Episod: Kita


Dunia tidak berkisar mengelilingi satu-satu individu, tetapi setiap satu individu mempunyai dunia mereka sendiri. Satu dunia di mana merekalah pusat graviti dan dunia ini berkisar mengelilingi mereka. Dunia-dunia ini bersifat abstrak, halimunan, dalaman, spiritual, dan hanya akan menunjukkan bukti kewujudanya melalui konkrit perbuatan, perbualan, ucapan, tulisan, lukisan, lirikan senyuman, lirikan lagu, ciptaan, dan peperangan.

Dunia-dunia ini bersifat individu. Mereka tidak bertindih antara satu sama lain pada waktu-waktu biasa. Ada dua cara untuk membolehkan dunia-dunia ini bertindih. Pertama, apabila dua dunia mempunyai persamaan dalam apa-apa sifat. Biarpun jika sifat itu sesuatu yang kecil, mikroskopik, dua dunia dengan sifat yang sama mungkin akan bertindih. Ada satu tarikan yang sukar untuk dijelaskan apabila dua dunia mempunyai sifat yang sama. Inilah permulaan persahabatan antara dua orang asing. Kedua, apabila dua dunia mempunyai sifat-sifat yang bertentangan langsung antara satu sama lain. Dua dunia ini tak akan bertindih pada kebanyakan masa kerana mereka selalunya berada di lompok yang berbeza. Tetapi apabila mereka berdekatan, sangat tinggi kebarangkalian untuk pertindihan berlaku. Apabila berlaku pertindihan, maka berlakulah geseran yang memercik api kebencian antara dua dunia ini. Inilah permulaan pertengkaran antara dua orang asing.

Sangat sukar untuk kita ketahui sifat sebenar dunia seseorang individu, kerana dunia ini terhijab dari pandangan mata kasar. Tapi dengan latihan yang berpanjangan dan pembiasaan diri kepada segala stigma, stereotaip, prejudis dan antinya, dan rutin harian, aku rasa aku mampu untuk menyingkap sedikit pandangan curi ke dalam dunia-dunia ini. Aku yakin bahawa ini adalah kelebihanku kerana suka memerhatikan orang, suka bermain permainan ‘andai, jika, dan mungkin’. Suka menjangka reaksi individu, menghayati reaksi individu, menganalisa reaksi individu, mencari individu yang memulakan percikan ideologi dan mentaliti mob dalam satu-satu rusuhan, kejadian minda sarang, ataupun perbuatan motor koloni. Akulah stalker kepada seluruh umat manusia. Mungkin juga aku kemaruk dengan manusia sejagat. Sebab itulah aku percaya bahawa aku mampu menyingkap tabir yang menyembunyikan dunia-dunia setiap individu.

Tetapi aku silap. Aku naif. Aku tak mampu meyingkap dunia setiap individu.

Perjalanan kehidupan ini bagaikan sebuah rancangan bersiri. Setiap episod mempunyai tema, plot, perasaan, lakonan, dan wataknya yang tersendiri. Sedari selesai SPM beberapa tahun yang lalu, aku menyedari kewujudan ‘episod-episod’ ini. Tak pernah suatu kesusahan bertindih dengan kesusahan yang lain. Tak pernah dua antagonis utama muncul pada masa yang sama. Jika muncul pun, pasti mereka bertindak dalam satu kumpulan, dan entiti itu boleh dianggap sebagai satu kejahatan yang tunggal. Kenapa? Kerana kehidupan ini dijalankan dalam format episod ke episod. Dan kerana manusia itu lemah. Kerana Tuhan sayangkan kita, maka Dia letakkan kita dalam satu situasi yang boleh kita selesaikan walau bagaimana susah sekalipun. Selesai satu permasalahan, satu ‘episod’, barulah permasalahan yang baru akan muncul. Begitu sayangnya Tuhan kepada kita.

Dengan kedatangan setiap episod ini juga, datangnya kenalan baharu, mungkin kawan, mungkin lawan, situasi baru, mungkin lebih baik, mungkin lebih teruk, dan senjata-senjata baru, sama ada tangisan ataupun tumbukan padu. Di episod kali inilah aku bertemu dengan seorang jejaka bernama Ezan. Ezan seorang yang peramah pada mulanya, tetapi aku dapat mengesan sesuatu yang berbahaya pada dirinya. Dunianya bukanlah sesuatu yang penuh dengan kecerahan tetapi lebih terisi dengan kegelapan. Itulah yang dapat kusingkap di pertemuan pertama kami.

Ada sesuatu dalam lirikan senyumannya yang membuatkan aku berasa gelisah. Sesuatu tentang redup kelopak matanya apabila bercakap dengan diriku yang membuatkan aku berasa meluat. Sesuatu dalam cara dia memasukkan tangan kanannya ke dalam kocek seluar setiap kali berpaling daripada diriku yang membuatkan aku bersyak wasangka. Ketika itu aku sudah mula membayangkan rupa dunia individunya dan apa yang menyebabkan dunia tersebut terzahir sebegitu rupa. Ada dua kebarangkalian. Yang pertama, dia telah atau sedang melalui sesuatu yang sukar yang menekan hidupnya, prinsipnya, jiwanya, ataupun kebebasannya. Yang kedua, dia memang berniat jahat terhadap diriku. Aku tak tahu yang mana satu kebenaran, jadi aku biarkan kebarangkalian membuat kerjanya: kekal sebagai kebarangkalian yang tidak berasas. Mungkin masa akan membuka sedikit demi sedikit dunia individu seorang jejak bernama Ezan ini. Jadi aku serahkan kepada masa untuk membuat kerjanya dan meneruskan perkenalan aku dengan Ezan secara berhati-hati.

Namun semakin lama aku mengenalinya, semakin aku ragu-ragu akan dirinya. Aku jadi tak selesa apabila bersendirian dengan dirinya. Aku cuba mengelak apabila bertembung dengannya. Aku meragui senyuman dan keramahannya yang bukan sahaja ditujukan kepada diriku, bahkan juga kepada orang lain. Ezan tidaklah sebaik yang disangka. Itu aku pasti. Itu aku tahu, kerana segala tingkah-lakunya, segala gerak-gerinya mewujudkan suatu perasaan yang sukar untuk aku ucapkan dalam kata-kata. Naluriku menjerit meraung mengatakan bahawa dia seorang yang berbahaya, bahawa aku tak cukup kenal akan dirinya yang sebenar, akan keupayaan dirinya yang tidak ditonjolkan, akan niat dan cara pemikirannya yang bersimpang-siur.

Semua yang mengenali Ezan mengatakan bahawa dia seorang yang baik, tetapi ada ‘tetapi’ di belakang ayat mereka. Apakah ‘tetapi’ itu? Mereka sendiri kurang pasti. Mereka terasa suatu aura yang menggerunkan tersebar dari dirinya, sama sepertiku. Mereka juga dapat melihat sesuatu dalam tingkah-lakunya, sama seperti aku. Tetapi mereka tidak dapat menyatakan secara tepat apakah yang mengganggu fikiran mereka, juga sama seperti aku. Kegelapan dalam diri Ezan terlimpah keluar sehingga mereka yang tak biasa menyingkap dunia individu pun mampu melihat apa yang terlihat olehku. Begitu parah keadaan yang menyelubungi Ezan.

Oleh itu, aku mengambil langkah untuk memutuskan langsung perkenalan aku dengannya. Dia sesuatu entiti yang tak boleh aku hadapi. Dialah punca kepada permasalahan ini, antagonis dalam episod ini. Dialah entiti yang menjadi intipati persoalan kepada kali ini, dan juga kunci kepada menyelesaikan peringkat ini untuk mara ke peringkat seterusnya. Dan cara untuk menyelesaikan teka-teki, persoalan, kali ini ialah dengan langsung tidak bertemu dengannya. Maka itulah langkah yang aku putuskan. Pada masa yang sama, aku sedikit kecewa kerana tidak dapat melihat lebih ke dalam dunia individunya. Yang terlihat setakat ini hanyalah satu lohong hitam yang berterusan tanpa kelibat penghujung dalam pandangan. Tidak mengapa. Aku akan ke episod seterusnya, dan perihal ini semua akan menjadi rekod semata, tersimpan dalam arkib kehidupanku sebagai seorang manusia di muka bumi ini.

Selesai sahaja projekku di bandar ini, aku memutuskan untuk kembali ke ibu pejabat dan meniggalkan tempat ini untuk selama-lamanya. Tak ingin aku berhadapan dengan seseorang seperrti Ezan lagi. Dia membangkitkan suatu perasaan yang telah lama aku tak rasai. Oh ya, kini aku sudah dapat mengenalpasti apakah perasaan itu.

Perasaan itu adalah takut, ibu kepada segala emosi, asas kepada semua perasaan lain. Benarlah manusia hidup dengan penuh ketakutan. Itulah yang dapat aku simpulkan daripada perkenalan singkatku bersama seorang jejaka bernama Ezan.

Sekali lagi, aku silap. Aku naif. Aku tak dapat melarikan diri daripada Ezan.

Aku yang mengaku sebagai stalker dunia kini menggigil ketakutan dalam permainanku sendiri. Sekali lagi, takdir telah menemukan aku dan dia di dalam kereta api. Kebetulan dia ada urusan di ibu pejabat, dan syarikat kami memutuskan untuk menempatkan kami berdua di dalam kabin yang sama. Jantungku hampir tercabut sebaik sahaja membuka pintu kabin. Yang menyambut pandanganku ialah wajah Ezan yang tersenyum kecil dan kelopak matanya yang meredup memandang tepat ke arahku. Ketika itulah terlintas di fikiranku bahwa episod ini, peringkat ini, takkan tamat dengan hanya mengelakkan diri daripada Ezan. Aku harus menyelesaikan permasalahan ini secara berhadapan. Tetapi apakah yang perlu diselesaikan? Aku tidaklah membenci dirinya, tetapi pada masa yang sama tak juga senang akan dirinya. maka aku mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa, kerana itu juga satu pilihan.

Aku membalas senyumannya secara paksa lalu meletakkan begku di bawah pelantar sebelah kanan kabin, memandangkan Ezan sudah duduk di sebelah kiri. Kemudian aku duduk berhadapan dengannya. Dia senyum ke arahku, aku senyum balik. Dia bagai ingin mengatakan sesuatu, tetapi suaranya tersekat di pangkal leher. Matanya meredup sekali lagi. Tangannya dikepal-kepal bagai sedang meramas sesuatu yang tak kelihatan oleh mata kasarku. Sebaik sahaja menyedari pandanganku ke arah tangannya, dia berhenti melakukan apa yang dia lakukan sebentar tadi lalu melemparkan pandangannya ke luar jendela.

Ingin sahaja aku melompat keluar dari kabin tersebut. Ruang kabin yang sudah biasa aku alami ini terasa begitu sempit, begitu menyesakkan pada kali ini. Aku ingin lari sejauh yang mungkin dari jejaka ini, tapi ke mana? Kami berdua sedang menaiki sebuah kereta api yang sedang laju meluncur di atas landasannya, ke mana boleh aku melarikan diri di atas kenderaan panjang ini? Mindaku jadi kacau. Aku keluarkan senaskah novel dari beg galasku dan membuka buku tersebut di muka surat yang telah aku tandakan. Aku cuba fokus membaca, tetapi fokus bukanlah rakanku pada petang ini. Mataku mengesan segala perkataan yang tertulis, mindaku menerima segala input visual itu, tetapi pemikiranku tak dapat mencerna ataupun memproses apa-apapun daripada bacaanku. Semuanya kelihat seperti susunan perkataan yang tak membawa sebarang maksud. Gibberish.  Tanganku menggeletar secara tidak sengaja. Perasaan takut yang tak berasas, yang tak diketahui datangnya dari mana, mula muncul dan merebak di dalam hatiku, menguasai diriku, jiwaku, logikku, emosiku. Dan semua ini hanya kerana seorang jejaka yang duduk di hadapanku? Sebahagian daripada diriku tak mahu percaya akan hakikat ini.

Ketika itulah aku terdengar suara Ezan. Dia memanggil namaku. Aku mengangkat wajahku lalu cuba untuk membalas pandangannya yang menikam diriku. Matanya yang kuyu melihat tepat ke arahku, ke dalam mataku, cuba untuk menyingkap dunia individuku, menceroboh tanpa memohon keizinan. Aku tahu apa yang dia ingin lakukan kerana aku melakukan perkara yang sama berulang kali sebelum ini ke atas orang lain. Oleh itu, aku tak ingin kalah dalam peperangan psikologi ini. Aku menentang pandangannya dengan memandang terus ke dalam matanya, ingin menyingkap tingkap kepada dunia individunya lewati lohong hitam itu. Tapi apa yang kulihat hanyalah lohong itu dan lohong itu sahaja, tak lebih dari itu. Ketika itulah Ezan memanggil namaku sekali lagi.

“Ya. Kenapa?” tanyaku, cuba untuk berlagak bersahaja.

“Awak OK tak?” balas Ezan dengan satu persoalan.

“OK,” jawabku ringkas.

“Saya perasan yang awak macam tak OK. Betul awak OK?” tanya Ezan sekali lagi.

“Betul saya OK. Sejak bila pula saya tak OK?” jawabku dengan sedikit jengkel.

“Sejak awak datang ke sini. Tak, maksud saya, ke tempat saya, bukan ke kabin ini,” Ezan memberikan penerangan pula.

Aku membisu seketika. Pandanganku terlari ke pintu kabin. Adakah dia sedar bahawa aku tak senang dengan dirinya selama aku berada di cawangan ini? Atau dia baru menyedari hal ini beberapa minit yang lalu. Aku tak tahu bagaimana hendak menjawab persoalannya. Aku jadi tidak keruan. DIA SEDAR AKU TIDAK MENYENANGI DIRINYA! Itulah yang bermain dalam kepalaku apabila dia menggenggam erat tanganku yang menggelatar. Aku terus menoleh kembali ke arahnya dengan satu perasaan cemas menyusup laju ke dalam hatiku.

“Bertenang,” katanya dalam suara yang mendatar tapi jelas.

“Hah!?”

“Bawa bertenang! Tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan,” sambung Ezan lagi.

Aku tak tahu kenapa, tetapi alunan suaranya, gerakan bibirnya, dan pandangannya yang meredup itu bagaikan mempunyai satu aura ketenangan yang memaksa aku untuk akur kepada arahannya. Satu aura yang tak pernah aku rasa daripada suara, bibir, dan pandangan itu. Itu jugalah suara, bibir, dan pandangan yang aku tidak senangi selama ini. Kenapakah ini terjadi? Aku tak punyai jawapannya, tetapi aku tetap akur. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Aku ulangi beberapa kali sehinggalah tanganku berhenti menggeletar. Ketika itulah Ezan melepaskan genggamannya lalu meletakkan tanganku di ribaku.

“Dah tenang?” Ezan bertanya dalam suara mendatarnya.

Aku mengangguk perlahan. Melihat balasanku, Ezan menyambung kata-katanya.

“Saya tak pasti apa yang awak tengah lalui, dan saya tak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah awak. Tetapi saya pasti saya boleh menerima segala permasalahan awak, cerita awak jika awak ingin lepaskan bebanan tersebut.”

Kemudian Ezan berhenti bercakap. Dia masih memandang tepat ke arahku, dan aku tepat ke arahnya. Mata kami bertentangan. Dia cuba menyingkap tabir dunia individuku, dan aku cuba berbuat perkara yang sama. Apa yang aku dapat lihat terpancar dari sinar matanya masih sama, sebuah lohong hitam yang tak berpenghujung. Tetapi kali ini aku mengesan sesuatu yang berbeza. Aku tak lagi gentar kepada hitam lohong tersebut. Kenapa ya? Hal ini membuatkan aku berfikir. Takkan satu genggaman tangan merubah segala persepsiku terhadap dirinya yang aku ada selama ini? Atau adakah aku yang tersilap tafsir selama ini? Lohong hitam itu masih ada di sana, masih menerima kunjungan aku ke dalam dunia individunya. Aku diam tanpa berkata, memikirkan apakah yang telah terjadi sebentar tadi yang mampu menghilangkan perasaan takut itu dengan serta-merta, dan bagaimana untuk aku nyatakan bahawa dialah masalahku sebenarnya. Kewujudan dia adalah satu permasalahan dalam hidupku, biarpun jika aku tak tahu kenapa. Aku terlihat sesuatu yang menggerunkan terpancar dalam semua aspek dirinya, tapi aku tak tahu apa yang menangkap perhatianku, pandanganku.

“Jadi, jika awak ingin meluahkan apa-apa, saya sudi menerimanya,” kata Ezan setelah ikut diam untuk seketika.

Aku memberanikan diri untuk mengatakan apa yang terbuku di hati. Aku tak ingin lari lagi dari permasalahan episod ini. Aku harus kuat menghadapinya dan menyelesaikannya secepat mungkin. Aku menarik nafas dalam sebelum membuka mulutku untuk berbicara.

“Engkaulah masalah saya, Ezan,” akhirnya terluah dari mulutku.

Ezan masih memandangku dengan pandangannya yang membuatkan perutku memulas itu tanpa berkata apa-apa. Mungkin dia menuggu penerangan lanjutan daripadaku. Oleh itu, aku meneruskan apa yang ingin aku katakan kepadanya.

“Engkau ada menyimpan niat yang burukkah terhadap saya, terhadap orang lain di tempat kau? Kalau ada, saya mohon kau hentikanlah apa yang kau nak buat tu. Orang boleh lihat apa yang kau tengah fikirkan, niat diri kau. Terang lagi bersuluh. Tolong jangan apa-apakan saya dan rakan-rakan sekerja kau yang lain.”

Selesai sahaja aku meluahkan segala yang ingin aku katakan, aku perhatikan riak wajah  Ezan. Matanya meredup lagi, kali ini kelihatan sangat sayu. Di bibirnya meniti sebuah sengihan. Ezan menundukkan pandangan daripadaku. Aku mula gementar semula. Apakah yang ingin dia lakukan sekarang?

Sejurus kemudian, Ezan mengangkat semula wajahnya. Matanya tertutup. Sebuah senyuman melirik di wajahnya. Dia kemudian membongkok ke arahku lalu membuka kelopak matanya perlahan-lahan, membuka hijab kepada dunia individunya. Lohong hitam yang dia miliki masih terpancar di matanya. Masih hitam. Masih tak berpenghujung. Menerima segalanya lalu menghilangkan segala itu dalam kegelapan dimensi yang tak kelihatan.

Kemudian Ezan pun berkata sambil tersenyum:

“Baiklah. Saya terima bebanan awak.”

Aku kembali tak keruan. Apakah maksud kata-katanya?

Ezan kembali bersuara:

“Maafkan saya kerana membuatkan awak ragu-ragu dengan saya, membuatkan awak tak selesa selama berada di tempat kami. Benar, saya selalu dilabel sebagai seorang yang mempunyai niat tersembunyi, sejak dari kecil lagi. Pada asalnya saya benci semua yang menilai saya berdasarkan luaran saya, tetapi sampai satu masa saya dah lali, dah bosan layan. Jadi saya terima sahaja semuanya. Jika awak nak benci dan takut akan saya, bencilah saya, takutilah saya. Itu sahaja yang saya mampu buat kepada awak. Saya hanya mampu menerima.”

Ketika itu aku terlihat matanya berubah berkaca-kaca. Lohong hitam itu masih ada, tetapi kini berada di balik pancaran yang berkaca-kaca. Ketika itulah suatu pemahaman merintas mindaku. Jawapan kepada ketakutanku. Solusi kepada kegundahanku. Penerangan kepada episod ini.

Apa yang aku dan ramai lihat bukanlah suatu dunia penuh kegelapan. Bukan juga ia dipenuhi oleh kecerahan.

Dunia individu Ezan penuh dengan kekosongan.

Dunia individu Ezan ialah lohong hitam itu. Lohong hitam itu bukanlah sesuatu yang jahat, tapi tak juga bersifat baik. Lohong hitam itu adalah toleransi yang terus-menerus menerima semuanya, baik mahupun buruk.

Dunia individu Ezan adalah dunia yang senantiasa menerima, manakala dunia individuku sendiri adalah dunia yang senantiasa mengambil. Apabila yang sentiasa mengambil bertemu dengan yang sentiasa menerima, maka wujudlah pertindihan dunia, wujudlah geseran yang memercik dan menyebarkan syak wasangka. Tetapi syak wasangka ini hanya memberi kesan kepadaku kerana aku mengambilnya dengan segala nilainya, manakala Ezan menerima seadanya.

Dengan itu, satu lagi perkara mulai jelas kepada diriku. Antagonis episod ini bukanlah Ezan tetapi diriku sendiri. Bongkak diriku, naif diriku, semuanya berkisar diriku dan segala kebobrokannya yang aku banggakan selama ini. Dan bagaimana pula dengan Ezan? Bagaimana pula dengan segala apa yang dia tanggung selama ini? Apakah lohong hitamnya betul-betul melesapkan semua? Apakah ia betul-betul tak berpenghujung? Atau adakah ia terkumpul lekat di satu sudut dalam ruangan hatinya? Dengan hanya membayangkan apa yang jejaka ini lalui sudah cukup meyakitkan hatiku, apatah lagi dia, si tuan badan?

Aku menundukkan wajahku. Perasaan malu merebak ke seluruh pelosok anggota badanku. Malu terhadap Ezan atas salah faham yang sepatutnya boleh dielakkan. Salah faham yang terlahir daripada angkuh diriku yang menyangka diri hebat. Aku menyesal menyangka aku tahu segalanya, padahal aku tak tahu apa-apa. Aku cuma tahu apa yang aku tahu, tapi aku berlagak, aku bongkak, aku bodoh. Ketika inilah satu pemahaman berlegar di ruang benakku.

Aku tak mampu menyingkap dunia individu setiap orang. Itu pasti.

Aku berdiri lalu merapatkan diri ke arah Ezan. Ezan memandangku dengan satu perasaan keliru terpancar di wajahnya. Matanya yang meredup memandangku dengan lohong hitamnya. Aku berdiri di hadapan Ezan lalu memeluk kepalanya rapat ke dada.

“Ezan, maafkan saya.”

Sejurus sahaja aku menyatakan kemaafanku, terdengar esakan halus keluar dari rangkulanku. Aku yang terkesan tak dapat menahan gejolak kesedihanku sendiri. Perasaan malu bercampur-baur dengan sedih dan simpati, akhirnya aku tewas kepada gelora emosiku. Air mataku melimpah menuruni pipi. Ah, alangkah buruknya pemandangan ini, fikirku. Dua orang lelaki dewasa menangis di dalam sebuah kabin kereta api. Tetapi jika difikirkan semula, siapa kata lelaki tak boleh menangis bersama? Dan siapa kata lelaki tak perlu difahami perasaannya?

3.32 am

8 Disember 2015

Advertisements
Episod: Kita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s