Mereka Yang Gugur di Pintu Kejayaan


Aku merenung himpunan kertas nota di atas meja. Berselerak. Sama macam fikiranku kini. Aku mengalih pandangan ke arah monitor komputerku. Di penjuru kanan sebelah bawah, masa menunjukkan sudah pukul 12.29 am. Aku menyandarkan badan di kerusi, seraya melepaskan segumpal keluhan. Mataku sekali lagi lari ke arah meja. Nota bersepah. Tulisan kecilku di atas kertas kajang, kalkulator di penjuru meja, gelas kopi di penjuru yang satu lagi, dan pen serta highlighterku terampai sahaja di atas himpunan kertas nota. Fikiranku buntu. Ingin saja aku nyatakan bahawa aku sudah putus asa.

Kenapakah aku boleh berada dalam situasi ini? Aku cuba menyoal diriku, dengan harapan kesedaran dalamanku dapat membuahkan jawapan yang mampu memuaskan hati yang sedang gundah ini. Esok adalah peperiksaan akhir untuk kertas fitokimia. Kursus fitokimia tidaklah sesusah apa yang para seniorku beritahu awal semester ini, tetapi pada malam ini aku langsung tak dapat menghadam apa yang aku baca. Mataku bagai kamera yang merakam gambar kata-kata dan gambar rajah yang terpampang dalam notaku, tetapi mindaku CPU yang langsung tak boleh menterjemah kata-kata dan gambar rajah tersebut menjadi sesuatu yang bermakna. Ada sesuatu yang menghalang diriku daripada menelaah pelajaranku. Aku tahu apa benda tersebut, tetapi aku cuba untuk menafikan bahawa itulah puncanya. Itulah apa yang aku cuba lakukan awal tadi, tetapi nampaknya usaha aku untuk mengetepikan sangkaan tersebut tidak berjaya. Aku kecundang dek penafian aku sendiri.

Jadi kini, dalam keadaan menyandar ini, aku cuba garap semula segala idea dan cebisan fikiran aku yang bersepah dalam kepala otak ini. Aku tak boleh nafikan untuk lebih lama lagi. Aku harus menyelesaikan kemelut dalaman ini, dan aku harus menyelesaikannya secara berhadapan. Punca kepada kegundahan ini tidak lain dan tidak bukan insiden tiga hari lepas. Di dalam dewan peperiksaan, suasana tegang diganti dengan perasaan ingin tahu dan spekulasi untuk sementara waktu. Aku juga berkalih ke belakang, ingin melihat apa yang terjadi. Di barisan meja  paling belakang, aku dapat melihat kelibat tinggi lampai sedang berdiri di mejanya sambil pengawas peperiksaan memeriksa badannya. Sejurus sahaja melihat kejadian tersebut, aku berkalih semula ke arah kertas soalanku dengan kekecewaan memenuhi ruang sukma.

Jaafar meniru dalam peperiksaan. Itu aku pasti, biarpun aku tak nampak cebisan kertas ‘toyol’ ataupun mendengar apa yang dikatakan oleh dirinya mahupun pengawas peperiksaan tersebut. Tetapi aku pasti. Dia telah meniru di dalam dewan peperiksaan ini, dan dia telah ditangkap. Kantoi. Selesai sahaja sesi peperiksaan tersebut, insiden itu hangat diperkatakan semua orang. Ada yang membuat spekulasi, ada yang berkata dia tak sengaja, ada pula yang mengkritik dirinya, berkata ‘padan muka’. Ketika itu Jaafar sudah meninggalkan dewan peperiksaan bersama ketua pengawas peperiksaan. Aku dapat mengagak bahawa dia telah dibawa ke bahagian hal ehwal akademik, dan dia akan digagalkan serta dibicarakan atas kesalahan yang dia lakukan. Aku pernah bertugas sebagai pengawas peperiksaan bantuan selepas selesai matrikulasi dahulu. Aku juga pernah menangkap beberapa orang meniru dalam peperkisaan. Caught red handed, orang putih kata. Sebab itulah sejurus sahaja melihat Jaafar berdiri, sebaik sahaja melihat mimik mukanya yang tenang tetapi beralasan, aku sudah pasti apa yang terjadi. Itulah insiden yang berlaku tiga hari lalu.

Jadi kenapa insiden ini masih berlegar di dalam kepalaku? Gosip tentang Jaafar dan insiden ini sudah mula mati. Hampir semua pelajar dalam tahunnya sudah tahu kisah Jaafar dan insiden ini mula menjadi berita lama. Jadi kenapa aku tak boleh lepaskan perkara ini dari benakku? Sebenarnya aku cukup tahu akan jawapannya, tetapi aku ingin menafikannya. Mengakui bahawa jawapan yang aku ada adalah kebenaran hanya akan menafikan harapan yang aku terhadap seorang lelaki bernama Jaafar. Aku tidaklah meminati Jaafar kerana rupanya ataupun personalitinya, tetapi aku telah meletakkan harapanku terhadapnya. Aku ingin dia menjadi seperti yang aku harapkan. Ada satu jangkaan yang telah aku tetapkan pada dirinya, tetapi tindakannya tempoh hari nyata bertentangan dengan harapan itu. Kini aku bergelumang kekecewaan. Siapa suruh meletakkan harapa pada manusia? Padan muka, terdengar suara dalamanku berkata.

Aku tak boleh melepaskan perkara ini, perkara yang dianggap remeh oleh orang lain, yang dianggap sekadar gosip yang sedap dicanang apabila sedang hangat, yang dianggap tak penting kerana mereka tak terlibat, kerana aku tak rasa perkara ini remeh. Aku rak rasa perkara ini sekadar bahan gosip. Aku langsung tak boleh katakan bahawa perkara ini tak penting hanya kerana aku tak terlibat. Kerana sesungguhnya aku berpendapat bahawa semua orang terlibat secara tidak langsung. Para pelajar sepertiku, para pensyarah, menteri, ibu bapa, semuanya. Kenapa? Kerana insiden ini menunjukkan parahnya keadaan pendidikan di negara ini, di bumi ini. Ilmu dianggap bahan mee segera, dimasak sekejap, dimakan sekejap tetapi langsung tak berkhasiat. Dilupakan apabila ada makanan lain yang lebih sedap yang berkemungkinan sama juga tak berkhasiat seperti mee segera. Itukah nilai ilmu kepada para perwaja masa kini? Aku kecewa dan sedih kerana hal ini.

Sedari aku mencapai konklusi ini dalam hatiku, aku kalihkan pandangan sekali lagi ke arah monitor komputerku. Masa menunjukkan pukul 1.18 am. Aku bangun dari meja, matikan suis lampu, lalu berbaring terus di atas katil. Kupejam mata, ingin tidur segera. Kalau aku tak boleh menelaah pelajaran di saat akhir ini, apa gunanya aku kekal berjaga dan hilang kekuatan untuk menghadap kertas esok, bukan? Jadi lebih baik aku tidur daripada menghadap kertas notaku tanpa sebarang kemajuan. Sekurang-kurangnya aku telah menelaah sebelum ini dan aku memberi perhatian sepanjang tempoh kuliah. Harapnya cukuplah persediaanku yang sebelum-sebelum ini untuk menampung diriku menghadap kertas esok. Kukatup kelopak mataku, ingin lena segera, hanya untuk diganggu lagi oleh ingatanku terhadap Jaafar dan peniruannya. Masa berlalu sangat perlahan dan aku berasa sangat rimas oleh ingatan ini. Alangkah baiknya jika otak manusia ini mempunyai fungsi disc clean seperti komputer. Boleh saja aku kosongkan minda daripada perkara-perkara yang tak perlu! Aku merungut dalam hati, mengeluh beberapa kali, dan akhirnya terlena tanpa aku sedar.

Dalam tidurku, aku bermimpi tentang Sera. Dengan lebih tepat, aku terpanggil suatu memori masa lampau. Sera rakan sekuliahku yang sangat peramah. Boleh dikatakan kami berkawan baik. Seorang gadis comel dari Perak, paras rupanya mampu menabir perilaku sebenarnya. Dia seorang yang lasak dan berterus-terang, bukanlah seorang yang berkias-kiasan. Dan dia mempunyai kompas moral yang sangat kuat. Moto hidupnya ialah apa yang salah, biarpun menjadi kebiasaan, adalah tetap salah. Aku berkenalan denga Jaafar melalui Sera dalam tahun pertama pengajianku di sini. Mungkin sebab aku berkenalan melalui Sera-lah Jaafar sedikit-sebanyak membuka dirinya kepadaku.

Jaafar seorang yang lebih suka mendiamkan diri daripada bercakap banyak. Dia bukanlah seorang anti-sosial tetapi bukan juga seorang yang sosial melulu. Dan dia seorang yang pandai dan keras kepala. Jaafar bukanlah jenis keras kepala yang tak elok. Dia berkeras mendapat keputusan terbaik, tak kisah sama ada dalam eksperimen makmal, ujian, kuiz mahupun peperiksaan. Dia kuat berusaha ke arah kecemerlangan. Dia tak akan percaya jika ada sesiapa berkata subjek itu susah, subjek itu payah, tak ada orang boleh mendapat A dalam kertas itu. Itulah penerangan tentang keras kepala Jaafar. Tetapi boleh dikatakan juga keras kepalanya itulah yang memungkinkan dia meniru tempoh hari. Apa yang dia inginkan, dia akan pastikan bahawa dia akan dapat. Sebagai seorang pelajar yang sentiasa mendapat anugerah dekan setiap semester, sudah tentu dia tak ingin mengaku bahawa suatu subjek itu susah dan memungkinkan dia untuk mendapat PNG yang tak elok. Mungkin sebab itulah dia meniru, untuk memastikan bahawa pencapaiannya sentiasa baik.

Dalam mimpi tersebut, memori suatu malam setahun yang lalu bermain di layar minda. Di sini kami bertiga, aku, Sera dan Jaafar sedang duduk sebelah-menyebelah menghadap laut yang kelam di Teluk Danga. Bunyi air berkocak dek lantunan di badan bot yang berlabuh di jeti kedengaran jelas sekali. Dari kejauhan kedengaran pula bunyi perbualan-perbualan yang sayup-sayup menyinggah di telinga dalam bentuk yang tak boleh dikenal pasti. Cuma sekadar bunyi latar. Di tanganku ialah sebotol air mineral. Sera duduk di antara aku dan Jaafar. Jaafar menghisap rokoknya perlahan sebelum menghembus asapnya ke arah hilir bayu. Ketika itu, kami baru selesai menjamu selera bersama rakan-rakan sekuliah yang lain di sebuah restoran berdekatan. Makan malam bersama meraikan penghujung musim peperiksaan. Selepas selesai menjamu selera, Sera mengajakku dan Jaafar ke tempat ini. Apabila ditanya untuk apa, dia cuma berkata ‘saja nak lepak dengan korang’.

Agak lama kami duduk sebegitu tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun. Yang kedengaran cuma bunyi kayu yang bergesel dengan getah dan gentian badan bot yang teroleng-oleng di jeti dan hiruk-pikuk suara manusia dari kejauhan. Langit pada malam itu tak berbintang. Aku tak pasti motif Sera mengajak kami duduk di sini dalam keadaan membisu. Sera biasanya banyak bercakap, tetapi pada malam itu dia mendiamkan diri sediam-diamnya. Selepas setengah jam berlalu, dia berdiri, mengibas debu yang melekat di punggung seraya berpusing ke arah kami berdua. Awak berdua OK? dia tanya. Aku menjawab ‘ya’ manakala Jaafar sekadar tersenyum kecil. Melihat reaksi kami berdua, Sera meloretkan satu senyuman yang amat manis. Jantungku bagai dirangkul di pangkalnya. Itulah senyuman Sera yang tercantik pernah aku lihat.

Tiba-tiba suatu bunyi dengungan yang kuat mengisi ruang kepalaku. Aku mendongak ke arah langit malam yang hitam pekat. Bunyi apakah ini? Terasa seperti biasa aku dengari bunyi ini, tapi di mana? Sedang aku galak mencari dalam ruang memori akan di mana pernah kudengari bunyi tersebut, kuterlihat suatu cahaya terang benderang mula menyuluh. Kukecilkan mata, cuba untuk menghalang sinar yang putih menyilau pandanganku. Bunyi tersebut makin kuat, makin bergema, makin dekat di telinga. Makin dekat di telinga? Saat itulah aku membuka kedua-dua belah mata dan menyedari bahawa bunyi tersebut datang dari telefon bimbitku. Aku mengangkat kepala. Hari telah siang. Masa yang tertera di skrin telefon bimbitku: 7.03 pagi. Subuh pun aku dah terlepas.

Setelah bergegas menunaikan solat Subuh yang tertangguh, aku menyiapkan diri untuk ke dewan peperiksaan. Kepalaku masih kosong tanpa ilmu dan penuh dengan Jaafar. Dan mimpi semalam mengingatkan aku kepada Sera dan rentetan peristiwa setahun yang lalu. Apakah tujuan Sera mengajak kami berdua ke Teluk Danga lalu berdiam sahaja tanpa kata-kata? Sehingga ke hari ini aku gagal untuk menafsir maksud di sebalik perbuatannya pada malam tersebut. Selepas mengutarakan soalannya kepada kami, dan selepas kami berdua menjawab, dia terus mengajak kami pulang ke kampus tanpa menerangkan apa-apa.

Masa berlalu begitu pantas dalam dewan peperiksaan. Sedar tak sedar, masa dua jam yang diperuntukkan telah habis. Maka berakhirlah perjuanganku untuk semester ini. Musim cuti berkunjung tiba. Rakan-rakan sekuliahku ramai yang bersorak gembira, bersyukur kerana telah terlepas ‘azab’ menghadapi musim peperiksaan. Aku pula membawa haluan sendiri, bergerak ke arah tepi dewan, tak ingin mengikut serta hiruk-pikuk perbualan mereka. Nasib menyebelahi diriku pada hari ini. Soalan-soalan peperiksaan sebentar tadi dapat aku jawab dengan cuma sedikit kesusahan. Syukur ke hadrat Illahi kerana memberikan aku nikmat akal fikiran dan daya ingatan. TanpaNya, kosonglah diriku.

Lewati simpang jalan menuju ke arah parkir motosikal, Sera menegurku dari balik tiang dewan. Aku berkalih sebaik sahaja mendengar namaku dilaung. Kalihanku disambut senyuman hambar Sera. Aku rasa dia cuba sedaya upaya untuk memberikan satu senyuman yang ikhlas tetapi gagal jua.

“Awak, ada masa tak?” tanya Sera dengan nada suara yang agak rendah. Bukan kebiasaan Sera bercakap dalam nada sebegitu kelam.

Aku merenung wajah Sera untuk sementara. Semestinya aku mempunyai seluruh masa yang terluang kerana perjuanganku telah berakhir sebentar tadi, dan semestinya Sera sedar akan hal ini. Tetapi dia tetap bertanya, ingin membuka perbualan dan meletakkan satu garis permulaan kepada apa yang ingin dia lakukan selepas ini. Selepas beberapa ketika, aku menjawab soalannya dengan satu anggukan.

“Kalau gitu, jom temankan saya,” kata Sera lagi, senyuman nipis tercalit di wajah.

Sera menyuruhku meninggalkan motosikalku di kampus. Kami menaiki keretanya ke suatu destinasi yang aku tak tahu di mana. Aku bertanya sekali kepada Sera ke manakah kami akan pergi tetapi dia diam sahaja. Wajahnya sugul, dan aku pasti aku tahu apa yang menyebabkan air mukanya sebegitu. Pasti Sera sedang berdukacita kerana perkara yang sama yang telah menyemakkan fikiranku kebelakangan ini. Ya. Pasti Sera sedang berfkir tentang Jaafar. Sera tidak berada di dalam dewan peperiksaan yang sama dengan kami apabila kejadian tersebut berlaku tempoh hari, tetapi pasti khabar yang dibawa angin telah kunjung tiba ke telinganya. Masaskan Sera tak tahu. Dia lagi rapat dengan Jaafar berbanding diriku. Pasti dia lebih terkejut dengan insiden tersebut.

Sepanjang perjalanan, Sera membisu. Ini bukan Sera yang biasa. Aku tak pernah nampak Sera dalam keadaan sebegini. Sera yang biasa seorang yang banyak bercakap, ramah, dan sering tersenyum, biasanya tersenyum nakal. Aku pernah melihat wajah amarahnya, tetapi ini bukan wajah tersebut. Ini wajah putus harapan. Ya, padan muka juga kepada Sera kerana meletakkan harapannya pada seorang manusia biasa. Kereta yang dipandu Sera menelusuri jalan raya utama, kemudian membelok masuk ke suatu jalan kecil satu lorong, kemudian membelok lagi memasuki satu jalan yang lebih kecil. Hutan rimba merimbun semakin jauh kami bergerak. Akhirnya kami tiba di suatu perkampungan. Sera memandu melepasi perkampungan tersebut, dan akhirnya berhenti di suatu gerai makan (rasanya) dengan arca cawan teh besar dan beberapa burung bangau di hadapannya.

Tanpa berkata apa-apa, Sera melangkah keluar dari keretanya lalu berjalan menuju ke gerai di hadapan kami. Aku turut keluar dari kereta dan mula langkah ke arah kedai yang sama. Kami duduk di sebuah meja di sebelah dalam. Seorang remaja menghampiri kami dengan muka yang kuurang senang.

“Err, kak, abang, makanan dah habis dah. Kami nak tutup dah,” katanya dalam suara yang agak bergetar.

“Teh tarik dua, boleh dik?” tanya (atau lebih kepada memesan) Sera kepada remaja tersebut.

Remaja itu berlalu ke arah dapur, selepas itu membawa kami dua cawan teh tarik tanpa berkata apa-apa. Sera melemparkan senyuman lembutnya lalu mengucapkan terima kasih, kemudian mengangkat tangannya ke arah seorang perempuan pertengahan umur yang berada di kaunter berdekatan dengan dapur gerai. Selepas itu, Sera mengangkat cawan ke bibir, menghirup buih teh tariknya, mata terkatup sementara bagai sedang menghayati rasa lemak manis yang sinonim dengan teh tarik, dan beberapa saat kemudian meletakkan cawannya semula di atas meja dalam satu gerakan yang agak elegen dan tak sesuai dengan suasana sebuah gerai kampung. Aku sekadar memerhati gerak-geri Sera, jari menyentuh bibir gelas yang suam. Selepas selesai upacara kecilnya, Sera mula membuka mulut.

“Dia berhenti,” kata Sera ringkas.

“Dia, maksud kau Jaafar? Berhenti dari U?” tanyaku untuk kepastian.

Sera tak menjawab soalanku. Dia melontarkan pandangan ke arah jalan raya yang lengang tak berkenderaan. Kedengaran bunyi burung berkicauan dan ayam mematuk tanah berhampiran belakang gerai. Mata Sera mula menguyu. Dia bagai merenung ke arah Jaafar yang berada entah di mana kini. Merenung sayu. Merenung bagai kecewa kerana tak kesampaian hasrat hati. Apa hasrat hatinya, aku tak tahu. Mungkin Sera teringin sangat melihat rakannya itu berjaya hingga ke akhirnya. Jaafar tak pernah lepas mendapat anugerah dekan setiap semester. Pasti Sera meletakkan harapan menggunung pada Jaafar. Dan pasti insiden tempoh hari meruntuhkan gunung tersebut ke atas diri Sera semula, membeban hatinya dengan kekecewaan dan implikasi yang membawa lebih banyak kekecewaan. Padan muka kau Sera kerana meletakkan harapan pada seorang manusia bernama Jaafar. Padan muka aku juga kerana meletakkan harapanku pada orang yang sama.

Selepas beberapa ketika, Sera memandang semula ke arah aku. Mulutnya sedikit terbuka, bagai ada sesuatu yang ingin dikatakannya, tetapi tersekat di kerongkong. Aku merenung wajah Sera dalam-dalam, menanti kata-kata tersebut diluahkan. Mata Sera kutenung. Kelihatan pancar serba-salah dan keliru dalam pantulan anak matanya. Apakah yang kau keliru, wahai Sera? Apakah yang menyebabkan kau serba-salah? Bukan kau yang meniru tempoh hari. Mungkin monologku terpancar di wajahku sendiri, kerana tak lama kemudian Sera menarik badannya ke belakang semula, menyandar di bangkunya, lalu memalingkan semula pandangannya ke arah jalan raya sebelum menyatakan apa yang dia ingin katakan.

“Sebenarnya, saya bercadang untuk meluahkan perasaan kepada dia habis musim peperiksaan ni,” kata Sera dalam suara yang tenggelam timbul.

Dahi aku berkerut untuk seketika. Kini aku pula yang keliru.

“Maksud kau meluahkan perasaan, confess?” tanyaku dalam pertuturan yang agak kelam-kabut.

Sera angguk perlahan.

“Tapi bukan Jaafar ada girlfriend? Bukan kau tahu?” tanyaku lagi.

“Sah-sahlah aku tahu. Girlfriend dia saing aku. Aku yang kenalkan dia kepada Jaafar,” balas Sera, kini dalam nada yang berkocak, sekejap tinggi sekejap mendatar.

Aku diam sementara. Mindaku ligat berpusing, cuba untuk menjangka ke manakah perbualan ini kan pergi.

“Jadi? Apa yang kau nak buat sebenarnya?” akhirnya aku bersuara semula.

“Saya…”

Diam seketika.

“Saya sekadar nak luahkan apa yang terbuku di hati. Saya tak perlukan jawapan. Saya tak perlukan kasihan dari dia. Sekadar dapat luahkan cukuplah. Kalau saya dapat luahkan sudah kira berjayalah misi saya,” jawab Sera, seraya itu memalingkan wajahnya ke arah aku.

Dan jelas kelihatan air mata bergenang di kelopak matanya. Aku terdiam, tak tahu apa yang harus diakatakan. Sera menahan air matanya sehabis baik, namun akhirnya bah juga. Dia menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan, mula menangis teresak-esak. Dalam sedu-sedannya kedengaran kata-kata menyelinap keluar dari mulutnya dalam suara yang tak jeas dan hampir tak difahami.

“Tapi.. jangankan dapat jawapan… perasaan pun saya tak dapat luahkan…”

Kemudian suaranya tenggelam dalam tangisan. Ingin sahaja aku memeluk dirinya, ingin sahaja aku usap kepalanya, katakan kepadanya bahawa dia harus kuat, dia harus bersabar, biarpun aku tak tahu apa yang dia hadapi sebenarnya. Tapi aku tahan diri. Aku masih waras. Aku tak boleh hanyut oleh emosi. Jauh di sudut hatiku, aku mencarut dan memaki Jaafar. Celaka kau Jaafar. Apa yang telah kau lakukan? Namun pada masa yang sama aku memaki dan mencarut diri sendiri. Diri, celakalah dikau. Kau tak mampu buat apa pun untuk Jaafar dan Sera. Kau tak mampu menyeka air matanya, ataupun membetulkan kesilapan dirinya. Kau sama juga seperti mereka. Sekumpulan perjaka yang gagal.

Burung terus berkicauan. Ayam terus mematuk tanah. Sera terus menangis, dan aku terus duduk diam dalam kekecewaan dan penyesalan.

11.49 pm

25 Ogos 2015

Advertisements
Mereka Yang Gugur di Pintu Kejayaan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s