Aku suka menterjemah lagu-lagu bahasa asing ke Bahasa Melayu. Seperti satu latihan mengukuhkan tatabahasa, pada masa yang sama mengasah ketajaman kreativiti. Itu satu-satunya aktiviti berbentuk ala karya yang tidak lekang daripada diriku dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Menterjemah lagu ini sesuatu yang seronok, boleh dilakukan di mana sahaja, dan menghiburkan pada masa yang sama. Apa barang terjemah secara gramatis? Terjemah secara harafiahlah, baru syok! Hakikatnya, suatu terjemahan yang diadun antara tafsiran konteks dan terjemahan harafiah secara langsung itu yang menyeronokkan. Mungkin sifatku manusia yang penuh pincang yang menarik perhatianku kepada terjemahan yang pincang juga; sifat suka sama suka, pincang ditarik oleh pincang, dan ini mengingatkan aku dari semasa ke semasa bahawa aku manusia. Aku senantiasa punyai ruang untuk bertambah baik, kerana hakikatnya aku sentiasa penuh dengan kekurangan, bukan ideal mahupun kesempurnaan. Ya. Aku punyai kekurangan, dan itu bukanlah suatu kekurangan kepadaku mahupun sesiapa sahaja di luar sana. Wear it like armor, seorang Tyrion Lannister pernah berkata dan urgh, musim terakhir Game of Thrones setakat ini sangat mengecewakan.
Serasanya, terjemahan harafiah yang pertama melekat di benakku, yang menarik diriku ke kancah terjemahan secara rambang ini dituturkan oleh seorang kawan lama ketika berada di gelanggang bola keranjang suatu petang yang suam. Terjemahan harafiahnya itu merujuk kepada kami semua ketika itu yang menunggu sesiapa yang ingin bermain untuk bermula. Dan pada masa itu seorang Hafiq Azwan berkata dalam lenggokan irama Collision Course Numb/Encore karya Linkin Park dan Jay-Z:
“Apa neraka yang kau tunggu?”
Asalnya tak masuk akal, tetapi apabila dibalikterjemah ke bahasa asalnya, perasaan lucu itu merangkul diriku dan beberapa rakan lain. Maka bermulalah sesi bola keranjang kami pada petang itu. Dan bermula juga terjemahan secara tidak gramatis diriku, haha
Namun begitu, kerja terjemahanku pada awalnya berbentuk serius. Lurus mengikut konteks. Seringkali aku bekerjasama dengan seorang lagi kawan lama, Datu Amizan, menterjemah dan mengadaptasi lagu pop Jepun daripada anime yang kami tonton. Beberapa hasil masih tersiar di akaun Soundcloud beliau. Kerja terjemahan yang paling mendapat sambutan, Pejuang, atau nama asalnya Fighter oleh Kana-Boom, serasanya sudah lebih 5000 kali dimainkan kali terakhir aku lihat. Dan Datu berkata dia mendapat mesej pujian dari serata dunia termasuklah Jepun, negara asalnya. Sesetengah terjemahan/adaptasi pula sekadar skrip tanpa cover oleh sesiapa, seperti Usurahi Shinjuu yang sejujurnya, aku tak rasa mahu dan mampu dibawa oleh sesiapa secara cantik. Kerja-kerja terjemahan/adaptasi begini juga menarik dan mengasah kreativiti, tetapi prosesnya tidak rambang. Ia suatu usaha yang dilakukan secara tekun, dan tidak mempunyai kemanisan terjemahan rambang seperti apa yang “apa neraka yang kau tunggu?” berikan kepada diriku. Seringkali aku fikirkan itu sahaja kerja terjemahan yang aku lakukan. Padahal aku selalu membuat terjemahan rambang di tempat kerja. Aku tidak menyedari perbuatanku ini sehinggalah suatu hari, seorang Kak Mas menegurku dan berkata “Bun, begitu ke kau belajar Bahasa Inggeris?”. Dan ketika itu barulah aku tersedar bahawa aku telah menterjemah lagu secara rambang selama ini tanpa sedar!
Asalnya aku sekadar menterjemah apa jua lagu yang bermain di radio pada ketika itu, sambil tangan pantas membuat kerja manakala mata lekat di skrin komputer atau pada carta ubat yang dihantar wad. Ya, kami punyai sebuah radio di bahagian pesakit dalam, dan hampir sentiasa dipasang pada kekuatan minima. Sekadar bunyi latar di tempat kerja, bukannya didengar dengan khusyuk pun. Sesetengah rakan sekerjaku berkata ini sahaja yang membezakan tempat kerja kami dengan bilik mayat, haha. Terjemahanku tidak punyai pendengar mahupun sebab. Ia sekadar suatu perbuatan rambang separa sedar mindaku, biarpun jika minda aktifku sedang sibuk mengira baki ubat yang harus dibekalkan ataupun doktor mana yang harus dihubungi jika terdapat apa-apa kemusykilan dos dan sebagainya. Segalanya berubah apabila beberapa orang rakan sekerjaku menegurku kerana jengkel atau geli mendengar lagu-lagu yang mereka suka dinyanyikan dalam Bahasa Melayu. Dan kejengkelan mereka itulah yang membangkitkan semangat untuk membuat lebih banyak terjemahan, lebih-lebih lagi lagu-lagu yang mereka suka. Ya, aku tahu aku jahat kerana menyeksa mereka dengan adaptasi yang sengaja dibuat secara spontan dan berkemungkinan besar kedengaran janggal. Tetapi saban hari, aku dapati diriku tertarik melakukan terjemahan bukan sahaja dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, bahkan juga sebaliknya. Dan dari situlah datangnya tajuk catatan kali ini.
“Where is your sweet promises, to love me until the end of time?”
Itulah permulaannya. Kini meleret ke lagu-lagu lain seperti:
“My one and only regret is for you, my love.
Please forgive everything and everyone of my sins.
It wasn’t my intention to be harsh to you.
To me you will never be my enemy,
Oh, my love”
dan yang terkini, baru di’tukar’kan pada hari ini ialah:
“You are like crystal clear water
in a dusty-filled container..”
The kraken has been unleashed! Di manakah perjalanan terjemahan ini akan berakhir? Setakat ini, aku tidak tahu. Cuma satu harapanku, agar hobi separuh masa separuh jiwa ini tidak mencalitkan bahasa dengan kekolotan bahasa rojak. Bahasa jiwa bangsa, bak pepatah Melayu. Dan hal ini benar untuk apa jua bahasa. Apabila bercakap tentang bahasa, teringat aku secebis daripada biografi Barack Obama, Dreams from My Father rasanya. Barack Obama bercakap dengan seorang saudara yang telah lama tidak dia temui (makcik, kakak, atau sepupu, kurang pasi), dan saudara itu mengeluh mengenangkan anak/anak buahnya kini sering bertutur dalam bahasa rojak. Bagi saudara itu,idea bahawa bahasa menunjukkan identiti bangsa itu masih kuat. UNtuk bertutur dalam bahasa rojak, pastinya identiti bangsa anak/anak buah itu makin terhakis. Tetapi di hujung keluhan itu, saudar itu berkata: “Mungkin inilah identiti mereka kini. Suatu identiti yang dipupuk globalisasi dan akan menolak ke tepi perbezaan antara manusia, dan di akhirnya, mungkin identiti baru ini akan membawa kepada kemajuan dan pembangunan ketamadunan manusia,” atau sesuatu seiring dengan konotasi tersebut. Jika perkara tersebut berlaku di Afrika, tak kisah sama ada Kenya ataupun Afrika Selatan, dan perkara yang sama berlaku di Malaysia, mungkin kita juga tak patut risau dengan kelucutan identiti lama. Mungkin juga cara pemikiran konservatif bahawa “Bahasa itu adalah jiwa suatu bangsa” itu sudah luput masanya. Mungkin juga dengan identiti baru yang dipupuk oleh cara bercakap yang baru, manusia secara amnya akan melangkah ke arah yang lebih bertamadun dan maju. Dan mungkin juga terjemahan rambang lagu-lagu dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain akan menjadi lebih meluas dan diterima ramai sebagai bahan jenaka antarabahasa yang menghiburkan dan mendidik pada masa yang sama. Jika masa depan itu yang akan tiba kepada kita, maka sayanglah aku nak, aku dapat, aku nak, aku dapat tidak akan terasa jelik dan menjengkelkan lagi.
12.34am
16 Mei 2019