Biru


Ke hadapan J yang dikasihi,

Assalamualaikum. Apa khabar dirimu di sana? Sihat? Diharapkan bayu lembut membawa bersama percikan kesegaran mentari kepadamu, dan bersamanya juga hawa segar yang menajamkan otak dan mencergaskan badan.

Pertama sekali, ingin aku memohon kemaafan daripadamu kerana memencilkan diri untuk sekian lama. Mohon dikau tabah menghadapi sifatku yang pentingkan diri sendiri. Aku tak kuat seperti orang lain. Aku lemah. Aku tak mampu berhadapan denganmu. Oleh itu, ingin aku memohon kemaafan sekali lagi kerana menggunakan surat ini sebagai pengantara. Dalam era yang serba maju ini, di mana kita boleh mendengar suara dan melihat wajah masing-masing biarpun terpisah beribu batu jauhnya, aku memilih cara ini untuk menyampaikan hasrat hatiku. Aku khuatir jika cara lain yang dipilih, diriku akan gugup dan hilang kewarasan, lalu merencatkan mesej yang ingin aku sampaikan kepadamu. Kemaafan yang ketiga pula ingin kupinta kerana surat ini mungkin terlalu panjang. Aku tak tahu dengan berapa mukasurat surat ini akan berakhir. Oleh itu, maafkan aku sekali lagi jika apa yang kutulis terlalu panjang dan memakan masa yang lama untuk dibaca.

Untuk pengetahuan dirimu, aku mula menulis surat ini ketika dalam perjalanan ke sebuah tempat yang jauh terpencil. Bas yang membawaku ke tempat tersebut hanya keluar masuk sekali sehari, keluar pada waktu pagi dan masuk semula pada waktu tengah hari. Ini bermakna aku harus bermalam di tempat ini untuk semalaman. Tetapi dikau tak perlu risau, kerana aku telah membawa sekali alatan perkhemahanku dan bersedia untuk tidur beralaskan rumput menghijau yang segar membasah pabila subuh menjelma serta beratapkan langit malam berhias berlian berjuta tahun cahaya jauhnya dari planet kerdil kita ini. Jika aku bernasib baik dan awan tak dengki kepada perbualan antara aku dan bintang-bintang, mungkin purnama sabit akan menjenguk sekali.

Sepanjang perjalanan menaiki bas ini, merentas sawah bendang yang sedang rimbun menghijau dalam pramatangnya dan langit cerah langsung tak bercalit awan, aku teringat dirimu di sana. Dirimu yang jauh di sana, yang telah lama aku tak hubungi. Aku berfirasat dikau tahu kenapa kita lama tak berhubung, dan aku berfirasat dikau tahu sebab-sebabku. Tetapi kita sebagai manusia biasa bukanlah pakar membaca minda orang, lebih-lebih lagi mereka yang telah kita keputusan hubungan. Sebab utama aku teringat dikau ialah apabila aku melihat langit yang cerah dengan biru muda menyengatnya. Dikau sangat suka akan langit itu dengan biru pucatnya yang bagai tak mempunyai pendirian sama ada ingin menjad lebih gelap atau lebih cerah. Jika aku tak silap, dikau memanggilnya sebagai dilema langit. Dan kini dilema bukanlah milik langit sahaja, tetapi milikku juga. Aku tak ingin jadi seperti langit. Ada tapi tak wujud. Tak mempunyai pendirian. Tak mempunyai ketegasan dan semangat sendiri. Sentiasa disorong cakerawala dan serakan Rayleigh dan dibuli awan pabila ia menjelma. Cukup lama aku menjadi langit kepada diri sendiri dan kepadamu. Maka aku putuskan untuk menamatkan zaman kelangitan aku di sini. Oleh itu, marilah kita teruskan surat ini ke bahagian utama, intipati penulisanku pada hari ini. Diharap dikau bersabar dengan karenahku yang pentingkan diri sendiri ini.

Sebelum aku menghilangkan diri, dikau ada nyatakan bahawa dikau mencintaiku. Jujur aku katakan di sini bahawa aku berasa serba salah dengan pengakuan cintamu. Dikau meletakkanku dalam satu situasi yang menyesakkan. Haruslah dikau ketahui bahawa aku berasa sedemikian bukanlah kerana aku tak mensyukuri cintamu. Aku sangat bersyukur kerana diri yang menjadi personifikasi ulung kepada perkataan ‘biasa’ ini mempunyai seseorang yang menghargai kewujudannya. Orang itu adalah dikau. Terima kasih untuk segala perasaan yang dikau punyai terhadap diriku. Walau bagaimanapun, aku tak dapat memberi jawapan kepadamu. Bukanlah aku tidak menyukai persahabatan dan kewujudanmu dalam hidupku. Cuma aku masih penuh dengan keraguan. Di sini biarlah aku buka sedikit rahsia diriku kepadamu agar ia sedikit sebanyak membantu dirimu memahami dilemaku, perkara yang membuat diriku bertukar menjadi ‘langit’.

Aku tak pernah mencintai sesiapa, termasuklah diriku sendiri.

Aku tak pasti apakah yang menyebabkan diriku sebegini, tetapi haruslah dikau ketahui bahawa aku kekurangan cinta terhadap orang. Ingin sekali aku memohon kepadamu agar jangan salah faham. Aku sangat sayang akan ramai orang. Aku sayang ibu bapaku, adiki-adikku, kawan-kawanku, dirimu, dan manusia sejagat. Tetapi aku tak mencintai mereka. Aku tak mencintai diriku sendiri. Sekali lagi, tolong jagan salah sangka. Tidaklah bermakna aku tak ingin hidup lagi, tetapi tidak ada suatu emosi yeng mendorong diriku untuk menghargai diri sendiri, untuk mengangkat diri ke suatu tapak yang menzahirkan kebanggaan diriku terhadap diri sendiri.

Jadi apabila dikau menghampiriku lalu menghadapku dengan sebungkus perasaan yang murni lagi ikhlas, aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku percaya bahawa suatu jawapan dengan magnitud yang sama haruslah dberikan sebagai pampasan, tetapi aku tak mempunyai cara untuk menyampaikannya. Haruskah aku berterus terang mengatakan bahawa aku tak mencintaimu, lalu membiarkan prasangkamu memainkan perasaan sendiri, melaung dalam hati ayat ‘dia benci aku’ berulang-ulang sedangkan bukan itu maksudku? Atau haruskah aku menerima cintamu lalu berikrar untuk membalasnya sedangkan aku menipu diri sendiri jika berbuat demikian kerana itu bukanlah hakikatnya? Mereka berkata bahawa cinta boleh berputik selepas sekian lama, bahawa masa ialah baja yang menyuburkan pertumbuhan benih cinta. Tidakkah mereka sedar bahawa masa juga adalah pemangkin kepada banyak perkara lain, antaranya kebencian dan kemarahan? Aku takkan mengambil risiko tersebut. Maka aku kehabisan pilihan. Aku tak dapat memberikan jawapan yang dapat memuaskan hatiku. Oleh itu, aku melarikan diri daripadamu.

Aku percaya bahawa sejurus sahaja dikau menyatakan perasaan cintamu terhadapku, cintamu itu adalah tanggungjawabku, dan aku tak boleh menyalahi dirimu. Kenapa? Kerana seluruh diriku, jiwaku, perwatakanku, intelekku, dan fizikal akulah yang membawa kepada bercambahnya benih cinta dalam dirimu. Benar, Tuhan yang memberikan jalan ini kepadamu dan kepadaku, namun asbabnya menimpa diriku. Tak memberi jawapan yang setimpal adalah menyalahimu, dan aku tak mahu menyalahi dirimu. Aku tak mahu menghancurkan sebungkus perasaan yang sangat istimewa, yang dicari ramai, dan yang sangat rapuh itu. Itu tanda tidak bersyukur. Tak juga ingin aku berikan harapan palsu kepadamu. Itu juga menyalahi dirimu. Oleh itu, aku melarikan diri daripadamu.

Mungkin dikau tertanya-tanya, adakah dirimu membuat keputusan yang salah, apakah dirimu telah menghancurkan sesuatu yang sangat penting kepada dirimu sendiri? Biarlah aku berikan kepastian kepadamu bahawa dikau tak membuat keputusan yang salah, dan dirimu tak menghancurkan sesuatu yang yang sangat penting itu. Ketahuilah bahawasanya sejurus sahaja aku bertanggungjawab ke atas cintamu, akulah yang harus menongkah sesuatu yang dipanggil ‘kita’ ini ke arah yang betul. Tapi apakah arah yang betul? Aku tak pasti ketika itu. Aku masih tak pasti sekarang. Namun aku pasti bahawa menangguh jawapan bukanlah arah yang betul. Menangguh jawapan adalah menyalahimu, dan aku telah menyalahimu biarpun aku berkeras berkata aku tak ingin berbuat demikian. Oleh itu, aku tak ingin lagi melarikan diri daripadamu.

Tempat yang aku kunjungi ini mempunyai sebuah tasik yang permai. Mereka kata tasik ini bekas lombong bijih timah dan terdapat sebuah pekan kecil berdekatan tempat ini. Dahulu, pekan ini sebuah tempat yang menjanjikan kehidupan yang lumayan dan senang. Ramai datang dari kampung dan desa mengejar impian untuk hidup sebagai orang besar. Ramai menyangka bahawa pekan ini adalah Kuala Lumpur seterusnya. Ramai yang silap dan tak sempat melihat bahawa mereka silap. Pekan itu kini menjadi tinggalan dalam lipatan sejarah, hanyalah rangka yang tinggal dalam debu kegemilangannya. Hanya terdapat beberapa orang tua sahaja yang tinggal di sini. Anak-anak mereka sudah pergi ke tempat lain, ke bandar lain, ke daerah lain untuk mencari nafkah, untuk mengejar kehidupan senang dan mewah yang nenek moyang mereka impikan suatu ketika dahulu. Aku tak ingin menjadi seperti nenek moyang mereka yang langsung tak menyedari kesilapan diri mereka hinggalah mereka mati. Dan aku tak mahu dikau mengejar impian yang sama seperti keturunan mereka, hanya untuk dikecewakan di tempat lain pada masa akan datang. Aku tak nak ‘kita’ menjalani kehidudpan mereka yang membesar di pekan mati ini dengan satu impian yang tak pasti. Oleh itu, aku tak ingin lagi melarikan diri daripadamu.

Jadi biarlah aku berterus terang di sini. Aku rasa dikau sudah lama mengesyaki perkara ini, tetapi tak pernah diberi kesempatan untuk mendengar kata putus daripadaku. Jadi, biarlah aku tamatkan mimpi indah dan ngeri ini. Biarlah aku nyatakan dengan terang dan jelas agar tak ada lagi kesangsian dalam hatimu.

Maaf, aku tak boleh membalas cintamu. Bukan sekarang, bukan di sini.

Aku tak ingin menyalahimu dengan tidak membalas cintamu, tetapi aku sedar kini bahawa tindakan aku untuk tidak menyalahimu ini suatu ironi, kerana bahawasanya tindakan aku membawa kepada suatu kesalahan yang lagi besar. Aku tak ingin memberi harapan palsu, tetapi kini aku sedar bahawa aku memberi harapan palsu sepanjang masa ini. Dan aku akan terus memberi harapan palsu ini kepadamu. Ketahuilah hakikat itu. Ketahuilah aku bertindak demikian kerana aku seorang yang sangat pentingkan diri sendiri. Ketahuilah bahawa aku tak dapat membalas bukan kerana kekurangan dirimu, tetapi akulah yang mempunyai kekurangan itu. Ketahuilah juga bahawa aku mungkin akan mencintaimu pada masa akan datang. Aku mungkin akan menyesali perbuatan aku ini. Aku juga manusia. Tetapi pada masa yang sama, aku adalah langit. Aku wujud dalam penipuan, dalam dilema. Oleh itu, aku serahkan segala perasaanmu kembali kepada tuan badannya. Aku serahkan tanggungjawab ini kembali kepadamu. Aku tak ingin menyalahimu lebih daripada apa yang telah aku lakukan.

Jika perasaanmu kebal dan tak lut dek masa, kejarlah aku. Kenali diriku, jiwaku, perwatakanku, intelekku, dan fizikalku lebih daripada apa yang telah dikau ketahui. Aku berharap dan berdoa agar segala kebaikan dan kegigihan usahamu akan berbuah lebat. Inilah harapan palsu dan bebanan yang aku serahkan kepadamu. Jika hal ini, surat ini menanam perasaan benci dan amarah terhadapku, maka bencilah diriku. Marahilah diriku. Aku bersedia menerimanya dengan segala sumpahan yang datang dengannya, sebagaimana aku bersedia memberi sumpahan yang setimpal kepadamu kini. Jika hal ini, jawapan ini melukakan hatimu yang rapuh, menangislah sekuat hati. Tangisan itu membersihkan jiwa. Tangislah, raunglah, cacilah diriku. Kemudian lupakan perasaanmu terhadapku, tetapi jangan sesekali lupa akan apa yang telah aku lakukan kepadamu. Apabila dikau sudah bersedia memafkan diriku, maafkanlah aku dan ketahuilah bahawa ketika itu hatimu sudah lebih kuat dan tak serapuh kini.

Pilihan kini di tangan dikau. Kejarlah aku, biarpun aku tak mencintaimu. Lupakanlah aku, dan kuatkan dirimu. Harapan palsu ini mungkin akan kekal palsu, mungkin juga akan terusik oleh magis masa, membuahkan hasil yang paling lumayan. Maaf, aku tak tahu apa yang masa akan bawa kepada kita berdua dan kepada ‘kita’ kerana aku tak mampu melihat masa depan. Walau apapun yang dikau putuskan, ketahuilah bahawa aku mendoakan yang terbaik untukmu. Jika aku yang terbaik untukmu, aku doakan hatiku terbuka untuk menerima dan membalasmu. Jika tidak, aku doakan diriku, kewujudanku sesuatu yang boleh menguatkan dirimu.

Jagalah dirimu, kerana seungguhnya tiada orang lain yang boleh menjaga diri kita sebaik kita sendiri. Sekian. Tabahlah dikau di sana.

Yang benar,

A

12.55pm

22 November 2015

Advertisements
Biru

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s