Hari Kemenangan


Sejak semalam aku berfikir, apakah maksudnya hari kemenangan? 1 Syawal, juga dikenali sebagai Hari Raya Aidilfitri, disebut-sebut sebagai hari kemenangan. Persoalannya, kemenangan siapa? Pada hari in aku melihat banyak pincang datang kembali. Malam sebelumnya, ramai yang membakar mercun dan bunga api, meletup sana sini bagai syaitan kerasukan. Ada yang sibuk berjalan-jalan melihat kota pada malam  raya, ada yang bersesak-sesak untuk persiapan saat terakhir. Aku tanya, untuk apa? Jika inilah kemenangan yang dikatakan, ingin sahaja aku mengaku kalah.

Aku bukanlah alim ulama, bukan juga seorang yang sempurna, tetapi melihat pincang yang datang melimpah bagai empangan pecah sangat menyakitkan hatiku. Jika Aidilfitri adalah hari untuk bermaaf-maafan, maka ingin saja aku memohon semua memohon maaf daripadaku. Pagi raya, keluarlah segala nangka berbungkus kain ketat, ada yang kainnya memungkinkan manusia mendapat keupayaan pandangan X-ray, ada yang telap tetapi mengikat diri bagai bungkusan mumia terlepas dari piramid Firaun. Mereka kata ini fesyen. Kalau ini fesyen, izinkan aku jadi si selekeh yang tak mempunyai fashion sense. Sekali lagi, aku bukan alim ulama, tetapi melihat nangka dan bukit-bukit menyakitkan dan menyedihkan hatiku. Tak kunafikan, ramai juga yang nampak menarik, nampak mengghairahkan (aku lelaki yang sihat dan normal, ok. Jangan pandang aku semacam. Ini fitrah), nampak menawan dengan mendondon pemakaian sebegitu, tetapi jiwaku jauh di lubuk hati meronta minta dilepaskan daripada berhadapan dengan pemandangan buah-buahan dan bukit-bukau ini.

Yang lelaki pula tidak kurangnya. Mereka yang ‘berpuasa asap’ kembali aktif, kembali menghisap batang tembakau semahunya, bagaikan mereka langsung tak menjamah asap untuk sebulan, padahal setiap sahur dan berbuka puasa diiringi dua tiga batang. Aku takkan mengkritik kemahuan dan keinginan merokok. Ini semua pandangan peribadi. Seperti juga pandanganku terhadap buah-buahan dan bukit-bukau. Itu semua pandangan peribadi. Hak untuk menggayakan apa yang mereka mahu tetap ada, dan aku tak boleh menafikannya. Bagi yang merokok pula, pandangan aku ialah mereka semua nampak sangat ke-jin-an. Serasanya jin pun tak menyedut sebanyak asap-asap mereka. Asap mereka dihembus ke muka para bayi, para ibu mengandung, saudara-saudari tanpa rasa bersalah atau sekelumit pun rasa prihatin terhadap keselesaan mereka yang berada di sekeliling. Ini adalah hari kemenangan, dan mereka menang dalam budi bicara mereka. Sedihnya, mereka kalah kepada common sense dan common courtesy.

Hari kemenangan juga bermaksud hari bersuka-ria. Hari untuk melupakan duka lara yang menghambat jiwa. Hari untuk menyatakan kemenangan menentang kelaparan Ramadhan. Hari menangnya fitrah dan kembalinya fitrah kepada kehidupan seharian kita. Namun sedihnya, hari kemenangan ini bias dan pilih kasih. Ada yang tak menang pada hari kemenangan. Ini satu hal yang telah lama terperuk dalam kotak mindaku. Lama telah aku cuba merungkai persoalan ini. Satu permasalahan yang bagiku sangat rumit. Hakikatnya setiap tahun hari raya, masih ramai yang berpuasa di luar sana. Di Afrika, di ceruk Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit, di bawah jambatan beribu milik kota Jakarta, di India yang seharian bersua bau masam dan hancing. Mereka masih berpuasa. Mereka belum ketemu hari kemenangan. Jadi patutkah kita merangkul hari kemenangan tanpa sedikit pun ingatan dan doa dititipkan kepada mereka? Itulah persoalan yang sering kali menyumbat mindaku. Dilema ini telah lama aku hadapi. Dan ia tak terhad kepada Aidilfitri sahaja. Sepanjang masa, setiap hari, aku berfikir. Jika aku bergembira sedangkan ada lagi yang sedang sengsara, sedang menangis, sedang kesedihan dan kebuluran, layakkah aku menikmati seluruh kegembiraan yang diberikan kepadaku? Tak logik rasanya jika aku ingin turut bersedih dan murung selagi ada orang yang sedih dan murung. Memang takkan putus kesedihan dan kemurunganku jika aku lakukan sebegitu kerana di muka bumi ini sentiasa ada yang sedang bersedih dan murung, sentiasa ada yang tak gembira, yang malang, yang mati katak, yang dilupakan dunia, ditindas, dibunuh, dibuli. Jadi jika itu tak logik, layakkah aku untuk memeluk tanpa segan silu kegembiraan yang dikurnia kepadaku? Aku masih tak ketemu jawapan kepada permasalahan ini. Yang aku pasti setakat hari ini, hari kemenangan bukan untuk semua. Hari kemenangan memilih bulu.

Yang lebih menyedihkan, kita yang dikurnia nikmat dan rezeki untuk merasa kemenangan pada hari ini pula berlagak tanpa ingat dunia. Baju melayu dan baju kurung dibeli biar harga beribu, yang penting ikut trend. Rumah dihias bagai nak rak, hingga sanggup mengikat perut untuk sebulan selepas Syawal. Kita berbelanja berlebihan, berbelanja perkara yang tak perlu, ingin bermewah dan ingin menunjuk-nunjuk, tetapi pada masa yang sama mengadu kos sara hidup makin tinggi, taraf hidup makin merosot, ekonomi rumah tangga makin gawat. Aku tahu manusia makhluk penuh kontradiksi, tetapi ini terang-benderang nampak bodoh dan salah sendiri. Namun aku juga bersalah. Di akhir hari, aku cuma mampu mengeluh. Syukur keluargaku bukan jenis bermewah sebegini. Nauzubillah minzalik, Allah tolong jauhkan sifat bermewah-mewahan ini daripada aku dan keluarga pada masa akan datang.

Kita kembali kepada fitrah, tetapi ramai yang tak mempunyai peluang untuk kembali kepada fitrah. Jadi luangkanlah sedikit ingatan kepada mereka yang tak diberikan peluang. Bersederhanalah seadanya dalam sambutan. Itu sahaja yang aku dapat rumuskan saat menunggu Maghrib di 1 Syawal ini. Selamat hari raya, maaf zahir batin.

17 Julai 2015

Advertisements
Hari Kemenangan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s