Dia juga pernah putus cinta (Cerpen)


Namanya M. Secara formal, aku tak tahu sama ada harus aku bahasakan dirinya sebagai kakak ataupun mak cik tapi untuk tujuan cerita ini biarlah aku memanggilnya Kak M, seperti mana aku biasa memanggil dirinya. Kak M seorang yang berusia pertengahan 40. Aku tak pernah tahu berapa umurnya setepatnya, dan tak juga bercadang untuk mengetahuinya. Yang aku tahu ialah dia cuma beberapa tahun muda dari ibuku, dan ibuku hampir mencecah umur 50 tahun. Tetapi rupanya langsung tak mencerminkan diri seorang perempuan yang berusia 40an. Dia masih kelihatan menawan, masih remaja, masih bersinar dalam sinar kemudaan yang biasa merias diri wanita-wanita berumur pertengahan 20an yang berkerjaya. Itulah yang aku dapat lihat terpancar dari dirinya. Mungkin sebab itulah juga aku tak pernah teragak-agak untuk memanggilnya dengan gelaran kakak sejak kali pertama bertemu dirinya.

Kami bertemu buat pertama kalinya di sebuah hospital. Bukan sebagai pesakit dan doktor, bukan juga sebagai saudara kepada si sakit. Aku ke hospital tersebut dengan tujuan untuk menimba ilmu atau dengan lebih tepat, menimba pengalaman kerja sebelum melangkah masuk ke dunia pekerjaan sebenar. Praktikal. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan situasi tersebut. Dan Kak M pula seorang daripada beberapa orang penolong pegawai farmasi yang menjagaku sepanjang aku berada di hospital tersebut. Mengajarku, mendidikku apa yang buku dan notaku tak boleh sampaikan, apa yang pengalaman boleh tebalkan. Kak M adalah yang kedua dalam senarai mereka yang patut aku berterima kasih. Dia juga guru utamaku ketika aku menjalani latihan di bahagian pesakit luar.

Perkhidmatan farmasi di hospital tersebut, atau mana-mana hospital kerajaan, terbahagi kepada empat bahagian utama. Pesakit luar, pesakit dalam, stor, dan klinikal. Bahagian yang paling kritikal ialah bahagian pesakit luar. Andai kata seseorang tak mempunyai hati yang kuat untuk menghadapi bebanan kerja yang tinggi di bawah tekanan yang lebih tinggi daripada pihak pentadbiran dan pihak pelanggan, janganlah dia berani menjejakkan kaki ke bahagian pesakit luar. Andai kata ubat boleh berterbangan di dalam ruang farmasi, maka tentu sudah lama ubat-ubat tersebut terbang ke sana ke mari. Pesakitnya berlambak, preskripsinya bertimbun, semuanya ingin cepat, semuanya sudah letih menunggu dari kaunter pendaftaran, menunggu di bilik rawatan/pemeriksaan, menunggu preskripsi dan pesanan jururawat, dan akhirnya harus menunggu sekali lagi di kaunter farmasi. Penantian suatu penyeksaan. Itu aku cukup sedar. Namun penyeksaan itu harus dilepaskan dari pekungnya. Jika tidak, nescaya manusia-manusia yang bergelar pesakit ini boleh kehilangan waras akal. Jadi ke manakah mereka harus mengekspresikan kekecewaan menunggu berkali-kali itu? Jawapannya sudah tentu di kaunter terakhir. Stesen terakhir sebelum boleh berlepas pulang ke rumah masing-masing. Kaunter farmasi pesakit luar.

Ramai staf yang mengeluh apabila dipindahkan ke bahagian pesakit luar. Ramai yang berharap tahun tersebut akan berakhir dengan cepat agar roster boleh dirombak dan mereka berharap tidak diletakkan di bahagian pesakit luar lagi. Dan ramai akan kecewa apabila nama mereka sekali lagi tersenarai di bawah label ‘pesakit luar’. Tetapi tidak Kak M. Kak M suka kerja di bahagian pesakit luar. Malah boleh dikatakan dia seorang mampu mengangkat seluruh kumpulannya ke arah ketangkasan dan ketepatan kerja yang lebih tinggi. Kehadirannya seorang di tempat kerja setara dengan kehadiran lima orang pekerja. Ketangkasan mindanya mencongak bilangan ubat yang harus diberi, kelincahan pergerakannya dari tunduk ke berdiri ke duduk semula di kerusi boleh putarnya untuk mencapai seribu satu jenis ubat yang membarisi kaunter/almari berbentuk L tersebut, keriangan yang jelas terserlah dalam tutur caranya yang tak sudah dan hilai tawanya apabila ada pelatih (aku) yang membuat kesilapan, semuanya penuh dengan semangat yang utuh, yang tak mampu dihakisi tekanan kerja yang membeban dan mulut orang yang mencerca. Dia terus membuat kerjanya tanpa mempedulikan kata prang, baik atau buruk, dan dia meneruskan kerjanya dengan penuh semangat. Tak mengambil masa yang lama untuk aku naik kagum kepadanya. Kak M sebuah mesin berkejituan tinggi yang masih kekal dengan hati manusianya. Sebuah gabungan yang dahsyat dan mengujakan.

Sampai satu tahap, aku menganggapnya seorang perkasa, seorang adiwira yang dihantar untuk membantu mereka yang bekerja di hospital tersebut, sebuah keajaiban yang terwujud hanya untuk membantu orang ramai. Begitulah hebatnya manusia bernama Kak M. Seorang wanita yang tabah, riang tak sudah, letih tak pernah, penuh semangat, penuh kehidupan. Dia menjalani kehidupan sehariannya dengan penuh hidup, penuh vigor, hinggakan segala bebanan yang datang ke arahnya mampu dicantas dengan mudah. Dia bukan manusia biasa. Dia ciptaan Tuhan yang hebat.

Aku bukanlah memujanya, tak juga aku mengangkatnya ke darjat yang melampau seperti seorang dewi. Nauzubillah min zalik. Aku sedar bahawa dia juga manusia. Dia dibuat daripada darah dan daging macam manusia lain. Apa yang membezakan dirinya dengan orang lain ialah hatinya. Dalamannya. Jantungnya masih berdegup dan mengepam darah merah yang sama seperti darah merah orang lain, tetapi dalam pembuluh darahnya bukanlah penuh dengan hemoglobin pembawa oksigen/karbon dioksida sahaja, tetapi dipenuhi juga dengan bara api kehidupan. Oleh kerana dia seorang yang sangat positif, sangat bersemangat, aku sering lupa bahawa dia juga manusia. Atau dengan lebih tepat, aku lupa melayannya sebagai seorang manusia. Aku lupa bahawa setiap kehidupan pasti ada kisahnya sendiri, bahawa tak ada kehidupan yang dibuat sepenuhnya daripada kisah riang-ria dan kegembiraan sahaja. Setiap manusia mempunyai kisah sedihnya. Aku lupa bahawa Kak M juga tertakhluk kepada peraturan kehidupan ini.

Adat kehidupan, kita tak pernah dan tak akan dapat menggembirakan semua orang sepanjang masa. Pasti ada yang akan membenci perbuatan dan gaya hidup kita, mencerca kita, mengata di belakang, menyondol ke seberang, memulaukan diri, mengherdik memerli. Manusia takkan terlepas daripada prejudis manusia lain, dan Kak M tak terlepas daripada kehitaman hati manusia dan busuk mulut berbicara. Sering aku dengar staf lain (tertentu, bukan semua) mengata di belakang Kak M, menyatakan bahawa pihak pentadbiran pilih kasih, menyatakan bahawa Kak M pandai membodek pihak atasan agar diberikan banyak kerja lebih masa, diberikan lebih masa untuk bekerja di hujung miggu dan hari cuti umum, mendapat kelulusan untuk bercuti seminggu dua secara berterusan sementara orang yang nak mengerjakan umrah pun harus mengerjakan permohonan cutinya dengan bersungguh-sungguh. Namun di hadapan Kak M mereka senyum mesra, mereka ramah gila, mereka langsung tak ada masalah. Dan mereka yang mengata tak segan untuk membiarkan aku mendengar segala rintihan dan cercaan serta melihat dua muka berbeza mereka. Malah, mereka lebih suka menyebarkan anasir tersebut kepada diriku. Setiap kali mereka mengata, aku memakai topeng mencalit senyuman palsu dan ketawa seiringan dengan hati penuh amarah kepada diri sendiri kerana bertindak hipokrit. Aku benci hipokrasi namun aku mengamalkan hipokrasi. Siapa aku untuk membenci hipokrasi jika aku tak boleh berpegang teguh pada pendirian sendiri? Dan siapa mereka untuk mengata Kak M? Apabila diberi peluang membuat kerja lebih masa, mereka mengeluh dan merintih. Mereka ingin cuti tetapi mereka tak ingin memberi peluang kepada orang lain untuk bercuti. Mereka bersembang sementara orang lain bekerja keras. Siapa mereka untuk menafikan rezeki orang lain jika rezeki yang terpampang di hadapan mata mereka sendiri mereka tolak? Inilah kehitaman hati manusia. Inilah budaya kerja dunia sebenar. Dunia dog eat dog yang penuh muslihat, penuh senyuman palsu, penuh niat tersembunyi. Politik pejabat tak akan membiarkan sesiapa terlepas dari cengkamannya. Nepotis tak akan berhenti mendahulukan kroninya. Inilah kehidupan sebenar, realiti dunia pekerjaan. Ini juga pengajaran yang aku dapat di hospital tersebut, yang takkan didapati dari mana-mana buku teks atau nota kuliah atau jurnal ilmiah.

Sehingga satu tahap, aku berterus terang dengan Kak M. Tengah hari itu kami berdua duduk di pantri bersendirian tanpa orang lain. Biasanya pantri penuh dengan aktiviti makan sambil bersosial para staf. Pelajar praktikal biasanya akan mengasingkan diri, sama ada makan di ruang belakang bahagian pesakit dalam (yang agak luas dan selesa berbanding pantri) ataupun melelapkan diri di dalam bilik-bilik kecil yang telah dipadamkan lampu di bahagian yang sama. Aku tak tahu kenapa tetapi aku rasa perlu untuk menggaulkan diri dengan staf yang menjadi pembimbing dan guruku. Maka aku selalu meluangkan masa rehat tengah hari di pantri bersama staf lain, bertukar-tukar cerita, bertukar-tukar lauk, dan bertukar-tukar idea untuk penambahbaikan diriku dan servis farmasi itu sendiri. Tetapi hari tersebut ganjil. Hari tersebut, pantri tak dipenuhi gelak tawa dan kisah riang dan rintihan masalah kehidupan. Pantri senyap. Yang ada cuma aku dan Kak M duduk bertentangan, dia sibuk dengan makanan tengah hari yang dibeli dari seorang penjaja awal pagi tadi, aku sibuk dengan bekal yang dibawa dari rumah. Ketika kami sedang sibuk mengunyah, persoalan tersebut muncul di minda. Aku menoleh ke kiri ke kanan, memastikan tiada orang yang tak diingini (mereka yang mengata) berada dalam jangkauan suara kami lalu melontarkan soalan yang membeban hati.

“Kak M,” aku memecahkan kesunyian antara kami berdua.

“Ya?” sahut Kak M dengan selamba.

“Kakak tahukah yang ada orang cakap buruk pasal kakak di belakang?” aku terus meluru tanpa berselindung.

“Tahu,” jawab Kak M, masih selamba, bagai perkara ini langsung tak ada kaitan dengan dirinya.

“Jadi?” aku bertanya lagi, sedikit keliru dengan reaksinya.

“Jadi apa?” tanya Kak M pula, tak faham maksud persoalanku.

“Jadi kakak tidak marahkah?”

Serentak itu Kak M tersenyum lebar lalu tergelak nyaring. Dia terus menekup mulutnya, risau makanan di dalam mulutnya terkeluar dek ketawa. Dia geli hati. Aku terpana.

“Seraf, Seraf… Jadi kenapa kalau mereka mahu cakap buruk pasal saya? Saya tidak kisah. Bukannya saya kacau hidup mereka. Bukannya mereka yang bayar gaji saya. Jadi kenapa saya kena ambil tahu dan marah pasal perbuatan mereka? Biarlah mereka dengki. Saya tidak mahu dengki balik. Biarlah mereka, asalkan mereka tidak kacau saya, saya gembira,” jawab Kak M panjang lebar selepas ketawanya reda.

Aku terdiam seketika, tak tahu apa yang harus aku katakan. Di hadapanku kini ialah personafikasi segala yang positif dalam kehidupan. Optimisme yang melampau. Sinar yang membutakan. Inspirasi yang memercik keterujaan dalam hatiku. Dan kata-katanya mencetuskan satu perjanjian antara diriku waktu itu dan diriku pada masa akan datang.

Aku ingin jadi kuat sepertinya. Maju tanpa mempedulikan hitam hati manusia.

Biarpun ada yang mengata, Kak M langsung tak mempedulikan mereka. Dia tahu bahawa mengambil endah hanya membuang masa, tenaga dan kegembiraan dirinya sendiri. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk menjalani kehidupan sehariannya tanpa membalas perbuatan jahat dengan perbuatan jahat yang setimpal, walaupun dia mampu. Dan selepas beberapa ketika berada di hospital tersebut, aku dapati bahawa tak semua orang membenci Kak M. Malah, ada yang memandang tinggi dirinya, menilai tinggi kalibernya sebagai seorang pekerja dan rakan sejawat, dan melahirkan rasa hormat dan kagum kepadanya. Antaranya ialah Uncle Anthony dan Budi, singkatan kepada Babu Diki (“Makcik Kecil” dalam bahasa Bajau).

Uncle Anthony adalah antara pekerja tertua di hospital tersebut. Tahun tersebut merupakan tahun terakhir perkhidmatannya. Dia mula berkhidmat di hospital tersebut sebagai tukang cuci pada zaman kolonial British lewat 1950an, dan telah diserap sebagai penjawat awam apabila Sabah merdeka dan memegang tampuk pemerintahan sendiri. Memandangkan tempoh perkhidmatannya begitu lama, dia telah melihat transformasi hospital tersebut dengan anak mata sendiri, berubah dari sebuah hospital berdinding papan beratap rumbia satu blok kepada hospital referal negeri yang megah hari ini. Dia tak sempat melihat blok menara baru hospital tersebut, bukan sebagai seorang pekerja maksudku, tetapi dia telah melihat setiap tambahan dan perubahan yang telah dilakukan kepada hospital itu sebelum berdirinya blok menara baru. Dia juga ada di situ ketika Kak M datang sebagai seorang pelajar praktikal di hospital itu hinggalah Kak M datang ke hospital tersebut sebagai seorang penolong pegawai farmasi.

Aku selalu minum bersama Uncle Anthony, terutamanya selepas mengangkat barang dari gedung farmasi dekat pelabuhan. Kami akan singgah di sebuah kedai dan minum sambil bersembang sebentar, mengambil angin selepas penat memunggah barang naik dan turun lori/pacuan empat roda sebelum meneruskan kerja. Uncle Anthony, biarpun berusia lewat 50an, masih kuat dan berkudrat. Dia masih mampu mengangkat kotak-kotak penuh ubat yang agak berat. Bila ditanya, dia kata sudah menjadi sebahagian daripada kerjanya untuk memunggah barang, menyebabkan dia kurang rasa penat. Uncle Anthony juga suka bercerita perihal sejarah ahli-ahli farmasi dan hospital yang pernah dan masih bekerja di hospital itu. Si A perangainya begini, hati-hati dengannya, Si B suka apabila kau buat kerja begini, Si C seorang yang panas baran, jangan dekati jika nampak kerutan di dahi. Perkara-perkara yang Uncle Anthony sampaikan kepadaku bukanlah berbentuk gosip tetapi lebih kepada tips dan ajaran untuk hidup dalam harmoni di tempat kerja ini. Mungkin dia sampaikan perkara-perkara ini kepadaku memandangkan aku bergaul dengan semua staf. Mungkin dia tahu aku masih naif, masih tak tahu hitam dalam hati manusia. Kerana dia seorang yang baik hati dan ramah, dia memberi ‘amaran’ kepadaku agar aku tak terpijak jerangkap samar dalam dunia pekerjaan ini.

Satu nama yang sentiasa meniti di bibir Uncle Anthony diiring dengan pujian ialah nama Kak M. Kau tengaok kakak kau tu, sudah lebih 20 tahun bekerja masih lagi bersemangat. Ada orang hilang sudah semangat lepas bekerja dua tiga tahun saja. Itulah antara ayat yang pernah keluar dari mulut Uncle Anthony. Uncle Anthony sendiri kagum dengan Kak M. Kau tengok kakak kau tu, tidak pernah sakit hati dengan orang. Kalau dia sakit hati dia akan cakap terus dengan orang tu dan perasaan itu akan lenyap. Dia tidak berdendam. Sentiasa gembira, ceria, mengilai tengah-tengah kerja macam pontianak. Kau tengok kakak kau tu, kerja cepat dan tepat. Dia satu orang boleh urus satu farmasi kecemasan. Kaki macam lipas, tangan macam lipan. Boleh buat tiga-empat preskripsi sekaligus. Dan macam-macam lagilah ‘kau tengok kakak kau tu’ yang pernah keluar dari bibir Uncle Anthony.

Terdapat satu lagi ‘kau tengok kakak kau tu’ yang aku ingat sehingga kini. Namun ayat ini berbeza dengan ayat-ayat Uncle Anthony tentang Kak M yang telah aku nyatakan sebelum ini. Kau tengok kakak kau tu, umur 40 lebih masih bujang lagi. Kerja, kerja juga. Tapi jangan lupa kebahagiaan diri sendiri. Takkan kau mahu mati seorang tanpa waris di dunia ni, kan? Aku hanya tersenyum nipis sebagai balasan kepada kata-kata tersebut. Setiap orang ada kebahagiaan mereka yang tersendiri. Bukanlah tempatku untuk menyibuk perihal kebahagiaan orang lain, termasuklah Kak M. Oleh itu aku senyum sahaja tanpa mengeluarkan balasan lain, lisan mahupun perbuatan.

Ya. Kak M masih bujang. Dia pernah mempunyai beberapa orang teman lelaki, tetapi semuanya tak bertahan lama. Rakan-rakannya agak risau tentang Kak M. Termasuklah Budi. Budi juga pernah menjadi pelajar praktikal di bawah Kak M pada tahun 1998. Kini Budi rakan sejawat Kak M. Aku mengetahui tentang teman-teman lelaki Kak M daripada Budi, tetapi sekadar itu sahaja maklumat yang aku ada. Aku tak pernah bertanya lebih lanjut. Tak juga ingin aku ketahui masa silam Kak M. Biarlah rahsia, andai tuan punya badan tak ingin bermadah bicara. Itu haknya.

Apabila aku tamat menjalani praktikal, aku tinggalkan hospital itu dengan seribu satu kenangan dan seribu satu penghargaan. Aku cukup bertuah mengenali manusia-manusia yang mengharungi kehidupan seharian yang penuh cabaran dan dugaan dengan senyuman lebar tercalit di wajah mereka. Mereka manusia biasa, mempunyai pekerjaan biasa, gaji yang biasa, kehidupan biasa. Apa yang membuatkan mereka luar biasa ialah pendekatan mereka terhadap kehidupan. Bukan semua tahu apa yang mereka harungi dari hari ke hari. Ramai yang mengeluh, ramai yang tak suka, tetapi mereka tetap menghadapi cabaran masing-masing, tak kisah dengan apa cara. Tetapi manusia yang mendapat penghargaan lebih daripadaku adalah mereka yang mengajarku pengajaran tentang kehidupan dan cara untuk menghadapi politik pejabat dan kotor dunia pekerjaan. Pak Her, Tuan Haji, Kak M, Kak Fae. Mereka bukan sahaja mengajarku cara hendak membaca tulisan doktor yang cakar ayam dan cara mendispen ubat-ubatan dengan betul dan berhemah, tetapi juga mengajarku cara untuk menguatkan diri dan bertindak bijak serta berfikir secara kreatif dan di luar kepompong skop pekerjaan. Aku sangat berterima kasih kepada mereka. Aku mungkin akan bertemu insan yang lebih hebat daripada mereka dalam kehidupan aku, tetapi pengalaman tersebut, pengalaman bertemu dan bekerja di bawah bimbingan mereka adalah sesuatu yang sangat berharga dan tak akan terganti oleh pengalaman lain dari masa akan datang. Dan serasa diriku pada ketika itu, aku takkan ada peluang untuk bertemu, bersembang dan bekerja bersama mereka lagi pada masa akan datang. Bukanlah kami putus hubungan langsung. Cuma kekangan ruang dan masa akan memisahkan kami. Mungkin kami akan terserempak di tepi jalan, mungkin juga kami akan bercerita melalui laman sesawang, tetapi untuk duduk bersama dan bercakap secara berdepan selama enam jam lebih adalah sesuatu yang kami mungkin takkan lalui lagi. Kami hanya boleh bersama begitu lama jika kami bekerja di tempat yang sama. Ketika itu, aku tak nampak masa depan diriku bekerja di sana. Dan kekhuatiran aku ketika itu terbukti benar, setakat ke hari ini.

Jadi, untuk terserempak dengan Kak M dan bersarapan bersama selepas empat tahun berlalu adalah sesuatu yang aku langsung tak jangkakan. Memang aku ada temui Kak M dalam tempoh empat tahun ini, tetapi semua pertemuan tersebut berlaku di hospital itu ketika aku bercuti dan datang melawat dari masa ke masa. Setiap kali aku datang melawat, Kak M sentiasa sibuk seperti biasa dan aku jarang bersembang panjang dengannya. Aku lebih banyak meluangkan masa dengan staf lain seperti Kak Leha, orang kuat stor dan stok ubat. Dengan Kak M, aku sekadar bertanya khabar drinya sebelum berlalu pergi menegur staf-staf yang lain.

Aku bertembung dengan Kak M di Jalan Gaya baru-baru ini, ketika aku balik bercuti. Ahad tersebut seperti biasa. Tamu Jalan Gaya penuh dengan barang, orang, bau dan rasa, tumbuhan unik, peralatan ganjil, dan senyuman orang-orang asing yang menegur sesama sendiri seperti kawan lama. Inilah kemesraan Kota Kinabalu dan warganya dipamerkan dalam budaya tamu yang unik kepada Sabah. Tamu adalah satu acara di mana penjaja dan peniaga datang berkumpul di satu tempat dan pengunjung datang ‘bertamu’ di tempat tersebut untuk melihat dan membeli barang jualan para peniaga. Di acara seperti inilah, di tengah kesesakan orang ramai, aku terasa bahuku ditepuk dari belakang. Seraya berpaling ke belakang, aku dapati Kak M terseyum ceria sambil melambai tangannya.

“Seraf! Lama tidak jumpa kau. Kau satu orangkah di sini?” tanya Kak M dengan kemesraannya yang biasa.

“Oh, Kak M. Ya, lama tidak jumpa. Apa kabar kak? Tidaklah, ramai bah kami di sini,” jawabku bergurau.

“Ramai? Kau dengan siapa? Tengok kau macam jalan satu orang saja ni,” tanya Kak M lagi, tak faham akan gurauanku.

“Kan ramai orang di sini keliling kita. Tidaklah saya satu orang saja,” jawabku sambil tersenyum sinis.

Mendengar penjelasanku, Kak M ketawa berdekeh-dekeh dengan kenyaringan biasanya. Mengilai bagai pontianak, kata Uncle Anthony.

“Seraf, Seraf. Nakal kau ya. Jadi, apa kau buat di sini?” kata Kak M apabila ketawanya reda.

“Saja jalan-jalan tengok pemandangan. Lama tidak datang ke Gaya Street,” jawabku selamba, menyatakan niat sebenar.

“Kau tengok pemandangankah tengok sumandak?” tanya Kak M pula, senyuman sinis melirik di bibir.

“Haha, tidaklah kak. Mana saya minat tengok sumandak. Jeling-jeling saja,” balasku dengan senyuman mengiring.

“Kenapa, kau gaykah?”

Aku terdiam seketika. SOALAN APAKAH INI?! Melihat reaksi wajahku, Kak M mengilai sekali lagi. Wajahnya memerah dek tak tertahan geli hati.

“Saya balas sudah joke kau, hahaha~,” kata Kak M sambil masih tergelak.

“Kakak datang sini sendiri saja?” tanyaku pula setelah melihat tawanya mereda.

“Ya. Baru balik dari church. Lama sudah saya tidak datang sini. Saya mahu pergi breakfast sana kedai hujung sebelah Oldtown tu. Kau rushingkah Seraf?”

Aku menggelengkan kepala.

“Kalau gitu marilah kita makan dulu sana. Boleh cerita-cerita lagi,” pelawa Kak M.

Aku mengangguk sekali lalu menurut jejak. Memang aku tak ada apa-apa agenda lain selain menikmati pemandangan dan hiruk-pikuk kehidupan. Jadi apa salahnya aku menemani Kak M bersarapan?

Kami mengharung lautan manusia yang beratus sehinggalah tiba di hujung tamu yang terletak bersebelahan dengan Hotel Jesselton. Restoran yang kami tujui memang terkenal di kalangan penduduk setempat untuk dim sum dan mee gorengnya. Ketika melangkah masuk ke restoran tersebut, kami dapati bahawa kebanyakan meja telah diduduki pelanggan. Maklumlah, hari Ahad. Akhirnya kami duduk di sebuah meja bulat kecil di penjuru. Meja yang muat untuk dua orang sahaja duduk. Selepas berganti-ganti mengambil makanan (restoran ini mengamalkan servis layan diri) dan memesan minuman, kami mula menjamu selera sambil berbual tentang perkara-perkara seharian seperti cuaca dan berita semasa. Selesai membaham mee goreng dan aneka dim sum yang telah diambil awal tadi, aku mula menyandar, ataupun dengan lebih tepat, menarik diri ke posisi yang lebih santai memandangkan kerusia jenis stall tersebut tidak mempunyai sokongan belakang. Dengan penyedut minuman masih di bibir, Kak M mula bertanya soalan yang lebih peribadi. Soalan yang biasa aku dengar dan biasa aku jawab, terutamanya apabila bertemu kenalan lama yang lebih tua berbandingku.

“Seraf, kau sudah ada girlfriendkah? Bila kau mahu kahwin?” tanya Kak M, matanya lekat pada wajahku.

Aku mencalit senyuman nipis sebelum menjawab persoalannya.

“Belum lagilah kak. Mana ada orang minat saya,” jawabku secara bergurau.

“Eh, jangan kau cakap gitu bah. Kau mana tahu ada orang suka kau atau tidak. Jadi, kau tiada jumpa siapa-siapa di Malaya-kah? Kau lama sudah sana kan. Mustahil tiada satu pun yang kau suka,” kata Kak M lagi. Kali ini dengan nada yang lebih serius. Mungkin gurauanku sebentar tadi membangkit kenangan silamnya yang tak elok? Mungkin.

Aku diam sebentar, membiarkan perbualan kami tenggelam dalam kehingaran suasana restoran tersebut. Mataku sengaja dilarikan ke arah kaunter pembayaran di belakang Kak M, menunjukkan kononnya aku sedang berfikir dalam. Aku memang sedang berfikir, bukan berfikir jika ada sesiapa yang pernah mengetuk pintu hatiku kerana jawapannya pasti tiada, tetapi sedang berfikir bagaimana harus aku jawab soalan ini. Biasanya aku akan berterus-terang sahaja menyatakan bahawa aku tak pernah jatuh cinta, tetapi di hadapanku kini ialah seorang wanita berusia lewat 40an yang masih bujang dan pernah mempunyai beberapa hubungan intim yang tak menjadi (menurut Budi). Sensitiviti menjadi taruhan di sini. Aku tak mahu terpijak periuk api yang akan membangkitkan apa-apa nostalgia hitam dalam diri Kak M. Tetapi ini Kak M yang tengah kita bincangkan, bidas logikku. Dia seorang yang kuat, yang tabah, personafikasi segala yang positif di muka bumi ini. Kenapa kau rasa sedikit jawapan secara berterus-terang akan membuatkan dia jatuh? Kau naif, kau bodohlah Seraf, bentak logikku lagi. Sedikit sebanyak ada betulnya apa yang logik katakan, hati pula memberi pendapat. Biasanya hati mempunyai kuasa untuk memberi kata putus, jadi aku putuskan untuk mengikut gerak hati.

“Tiada kak. Belum sampai masa lagi kali, hehe,” jawabku dengan santai, menyambung perbualan kami.

Seraya itu air muka Kak M sedikit berubah. Sedikit muram berbanding sebentar tadi. Penyedut minuman dibiar lepas dari bibir dan jatuh mengena dasar gelas. Matanya meredup, masih memandang ke arah aku tetapi dengan tenungan yang lebih dalam yang kurasa jika mempunyai kuasa hentaman mampu merobek menembusi kepalaku. Kak M meluruskan postur badannya yang sedari tadi menunduk ke arah meja. Semua ini dilakukan dalam gerakan yang anggun tanpa menampakkan kegelisahan. Tetapi aku tahu gelisah ada berbaur dalam hatinya. Gelisah dengan jawapanku. Hati, kau salah kali ini! Marahku kepada hati. Hati membisu, tak menjawab.

“Apa yang kau cari, Seraf?” tanya Kak M, masih dalam nada serius.

“Cari apa kak?” tanyaku kembali, tak faham akan soalan yang dilontarkan.

“Apa yang kau cari dalam perempuan?” dia menyusun semula kata-katanya.

“Tiada apa-apa yang spesifik kak,” jawabku pantas tanpa mengolah kata.

“Jadi, kenapa belum jumpa?”

“Belum sampai masa-lah bah kak, hehe,” aku cuba membuang atmosfera berat yang merangkum ruang meja kami dengan jawapan santai dan iringan senyuman ceria.

Kak M mengangkat gelas dengan tangan kiri dan mencapai penyedut minuman di dalam gelasnya lalu menyedut sedikit teh lemon ais. Selepas itu, dia meletakkan semula gelas itu di atas meja dalam pergerakan yang tak terhenti tetapi tak juga terburu-buru. Aku menanti kata-kata seterusnya sambil bermain dengan camca yang sedari tadi diam di piring cangkir teh-O panasku yang telah menyuam. Kak M diam sebentar sebelum melontarkan sebuah senyuman yang lembut kepadaku. Ketegangan di wajahnya mengendur.

“Seraf, kau jangan terlampau memilih. Nanti kau jadi macam saya,” katanya dengan nada suara yang telah melembut.

“Bukan memilih kak. Saya ikut flow saja bah ni. Kalau sampai masa sampailah,” aku menjawab, mengambil kesempatan untuk menerangkan pendirianku.

“Ya, kalau sampai. Kalau tidak? Kau mahu tunggu sahaja tanpa usaha?” balas Kak M.

Aku hanya mampu tersenyum kecil, tak mahu memberi respon lisan.

“Kau kena cubalah. Kau jangan jadi macam saya. Nanti kau menyesal,” sambungnya lagi.

Ini sudah kali kedua dia sebut fasal masa lampau dirinya. Aku tak ingin membuka peti yang tertutup dalam hatinya, tetapi adakah Kak M mengundangku untuk memulakan sesi penguraian masa silamnya? Tak, aku takkan bertanya. Akhirnya satu perkataan sahaja yang aku mampu katakan kepadanya.

“OK,” balasku ringkas.

Kali ini Kak M pula tersenyum kecil. Mungkin dia sedar bahawa aku tak berani menyambut pelawaannya. Oleh itu, biarlah dia yang membuka bicara.

“Seraf, dulu saya pernah suka sama satu orang. Kami sama-sama lama jugalah, dalam tujuh tahun. Rancang mahu kahwin, tapi last-last tidak jadi. Saya kecewa, jadi saya cakap saya mahu kerja dululah. Saya tidak perlu lelaki dalam hidup saya. Tapi sekarang baru saya mahu cari. Adakah orang mahu orang tua macam saya? Hahaha, tidak. Kalau ada pun mungkin mahu duit saya sahaja. Jadi jangan jadi macam saya. Itu sahaja saya mahu cakap dengan kau,” cerita Kak M panjang lebar.

Aku hanya mampu mendengar. Aku tak ingin tahu masa silamnya. Dan bahagian ‘orang mahu saya pasal duit saya sahaja’ itu sudah kudengar dari Uncle Anthony dan Budi empat tahun lepas. Menurut mereka, memang ada beberapa orang yang menjadi teman lelaki Kak M tetapi hanya untuk mengikis hartanya. Kak M seorang yang bekerja keras, selalu membuat kerja lebih masa di hujung minggu dan hari cuti umum tetapi tidak ada komitmen yang harus dia alirkan wang pendapatannya selain daripada ibunya di kampung. Oleh itu dia membeli sebuah rumah teres dua tingkat dan tinggal seorang diri, membeli sebuah kereta buatan Malaysia, menyokong anjuran swadesi kerajaan, dan menggunakan duitnya untuk berbelanja ketika bercuti dan melancong ke luar negara. Selebihnya disimpan sehingga kabarnya agak banyak jumlahnya. Berapa jumlahnya, aku tak tahu dan tak ingin tahu. Tetapi berdasarkan fakta-fakta tersebut mindaku merumuskan bahawa memang logik jika ada yang mahu bersama Kak M hanya untuk harta semata-mata. Namun satu lagi perkara yang dapat aku rumuskan ialah akibat gaya hidupnya, Kak M mula hilang kepercayaan kepada orang. Dia mula paranoid, terutamanya berkaitan hal-hal hubungan peribadi. Mungkin, dan aku ulang kerana ini hanya spekulasiku semata, mungkin juga dia menyesal kerana menutup pintu hatinya ketika muda dahulu.

Jadi kenapa menceritakan masa silamnya kepadaku?

“Kenapa saya cakap benda-benda ni sama kau, kau fikir?” tiba-tiba Kak M menyoalku.

Aku terkejut dengan soalannya. Adakah segala persoalan yang bermain di mindaku tampak jelas tertulis di wajah? Mungkin. Dan selama ini aku sangkakan aku seorang yang tak pandai mengekspresikan diri melalui mimik muka.

Aku mengangguk perlahan lalu berkata ‘kenapa’ sebagai tanda formal pertanyaan.

“Sebab saya tidak mahu ada orang yang saya kenal lalui apa yang saya laui, senang saja, haha~,” jawab Kak M lalu ketawa kecil. Ketawa yang ikhlas, bukan buatan. Itu aku pasti.

Aku tergelak kecil sebagai tanda memahami niat dirinya. Ironinya di sini tampak jelas. Seorang yang menutup hatinya kepada perhubungan menasihati seorang untuk membuka pintu hatinya kepada perhubungan. Kami ketawa bersama mengenang kebodohan situasi ini. Tapi apa yang hendak dihairankan. Bukanlah namanya ironi jika tak bodoh dan mengena diri sendiri.

Ketika itulah aku teringat kembali bahawa Kak M juga manusia. Keterujaan aku melihat semangatnya telah mengaburkan pandanganku, membuatkan aku alpa dan menafikan sakit dan pilu yang semestinya dia juga telah lalui, seperti manusia-manusia lain. Tak ada kehidupan yang penuh dengan kegembiraan sahaja. Pasti ada kesedihan terselit di mana-mana, biarpun sedikit. Yang membezakan kehidupan antara manusia A dan B ialah cara mereka mengatasi kesedihan tersebut. Ada yang merempuh terus tanpa berfikir panjang, ada yang berpaling kembali ke arah Tuhan yang mereka lupakan apabila sedang hidup senang-lenang, ada yang merancang menggunakan kesedihan tersebut sebagai bahan api untuk membakar semangat untuk berdiri lebih tegut, lebih utuh, dan yang sedihnya ada juga yang mengambil jalan singkat menamatkan riwayat dan hikayat diri sendiri. Aku tak tahu Kak M masuk ke kategori mana satu, dan tak juga aku ingin mengkategorikan dirinya bagaikan statistik yang tak bermakna di atas kertas. Kak M manusia, dia hidup, dia mempunyai hak agar kisahnya tak dipandang sebagai statistik semata, dia layak dihormati untuk segala pengorbanan yang telah dia lakukan.

Selepas bersembang untuk beberapa ketika lagi, Kak M dan aku membawa haluan masing-masing. Sempat lagi Kak M berpesan kepadaku agar tak duduk jumud menanti kegembiraan datang bergolek sebelum mengucapkan selamat tinggal. Kami mengucapkan selamat tinggal dan jika panjang umur ada kesempatan, harap dapat berjumpa lagi pada masa akan datang.

Sepanjang perjalanan aku kembali ke rumah, teratakku yang indah hasil pautan kasih sayang abah dan ummiku, aku terkenang kata-kata seorang kawan. Mudah terhibur. Itulah dua patah perkataan yang aku tafsirkan ditujukan kepada diriku. Ya, aku mudah dibawa arus. Tetapi aku takkan menggunakan kata-kata ‘mudah terhibur’. Aku akan gunakan frasa mudah teruja. Aku memang mudah teruja. Aku mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, dan aku rasakan bahawa perasaan inilah yang membuatkan aku berasa ‘hidup’. Vigor aku. Bahan api aku. Pernah suatu ketika dahulu perasaan ingin tahu aku memalap dan aku hilang minat terhadap segalanya. Aku berasa tertekan, bukan kerana aku hilang bahan api tersebut tetapi kerana implikasi hilang minat terhadap dunia dan akhirat. Aku ketika itu mentafsirkan hilang perasaan ingin tahu tersebut sebagai suatu kerugian kerana hakikatnya banyak lagi perkara yang aku tak tahu, ilmu yang belum kukaut dari dunia sementara ini. Jadi, situasi itu agak menyedihkan. Bagaikan seorang yang lapar dihidang makanan berjuta tetapi tak ingin makan kerana seleranya hilang. Takbur dengan apa yang ada pada diri ketika itu. Tak bersyukur kerana diberi peluang menjamah. Itulah yang membuatkan aku sedih. Aku tak nak mati dalam keadaan tak bersyukur. Aku nak mati puas dan puas mati. Selepas beberapa ketika, aku terlihat kembali cahaya menyinar di hujung terowong. Perasaan ingin tahuku memercik semula dalam diri, dan aku kembali menjelajah segala ruang yang tersirat, mengumpul segala ilmu lisan, tulisan, dan yang abstrak tak berbentuk. Aku bersyukur dikurniakan peluang untuk kembali ingin tahu.

Tetapi kini aku mula mempersoalkan bahan apiku ini. Kerana keterujaan yang mengiringi perasaan ingin tahu, keterujaan apabila mendapat inspirasi dan ilmu baru hasil terjawabnya perasaan ingin tahuku telah membuatkan mata hatiku bias, buta kepada pincang yang berselindung di balik sumber keterujaanku. Hal ini jelas terbukti dalam kes Kak M. Keterujaanku telah membuatkan aku menutup mata minda kepada pegorbanannya, keperitan hidupnya, kesedihannya. Adakah ingin tahu akan menjahanamkan diriku? Selama ini aku tak takut kepada ingin tahu kerana aku bukannya kucing. Hanya kucing yang akan mati dek ingin tahu. Aku manusia, maka aku takkan mati oleh rasa ingin tahuku yang tinggi.

Benarkah?

Mungkin juga aku akan membayar harga kepada perasaan ingin tahuku yang membuak-buak ini. Mungkin hari itu akan datang tak lama lagi. Mungkin juga ia akan datang dalam bentuk kematianku. Mati itu pasti dan mati itu sentiasa dekat. Itu peganganku dari kecil lagi. Jadi ia satu kemungkinan. Tetapi sehingga tiba hari tersebut, waktu tersebut, biarlah aku meneruskan hidupku dengan perasaan ingin tahuku, dengan gerak hatiku, dengan logik yang menjadi maniaku. Yang penting, pengajarannya jelas dan harus aku ingati sampai bila-bila.

Kita semua manusia, ada hitam putih peribadi.

Kak M juga manusia, ada hitam putih peribadi.

Dan dia juga pernah putus cinta.

10.49pm

2 Mei 2015

Advertisements
Dia juga pernah putus cinta (Cerpen)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s