Marjerin dan Kaya (Bohong Palsu Ekstra)


(Aku suka makan roti sapu planta campur kaya. Cerita ni pasal roti sapu planta campur kaya.)

Aku ada seorang sepupu yang tinggal di selatan Semenanjung Malaysia. Dia seorang yang pendiam, sama macam diriku. Dia mempunyai seorang adik perempuan yang comel. Aku dah lama tak bertemu mereka memandangkan aku belajar dan berkerja di Sabah hampir enam tahun. Apa kabar mereka berdua? Adakah mereka sihat dan membesar dengan penuh semangat? Mungkin.

            Ketika kecil, kami selalu berjumpa di rumah nenek, tapi aku memanggil nenekku ‘tok’. Aku memang selalu ke rumah tok. Rumah tok tak jauh sangat dari rumahku. Mereka yang jarang balik kampung. Tapi hampir setiap cuti hujung tahun mereka akan bertandang ke rumah tok. Aku suka kalau mereka berdua datang. Aku suka melayan karenah mereka berdua. Terutamanya si abang. Seperti yang kukatakan, dia seorang pendiam. Dalam pantulan matanya terdapat satu sinaran yang sungguh suci dan sangat indah. Dia seorang yang mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Dia ingin tahu akan segalanya di dunia ini. Dia suka membaca buku sejak kami kecil lagi. Dia sukakan ilmu. Baginya, ilmu pelita dunia. Mungkin mak cik yang banyak mempengaruhi pemikirannya.

Umminya dahulu seorang guru tadika tetapi selepas melahirkan Adik, dia berhenti mengajar. Ketika itu aku masih kecil. Aku masih ingat jika pak cik pulang ke kampung bersama isterinya, aku suka ke rumah tok kerana mak cik akan selalu membaca buku cerita kepadaku. Oh ya, Adik yang kukatakan ialah sepupuku yang perempuan. Semua orang memanggilnya Adik. Aku tak ingat apa nama sebenarnya. Hajar? Hazirah? Yang penting namanya bukan Habib. Apabila dua beradik ini bergaduh, mereka suka melontarkan nama Habib dan Abdullah, dan akan marah apabila orang lain memanggil mereka dengan nama-nama tersebut. Aku selalu tergelak apabila melihat merek bergaduh begitu, dan tambah tergelak apabila mak-cik mak-cik kami sengaja memanggil mereka dengan nama tersebut. Mereka kata itu adalah nama khas untuk abah dan ummi mereka sahaja. Tak ada orang lain yang boleh memanggil mereka dengan nama-nama tersebut. Tetapi yang hairannya aku tak pernah mendengar pak cik dan mak cik memanggil mereka dengan nama tersebut. Mungkin ia sekadar nama panggilan di rumah mereka.

Tetapi apabila kami membesar, kami semakin jarang berjumpa. Mereka semakin jarang balik kampung. Kalau balikpun hanya pak cik dan mak cik yang datang dan selalunya ketika musim persekolahan. Aku tak tahu kenapa pak cik selalu balik kampung ketika musim persekolahan. Macam sengaja pula bila kufikirkan. Tapi pak cik bukanlah seorang yang begitu. Dia takkan berbuat begitu semata-mata tak ingin aku dan anak-anaknya berjumpa. Mungkin memang sekadar kebetulan.

Apabila aku bertemu semula dengan adik-beradik itu, sepupuku sudah memasuki sekolah menengah. Ketika itu aku baru selesai tingkatan tiga dan dia baru selesai tingkatan satu. Satu benda yang ketara yang dapat kullihat berubah pada dirinya ialah matanya. Pantulan matanya tak seperti dahulu, tak sejernih dan sesuci dahulu. Pantulan matanya mencerminkan kepayahan hidup dan penderitaan. Pernah juga aku bertanya kepada dirinya adakah dia dibuli di sekolah tetapi dia menggelengkan kepala. Tetapi matanya berkata ya. Aku selalu melihat mata sebegitu di sekolah. Aku tak tahu kenapa tetapi ramai dari golongan pendiam dan minoriti suka berkawan denganku. Sehingga kawan-kawanku memanggilku magnet orang ganjil. Hahaha~ adakah orang seperti itu wujud?

Adik pula bertambah ceria. Semacam ada satu ketidakseimbangan antara dua beradik ini. Si abang menjadi makin pendiam manakala si adik menjadi makin bising. Si abang macam makin kesunyian manakala si adik menjadi makin peramah. Adakah Adik menyerap tenaga kegembiraan dari abangnya? Hahaha~ macamlah benda seperti itu wujud.

Pada satu malam, sepupuku datang kepadaku. Ketika itu aku sedang menikmati indah langit malam dari pangkin rumah tok. Biru keunguan yang ditabur sinar bintang-bintang bergemerlapan. Aku memang suka sangat akan pemandangan ini. Tambah pula di hadapan rumah tok ialah sawah bendang yang terbentang luas. Apabila musim menanam padi baru bermula, kotak sawah akan terisi dengan air dan apabila malam menjelma sawah bendang tersebut akan kelihatan seperti sebuah laut yang tenang airnya. Kerlipan bintang-bintang di langit akan terpantul di permukaan air bendang. Sayangnya aku tak ada kamera yang baik untuk menangkap pemandangan ini. Aku pernah mencuba dengan kamera tok yang masih memakai gulungan filem di dalamnya, tetapi apabila gambar tersebut dicuci yang nampak hanyalah kegelapan. Selepas itu aku dimarahi tok kerana membazirkan filemnya. Aku hanya ketawa dan meminta maaf. Eksperimen, kataku kepadanya.

Sepupuku bertanya kepadaku tentang zaman persekolahan aku. Bagaimanakah keadaan di sekolahku? Bagaimanakah kawan-kawanku? Bagaimanakah cara aku bergaul dengan mereka? Aku menjawab setiap satu soalannya dengan perlahan dan jelas. Dalam hatiku terasa sedikit sayu melihatnya. Ketika aku bercakap tentang persekolahanku matanya bersinar seperti waktu kami kecil dahulu. Sinaran ingin tahu. Sinaran kekaguman yang membelah gelap malam di pangkin rumah tok. Aku boleh melihat bintang berkelipan terpantul di matanya. Tetapi aku tak sampai hati bertenya kepadanya akan sebab segala soalannya. Aku tahu dia melalui satu fasa yang sukar. Aku pernah melaluinya juga. Mungkin ketika itu aku masih sedang melaluinya. Aku tak tahu bila aku habis mengharungi fasa tersebut. Yang aku tahu ialah aku mengikut gerak hatiku dan aku akhirnya berkerja sebagai seorang pembantu perubatan di sebuah klinik kesihatan di Telipok, Sabah.

Selesai menjawab semua soalannya, sepupuku duduk diam di sebelahku, memerhatikan indah langit malam dan lautan bendang yang terbentang di hadapan kami. Dia diam tanpa berkata. Dia merenung jauh ka hadapan. Namun aku sedar apa yang diperhatikan olehnya bukanlah bintang-bintang di langit atau pantulannya di bendang. Dia sedang merenung sesuatu yang lebih jauh, mungkin masa depannya. Kemudian dia mengeluh sambil memejamkan mata. Tanpa menoleh kepadaku, dia mengajukan soalan.

-Macam mana abang boleh kekal pendiam tapi banyak kawan?

Aku berfikir seketika. Itukah yang membebani fikiranmu? Fikiran seorang budak berusia 13 tahun yang mungkin tak banyak kawan dan berasa janggal dikelilingi orang ramai. Bagaimana untuk menjawab soalan ini supaya dia faham? Hurmm….

Tiba-tiba satu percikan inspirasi menyala dalam kepalaku. Aku tersenyum tanpa menoleh kepadanya.

-Hang pernah makan roti kahwin, yang sapu kaya dengan marjerin?

Dia mengangguk sekali.

-Hang rasa mana sedap, banyak kaya ka banyak marjerin?

-Aku tak suka banyak mana-mana. Kalau nak makan banyak kaya atau banyak marjerin bagus makan asing-asing je, tak payah sapu dua-dua sekali.

Aku tersenyum lagi. Sepupuku ini memang tajam fikirannya. Dan kerana tajam fikirannya melekatlah dia di umpanku. Senanglah aku nak menjawab soalannya.

-Haa, begitulah kalau hang nak pendiam tapi ramai kawan.

-Begitu? Aku tak faham bang.

-Kalau roti kahwin hang bubuh banyak kaya jadi manis sangat, kalau hang bubuh banyak marjerin jadi berminyak sangat. Jadi hang kena sapu ngam-ngam. Tak boleh sapu sikit sangat. Kalau gitu baik makan roti kosong. Tak boleh juga hang bubuh banyak sangat, nanti melimpah keluar roti. Faham tak?

Sepupuku diam sejenak. Mungkin dia sedang mencerna apa yang aku baru perkatakan kepadanya ketika itu. Kemudian dia menoleh ke arahku, senyuman tipis tercalit di bibir.

-Em.

Aku berasa lega kerana dia faham apa yang aku cuba sampaikan. Tetapi aku rasa jawapanku tak berjaya membantu dirinya. Kerana dua tahun selepas itu, ketika aku baru selesai SPM dan dia baru selesai PMRnya, aku bertemu dengannya di rumah tok sekali lagi. Ketika itu aku sedar matanya masih hilang pudar dan dahinya mempunyai parut yang nampak baru, dan dia bertambah tinggi! Aku bertanya kepadanya bagaimana dia mendapat parut tersebut. Dia berkata dia terjatuh dari basikal, itu sahaja. Kali ini nampaknya dia balik kampung seorang diri. Selepas itu aku bertanya pula kepadanya tentang Adik.

-Ah, pedulilah budak tu. Malas aku nak layan.

-Kenapa?

-Rimaslah aku dengan dia bang. Menjengkelkan.

-Apa?

-Menjengkelkan..

-Natang apa tu?

-Maksudnya menyakitkan hati..

-O…

Mesti dia terbaca di mana-mana perkataan itu, fikirku ketika itu. Tapi kenapa begitu sakit hati dengan Adik? Sampai mengatakan adiknya ‘menjengkelkan’? Memang mereka selalu bergaduh ketika kecil, tetapi itulah juga kawan main mereka. Sekejap gaduh, sekejap lagi bermain bersama. Adat resam adik beradik. Seingat aku ketika kecil dahulu aku pun selalu bergaduh dan bermain bersama kakak dan abang dua orangku. Tetapi sejak mereka dah besar, berkerja, dan berumah tangga aku tinggal seorang di rumah. Itulah sebabnya aku suka ke rumah tok. Tok pun tinggal seorang, jadi ngamlah aku temankan dia di rumahnya.

Ketika itu, aku teringat kembali ceritaku tentang kaya dan marjerin kepadanya. Aku tersenyum kepadanya, lalu menyambung perbualan.

-Hang dengan adik hang tu macam roti kahwin.

-Maksud abang, kaya dan marjerin?

-Ya lah, apa lagi, hehe.

-Tapi Adik tak boleh jadi marjerin aku pasal dia berminyak sangat. Rimas aku dengan dia. Lagipun mana boleh Adik dan aku jadi roti kahwin. Kami kan adik-beradik.

-Hahaha~ hang ni kalau benda-benda gini memang jauh hang pikir.

Melihat aku tergelak, dia tersenyum. Aku berasa lega sedikit. Akhirnya mampu juga aku meringankan sedikit bebanan yang memberat di hatinya. Senyum itu bukanlah setakat sedekah. Senyum itu juga ubat kepada hati yang berduka. Kerana itulah aku lega melihat senyumannya, biarpun sekadar calitan tipis di bibir.

-Kalau gitu hang carilah marjerin hang.

-Malaslah. Semuanya picisan. Lagipun mana ada orang nak kat aku..

-Hang ni, belum cuba belum tahu.

Sepupuku diam sahaja selepas itu. Itulah kali terakhir aku bertemu dan berbual dengannya. Selepas itu aku memohon SPA dan mendapat tawaran sebagai pelatih pembantu perubatan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu cawangan Kota Kinabalu. Sebaik sahaja aku habis tempoh latihan, aku ditawarkan tempat di klinik kesihatan tempat aku sedang berkerja sekarang ini. Setiap kali aku pulang ke kampung, dia dan keluarganya tak ada pula balik kampung. Mungkin kerana jadual kami berbeza, jadi tak ada rezeki lagi setakat ini. Tetapi Adik ada menghubungiku sekali-sekala melalui Facebook. Dia suruh aku follow dirinya di Twitter, tetapi aku tak berapa pandai menggunakannya. Kadang-kadang dia menghantar mesej Whatsapp. Memang seorang budak yang peramah. Berbeza dengan abangnya. Tetapi satu perkara yang pasti sama antara mereka berdua ialah mereka saling sayang-menyayangi antara satu sama lain, biarpun selalu bergaduh. Memang adik-beradik yang rapat.

Ketika aku masih seorang pelatih, Adik ada menghantar mesej kepadaku di Facebook. Aku bertanya kabar keluarganya. Abah ummi macam biasa, katanya. Yang berubah sedikit ialah Abang. Kazen tau tak, dia dah pandai berkawan dengan orang! Dia join kelab teater sekolah. Siap berlakon lagi tu! Aku tergelak membaca mesej Adik. Penuh bersemangat. Tapi itu cerita beberapa tahun yang lepas.

Baru-baru ini, aku tersedar satu post di Facebook abangnya. Status yang diletakkan di dindingnya oleh Adik.

=> Best la… orarng tu keluar dengan girlfriend. Patutlah tak nak jumpa orang dah. Orang ada girlfriend kan…. XD

Di bawahnya pula balasan abangnya.

=> Oi budak, kau nak kena dgn aku ke???>

Komen-komen mereka berdua berpanjangan dan berlarutan hingga ke benda-benda yang merapu. Aku tergelak membaca komen-komen mereka. Memang betul-betul adik-beradik.

Tetapi satu komen menarik perhatianku. Komen daripada seseorang yang tak kukenali, tapi nampaknya mereka berdua kenal akan perempuan tersebut.

=> Kami bukan girlfriend abang kamu. Jangan salah faham… T-T

Ketika terlihat komen tersebut, aku tersenyum sendirian. Sepupuku, adakah hang sudah menemui marjerin hang? Mungkin aku akan bertanya kepadanya bila kami berjumpa lagi. Sekarang ini aku harus kembali berkerja. Kalau tak nanti para pesakit akan bising kepadaku. Biarlah soalan tersebut kusimpan untuk masa akan datang. Yang penting sekarang hatiku lega. Dia dah pandai membuat kawan.

 

-Tamat-

 

12.56pm

10 Febuari 2014

p/s: Ini ialah cerita sampingan dari projek Bohong Palsu, tapi boleh juga dibaca sebagai stand-alone, hehe.

 

Advertisements
Marjerin dan Kaya (Bohong Palsu Ekstra)

2 thoughts on “Marjerin dan Kaya (Bohong Palsu Ekstra)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s