Ejaan Deja-vu (Cik Dunia Selari bahagian 2)


2. Ejaan Deja-Vu

(Bahagian 1 di sini)

Empat huruf. Sengkang. Dua huruf. Itulah yang melalui benaknya sebentar tadi pabila rakan sekolejnya menegur sapa dirinya, sambil berseloroh ‘banyaknya kawan awak kat sini’, lalu tersenyum sinis. Dia cuma membalas dengan secalit senyuman palsu yang seikhlasnya palsu dari dasar hatinya. Dia tak kisah dilontarkan panggilan ulat buku. Yang dikisahkannya adalah saat-saat yang berlalu pabila dia perlu melayan karenah rakannya itu, yang dianggap tak bermanfaat, malah membuang sumber pabila sumbernya itu, masa dan perhatian, boleh diolah sepenuhnya pada bahan bacaannya.

Menyedari kejanggalan pada senyumannya, rakan tersebut meninggalkan dirinya keseorangan selepas berkata ‘oh, maaflah ganggu awak membaca. Lain kali kita borak ok’. Sebaik sahaja rakan tersebut melangkah pergi, dia memainkan semula detik demi detik terasanya sinkronisasi antara pengalaman waktu sebenar dengan ingatan maya yang tak terbukti lagi akan kewujudannya. Mungkinkah terdapat persamaan antara pengalaman lalu dengan pengalaman sebentar tadi? Ada kemungkinan. Ini bukan kali pertama rakan tadi menegurnya, cuma mungkin beberapa kali sebelum ini di tempat dan waktu yang berbeza. Maka ada kemungkinan perasaan bahawa rentetan peristiwa yang baru sahaja berlaku sebentar tadi pernah berlaku adalah suatu fabrikasi, suatu ciptaan daripada gumpalan-gumpalan maklumat tercebis daripada suatu himpunan memori. Memori dirinya sendiri.

Menurut ingatannya, rentetan peristiwa yang terjadi bermula dengan dia menyelak Salina karya A. Samad Said di muka surat berpenanda buku bertali halus disimpul tocang menggunakan tangan kiri. Ini suatu butiran yang penting. Dia mempunyai banyak penanda buku, ada yang dibuatnya sendiri pada masa lapang, dan penanda buku berona biru keunguan yang tak serata seluruh permukaan dan bersadur kilauan halus, imitasi kepada langit pada waktu malam, adalah penanda buku istimewanya. Dia membahagikan buku-buku yang dibacanya kepada beberapa kelas; yang harus dibaca, yang harus dihabiskan, dan yang ingin dihabiskan. Apabila penanda buku ini dipakai bermakna buku itu harus dihabiskannya dan ingin dihabiskannya; buku yang hebat dan istimewa ataupun terkesan di hati. Hanya buku-buku sebegini yang selayaknya mendapat dampingan penanda buku langit malam di antara muka-muka suratnya. Kemudian dia menyisipkan anak rambut ke belakang kedua-dua belah telinga, mengambil kaca matanya yang tergantung di kolar baju menggunakan tangan kanan,membuka lipatan kaca matanya lalu memakainya dengan gerak-geri penuh keanggunan.

Diulang sekali lagi rentetan peristiwa sebentar tadi di layar minda untuk mendapatkan kepastian. Sah, peristiwa tersebut pernah terjadi sebelum ini, cuma terasa sesuatu yang kurang berbanding kali pertama peristiwa sebegini terjadi. Ah, memanglah, inilah yang dipanggil deja-vu. Masakan semuanya serupa, ia hanya kebetulan yang tercipta hasil komplikasi simpanan memori dan daya penyampaian visual daripada mata ke minda. Namun jika diingati segala butiran deja-vu tersebut, ada sesuatu yang hilang. Sesuatu yang penting dalam rentetan peristiwa sebentar tadi. Cuba sedaya upayanya, namun tak juga mampu dia memanggil semula butiran tersebut.

Setelah sekian lama mengelamun, diapun mengambil keputusan untuk mengabaikan sahaja perasaan tak puas hatinya. Buku yang tertutup diselak semula. Dia mengangkat buku tersebut ke paras dada, bersedia untuk membaca. Ketika itulah sehelai kertas yang terselit di antara muka surat buku tersebut melayang keluar, selajur jatuh di atas ribanya. Dia meletakkan buku tersebut di atas meja dan mengambil kertas tersebut. Dibelek kertas itu, sekeping kertas putih yang kekuningan dek masa. Terdapat coretan kecil pada kertas tersebut.

“Kepada sesiapa yang membaca. Ketahuilah bahawa dunia ini luas. Dunia ini penuh kemungkinan. Dunia ini luas, namun ada yang terasa bahawa dunia ini sempit. Mungkin kerana desakan situasi sekeliling. Mungkin kerana desakan kewangan. Mungkin kerana desakan alam. Mungkin aku berada di belakang anda ketika anda membaca nota ini. Mungkin aku berada di seberang laut, dilanda tsunami seperti tsunami yang membadai Filipina dan pesisir barat Amerika minggu lepas. Mungkin juga aku patut mampus dalam tsunami itu. Mungkin aku yang sesak, didesak, dan terdesak?

-18 September 2001”

Huh!? Tsunami pada tahun 2001? Melanda  pesisir Amerika? Segala yang tertulis di atas kertas itu tampak seperti idea untuk sebuah cerita, mungkin juga sebuah novel. Dia tak tahu. Sekeping kertas bercoret ganjil terselit di dalam novel terhebat A. Samad Said? Novelis wannabe mungkin? Dia kurang pasti. Ah, abaikanlah kertas ni, fikir dirinya.

Selajur itu suatu detikan terasa di mindanya. Dia membuka kaca mata dan meletakkannya di atas meja, menyandarkan diri sepenuhnya kepada kerusi tempat dia duduk, lalu menghela nafas panjang. Butiran terakhir telah ditemuinya. Butiran yang hilang awal tadi. Secalit senyuman menghias bibir. Dia menggeleng lembut kepalanya. Bibirnya terbuka, meluah kata-kata konklusi kejadian.

-Deja-vu..

9.59pm

10 November 2013

Advertisements
Ejaan Deja-vu (Cik Dunia Selari bahagian 2)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s