Tika Kita Mencari


Siang. Kemudian malam. Kemudian siang kembali.

Masa berputar tak berhenti. Manusia ligat berjalan, tidur, makan. Manusia bersuka ria, berkerja keras, berlipur lara. Manusia mencari, menanti, terdesak.

Di bawah jambatan kelibat seorang manusia. Namanya Axtaris. Dia juga seperti manusia lain. Mencari, menanti, terdesak. Terdesak, perlu menghala suatu tujuan, perlu menghabiskan suatu pengembaraan, perlu mencapai suatu matlamat. Tapi apakah yang dicarinya? Apakah yang dinantinya? Dari manakah desakan itu datang? Itulah asas kepadanya perasaannya; dia tak tahu apakah yang harus ditujuinya, apakah yang menantinya, dan apakah yang perlu dikejarnya. Ramai juga manusia seperti Axtaris. Ada yang berjaya mencari matlamat mereka namun gagal mencapainya. Ada yang mencapainya namun gagal mengekalkan gah matlamatnya itu. Ada pula yang berjaya menggenggam kejap matlamatnya, lalu matlamat itu menjadi pendorong, pemacu semangat ke arah tujuan yang lagi tinggi, lagi gah, lagi hebat. Kerna manusia adalah hidupan yang mengejar kehebatan. Itulah lumrahnya.

Namun, bagaimana pula dengan yang gagal? Yang langsung tak nampak percikan sinar di hujung terowong? Ataupun yang jatuh tak mampu berdiri semula? Mereka akan mula mengundur dari dunia, mula menyusup ke dalam bilik masing-masing, pintu hanya dibuka sekali dua dalam suatu tempoh, lalu langsung tak dibuka pabila mereka sudah kehabisan semangat pacuan kehidupan. Ataupun mula bergaul dengan kegelapan, hingga akhirnya mereka menjadi satu dengan kegelapan itu sendiri.

Mereka akan sesat.

Selagi tak jumpa akan percikan cahaya yang diperlukan, selagi neon di bawah jambatan tak dinyalakan, selagi itulah mereka akan kekal dalam kegelapan, dan kegelapan akan memamah isi hati mereka, menghirup keluar segala intipati semangat, menyesatkan lagi yang sudah sesat. Mereka akan statik, tak bergerak, tak berganjak. Jika mereka lesap begitu sahaja, tidak mengapa. Namun bagaimana jika mereka menghalang laluan orang lain? Lalu dengan halangan itu, mereka menghalang juga inspirasi dan pencapaian dan segala impian yang dibawa oleh generasi para pelalu, para optimis, para idealis, para pekerja kuat. Menghalang sekali perjalanan idea daripada hanya idea kepada perlaksanaan. Mereka akan jadi pembenci, dan pembenci akan senantiasa membenci, tak kira apa yang diutarakan.

Mereka bukanlah tujuan Axtaris. Axtaris tak ingin merubah jadi sampah sebegitu. Tak ingin mengganggu rentetan pendewasaan manusia dan tamadun. Tak lalu menjadi cemuhan segala yang berada di sekelilingnya.

Namun dia ada satu masalah. Dia berada di bawah jambatan, dan neon di bawah jambatan belum marak. Jika dibiarkan sebegitu, dia khuatir dirinya akan menjadi apa yang dikhuatirinya. Dimamah kegelapan. Terbiar busuk macam bangakai bernyawa. Dia masih nomad. Dia masih mencari. Selagi namanya Axtaris, dia tak akan nampak kelibat sinar neon menerangi jalan.

Dia tak nak pengakhiran sebegitu rupa.

Suatu senja, tika rembulan baru hendak bertukar syif dengan mentari, dia didatangi suatu manusia. Manusia itu berdiri di hadapannya, melihatnya dengan mata yang penuh denagn sinar. Namun maksud sinar itu dia kurang mengerti. Apakah ia bermaksud benci, atau kasihan? Dia bertanya kepada tuan punya badan yang berdiri di hadapannya itu.

“Bukan kedua-duanya,” jawab manusia itu. Axtaris mula bingung. Jadi, apakah maksud renungannya itu?

“Maksudnya harapan.”

???

“Kerna setiap manusia bernama insan punyai harapan.”

“Apakah itu harapan? Adakah ia sumber tenaga neon yang tak pernah marak itu? Atau adakah ia suatu mimpi yang takkan boleh dipegang, takkan dapat diramas oleh kedua0dua belah tangan ini?”

“Kedua-duanya salah, namun kedua-duanya betul.”

“Janganlah bermain permainan Schrodinger denganku, wahai manusia. Siapakah geranganmu, itupun aku tak tahu. Dan kau tiba-tiba muncul di hadapanku dengan segala falsampahmu. Apakah tujuanmu, itupun aku curigai.”

“Aku hanya menyatakan fakta. Oh, dan namaku Fesyeteh. Tak perlulah kau ragui diriku. Dan yang lebih penting, tak perlulah kau ragui dirimu juga.”

Axtaris terdiam seketika mendengar madah Fesyeteh. Apakah yang dia maksudkan dengan meragui dirinya? Adakah dia meragui dirinya selama ini? Dia menelan liur, cuba menyedapkan rasa tekak.

“Bagaimanakah harus aku tidak ragui diriku jika diriku meragui tanah yang dipijak, meragui udara yang dihela, meragui jalan raya di atas kepalaku, meragui dirimu? Aku nomad atas planar kepercayaan.”

“Semua orang nomad atas planar itu. Namun tak boleh juga jumud. Jumud bermaksud statik, juga tak baik untuk kepercayaan. Hanya kukuh yang fleksibel boleh dijadikan taruhan.”

“Semuanya nomad? Adakah termasuk engkau, wahai Fesyeteh?”

“Termasuklah aku. Namun aku telah ketemu konkrit rasionalisasi yang mampu memacu aku ke hadapan.”

“Bagaimana?”

Fesyeteh tersenyum mendengar persoalan Axtaris. Memang itulah yang dinantikannya. Seperti pepatah cina, berilah mereka minum seteguk sahaja dari cawanmu, jika ia meminta lagi barulah diberikan bakinya. Retoriknya telah berjaya.

Neon mulai menyala namun dengan malapnya.

“Dengan harapan. Meletakkan harapan ke atas dirimu bahawa engkau hebat, engkau mantap, engkau mampu. Ramai manusia juga mencari sepertimu dan ramai gagal kerna tak mematuhi aturan perjalanan ke arah mencapai matlamat. Jika kita masih mencari matlamat, tak mengapa, yang penting kita menaruh harapan pada diri bahawa kita akan ketemu matlamat itu. Jika pada awalnya pun kita dah memandang hina diri kita sendiri, apa lagi orang lain? Maka letakkanlah harapan atas dirimu dan berusahalah atas dasar harapanmu itu. Janganlah dirimu dijadikan beban pikulan tetapi jadikanlah dirimu tenaga pacuan.”

Axtaris termangu mendengar penjelasan Fesyeteh. Susah sedikit hendak difahami, apatah lagi hendak dilaksana. Menyedari reaksi Axtaris, Fesyeteh tersenyum. Nampaknya dia perlu menggunakan kata-kata lain untuk menyampaikan pesanannya.

“Dengan erti kata lain, buatlah yang terbaik untuk masa kinimu. Jangan dirisaukan segala kemungkinan dan kebarangkalian, sangkal segala kemusykilan dan kritikan. Percaya bahawa dirimu ada tujuan di muka bumi ini dan berusaha sehabis baik selagi tak ketemu tujuan itu,” kata Fesyeteh sambil tersenyum.

“Maksud kau, aku berguna dalam dunia ini?”

“Semua orang berguna dalam dunia ini.”

Neon tiba-tiba marak menerangi jalan di bawah jambatan itu. Sinarnya menenangkan, menunjukkan arah tujuan seterusnya. Axtaris berdiri, kini faham akan apa yang harus dilakukannya. Sudah cukup lama dia berteduh di bawah jambatan ini. Kini tiba masanya untuk bergerak meneruskan perjalanan, biarpun dia kurang pasti ke manakah arah tujuannya itu. Kerna dia kini tahu, jika dia jumud, tak bergerak, dia takkan ketemu matlamatnya. Kini dia bukanlah nomad merempat tetapi dia adalah nomad penglipur. Dia kini seorang Hakawati, bercerita sambil meneruskan cerita dirinya sendiri. Menghibur sambil mengingati. Melawak sambil menasihati.

Menulis cerita ini, tika dia masih mencari matlamat hidupnya di muka bumi ini….

 

 

9.47 pm

10 Disember 2011

Advertisements
Tika Kita Mencari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s