Spangle Call Lilli Night


Raja memandang keluar tingkap dari bilik tingkat sepuluhnya. Neon jalan raya menghiasi pemandangan malam. Lampu amaran berwarna merah kelihatan berkelip di atas bangunan-bangunan tinggi. Menara Berkembar Petronas jelas kelihatan dari rumahnya. Kedengaran ngauman enjin automobil yang melaju di jalan raya, mungkin mengambil kesempatan di atas kelapangan jalan raya pada masa ini. Lagu Nano persembahan kugiran Spangle Call lilli line bermain di komputer riba.

Jam menunjukkan pukul 2.47 pagi. Kebanyakan orang sedang beradu, melayan mimpi indah ataupun mimpi ngeri masing-masing. Tetapi Raja belum lelap. Dia masih berdiri di tepi tingkap biliknya, masih memandang ke arah Menara Berkembar Petronas yang disimbah cahaya bergemerlapan. Sejuk hawa malam terhembus masuk ke biliknya, namun dia tak berganjak. Jarak dari rumahnya ke menara tersebut lebih kurang 15 kilometer. Pada hari-hari biasa menara tersebut hanya kelihatan berbalam dari kejauhan dek jerebu dan asap bandar. Namun pada malam ini cuaca sangat baik. Udara bersih dan jelas, langsung tak ada kesan jerebu atau asap. Raja terus merenung menara tersebut. Namun apa yang dipandangnya bukanlah menara itu, sebaliknya sesuatu yang lebih jauh dari itu. Dalam mindanya terfokus wajah Putri yang tersenyum ceria.

Putri ialah kawan baik Raja dari kecil. Mereka akrab sejak berkenalan apabila keluarga Raja berpindah ke rumah sebelah rumah Putri. Ketika itu Raja berumur enam tahun dan Putri tujuh. Oleh kerana mereka menghadiri sekolah yang sama, mereka menaiki bas yang sama untuk pergi dan balik dari sekolah. Putri seorang yang sederhana. Tak terlalu menonjol, tak juga terlalu terlindung. Dia tak berapa kisah tentang kartun yang bermain di kaca televisyen setiap hujung minggu. Dia lain daripada budak-budak lain yang Raja kenali. Sejak pertama kali bertemu dengan Putri, Raja memanggilnya ‘akak’ atas dasar bersopan, biarpun hakikatnya tak sampai setahun beza umur mereka. Putri lahir dalam bulan Disember manakala Raja lahir pada bulan Febuari tahun berikutnya.

Persahabatan mereka berterusan hinggalah mereka memasuki alam sekolah menengah. Ketika itu badan Raja mendadak meninggi hingga akhirnya dia lebih tinggi daripada Putri. Mereka masih pergi ke sekolah yang sama dan masih menaiki bas bersama-sama untuk ke sekolah. Biasanya Raja akan menunggu di muka pintu rumahnya, memasang telinga mendengar bunyi pintu kaca rumah sebelah ditolak buka. Apabila pintu kaca rumah Putri dibuka dan suara Putri memberi salam kepada ibunya kedengaran, Raja akan bingkas berdiri dan memberi salam kepada ibunya sendiri sebelum menuju ke pagar rumah. Setiap pagi Putri akan menyambutnya dengan salam dan senyuman manisnya yang penuh keceriaan, dan setiap hari Raja akan menanti senyuman tersebut. Selepas itu mereka akan berjalan ke perhentian bas yang terletak di jalan utama di ahdapan taman perumahan mereka.

Ketika pulang dari sekolah, Putri akan menunggu Raja di kantin sekolah sebelum bergerak bersama ke perhentian bas di pintu pagar. Cuma bas sekolah dan kenderaan ibu-bapa yang berhenti di situ, jadi mereka akan berjalan ke perhentian bas di jalan utama sambil bercerita tentang pengalaman harian masing-masing. Sepanjang perjalanan, Putri dan Raja akan saling bercerita tentang pengalaman harian masing-masing. Kejadian lucu yang berlaku di kelas, gosip tentang kawan-kawan mereka dan juga pelajar-pelajar terkenal sekolah, dan rungutan tentang cikgu-cikgu yang mereka kurang senangi. Semuanya dikongsi bersama, digelak bersama, dan diumpat bersama. Mereka akrab bagai adik-beradik kandung. Kebetulan Putri anak bungsu daripada dua orang adik beradik dan Raja anak tunggal.

Biarpun hanya dua beradik, beza umur antara Putri dan kakak sulungnya yang sepuluh tahun lebih tua daripadanya membuatkan mereka kurang rapat. Lagipun sejak sekolah menengah, kakaknya bersekolah di sekolah berasrama penuh dan kemudian melanjutkan pelajaran di luar negara. Boleh dikatakan kakak Putri seorang yang sangat pintar dan apabila dibandingkan, pencapaian akademik Putri tersangatlah sederhana. Dari segi rupa paras, Raja akui bahawa kakak Putri lebih cantik dan pandai bergaya. Dia mempunyai aura wanita sofistikated dan berjaya yang penuh keyakinan. Berbeza dengan Putri yang sederhana. Kadang-kala Raja sedar bahawa Putri berasa tertekan dengan keupayaan dan paras rupa dirinya, tetapi Putri tak pernah mengeluh tentang nasib dirinya. Oleh itu Raja berjanji kepada dirinya sendiri untuk sentiasa bersama dengan Putri. Kalau Putri tak boleh berkongsi suka-duka dengan kakak kandungnya, biarlah Raja yang menjadi penggantinya. Itulah yang Raja fikirkan ketika itu, dan ketika itu mereka berdua masih naif.

Pada hujung minggu pula mereka sering menyiapkan kerja rumah bersama. Raja akan datang ke rumah Putri, dan mereka akan menghabiskan kebanyakan masa dengan bercerita. Macam mereka tak pernah putus ilham untuk bercerita biarpun mereka sering bersama. Apabila mereka sedar bahawa borakan mereka melebihi kerja rumah yang mereka telah siapkan, mereka akan gelak bersama dan berjanji untuk menyiapakan kerja rumah sebelum melakukan apa-apa aktiviti sukaria. Namun kebiasaannya serius mereka hanya kekal untuk sementara, kerana apabila salah seorang daripada mereka membuka mulut pasti mereka akan berborak semula. Apabila terdapat apa-apa yang Raja kurang fahami, dia akan merujuk kepada Putri, dan Putri akan menunjukkan caranya. Biarpun mempunyai pencapaian akademik yang sederhana, Putri tak perah gagal untuk memberi penerangan kepada Raja. Kadang-kala Raja berasa seperti Putri sengaja mendapat akademik sebegitu.

Selesai menyiapkan kerja rumah, mereka akan makan tengah hari. Selalunya ibu Putri akan menyediakan pinggan lebih untuk Raja makan bersama, tetapi kebiasaannya Raja akan menolak pelawaan untuk turut serta dan akan balik ke rumahnya sendiri untuk menikmati juadah tengah hari bersama keluarganya sendiri. Memandangkan kedua-dua keluarga mereka rapat, sekali-sekala kedua-dua keluarga mereka akan makan bersama, kadang-kadang di rumah Putri dan kadang-kadang di rumah Raja. Selesai makan dan solat, Raja akan kembali ke rumah Putri dan  mereka akan membaca buku sambil bercerita. Putri minat membaca dan mempunyai koleksi novel dan buku yang banyak. Membaca memang hobinya sejak kecil, dan Raja terpengaruh dengan Putri lalu turut serta suka membaca. Mungkin Raja tertarik untuk membaca kerana setiap kali Putri habis suatu buku, dia akan bercerita kepada Raja tentang is kandungannya. Setiap kali Putri bercerita, Raja rasa bagai ditarik ke dalam satu dunia lain. Dunia yang penuh keseronokan, penuh dengan pengembaraan merentas tempat dan masa yang mereka tak pernah pergi, penuh dengan pelbagai perkara yang mereka tak tahu wujud sebeum ini. Mungkin itulah sebab utama yang menarik Raja untuk membaca.

Raja sangat suka akan kehidupan sehariannya bersama Putri. Rutin harian tersebut, biarpun tak pernah berubah, perkara yang sama setiap hari untuk beberapa tahun, tak pernah membosankan dirinya. Dia suka dengan perangai santai Putri. Dia suka akan keceriaan Putri. Dan dia suka akan persahabatannya dengan Putri. Raja berasa bahawa dia boleh meneruskan sepanjang hayatnya dengan mengulangi perkara yang sama setiap hari kerana pada hakikatnya setiap hari mereka penuh dengan cerita baru, pengembaraan baru, dan pengetahuan baru. Dunia kelihatan sangat bersinar dan menarik di mata mereka berdua. Dunia penuh dengan perkara yang mereka belum ketahui, dan mereka bercadang untuk terus meneroka dunia dan ilmu-ilmunya. Namun mereka naif ketika itu. Dunia yang menarik perhatian mereka juga merupakan tempat yang dingin dan tak berbelas kasihan.

Ketika Raja memasuki tingkatan lima, segala berubah. Pada permulaannya Raja tak lagi pergi dan balik sekolah bersama Putri kerana Putri telah tamat sekolah menengah. Mereka masih bertemu di rumah masing-masing, jadi Raja tak berapa kisah. Lagipun masa ini lambat-laun akan tiba juga, fikir Raja. Namun apabila Putri mendapat tempat di sebuah universiti tempatan, segalanya, berubah. Universiti tersebut bukanlah di bandar mereka, jadi Putri dan Raja harus berpisah. Tetapi hal itu tak memutuskan persahabatan mereka. Apabila cuti, Putri akan pulang ke rumahnya dan mereka masih bertemu dan bercerita. Kali ini Putri membawa cerita kehidupan kampusnya yang serba menarik. Putri masih ceria seperti biasa, dan Raja berasa gembira melihat Putri sedemikian. Segala cerita Putri membuatkan Raja tak sabar untuk menghabiskan persekolahannya dan melangkah kaki ke menara gading, sama seperti Putri.

Putri menceritakan bagaimana dia harus bekerja keras kerana pembelajaran di universiti tak sama dengan pembelajaran di sekolah. Namun seperkara yang berubah tentang Putri ialah minatnya terhadap muzik yang mula bercambah. Dia bercerita kepada Raja tentang rakan sebiliknya di asrama yang minat akan muzik dan suka memperkenalkan muzik baru kepadanya. Putri mula meminati pelbagai kugiran dan penyanyi dari dalam dan luar negara, dan dia sering bercerita kepada Raja tentang apa-apa kugiran atau penyanyi yang baru menarik perhatiannya. Mereka jarang berhubung melalui telefon ataupun internet kerana menurut Putri, perkara-perkara yang ingin dia kongsikan tak boleh disampaikan sebegitu. Sesi bercerita mereka harus kekal sebagai komunikasi secara berhadapan tanpa bantuan dan gangguan apa-apa alat komunikasi kerana itu adalah ciri penting persahabatan mereka.

Raja setuju dengan pendekatan Putri. Dia sedikit-sebanyak faham akan bilai sentimental yang terdapat dalam sesi bercerita mereka kerana dia juga berasa bahawa sesi-sesi tersebut mempunyai satu keistimewaan, dan keistimewaan itu akan terhakis oleh kehadiran alat pertengahan. Oleh itu, mereka semakin jarang bercerita kerana waktu untuk mereka bercerita hanya terhad kepada pertemuan secara bersemuka antara mereka yang hanya terjadi apabila Putri bercuti dan balik ke rumah. Dan pada tahun berikutnya, sesi bercerita mereka bertambah kurang apabila Raja pula melanjutkan pelajaran ke universiti. Mereka mula kerap berhubung melalui SMS dan Facebook. Namun seperti yang Putri pernah katakan, perasaan istimewa yang mereka rasai apabila berborak secara bersemuka tak lagi dirasai.

Tahun silih berganti. Persahabatan mereka masih utuh. Raja masih menganggap Putri sebagai kakaknya. Mereka masih berhubung, terutamanya secara dalam talian, tetapi perhubungan mereka tak seindah dahulu. Mereka berdua teringin sangat kembali ke zaman persekolahan, zaman di mana mereka boleh berborak dan bercerita sepanjang masa. Itu Raja pasti, kerana setiap kali mereka bertemu, Putri yang ceria akan menyatakan perkara yang sama. Jarak bukanlah penghalang kepada persahabatan mereka. Malah terdapat satu keseronokan yang baru terhasil daripada jarak antara mereka. Memandangkan mereka berdua suka bercerita secara bersemuka, jumlah cerita yang mereka ada untuk setiap kali pertemuan adalah sangat banyak, ia bagai tak cukup untuk diceritakan sekali gus. Mereka berdua teruja untuk berkongsi pengalaman kehidupan masing-masing dalam tempoh yang singkat. Raja berasa bahawa tak ada apa-apa yang boleh menggoyahkan persahabatan mereka. jika jarak dan masa tak boleh melakukannya, apa lagi yang boleh? Itulah yang Raja fikir sejujurnya. Itu juga yang difikirkan oleh Putri. Itu juga membuktikan bahawa mereka masih mentah, masih remaja, dan masih naif.

Dunia bukanlah sebaik yang mereka sangka.

Pada suatu malam, telefon Raja berdering. Entah deringan ke-berapa, barulah Raja tersedar dari lenanya. Dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di sebelah bantal dan terlihat nama dan wajah Putri tertera di skrin. Dalam keadaan mamai, Raja menjawab panggilan ‘kakak’nya, hanya untuk mendengar suara mendatar di hujung talian. Dia pasti ini suara Putri, tetapi ini bukanlah suara Putri yang biasa dia dengari. Apakah Putri sedang mengenakan dirinya? Dalam mamainya Raja mencapai keputusan bahawa tidak, ini bukanlah gurauan. Putri bukanlah seseorang seperti itu. Apabila Raja bertanya kenapa memanggilnya lewat malam sebegini,Putri hanya membalas bahawa dia ingin mendengar suara Raja. Mereka bercerita untuk seketika, tetapi Raja tak pasti apa yang diceritakan kerana dia benar-benar mamai. Dia hanya melayan Putri dan berbual dengannya dalam keadaa separa sedar. Suara Putri mendatar sepanjang masa tetapi kadang-kala terselit gelak kecil yang comel, mungkin tergelak mendengar balasan Raja dalam suara yang sangat mengantuk. Raj atak pasti berapa lama mereka berbual. Akhirnya Putri berkata cukuplah sesi bercerita mereka untuk malam itu. Sebelum mengucapkan selamat tinggal, Putri bertanya satu soalan yang ganjil. Raja tak pasti apa jawapannya pada malam itu, tetapi dia pasti ada memberikan jawapan.

“Awak ingat lagu Nano dari SCLL yang saya ceritakan hari itu?”

Itu sahaja yang Raja ingat dengan jelas dari panggilan tengah malam itu. Kini Raja menyesal kerana tak memberikan sepenuh perhatiannya kepada Putri pada malam tersebut. Itulah kali pertama Putri bercerita melalui panggilan telafon. Itulah juga kali terakhir dia mendengar suara Putri.

Kini, lima tahun selepas kejadian itu, Raja berdiri di tepi tingkap biliknya, memandang ke arah Menara Berkembar Petronas. Jam menunjukkan pukul 4.39 pagi dan Raja masih berjaga. Inilah bandar raya di mana Putri dilihat untuk kali terakhir sebelum dia menghilangkan diri secara misteri. Raja telah datang ke bandar raya ini untuk mencari nafkah halal. Hembusan bayu malam yang dingin menampar lembut wajah Raja. Komputer ribanya masih memainkan lagu Nano dendangan kugiran Spangle Call lilli line secara berulang.

Raja masih menanti panggilan Putri.

Menunggu, menanti, terdesak..

4.49am

6 Januari 2015

Advertisements
Spangle Call Lilli Night

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s