Tembok Hati


Aku tak pasti sama ada entri kali ini akan berjaya kuhabiskan atau tidak. Aku tak pasti tentang apa-apa lagi kini. Yang aku pasti hanyalah dua perkara, pertama ialah Allah itu Maha Esa Maha Berkuasa, kedua ialah mati itu pasti. Tapi tak kisahlah panjang atau pendek mana yang dapat aku nukilkan di sini, akan kutuliskan sehingga terluah semuanya.

Aku pernah mengalami kemurungan. Aku tak pernah menjalani apa-apa ujian untuk mengesahkan bahawa aku mengalami kemurungan, tetapi simtomnya pasti. Ini berlaku lapan tahun lepas. Selepas itu aku pulih dengan sendirinya, setelah hampir berputus asa di pertengahannya. Apa yang merunsingkan fikiranku ketika itu ialah suatu persoalan yang asas: kenapa aku berada di sini? Aku pernah ceritakan perkara ini kepada seorang kawan. Secara retrospektif, aku boleh katakan bahawa suatu kesedaran yang muncul ketika itu yang memulakan episod kemurungan aku. Kesedaran bahawa ilmu hanya dipelajari untuk mendapat pengiktirafan tertulis di atas sekeping kertas, kemudian dibuang ke tepi. Habis madu sepah dibuang. Ilmu boleh diganti nilai dengan sesuatu yang kurang nilainya. Bukan pertukaran setara. Menyedari hal tersebut membawa aku kepada penemuan yang lebih besar, yang menjadi intipati kemurungan aku ketika itu. Jika ilmu pun boleh ditukar dengan sesuatu yang kurang nilainya, apatah lagi manusia? Dengan lebih tepat, apatah lagi aku? Katakan jika aku mati, aku mungkin akan diratapi, aku mungkin akan dirindui, tetapi aku boleh diganti. Aku tak mempunyai nilai sebagai suatu (ya, suatu, bukan seorang) individu kerana aku boleh diganti. Expendable. Replaceable. Tak kisahlah apa yang orang katakan, tak kisah bagaimana orang lain cuba meyakinkan aku bahawa aku unik, aku satu dalam sejuta, aku tetap yakin bahawa aku boleh diganti. Aku yakin dan pasti bahawa setiap ciri yang ada pada diriku, keyakinanku, kegusaranku, kata-kataku, ketinggianku, niatku, aliran pemikiranku, semuanya ada pada individu-individu lain. Mungkin juga gabungan segala sifatku ini suatu iterasi yang pernah terjadi dan akan terjadi. Jadi unikkah aku? Itulah intipati kemurungan aku lapan tahun lepas.

Dan balasan kawanku? Dia tergelak besar. Dia kata ‘yes brother, you are expendable! You are replaceable! That’s the whole fucking point of existing. To prove that you are not just that, although you are!’  Aku ikut gelak sekali, kerana pada ketika aku menceritakan kisahku ini, aku sudah beberapa tahun sedar akan apa yang dia nyatakan itu. Ya. Kita manusia boleh diganti. Sebagai individu? Ya. Sebagai individu? Ya! Kita boleh diganti. Tak kisah betapa istimewanya aku kepada ibu bapaku, kepada adik-adikku, kawan-kawanku, aku boleh diganti. Aku boleh diratapi, aku boleh dirindui, tetapi aku boleh diganti. Bukankah sebab itulah kita memanggilNya Yang Maha Esa? Tak ada pendua? Jika kita tak boleh diganti, tuhankah kita? Hakikatnya kita bukan tuhan. Maka kita boleh diganti. Case closed. Aku meneruskan kehidupanku dengan niat yang dibetulkan. Hidup untuk menabur sebanyak bakti yang boleh, bukan untuk menjadi ‘individu’ semata-mata. Aku suka pendekatan ini: banggalah dengan dirimu bagai dikau raja dunia tetapi merendah dirilah kamu bagai debu di jalanan. Aku memang suka perkara yang kontras. Makin kontras, makin suka. Tak tahu kenapa. Cuba tanya dengan individu lain yang ada ciri ini, mungkin mereka boleh memberi jawapan.

Kerana ingin menabur bakti, aku sering menjadi lubuk tempat orang meluahkan perasaan. Aku bukan perasan. Malah boleh dikatakan aku terlambat perasan perkara ini. Sebenarnya ciri ini sudah lama ada pada diriku. Sejak sekolah rendah lagi, rakan-rakanku suka meluahkan perasaan mereka kepadaku. Guru-guruku juga. Ganjilkah? Berlagakkah? Mungkin. Tetapi itulah hakikatnya. Selepas hampir 24 tahun hidup, baru aku menyedari hal ini. Aku sering mempunyai satu bulatan di sekelilingku yang terdiri daripada mereka yang disisihkan, mereka yang terasing, mereka yang tak ingin dirapati, mereka yang tak boleh merapati. Cuma sekarang apabila aku sedar akan hal ini, bulatan ini semakin hilang. Mungkin juga persepsiku yang berubah. Aku tak tahu. Mungkin segala keganjilan, segala kekurangan manusia ini telah acap kali aku lihat hinggakan aku tak sedar bahawa ini bukanlah perkara yang dipandang masyarakat sebagai ‘biasa’. Persepsiku terhadap apa yang ‘biasa’ sudah berevolusi menjadi sesuatu yang sangat luas, sangat tinggi tahap toleransinya.

Antara prinsip yang aku pegang dari kecil ialah kita sebagai manusia haruslah sentiasa mengekspresikan diri. Mengekspresikan diri ini adalah latihan kepada rohani kita, dan segala kegusaran yang terluah hilang dan kegembiraan yang datang menjelma adalah bagai peluh dan puas hati roh kita. Roh kita ingin berpeluh agar ia kekal sihat, kekal terkawal suhunya, dan aku percaya bahwa mengekspresikan diri adalah latihan jasmani yang roh kita perlukan. Panggil aku gila, tapi aku nampak hasilnya. Sebab itulah aku sering menyuruh orang untuk meluahkan perasaan kerana meluahkan perasaan adalah satu bentuk pengekspresian diri. Mungkin sebab itulah orang yakin untuk bercerita masalah mereka kepadaku. Bagaimana jika aku pula yang ingin mengekspresikan diri? Aku suka menulis, jadi itulah outlet aku. Sering mereka yang bercerita permasalahan mereka kepadaku berkata kembali kepadaku untuk meluahkan perasaanku kepada mereka andai kata hatiku dilanda permasalahan dan aku ingin seseorang untuk mendengarnya. Aku sering berkata ya, aku akan hubungi mereka, tetapi setakat ini aku rasa tak pernah lagi aku hubungi mereka untuk hal peribadiku. Aku rasa tak layak dan mungkin juga aku sedikit bongkak kerana memikirkan bahawa aku ada penulisanku.

Namun dalam tempoh hampir dua bulan ini aku mula nampak satu corak. Mindaku makin kabut. Hatiku makin galau. Aku tak tahu kenapa. Yang aku tahu, ia terasa seperti episod kemurunganku yang lalu. Aku berasa tak puas hati terhadap diriku, terhadap hidupku, terhadap posisiku kini. Sudah beberapa hari aku cuba mengenalpasti apakah yang membawa kepada ketidak-puas-hatian ini, tetapi aku tak boleh meneka dengan tepat. Bagai ingin memperingatkan bahawa aku juga manusia biasa, aku hilang daya untuk menulis. Satu-satunya outlet aku tersumbat. Aku gundah. Aku resah. Aku tak tahu nak buat apa. Pasti ramai yang akan berkata ‘kembalilah kepada Tuhanmu dan kau akan tenang’, tetapi aku pasti ramai tak tahu bahawa lebih senang bercakap daripada bertindak. Pasti ramai berkata aku cuma pandai mengeluh, tak cukup berusaha untuk kembali, tetapi berapa tepatkah kata-kata mereka? Maafkan aku. Ini sudah paranoid namanya, untuk mengunjurkan kata-kata yang mungkin tak diluahkan sesiapa pun. Jadi di sinilah aku duduk, dengan dinding yang membungkus hati makin meninggi menjadi tembok hingga tak terlihat apa di baliknya. Adakah ketenangan yang kudamba? Atau api marak yang akan menghanyutkan aku dalam gundah yang lagi parah? Aku tak tahu. Aku sudah tak terlihat apa di balik tembok itu. Aku harap kegalauan ini akan beransur pergi, dan rohaniku mendapat semula kekuatan untuk melangkah ke hadapan.

Ingin sahaja aku luahkan perkara ini kepada beberapa orang kawan yang aku rasa boleh dan sanggup mendengar leteran kosong yang menunjukkan betapa rendahnya diri aku ini, tetapi persoalan-persoalan yang datang bersama soal ‘kepada siapa’ membuatkan aku berfikir sepuluh kali. Persoalannya layakkah aku meluahkan perasaanku kepada mereka? Layakkah aku meminta mereka melayan karenahku? Layakkah aku membebankan mereka dengan masalah bodohku? Jawapan yang aku rumuskan setakat ini untuk ketiga-tiga soalan tersebut ialah ‘tidak’. Aku rasa setiap satu daripada mereka telah banyak aku susahkan sebelum ini. Telah banyak yang aku bebankan mereka pada masa lampau. Bagaimana pula dengan mereka yang pernah meluahkan perasaan mereka kepadaku? Maaf, tetapi aku rasa aku tak layak menggunakan khidmat mereka. Benar, aku percaya dengan hanya mendengar masalah seseorang sudah cukup untuk meringankan bebanan hati seseorang, tetapi kini aku terbeban untuk berbuat perkara yang sama kerana aku tahu siapa diriku, apa yang telah aku lakukan kepada mereka di hadapan mereka, di belakang mereka, apa yang sanggup aku buat kepada mereka untuk kelestarian diriku sendiri, dan apa yang akan aku buat andai kata suatu situasi memerlukan aku untuk bertindak drastik. Aku bukanlah seorang yang baik, tetapi tak juga seorang yang jahat. Aku manusia biasa. Sebab itulah aku rasa tak layak untuk meminta pertolongan mereka semua. Dan aku ada ego sendiri. Aku tak ingin difahami. Aku tak ingin menunjukkan bobrok diriku. Kerana jika aku berbuat demikian, mereka mungkin menyesal meluahkan perasaan mereka kepadaku, seorang manusia yang mungkin lagi lemah daripada mereka. Aku tak ingin ilusi ini terpadam. Biarlah mereka percaya bahawa aku, dengan izinNya, telah membantu mereka, padahal mereka telah bantu diri mereka sendiri. Kini, dengan izinNya, biarlah aku bantu diriku sendiri.

Allah, tolong aku.

12.41 am

9 Oktober 2015

Advertisements
Tembok Hati

One thought on “Tembok Hati

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s