Mentari Ingin Tidur


Hafizan menongkat diri di hujung tingkat, memandang ke ufuk timur memerhatikan bulan purnama mengintai dari balik bukit. Malam bertandang sekali lagi. Tetapi kini malam dan siang tak ada beza. Yang membezakannya hanyalah kemunculan purnama. Cahaya purnama melimpah membasahi bumi yang kontang, yang tandus, dan terbiar. Puing-puing bangunan tersergam megah dalam cahaya biru putih purnama, berdiri masih dengan bangga menonjolkan diri, simbol kemajuan teknologi dan tamadun manusia yang terdahulu.

Bangunan terbiar tersebut bergoyang sedikit sebaik sahaja bayu malam berhembus lalu. Tingkapnya pecah, catnya terkupas, dalamannya semak. Tak ada sesiapa di dalam bangunan ini kecuali Hafizan. Mungkin juga tak ada insan lain di dalam seluruh bandar ini. Angin malam yang bertiup bersiul ngeri lepasi rekahan pada dinding nipis bangunan-bangunan bandar ini. Sepanjang penjelajahannya siang tadi (yang juga gelap seperti malam), Hafizan menemui beberapa petunjuk bahawa barang yang dicarinya terdapat di bandar ini. Serumpun bunga azalea di sudut taman, hangat besi rangka kereta yang terbiar di tengah jalan, semuanya menunjukkan bahawa ‘dia’ ada di sini. ‘Dia’ pernah melalui tempat ini, mungkin baru beberapa jam yang lalu. Ini merupakan kali pertama Hafizan begitu dekat dengan jejakannya. Sebelum ini jejakan terdekatnya ialah beza beberapa hari, dengan rumpunan bunga melayu dek tak mendapat kasih cahaya ‘dia’.

Sudah enam tahun berlalu sejak Hafizan memutuskan untuk menjejakinya. Dia ingin bertanya kepadanya, ke manakah kau menghilang?, dan kenapa? Setelah dia menghilangkan diri, siang dan malam tak ada beza. Purnama sentiasa penuh di langit, pasang surut laut sentiasa berkecamuk, tumbuhan mula mati, begitu juga dengan manusia. Teknologi masa lampau tak mampu bertahan, dan ditambah dengan konflik dan perbalahan antara manusia, musnah meninggalkan semua pihak dalam kerugian. Manusia kembali kepada kehidupan primitif. Ramai yang meninggalkan bandar-bandar besar seperti bandar ini untuk mencari kehidupan yang lebih senang di pergunungan, di kampung, dan di dalam hutan. Sekurang-kurangnya alam mempunyai cara untuk menangani masalah ini melalui evolusi paksaan. Manusia yang tak mampu berevolusi, bukti songsangnya Teori Darwin, hanya mampu bergantung harap kepada alam sekitar yang suatu ketika dahulu langsung tak diendahkan dan dimusnahkan sewenang-wenangnya.

Tetapi Hafizan bukan seperti manusia lain. Hafizan tak berpuas hati dengan hanya duduk diam, dengan hanya bergantung harapan kepada alam sekitar dan langsung tak berusaha untuk memperbaiki keadaan. Tak. Dia takkan menerima keadaan ini dengan redha. Dia harus berusaha, barulah pasrah dan bertawakal. Itulah pegangannya. Pedulilah apa yang orang nak kata. Pedulialh tohmahan dan cercaan mereka yang memanggilnya gila, yang melabelnya kurang siuman dan terdesak. Dia memang terdesak, tetapi dia seorang yang penyabar. Dia tahu pasti sesuatu terjadi dengan objek jejakannya. Dia yakin ‘dia’ ada ceritanya sendiri yang dunia tak ketahui. Tetapi pada masa yang sama dia takkan menunggu orang lain untuk bercerita kenapa dan bagaimana. Dia akan bertanya sendiri kenapa dan bagaimana, dan dia akan menjadi penglipur lara kepada manusia-manusia pemalas yang menunggu kabar tanpa berusaha mencari jawapan yang sekarang duduk terperuk di kampung dan di dalam hutan dan di pergunungan. Dia akan ketawakan mereka yang memanggilnya gila, dia akan mengherdik mereka yang melabelnya kurang siuman, dan dia akan berdiri bangga di tingkat atas puing bangunan tertinggi dengan angkuhnya. Itulah yang dia fikirkan apabila dia memulakan penjelajahan ini.

Dan penjelajahannya masih belum berakhir. Selepas enam tahun berlalu, dia masih tak menemui ‘dia’. Tetapi hari ini berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Hari-hari sebelumnya penuh dengan kekecewaan, tetapi hari ini terlihat kelibat sinar harapan, biarpun sangat malap dan tak stabil, berkelip-kelip. Hafizan mengeluarkan teropong inframerahnya dari saku beg lalu meneliti seluruh bandar dari titik pemerhatiannya. Andai kata ‘dia’ masih berada di sini pasti dia akan dapat melihat jejak perjalanannya lewati puing-puing bangunan ini, dengan harapan ‘dia’ tidak bersembunyi di dalam mana-mana runtuhan ataupun terowong bawah tanah bekas laluan tren metro. Setelah selesai mengimbas sebelah timur bandar tanpa apa-apa hasil, Hafizan beralih ke arah utara, kemudian selatan, dan akhirnya barat. Namun kelibat ‘dia’ masih tak kelihatan. Perasaan kecewa mula menyusup masuk hatinya, sedikit demi sedikit makin memberatkan hatinya. Adakah dia akan gagal sekali lagi seperti hari-hari sebelum ini? Adkah ini takdirnya, untuk mengejar sesuatu yang sangat sukar ditemui dan akan senantiasa tinggal dalam debu jejaknya? Hafizan takkan menerima takdir tersebut. Dia akan melawan arus yang ingin menumbangkannya, biarpun jika arus itu bernama takdir.

Ketika itulah matanya tertangkap pandang sesuatu. Sesuatu yang sangat sukar dilihat dalam kesamaran cahaya malam dan lindungan bayang puing bangunan. Dia mematikan fungsi inframerah dan meningkatkan fokus pada teropongnya. Sebaik sahaja matanya pasti apa yang dilihat, nafasnya terhenti seketika. Dadanya sesak. Jantungnya berhenti berdegup untuk sedetik. Tangannya mula menggeletar dan berpeluh.

Dia mungkin telah menemui ‘dia’.

Hafizan berlari menuruni puluhan anak tangga, mungkin ratusan, dengan adrenalin mencucuh kaki untuk melangkah dan melompat tanpa menghiraukan goyangnya bangunan terbiar tersebut. Dia tak kisah sama ada dia akan jatuh berguling ataupun menerobos terus ke tingkat bawah. Dia tak boleh mengawal girangnya. Akhirnya, selepas enam tahun penjelajahan mengharung gelap dunia tanpanya, dia temui ‘dia’. Dan Hafizan nekad untuk menangkapnya kali ini, takkan memberi peluang kepadanya untuk lari lagi.

Setelah sampai di aras bawah, dia menaiki basikal yang terparkir di pintu masuk lalu mengayuh deras ke arah sudut bandar yang mempunyai tompokan hijau rumput segar yang dilihat melalui teropongnya sebentar tadi. ‘Dia’ pasti berada di situ. Hafizan melewati puing-puing bangunan dan tinggalan rangka kenderaan yang berselerak memenuhi jalan raya tanpa mengendahkan semuanya. Yang dia tahu ialah dia harus ke tompokan rumput hijau tersebut, dan dia harus ke sana dengan cepat.

Akhirnya, selepas pecutan tanpa menghiraukan nafas yang tersekat-sekat dan dadanya yang berombak-ombak turun naik, Hafizan tiba di tompokan rumput hijau itu. Dia menuruni basikalnya, menurunkan beg galas besarnya dari belakang badan, dan terus melangkah ke arah rumput tersebut lalu bercangkung di sana. Tangannya dihulur ke arah bilah-bilah rumput yang nampak masih segar, disentuhnya, masih pejal, dikoyakkan sedikit, masih berbau kesegaran pagi yang datang bersama embun dan cahaya pertama setiap hari. Bau ini sungguh nostalgik, biarpun jika dia sendiri tak pernah menghidunya. Mungkin ini reaksi hasil memori genetik yang menurun daripada nenek-moyangnya yang hidup pada zaman di mana siang dan malam berbeza terang dan gelap.

Mata Hafizan mula bertakung. Dia tak tahu kenapa. Adakah nalurinya sebagai seorang manusia, sebagai seorang daripada spesies yang telah ditinggalkan bergelap di Bumi ini meraung kegembiraan dan kesedihan pada masa yang sama? Apakah melankoli yang menebal di dadanya ini? Adakah ini kesedihan umat manusia yang ditinggalkan cahaya dan kehangatan? Atau adakah ini lambang sesalan manusia yang selama ini memandang dunia dan bumi ini dengan pandangan sambil lewah, yang langsung tak mempedulikan kesihatan dan keberadaan dunia dan bumi ini? Mungkin.

Hafizan menyeka air matanya lalu berdiri dan berjalan ke arah bangunan terbiar di sebelah tompokan rumput tersebut. Dia mengeluarkan sepasang kaca mata dari kocek dadanya lalu memasang fungsi inframerah. Sebaik sahaja terpasang, matanya terlihat tompokan merah dan jingga memenuhi ruang dalaman bangunan tersebut. Jantungnya sekali lagi berdegup kencang. Sah. Pasti ‘dia’ berada di sini. Dia melangkah perlahan ke dalam bangunan itu. Makin dalam dia jejaki, makin hangat terasa persekitarannya. Tak pernah dia rasai kehangatan sebegini. Dia pernah merasa hangat unggun api dan suam kolam air panas tetapi tidak pernah merasai sensasi ini. Kehangatan yang berbeza, yang memberikan kehidupan dengan setiap sentuhannya, yang apabila berlebihan terasa sakit, yang membuat dirinya ingin berkerja dan berkeringat dan berasa hidup sehidup-hidupnya. Itulah kehangatan yang dia rasai kini.

Setibanya di bahagian tengah bangunan, kehangatan yang dirasa terlalu tinggi. Hafizan berhenti lalu membuka jaket dan skafnya. Kasutnya pun dibuka, tak tertahan rasa panas dan melekit di hujung jemari kakinya. Selepas itu Hafizan melangkah lagi ke hadapan, berhenti lagi untuk membuka sarung tangannya, berjalan lagi ke arah kehangatan yang semakin menggigit, dan akhirnya tiba di suatu bukaan di tengah bangunan. Matanya terlihat ruang tersebut penuh disimbahi warna merah, dan di tengah-tengah ruang itu terlihat kelibat kuning yang terang membuta. Hafizan membuka kaca matannya untuk mendapat gambaran yang lagi jelas, dan di tengah-tengah ruang itu dia terlihat kelibat yang sedang duduk menyandar di tempat duduk yang diperbuat daripada batu. Hafizan menelan liurnya. Matanya dipejam seketika sebelum dibuka semula. Suatu perasaan tidak percaya memenuhi ruang kalbunya. Selepas enam tahun menjelajah, akhirnya dia temui objek jejakannya.

Dia telah temui ‘dia’.

10.05 am

11 April 2015

Advertisements
Mentari Ingin Tidur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s