Sentuhan Si Rerama Malam


Dia mencari di tanah di sekelilingnya. Sayap kepada hak kebebasan bersuara. Kunci kepada keampunan yang diharap kerna bertindak terlalu naïf. Pintu kepada kegembiraan hakiki yang setiap insan cuba untuk miliki, yang dicari oleh setiap insan, secara sedar atau tidak sedar.

Namun begitu, dia tetap tak dapat menjumpainya. Adakah dia mencari di tempat-tempat yang salah? Atau adakah matanya telah dikaburi, dilitupi suatu jendela halimunan hingga dia tak dapat melihat apa yang dicarinya? Apakah yang dicarinya? Dia sendiri tak mengetahui secara pasti.

Semuanya bermula seawal pagi tadi tika dirinya sedang bersarapan. Ayahnya, yang terkenal dengan sifat sentiasa berasa dirinya benar dan bertindak tegas walaupun dalam hal-hal remeh-temeh yang hanya dipandang sebelah mata oleh orang lain, telah bersuara kepadanya. Dan kata-kata yang terluah dari mulutnya datang bagai helaian serai yang tajam, wangi namun menyakitkan pada masa yang sama, membawa bersamanya udara berbaur kemarahan dan kekecewaan. Kerna ayahnya mengetahui setepatnya kata-kata yang boleh membuatkan dia berasa bersalah, berasa terbeban dengan hidup di dunia yang fana ini. Cuma ayahnya tak menggunakan perkataan ‘bebanan’ tetapi menggantikannya dengan perkataan ‘tanggungjawab’.

Kau sudah membesar menjadi seorang perempuan yang mumaiyiz, sudah mematang menjadi seorang wanita. Janganlah mengharapkan aku memberitahu setiap perkara yang perlu kau lakukan dalam kehidupan kau.

Begitulah norma percakapan ayahnya, Cuma dalam frasa dan gaya yang berbeza setiap kali. Namun intipati percakapannya, persoalan yang tersurat dalam seruan kata-katanya sentiasa berkisar pada isu yang sama. Dan setiap sesi ‘motivasi’ ayahnya akan menyebabkan dia berasa semakin terguris. Hatinya makin terhiris dek kata-kata orang tuanya sendiri.

Saya masih sedang belajar menjadi orang, papa! Tidakkah engkau mengetahui erti memberi peluang dan toleransi? Tak bolehkah engkau menjangka dan menerima segala kekhilafan diriku sebagai seorang manusia biasa, papa? Tak bolehkah engkau sekurang-kurangnya memuji segala kemajuanku dalam menjadi seorang wanita matang seperti yang kau harapkan itu, anak perempuan yang sempurna yang telah lama engkau dambakan, walau dengan sedikitpun? Hatta sepatah perkataan ‘bagus’ pun sudah memadai. Kenapa engkau tak boleh memahami diriku ini? Kenapa engkau tak dapat melihat yang aku semakin matang, semakin baik, semakin berusaha menjadi idealmu?

Segala persoalan dan kebencian itu berbaur, berkecamuk dalam dirinya, makin berganda dan makin berserabut dengan setiap hari yang berlalu. Dan pada hari ini, perasaan amarah dan kecewa itu telah memuncak lalu memecahkan pintu rasional akalnya.

Dia lari dari rumah. Seorang perempuan berusia 24 tahun, yang mendambakan kasih dan penghargaan daripada ayahnya sendiri, lari dari rumah seperti seorang budak kecil yang belum berakal, belum pandai berfikir dan membezakan yang mana baik yang mana buruk. Dia lari ke dalam hutan meninggalkan ketamadunan manusia, menjauhi sekaligus segala masalah dan komplikasi yang dibawa olehnya. Dia teruskan berlari…. tanpa henti…. terdesak…. sakit hati…. hinggalah dia kesemputan nafas. Pada masa dia berhenti, kegelapan sudah menjangkaui dirinya, menyelaputi dirinya bagai selimut hitam.

Kegelapan. Jika dilihat dengan teliti, kegelapan mempunyai cara yang ganjil dalam mempengaruhi seseorang, terutamanya mereka yang sesat dalam pemikiran dan kehilangan pendirian. Dia, secara kebetulan dan secara malangnya berada dalam kedua-dua situasi pada masa yang sama. Di lanskap yang ganjil dan meresahkan itu, dia cuba untuk mencari sesuatu untuk menenangkan dirinya. Namun, kegelapan tetap cuba untuk menyesatkan dan meresahkan dirinya. Walhal, jika seseorang itu tenang, ia akan mendapati bahawa kegelapan itu hanyalah suatu dugaan yang kecil. Dia yang berada dalam keadaan resah dan gelisah bukanlah lawan kegelapan.

Kesejukan mulai terasa, mulai meresap ke dalam kulitnya, menggigit hingga ke tulang. Dalam keadaan tak menentu dan penuh ketidakpastian itu, dia mula menangis. Kegelapan telah berjaya meresap bersama sejuk malam ke dalam dirinya, menghantuinya, membuatkan dia menjadi tak menentu. Dia mula teringat akan kata-kata ayahnya yang selalu didengarinya, yang selalu tak diendahkannya. Leteran yang senantiasa mengisi corong pendengarannya, yang dibencinya. Dia, yang terkenal dalam kalangan kawan-kawan dan rakan sejawatnya sebagai seorang wanita yang tabah dan berpendirian teguh, telah tewas kepada kata-kata seorang lelaki tua.  Dan kini, dia mulai menerima dan memperakui hakikat itu sebagai fakta yang sahih.

Namun segalanya sudah terlewat. Perakuan takkan dapat menolongnya mencari jalan pulang ke rumah kini. Dia berlutut, merasai jantungnya berdetak laju di dada. Dia mula kesal dengan tindakan tak rasionalnya. Tetapi penyesalan cumalah satu perkataan yang tak berguna kini, bak pepatah menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna. Ya. Penyesalannya kini memang tak berguna.

Ketika dirinya sudah hampir putus asa, tiba-tiba dia terlihat kerdipan cahaya dari sebalik segala kabus dan ranting pohon, memancar terang dari tengah kegelapan.

Jika dilihat dengan teliti, cahaya juga mempunyai cara yang ganjil dalam mempengaruhi seseorang. Cahaya melambangkan harapan, mensignifikasikan pertemuan di akhir suatu pencarian hanya dengan menunjukkan diri melalui sinar terangnya. Dan begitulah juga fikirannya pada masa itu. Dia berasa bahawa dirinya tak sesat lagi, bahawa dirinya telah ketemu harapan. Dia gembira dan bersyukur wujudnya cahaya itu menjadi petunjuk bagi dirinya yang kehilangan arah sebentar tadi.

Dia mula bergerak ke arah sinaran cahaya tersebut. Mula-mula dengan langkah yang kecil, kemudiannya makin laju, dan laju, dan laju, dan kemudian berlari, lalu memecut terus! Kakinya terpijak sesuatu yang ganjil. Sesuatu yang dingin yang berbunyi klank-klank-klank dan mempunyai tekstur yang berbonggol-bonggol. Namun tidak dikisahkan keganjilan tanah yang dipijaknya itu. Yang dikisahkan dirinya hanyalah cahaya itu. Cahaya yang menyuluh tepat ke arahnya itu.

Ajaibnya, cahaya tersebut juga makin menghampiri dirinya. Memanglah dia sedang berlari ke arah cahaya itu, namun sinaran itu makin menyilau pandangan bagai ia juga bergerak. Dengan hampirnya cahaya tersebut datangnya suatu bunyi yang berdesing di udara. Dia berhenti bergerak lalu berdiri betul-betul di hadapan cahaya itu. Cahaya tersebut masih juga bergerak ke arah dirinya. Tak semena-mena, anak matanya terlari ke arah tanah tempat dia berdiri. Matanya membundar serta-merta. Kini, dia sedar bahawa tanah yang ganjil tempat dia berdiri itu adalah sebatang landasan. Landasan kereta api. Dan cahaya yang menghampirinya itu adalah….

Dalam sekelip mata, dia melompat ke tepi. Kereta api tersebut berlalu dengan kelajuan yang teramat dengan hanya beberapa inci ruangan. Dia terjatuh ke tanah sekali lagi. Segala tanah dan dedaunan kering bertaburan menyelaputi seluruh badannya. Namun, dia tak cuba untuk berdiri semula. Tak cuba untuk bergerakpun, setepatnya. Dia hanya membiarkan diri bergelumang dengan segala kotoran dan debu dan daun. Merenung jauh ke angkasa, ke arah bintang-bintang yang berkelipan, yang dirasakan sedang memperolok dirinya kerna ketidakmampuannya untuk berdiri semula. Dia merasakan bahawa bintang-bintang di angkasa sedang mentertawakan dirinya atas segala kekhilafannya, ketidakbergunaannya, dan kebergantungan dirinya terhadap ayahnya, walaupun dia sendiri tak suka akan kata-kata lelaki tua tersebut.

Dan kini, diapun ikut ketawa sekali. Suatu tawa yang pilu memecah kesunyian yang dibawa oleh gelap malam. Dalam hatinya, dia mula berasa jelik dengan dirinya sendiri. Dia mula membenci dirinya kerna ketidakmampuan untuk berdiri tanpa sokongan orang lain. Benci, kerna dia tak mampu menjadi wanita yang ayahnya impi untuk dirinya. Kuat. Penuh semangat. Seorang wanita yang mempunyai jati diri selayaknya seorang srikandi. Bertanggungjawab dan tahu apa yang perlu dilakukan, bila perkara tersebut perlu dilakukan.

Namun kini, realiti mulai menjelma di hadapannya. Dia sedar bahawa dia masih jauh daripada sempurna dan dia berada di pinggiran fikiran untuk mengabaikan suatu impian yang dia sendiri berasa mustahil untuk dirinya. Akhirnya, dia membuat keputusan. Biarlah dia terlentang di sini selama-lamanya. Biarlah masa menyegel dirinya di situ. Biarlah masa menelan dirinya, membuatkan dia terhapus dari muka bumi dan terpadam daripada lipatan sejarah ketamadunan dunia.

Namun, masa adalah sesuatu yang aneh. Masa tak senantiasa bertindak mengikut perancangan manusia dan ia selalu memberi kejutan kepada manusia. Kerna dalam tempoh masa yang singkat dirinya sesat di dalam hutan dan juga dalam mindanya sendiri, sesuatu yang tak terjangka terjadi. Bintang-bintang yang dirasakannya sedang memerli dan mentertawakan dirinya itu mulai turun daripada lapisan fana mereka. Matanya membundar pabila bintang-bintang teresebut menghampiri bumi. Yang ganjilnya, bintang-bintang tersebut tidaklah membesar ataupun meneranginya dengan cahaya yang lebih terik tika menghampiri dirinya, sesuatu yang dia jangkakan mengikut logik akalnya tika itu. Bintang-bintang tersebut hanya…. berkelipan.

Pabila bintang-bintang tersebut menghampiri paras ketinggian hujung dedaunan pokok-pokok pain yang merimbun di sekelilingnya, barulah dia sedar akan apa yang sebenarnya dilihatnya. Bintang-bintang tersebut rupa-rupanya adalah…. rerama…. Rerama dengan sinaran ganjil. Rerama yang menghasilkan suatu cahaya putih kebiruan ganjil yang malap tapi menenangkan, yang membawa bersamanya atmosfera yang sungguh mistikal namun mengkhayalkan pada masa yang sama. Dan kini rerama tersebut berterbangan ayu mengelilingi dirinya yang terkujur di tanah, langsung tak mengacau sedikitpun ketenangan udara di sekeliling.

Dia melunjurkan tangan kanannya ke udara, mengharap salah satu daripada rerama tersebut akan berbaik hati dan berbaik sangka dengannya dan akan hinggap seketika di telapak tangannya, dan tak semena-mena seekor rerama hinggap di telapaknya! Diperhatikan rerama tersebut puas-puas.

 

Rerama tersebut, walau empunya sekujur rangka yang cukup rapuh, namun sayapnya mengimbangi hakikat itu dengan sinaran yang indah nan malam. Dan sayapnya yang sepasang itulah yang membantunya untuk terbang dengan penuh keanggunan dan keyakinan.

Tika itulah sesuatu melintasi benak akalnya. Matanya membundar kembali. Tiba-tiba, secara mengejutnya, segalanya menjadi jelas kepadanya. Rerama itu…. adalah dirinya! Dia bagai rerama tersebut, lemah, rapuh jika sendirian, namun hikmah ayahnyalah yang membantunya terbang di dunia ini, yang membantunya mengatasi segala dugaan hidup dengan penuh bijaksana, yang membantu dia menjadi siapa dia pada hari ini! Sebab itulah, pabila dalam situasi yang merunsingkan dan mencemaskan seperti yang dilaluinya awal tadi, dia teringat akan kata-kata ayahnya. Tidak. Bukan setakat teringat, malah dia teringin sangat menjadi ideal impian ayahnya, yang selama ini terkandung dalam leteran ayahnya, yang selama ini sangat menyakitkan hatinya, yang sangat dibencinya. Mungkin dia takkan berkilau dalam cahaya terang, dalam tenang keamanan, tetapi dalam situasi yang mencabar minda, menggugat jiwa, dia akan kelihatan. Semuanya terima kasih kepada ‘sayap’nya, hikmah ayahnya.

Tika itu juga datang kepadanya suatu kefahaman yang patut sudah lama disedarinya. Bukanlah ayah yang tak memahami, yang tak erti toleransi. Dialah yang sebenarnya yang tak memahami ayahnya, yang tak erti beri peluang, yang selama ini tak pernahpun berhenti seketika dan mendengar intipati leteran ayahnya. Selama ini, dia hanya mendambakan suatu harapan yang kelihatan. Ganjaran yang material dan punya fizikal yang nyata yang dirasakan layak untuk segala usaha gigihnya menjadi orang, tanpa sedikitpun sedar bahawa harapan dan ganjaran sebegitu, yang berlandaskan pada materialistik dan ketamakan hati semata-mata bukanlah yang terbaik, malah tak jujur langsung.

Samalah seperti cahaya terang milik lampu hadapan sebuah kereta api. Memberikan harapan dan keselesaan sementara, lalu merempuh dan menghapuskan segala daya dan kesungguhan seseorang untuk maju dan terus bergerak ke hadapan dalam sekelip mata. Memadam segala opsyen untuk bangkit semula. Memutuskan segala talian hayat dengan harapan palsunya.

Berlainan dengan ayahnya yang memberikan dia harapan dan ganjaran yang setimpal. Ayahnya mengajar bahawa tiadalah satu benda di dunia ini yang kan datang bergolek biar sebulat manapun, yang kan datang melayang biar sepipih manapun. Harapan yang diberi sejajar dengan dugaan, ganjaran setimpal dengan kesungguhan. Itulah ajaran ayahnya. Suatu lembaran cahaya yang sedikit, namun cukup untuk menarik dirinya keluar dari kancah kegelapan. Suatu cahaya penuh keikhlasan, penuh kejujuran. Cahaya petunjuk yang berguna, yang memprovok dirinya untuk maju ke hadapan, dan terus maju, dan terus maju, selamanya, agar dia senantiasa berada di puncak dan dapat berdiri hingga ke saat akhir. Sepasang sayap, yang ayahnya tahu dan yakin setiap insan memerlukan, yang baru disedarinya. Kerna manusia itu lemah dan rapuh dan tak boleh berdiri dengan sendirinya, hinggalah mereka membina keteguhan, jati diri yang asli.

Selama ini, bukanlah hak bersuara ataupun kemaafan yang dicarinya. Bukanlah material yang berkisarkan hedonisme yang boleh memberi dia kepuasan hidup. Kunci kepada kegembiraan hakiki yang setiap insan cari, secara sedar atau tidak sedar, bukanlah terletak dalam perkara-perkara cetek sebegitu. Apa yang boleh memberikan dia kepuasan hidup, kegembiraan hakiki, ialah pemahaman terhadap dunia dan penciptanya. Pemahaman tersebut hanya boleh dia kecapi dengan jati diri yang teguh, pendirian yang jitu. Itulah yang ayahnya cuba untuk terapkan ke dalam dirinya selama ini. Ayahnya berusaha bukanlah untuk idealnya semata-mata, namun untuk kebaikan dirinya. Kerna ayahnya tahu bahawa kegembiraan seseorang itu terletak pada diri sendiri, hanya boleh dicapai melalui usaha sendiri, bertunjangkan identiti yang mantap, konkrit. Namun, konkrit identiti itu haruslah bersokong kerna manusia itu lemah sendirian. Itulah tugas sayap rerama yang diberi ayahnya.

Kini, dia tahu. Kini, dia menghargai.

Pabila subuh menjelma, dia pulang ke rumah, dirinya kusut masai, kotoran di seluruh tubuhnya. Di muka pintu rumahnya berdiri teguh ayahnya, tangan bersilang di dada, wajah lurus tanpa sebarang pemanis. Langkah kecilnya diteruskan, hinggalah dia tiba betul-betul di hadapan ayahnya. Ayahnya merenung dia dengan pandangan yang tajam, yang penuh dengan suatu kekuatan yang sukar dia ungkap dengan kata-kata. Suasana sunyi seketika. Sepi. Janggal. Kemudian, ayahnya bercakap.

“Adakah kau tahu kenapa aku namakan kau Rohayah, wahai anakku?”

Dia menggelengkan kepala.

“Kerna kau adalah kekuatanku. Rohku. Kau adalah ‘roh’ ayah. Maka jadilah kuat untukku, kerna aku yang sendirian teramatlah lemah.”

Kemudian, tanpa menunggu apa-apa lagi, ayahnya berpusing lalu masuk ke dalam. Wajahnya masih seperti awal tadi. Tak berubah riak. Namun dia tahu, dalam hati ayahnya tersembunyi wajah penuh ekspresi, penuh emosi. Penuh penyesalan. Penuh harapan.

Penuh kasih sayang.

Dia masih berdiri di muka pintu. Sekuntum senyuman tercalit di wajah. Ayahnya benar-benar tahu setepatnya akan perkataan yang harus digunakan, dan kerna itulah dia bersyukur. Lalu diapun menjawab.

“Baiklah, papa.”

11.46 pm

10 Mei 2011

Advertisements
Sentuhan Si Rerama Malam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s