuk dalam hatinya. Perasaan yang bercampur-aduk, perasaan marah dan sedih dan secubit perasaan lega dan gembira mula membentuk satu gumpalan yang terlalu berat, terlau kuat, terlalu hebat. Suatu gumpalan perasaan yang lebih besar dari dirinya sendiri, dia tak mampu untuk menanganinya. Gumpalan perasaan yang terlahir daripada segala perasaan adik-beradik tersebut. Dia hampir menitiskan air mata, namun dia ingatkan dirinya bahawa dia tak boleh menangis sekarang. Bukan sekarang. Bukan di sini. Jika ada seorang yang berhak untuk menangis dalam situasi ini, orang itu adalah kawan baiknya yang kini berada di hujung talian. Dia pula tak berhak untuk menangis. Dia hanya berhak untuk memujuk dan meredakan kawannya, bukan sebaliknya. Dia mengumpul segala kudrat ayng berbaki dan akhirnya membuahkan suatu jawapan kepada soalan kawannya sebentar tadi. Dia cuba untuk bercakap dalam nada yang agagah, tapi cukup pasti bahawa kawannya mampu mendengar getaran dalam suaranya.

“Aku akan datang. Aku akan berada di sana. Untuk kau.”

Suasana menjadi janggal dan sunyi untuk seketika sebelum dia mendengar balasan kawannya.

“Terima kasih, Ann.”

Panggilan tersebut terhenti di sana. Dia lepaskan telefon bimbit daripada genggamannya, melontarkan lapisan bantal, pakaian, dan selimut gebunya ke lantai, lalu melentangkan diri di atas katilnya yang kini ‘bogel’. Segumpal keluhan terlepas dari kerongkongnya bersama beberapa titisan air mata. Dia menyesali ketidakgunaan dirinya, sifat pengecutnya, dan kekurangan upaya untuk menabahkan diri dalam masa-masa yang memerlukan. Ini semua salah kau, dia merungut kepada dirnya sendir sambil membayangkan lelaki tersebut di layar minda. Apakah masa depan dirimu yang kau jangkakan jika kau sendiri tak wujud dalam gambaran masa depan tersebut? Akhirnya, kau sendiri tak mampu dapat apa yang kau kehendaki.

Sedang dia sibuk merungut sendirian, dia terdengar suara lelaki tersebut. Mungkin ia hanya mainan mindanya. Mungkin juga dia sudah jadi gila. Dia tergelak besar memikirkan kebarangkalian tersebut. Air mata menuruni kedua-dua belah pipinya. Gelaknya teramatlah kuat, rambut serabutnya yang ikal dan kembang itu terhayun mengikut sentakan badannya. Dan seperti bagaimana gelak tawanya datang secara tiba-tiba, ia terhenti begitu sahaja tanpa sebarang epilog. Dia kemudian tersenyum sambil menggelengkan kepala. Mungkin aku dah gila, dia terfikir. Walau bagaimanapun, dia cuba untuk melakonkan wataknya, mungkin untuk kali terakhir. Dia adalah dirinya, gadis yang sentiasa mempersoalkan segala gerak-geri, kata-kata, dan tindakan lelaki tersebut. Oleh itu, tanggungjawab wataknya ialah untuk bertanya, bukannya menangis atau ketawa. Dia menarik nafas dalam-dalam, memejamkan mata, menahan nafas untuk beberapa saat, kemudian melepaskannya perlahan. Kemudian, dia membuka kedua-dua belah matanya lalu duduk tegak menghadap bayangan lelaki itu yang dimainkan oleh mindanya. Dia mengangkat tangan kirinya ke hadapan, jari telunjuk lurus ke arah bayangan itu, lalu menjayakan wataknya.

“Jadi, adakah kau puas hati?”

12.38 am,

10 Januari 2016

Advertisements
Masa Depan Jangkaannya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s